web stats

Thursday 24 April 2014

Wajahmu -Allah-Muliakan (S.Ali KWJ)







Sungguh bertuahnya dirimu wahai pahlawan segala pahlawan.Wajahmu Allah muliakan dengan panggilan (Karramallahu Wajhah). 

Kerana dirimu tidak pernah menyembah berhala walaupun satu lahzah. Dirimu tidak pernah dikotori oleh alam jahiliah walaupun sekelumit jua.

Dikau dari keturunan Bani Hasyim, dilahirkan pada 10 tahun sebelum Nabi menjadi Rasul 601 M. lahir dalam Kaabah di Mekah. 

Selama 4 tahun menjadi Khulafa Ur Rasyidin yang ke 4. Dari tahun 35 H/655M. Wafat pada 17 Ramadhan 41H/661M. Dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljim di bandar Kufah (Iraq). Engkau adalah bayangan Baginda Rasulullah SAW kerana keperibadianmu sangat mencontohi idola umat yakni Baginda Rasulullah SAW.


Dirimu wahai Sayyidina Ali KWJ, sangat dicintai Allah dan disayangi Rasulullah. Ketokohanmu sebagai pendekar terunggul di dunia terbukti dalam peperangan Uhud terutamanya juga dalam semua peperangan yang dikau sertai.
 
Dalam peperangan Uhud dirimu telah berjaya menewaskan 12 orang musuh dalam pertandingan satu lawan satu sebelum peperangan bermula.

Sewaktu umat Islam terpukul hebat,dirimulah yang paling gigih mempertahankan Baginda Rasul hingga terdengar suara Malaikat Jibril berkata:- "Tiada pedang zulfaqar dan tiada pahlawan selain Sayyidina Ali KWJ".

Begitu sekali keistemewaan dan kelebihanmu sehinggakan Allah mengutuskan Malaikat Jibril untuk memujimu dengan kata-kata tersebut.

Bertuahnya lagi dirimu wahai Sayyidina Ali KWJ, kerana Pedang Zulfaqar kepunyaan milik Baginda Rasul dianugerahkan kepadamu untuk digunakan dalam semua peperangan kecuali peperangan Tabuk, digunakan untuk memerangi musuh-musuh durjana .

Pedang Zulfaqar digelar sebagai Raja Segala Besi.Menurut sejarah Pedang Zulfaqar ini selepas dirimu dibunuh secara curi dalam gelap pula, maka Pedang ajaib ini terus lenyap dan hilang, tanpa diketahui ke mana perginya,akan tetapi ada di kalangan ulamak yang mengatakan Pedang Zulfaqar ini akan muncul di akhir zaman untuk memancung para munafiq di zaman Imam Mahdi nanti.

Dirimu adalah putera kepada Abi Talib bin Abdul Mutalib. Dikau adalah sepupu kepada Baginda Rasul sebelah bapamu juga sebagai menantu kesayangan Nabi. 

 Dikau juga digelar sebagai Abu Turab oleh Baginda Rasul yang membawa makna bapa pasir/tanah.Gelaran ini diberikan padamu kerana Baginda Rasul pernah terserempak denganmu, berbaring di atas tanah /debu/pasir di Masjid Nabawi lalu baginda panggil Ya Abu Turab... kemudian Rasulullah SAW menyapu tanah yang melekat di punggungmu.

Begitulah akrab dan manjanya hubungan hatimu dengan Baginda Rasul. Fizikalmu sederhana (agak berisi) orangnya.Kedua bahumu lebar.Tanganmu berurat. Dadamu lebar.Jari jemarimu halus tetapi sangat kuat.Bentuk badanmu bolehlah diistilahkan ahli angkat barang berat di zaman ini.

Dirimu kuat dan lasak.Raut wajahmu menarik dan selalu tersenyum walaupun dalam kesusahan dan kemiskinan. Dirimu sangat pemurah dan tenang. Banyak membantu fakir miskin walaupun dirimu sangat miskin.

Berkulit sawo matang. Ketika berjalan banyak condong ke depan (tawaduk)bagaikan resmi padi.Tidak menegak dada ke hadapan.Pergerakanmu ligat, lincah, tangkas dan bersemangat waja.

Kanak-kanak lelaki yang pertama memeluk Islam sewaktu berumur 10 tahun.Menurut sejarah Baginda Rasul diangkat menjadi Rasul pada hari Isnin , maka keesokan hari nya(Selasa), dirimu telah pun Islam.

