web stats

Friday 18 April 2014

Jangan- Cabar- Allah!!!







Kita sebagai hamba Allah yang tiada nilai satu sen pun jika Allah tidak anugerahkan kita kemuliaan dan darjat. Siapa kita yang ingin mencabar Allah?mencabar, orang-orang Allah (Para Nabi, Para Rasul dan para Auliyaa U'llah yakni Para Wali-wali Allah?). 

Lahirnya kita ke dunia ini pun adalah rahmat dan kasih sayang Allah pada kita.Jika Allah tidak titiskan benih (setitis air mani yang sangat jijik dan hina dina itu, ke dalam rahim ibu kita maka tidak wujudlah kita.

Kita diizinkan Allah lahir ke muka bumi ini untuk mengabdikan diri kepada Allah yang menciptakan diri kita dari tiada kepada ada. Kita dilahirkan oleh Allah ke dunia ini bukan untuk menjadi Tuan (Boss) tetapi kita diperintahkan menjadi "Hamba Allah".

Tuhan (Allah) adalah BOSS kita, TUAN BESAR kita yang Maha Besar. Tuhan (Allah) wajib dibesar-besarkan melalui shalat dan amalan-amalan terpuji. Tuhan(Allah) mesti diagung-agungkan seagung namaNya yang Maha Agung.

Tuhan lahirkan kita juga untuk menjadi "Khalifah Allah" di muka bumi ini. Maksudnya Tuhan perintahkan kita promosi Dia sebagai Tuhan yang Maha Esa, promosi Nabi-nabi dan Rasul-rasulnya lebih-lebih lagi Nabi Muhammad SAW (Habibullah) , kekasihNya itu.

Tuhan perintahkan juga kita perjuangkan agamaNya yakni agama Islam bukan diperlecehkan agama suciNya ini.Mana boleh kita hina agama Islam agama yang Allah dan Nabi-nabi iktiraf.

Janganlah kita kata"tak payahlah nak ikut hukum hakam Islam sangat nanti jumud, ketinggalan zaman, tak moden,tak maju (mundur ke belakang) tak class dan lain-lain lagi". Kata-kata itu semuanya mencabar Allah dan RasulNya. 

Mana boleh kita cabar Allah kita kata" langkah mayat mak atau ayah dulu kalau hendak jadikan dia tu menantu "dan macam-macam kata-kata yang mencabar Allah kita perkatakan.

Seolah-olah jodoh pertemuan itu kita yang tentukan, sedangkan jodoh,rezeki, ajal, maut di tangan Tuhan. Ketentuan sejak Azali di Luh Mahfuz lagi tertulis semuanya itu.

Ada juga yang kata "alaa sembahyang pun belum tentu masuk syurga..."Kata-kata seperti ini sangat mencabar Allah . Kita sebagai hamba Allah terpulanglah kepada Allah hendak letakkan kita di mana.syurga atau neraka. 

Bukankah Allah itu Tuhan yang Maha adil yang tidak pernah memungkiri janji-janjinya.Perbuatan baik walaupun sebesar zarrah akan dibalas dengan kebaikan begitulah sebaliknya.

Ada juga orang suka kata "Ahhhh.... Mati nanti kubur masing-masing, buat apa sibuk-sibuk hendak ajak aku gi shalat dan buat kebajikan!!".Ini antara kata-kata sinis kita mencabar Allah samada kita sedar ataupun tidak.

Ada juga yang kata..."Alaaa... waktu muda ni lah nak enjoy-enjoy, dah tua nanti taubatlah...". Ini pun antara kata-kata mencabar Allah.
Seolah-olah dia yakin umurnya panjang boleh sampai tua.Ia ingat ia boleh menungkat langit.Ia ingat dengan berlengah-lengah sempat bertaubat.Ajal maut tidak menunggu kita sesaat jua pun.Bila-bila masa , Allah boleh cabut nyawa kita. 

Entah-entah lepas cakap begitu tiba-tiba kena langgar lori treler, terperosok bawah lori, atau kena gelek dek kereta kebal dan seumpamanya , leper hancur berkecai daging, sama rata dengan jalan raya, daging-daging bersepai.Mahu ke kita mati katak seperti itu?

Ya Allah lindungilah kami dari kemurkaan Mu.Kadang-kadang kita bercakap tidak perasan cakap-cakap kita mencabar Allah. Sebab itu takutlah pada Allah. Dengan berkat takut pada Allah kita akan terpelihara dari celupar mulut berkata-kata tanpa disukat baik buruknya.

Orang mukmin jika dia hendak berkata-kata, dia akan tanya Allah dan Rasulnya terlebih dahulu.
Bagaimanakah caranya?.

Caranya melalui perjalanan hatinya, boleh ke aku cakap begian-begian, begini-begini atau begitu-begitu. Hati yang dipimpin Allah dan Rasulnya akan memberi faham pada sihamba itu, ini boleh dan itu tidak boleh.

Renung-renungkanlah siapa diri kita, hendak cakap besar dan mendabik dada seolah-olah kita tidak mati, seolah-olah kita tidak dihisab di akhirat, seolah-olah kita tidak ada azab kubur,tidak ada alam barzakh, tidak ada syurga neraka , tidak ada Siratal Mustaqim , tidak ada hari pembalasan dan hari perhitungan.

Semuga kita sangat mengambil pengajaran di atas sejarah silam yang telah Allah timpakan kepada Firaun yang mendabik dada mengaku "ana rabbukumul a'ala" aku Tuhan kamu yang tinggi. Akhirnya Allah musnahkan takhta kerajaannya dan dirinya dalam sekelip mata dengan begitu hina sekali.

Banyak lagi sejarah memaparkan kita betapa hinanya orang yang mencabar Allah dan Nabi juga Para Rasul seumpama kisah Namrud yang mempunyai tentera 700 ribu penunggang kuda yang lengkap dan handal.

Ia berkata kepada Nabi Ibrahim dengan bongkaknya "Hai Ibrahim, jika Tuhan mu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah kepadaku,untuk berperang dengan ku, jika sanggup ambiklah kerajaanku ini!!!"..

Maka Nabi Ibrahim berdoa dan munajat kepada Allah"Ya Ilahi, sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteraMu, maka kirimkanlah kepada mereka tentera daripada selemah-lemah makhlukMu iaitu nyamuk".

Ketika Namrud dan tenteranya berkumpul di padang yang luas ,Allah memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Lalu... keluarlah tentera nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit. MasyaAllah Maha hebatnya Allah.

Kemudian tentera nyamuk bertanya "Wahai Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan?". Allah berfirman"Aku (Allah) telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namrud".

Lalu tentera nyamuk menyerang tentera Namrud,menghisap semua darah mereka. Allah perintahkan tentera nyamuk tangguhkan penyeksaan pada Namrud supaya dia saksikan kehancuran tenteranya dan mahu bertaubat.Sempat Namrud pulang ke istananya.

Maka Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk membunuh Namrud. Nyamuk tersebut masuk ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya kemudian ia memakan otak Namrud selama 40 hari. Dengan seekor nyamuk sahaja, sudah huru hara dan lintang pukang Namrud. Menggelupur kesakitan yang teramat sangat.
 
Allah boleh lakukan apa sahaja kepada hamba-hambaNya yang mencabar kekuasaan dan keperkasaanNya. Maha pengasihnya Allah , Allah beri masa 3 hari supaya Namrud bertaubat sebelum perintahkan nyamuk menyeksa dan membunuh Namrud. 

Namun Namrud tetap sombong, angkuh, tidak mahu tunduk pada keagungan Allah.Maka matilah Namrud sebagai seorang kafir .

Marilah kita bertaubat di atas segala ketelanjuran kata-kata dan perbuatan kita selama ini. Sekiranya ada yang mencabar Allah, Rasul dan NabiNya juga para Auliyaa U'llah . 

Mudah-mudahan kita semua dalam rahmat Allah yang berpanjangan hingga ke alam baqa'..
Amin Ya Rabbal Aa'lamin.


 http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

No comments:

Post a Comment