Dirimu dikatakan orang yang paling fasih berbahasa Arab selepas Baginda Rasul. Ini semua adalah kesan asuhan daripada Baginda Rasul padamu kerana sedari kecil hinggalah dewasa senantiasa bersama Baginda Rasul.Bukankah Baginda Rasul itu orang Arab yang paling fasih bahasa Arabnya?.

Dirimu sangat pintar dan laju akalnya..Kesemua Imam Mazhab yang 4 sebenarnya mengambil ilmu darimu.Sangat terkenal sebagai ilmuan (gedung ilmu).Bijak dan pakar dalam ilmu sastera, ilmu hisab, ilmu pentadbiran dan lain-lain ilmu lagi.

Pernah terjadi satu ketika Sayyidina Umar dan para sahabat buntu fikiran, memikirkan permulaan taqwim Islam, mereka minta pendapat darimu wahai Sayyidina Ali KWJ,maka terus dijawabnya dengan lancar " Tetapkan saja mulai hari hijrahnya Baginda Rasul SAW". Itulah taqwim yang kita guna hingga ke hari ini.

Keberanianmu amat ketara dan pernah terbukti dalam kata-katamu " Seandainya semua orang-orang Arab maju hendak menyerang aku, aku tidak akan lari".juga katanya " tidak ada orang yang selamat jika berdua dengan ku".

Setiap kali berdua lawan pedang satu sama satu. Pasti dirimu akan menang.Tidak ada satu sejarah pun dirimu kalah walaupun sekali waktu berlawan pedang satu sama satu.

Keberanianmu sangat jelas boleh dilihat dalam peristiwa dirimu mencantas badan Ibnu Wudd (pendekar Quraisy),hingga terputus dua dengan sekali hayunan pedang sahaja,sedangkan musuhmu ketika itu memakai baju besi(baju zirah).

Begitu juga dengan Marhab (pendekar Yahudi) yang terbelah kepalanya terus ke Rahang sedangkan dia memakai topi besi ,juga dengan sekali hayunan pedang darimu. Hebat sungguh kekuatan dan kehandalanmu, sehinggakan musuh-musuh begitu gentar bila berhadapan denganmu.

Bagi musuh-musuh berdepan denganmu adalah MAUT!!!. Dengan berbaju zirah dan bertopi besi pun tidak akan selamat denganmu.
Sayyidina Ali KWJ pernah berkata dia tidak perlukan kuda pacuan dalam perang walaupun ditawarkan oleh para sahabat untuk memilikinya,kerana katanya"aku tidak memerlukan kuda pacuan kerana aku tidak akan lari daripada menghadapi musuh yang menyerang dan aku tidak akan menyerang musuh yang lari".

Kegagahanmu sebenarnya sejak bayi lagi.Apabila dibedung ibumu kain bedung akan sentiasa terbuka.Kemudian dibedung pula dengan 2 helai kain pun terbuka juga.Akhirnya ibumu tidak lagi membedungmu. 

Begitulah ajiabnya dirimu sedari bayi lagi sudah membuktikan dirimu lasak,gagah dan kuat.

Ketika berhijrah ke Madinah dirimu bersama 2 orang lelaki membawa serombongan kaum wanita , tiba-tiba muncul 8 orang kafir Quraisy yang menunggang kuda. Hanya dirimu seorang saja yang berani mencabut dan menghunuskan pedang berhadapan dengan kaum kafir Quraisy.

Salah seorang musuh mara ke hadapan menyerangmu wahai Sayyidina Ali KWJ, lalu ditetak olehmu terus terbelah tubuhnya.Alangkah hebatnya hayunan pedang darimu sehinggakan 7 orang lagi musuh lari berhamburan, bertempiaran dan lintang pukang bersama kuda-kuda mereka.

Begitulah wibawanya kepimpinanmu, kehandalanmu hingga musuh amat gerun padamu. Semoga sedikit sebanyak sejarah hidupmu dipaparkan ini memberi semangat waja dan kekuatan kepada umat Islam akhir zaman untuk terus mempertahankan Allah, Rasulullah dan agama Islam dari diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam.

InsyaAllah sejarahmu akan dipaparkan lagi untuk kesekian kalinya selepas ini sebagai panduan dan peduman sekalian umat Islam di muka bumi ini.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment