web stats

Sunday 21 June 2015

Banyakkan niat di bulan Ramadhan


Banyakkan niat yang baik-baik dalam hidup ini terutama di bulan Ramadhan. Jika niat yang dihajatkan itu tidak tercapai, ganjaran di sisi Allah sudah dihitung. 



Sempena Ramadhan Al-Mubarak ini banyakkan taubat dan banyakkan muhasabah diri. (bertafakkur), mengenangkan dosa-dosa kita yang lepas, samada sengaja atau tidak, samada besar atau kecil, semuanya Allah akan ampunkan jika kita bersungguh-sungguh mohon keampunan kepada yang Maha Esa.



Di bulan Ramadhan inilah doa makbul terutama 10 malam terakhir. Malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan. Di malam Lailatul Qadar tidak tertolak segala munajat, hajat, taubat, rintihan dan permintaan kepada Tuhan yang Maha Agung.


Banyakkan niat sepanjang Ramadhan kerana Allah sangat Maha Mendengar akan apa sahaja yang terlintas di hati kita sepanjang Ramadhan. 



Semoga dengan niat-niat yang murni, khalis (ikhlas) niat yang baik-baik, Allah akan perkenankan. Amin.
Sayangnya Allah kepada kita hamba-hambaNya, di anugerahkan kita sebulan Ramadhan sebagai bulan untuk kita membersihkan hati nurani kita dari dosa dan noda.




Bulan Ramadhan bagaikan bulan hamba Allah over haul hatinya dari sifat nifaq dan sifat-sifat hati yang jahat dan tercela selama ini kepada sifat-sifat hati yang murni dan bersih.



Setahun sekali Ramadhan menjelma dan muncul bagaikan satu rahmat yang sangat besar kepada setiap insan.


Di bulan yang penuh berkat ini manusia diminta berubah dari jahat kepada baik, dari rakus kepada pemurah. Dari panas baran kepada sabar. Dari berperangai iblis ditukar kepada berhati malaikat.
Semoga Ramadhan kali ini memberi keberkatan yang sebenar-benarnya kepada kita sebagai hamba Allah.Dengan keberkatan itu layaklah kita meraih sifat taqwa dalam diri kita buat selama-lamanya.
Amin Ya Allah.




Bacalah Al Quran di bulan Ramadhan




Kalamullah (Al-Quran), Tuhan turunkan sebagai panduan kepada umat Nabi Muhammad SAW.Nabi Muhammad Nabi yang terakhir dan Nabi penutup bagi sekalian para Nabi dan Rasul.




Maka mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ialah Al-Quranul Karim. Allah wahyukan kepada Baginda Rasulullah SAW Kalamullah sebagai satu pengiktirafan Allah terhadap Baginda Rasul adalah Nabi akhir zaman yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan yang sangat hebat dengan adanya Al-Quran sebagai khazanah untuk Baginda Rasul kepada Umatnya.


Melalui Kitabullah inilah Baginda menyeru umatnya agar jadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup sepanjang zaman.Sesiapa yang merujuk Al-Quran dalam hidupnya, maka hidupnya akan terpimpin dan dalam rahmat Allah yang berpanjangan.

Al-Quran bukan diminta di simpan di rumah, di dalam almari, di rak-rak buku, di atas meja atau di mana sahaja akan tetapi ianya hendaklah dibaca, dihayati, ditadaruskan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia dari seribu bulan ini.


Besarnya pahala, ganjaran dan keberkatan membaca Al-Quran, lebih-lebih lagi di bulan puasa ini.Sesiapa yang menjadikan Al-Quran sebagai basahan bibirnya, teman hidupnya maka di dalam kubur nanti Al-Quran akan datang kepadanya, menemaninya dan meneranginya di dalam kubur.

Cahaya Al-Quran akan mencahayakan kuburnya.Kubur tidak gelap lagi, bahkan kubur akan terang benderang dengan cahaya Al-Quran. Tidak mahukah kubur kita bercahaya dengan cahaya Al-quranul Karim?.


Orang yang rajin membaca Al-Quran bahkan menghafal Al-Quran, sesungguhnya jasadnya tidak hancur.Allah pelihara sepertimana Allah pelihara Al-Quran. Bertuahnya, beruntungnya sesiapa diberi hidayah sepanjang Ramadhan ini ghairah dan kusyuk bertadarus, mengaji atau membaca Al-Quran.

Semuga di akhirat nanti Al-Quran akan menjadi saksi di hadapan Allah bahawa kita termasuk golongan orang-orang yang memuliakan Al-Quran dan mempraktikkan apa yang terkandung di dalamnya.

Dengan membaca Al-Quran hati akan tenang . 
Hati akan terhubung dengan Allah Taala.
Hati akan lunak, hati akan mendapat pimpinan dari Allah Taala.Hidup penuh dengan keberkatan dunia dan akhirat.

http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

(siri 2) Puasa hakiki takutkan Allah dan rindukan Rasulullah SAW



Betapa mulianya Nabi kita sehinggakan Allah kepilkan nama Baginda dalam syahadah.Tidak sah Islam dan iman seseorang jika mengucap dua kalimah syahadah tanpa menyebut nama Nabi besar junjungan Muhammad SAW.


Sebesar ini Allah angkat darjat Nabi kita yang mulia itu.Seistemewa ini Allah letakkan Nabi kita , tidakkah kita rasa bangga adanya seorang Nabi yang sehebat ini bersama kita selaku umatnya?.

Malangnya jika kita tidak rasa sayang, rindu, kasih kepada Nabi Muhammad SAW yang digelar habibullah (kekasih Allah) itu.
Dengan mengasihi, merindui, menyintai Nabi Habibullah ini kita juga akan mendapat sebesar-besar berkat, nikmat yakni akan memperolehi syafaat kubra dari Nabi kita.



Tidakkah kita teringin memperolehi syafaat kubra dari seorang Nabi yang Allah sangat sayang kepadanya itu?.
Dengan memperolehi syafaat kubra dari Nabi Muhammad SAW bererti jalan keselamatan untuk kita dunia dan akhirat.

Bodohlah jika kita sebagai umat Nabi Muhammad akan tetapi tidak mengharapkan keselamatan dari Baginda Rasul yang sangat mulia itu.

Amat ruginya bagi umat Nabi Muhammad di akhir zaman jika kita tidak mensyukuri nikmat punyai seorang Nabi yang sangat mulia dan penuh keberkatan ini.
Seluruh para nabi dan rasul pun amat mengharap syafaat kubra dari Nabi Junjungan besar Rasulullah SAW di akhirat kelak.
Betapa hebatnya Nabi akhir zaman ini. 



Melalui kebesaran dan kemulian Baginda Rasul inilah terciptanya alam ini dengan Nur Muhammad.Besarnya jasa baginda kepada kita selaku umatnya. Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah. Sesiapa yang menyintai dan merindui pesuruh Allah ini, maka dia juga akan dikasihi Allah.

Bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan daripada Allah ini, maka kita hendaklah sungguh-sungguh ambil keberkatannya dan dapat hati yang takutkan Allah.
Ini suatu tawaran daripada Allah. Kita kena ambil peluang tawaran ini dan kalau kita tidak ambil peduli akan tawaran istemewa ini, maka rugilah kita serugi-rugi makhluk di alam fana ini..

Kita kena taubat sungguh-sungguh dibulan Ramadhan ini.
Semoga dengan taubat nasuha ini, maka nanti Allah akan hadiahkan kita hati hamba sebenar-benar hamba dan hati yang takutkan Allah rindukan Rasulullah SAW.

Hanya Allah sahaja yang mampu menganugerahkan hati taqwa ini kepada hamba-hambaNya.. Menangislah bersungguh-sungguh semoga Allah akan ampunkan kita. Bangunlah di tengah malam hari dan bercakap-cakaplah dengan Raja segala Raja ini.

Tagihlah sebesar-besar keberkatan dan keampunan sepanjang sebulan Ramadhan yang berkat ini. Kita mesti ambil bulan Ramadhan ini untuk dapat rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.
Masalah kita ini sepatutnya membuatkan kita menangis dan tidak lena tidur malam mengenangkan betapa menggunungnya dosa-dosa kita kepada Allah dan RasulNya.

Mesti ada dosa yang menjadi hijab kiranya sepanjang Ramadhan ini kita tidak dapat merasakan secebis rasa takut kepada Allah yang Maha Perkasa itu.

Kita mesti taubat sungguh-sungguh jika hal ini berlaku .
Tidakkah kita takut akan kekuasaan Allah dan kehebatan Allah boleh lakukan apa sahaja terhadap kita yang amat kerdil ini?.
Oleh itu marilah kita memanggil-manggil Nabi kita dengan berselawat ke atasnya. 
Semoga berkat Nabi Muhammad SAW, kita akan dianugerahkan hati hamba sehamba-hambanya.

Amin Ya Allah.


http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

(siri 1) Puasa hakiki takutkan Allah dan rindukan Rasulullah SAW



Untuk memperolehi anugerah Allah ke dalam hati kita supaya dapat perasaan takutkan Allah dan rindukan Baginda Rasulullah,, kita mestilah berhempas pulas, bersungguh-sungguh menagih janji dari Tuhan itu. 

Sepatutnya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, bulan yang penuh keberkatan dan pengampunan Allah ini, kita manfaatkan sungguh-sungguh dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah. Berilah banyak masa untuk Allah dan Rasulullah SAW secukup-cukupnya.

Memperbanyakkan wirid zikir , bacaan Al Quran diganda-gandakan dari sebelumnya. Membaca ayat-ayat suci Al Quran (Kalamullah) ini dapat menambahkan taqwa kita kepada Allah Taala. Hati akan tenang ,lunak dan dimurnikan, disucikan, ditingkatkan dari tahap ke tahap yang Allah kehendaki..


Firman Allah Taala maksudnya,
" wahai orang-orang yang beriman maka berpuasa lah kamu seperti orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu akan menjadi orang yang bertaqwa".

Menurut ayat di atas dengan puasa yang dihayati lahir dan batinnya, kita diberi jaminan oleh Allah dapat menjadi orang yang bertaqwa.
Taqwa yang dimaksudkan di sini ialah hati yang dapat merasakan Tuhan Maha tinggi yakni rasa takutkan Allah dan rindukan Rasulullah SAW.



Hati yang rasa sentiasa diawasi oleh Allah.
Hati yang takut untuk durhaka kepada Allah.
Hati yang takut melakukan dosa dan maksiat kepada Allah.
Hati yang takut jika mati dalam suk'ul khaatimah.
Hati yang takut Allah murka kepadanya.

Hati yang sentiasa merindui baginda Nabi juga adalah Taqwa. Kenapa perlu kita rindukan Nabi?.
Nabi kita sangat sayang kepada kita.
Sebelum Nabi kita wafat, baginda menyebut ummati...
ummati... ummati...
Maknanya umatku... umatku... umatku....
Membuktikan Nabi sangat sayang kepada umatnya yakni kita.

Nabi merayu kepada Allah supaya sakit sakaratul maut sekalian umatnya biarlah Nabi tanggung,
akan tetapi Allah tidak dapat perkenankan hajat, hasrat dan permintaan Nabi in, kerana sakit waktu sakaratul maut adalah habuan setiap hamba,
bergantung kepada amalan baik buruk yang dilakukan.


Semua hamba Allah mesti merasa sakit sakaratul maut walaupun mereka beriman , tetap akan merasa sakitnya waktu sakaratul maut, cuma orang yang beriman Allah perintahkan malaikat maut mencabut nyawanya sehalus cabutan dengan penuh lemah lembut dan tertib.

Namun itu pun tetap akan merasa sakitnya sakaratul maut bagaikan tetakan 300 ratus mata pedang yang terkena kepada tubuh badan si hamba.

Cuba bayangkanlah jika malaikat maut mencabut nyawa si hamba dengan menyentaknya kerana banyaknya dosa dan kedurhakaan si hamba kepada Allah.

Aduh!.... azabnya.... 
Aduh!... sakitnya... 
Aduh!... pedihnya... 

Atas dasar itulah ada yang mati mata terbeliak dan macam-macam keadaan yang menyayat hati. 

Maka kita pun sepatutnya bertambah-tambah rindu dengan Nabi dan bercucuran air mata merindui akan Nabi kita yang banyak berkorban untuk umatnya. 

Rasulullah SAW kalau shalat sampai bengkak-bengkak kaki sebab merasakan dirinya adalah hamba kepada Tuhan.



Nabi rasa sangat bersyukur kepada Tuhan,walaupun baginda seorang Nabi namun tetap melakukan ibadah sehingga bengkak-bengkak kaki dan pecah-pecah lututnya kerana banyak bersujud dan sembahyang kepada Tuhannya . Hebatnya rasa kehambaan baginda.

Tidakkah kita rasa bangga bernabikan baginda Rasul?. Yang sangatlah taat kepada Allah dan yang sangatlah sayang dan kasih kepada umatnya?

Bersambung........

http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

Wahai Ramadhan engkau datang menyapa hati si hamba untuk rindukan Allah dan Rasulnya...






Wahai Ramadhan!...
Kemunculanmu adalah busyra bagi si hamba yang dahagakan kasih sayang Allah dan Rasulnya, kerana bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan dan bulan taubat diterima Allah.

Bulan Ramadhan juga adalah bulan doa makbul dan munajat si hamba diangkat ke langit oleh para malaikat untuk dipersembahkan ke Hadrat Allah Taala yang Maha Hebat lagi Maha Perkasa.

Ramadhan bulan yang membawa 1,000 rahmat kepada orang-orang yang bertaqwa.Ramadhan bulan kebahagiaan dan ketenangan bagi orang-orang mukmin, para muqarrabin arif billah.



Wahai Ramadhan!....
Kehadiranmu membawa sinar cahaya yang menerangi setiap hati insan yang ingin membaiki diri dan menyucikan hati nurani.Fitrah dikembalikan seperti asalnya di bulan yang berkat ini.

Semua insan berlumba-lumba membuat kebaikan di bulan ini.Bersedekah, beramal jariah, beramal ibadah, tadarus Al-Quran , shalat terawih, menghidupkan malam dengan amalan-amalan sunat serta banyakkan tafakkur, wirid zikir juga berselawat ke atas Nabi Junjungan mulia Rasulullah SAW.

Sungguh berkatnya bulanmu Ya Ramadhan. Terasa seluruh dunia akan kebesaran bulanmu. Merata penjuru seluruh umat Islam menyambut bulanmu Ya Ramadhan. Dunia meriah dengan hamba-hamba Allah yang sanggup haus dahaga lapar kerana Tuhannya yang Maha Pencipta.


Firman Allah Taala maksudnya,
 " Wahai orang-orang yang beriman,
telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu,
semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa".
(Surah Al-Baqarah ayat 183).

Ya Ramadhan.......
Bulanmu mendidik diri setiap insan amanah pada diri sendiri.Amanah tidak makan dan tidak minum walaupun manusia tidak nampak namun Allah Maha Melihat. 

Allah Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya, itu adalah sifat tauhid yang tinggi.Merasakan Allah Maha Mengetahui wujud dalam peribadi setiap umat Islam. 


Mereka mesti jujur dengan Allah, tidak curi-curi makan di dalam semak, di pondok-pondok buruk atau di mana sahaja tempat terpencil. Inilah kehebatan Ramadhan, boleh mendidik hati si hamba merasa sentiasa diawasi oleh Allah Taala setiap saat walau di mana berada.

Kejayaan bulanmu Ya Ramadhan dapat mendidik hati ke arah sifat-sifat terpuji.
Bulanmu bagaikan over haul bagi hati insan yang inginkan keselamatan dunia dan akhirat.

Semoga semuanya mendapat pimpinanMu Ya Allah .
Semoga Ramadhan kali ini benar-benar mampu meningkatkan roh si hamba ketahap yang Engkau kehendaki.

Amin Ya Allah.

http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

Wahai nafsu!...tunduklah engkau sempena Ramadhan








Dalam bulan Ramadhan syaitan, jin-jin yang jahat, iblis laknatullah dirantai Allah supaya jangan mengganggu hamba Allah yang berpuasa dan beramal ibadah sepanjang Ramadhan.

Sungguhpun begitu Allah membebaskan nafsu untuk menggoda sesiapa sahaja yang tidak takut kepada Allah.


Nafsu diizinkan Allah untuk memperkudakan sesiapa sahaja yang lalai , leka, cinta dunia, takut mati dan tidak meletakkan Allah dan Nabi SAW dalam hatinya.

Katakanlah kepada nafsumu"wahai nafsu , tunduklah engkau kepada Allah sempena Ramadhan Al-Mubarak juga untuk hari-hari seterusnya".



Semoga nafsu yang jahat menjadi jinak dan akur dengan Allah. Nafsu yang tidak dididik memang sangat rakus dan ganas.
Nafsu yang tidak tunduk kepada Allah tetap akan meruntun manusia melakukan dosa dan maksiat walaupun di bulan yang mulia ini.

Nafsu ammarah tetap akan menggoda umat manusia melakukan kedurhakaan kepada Allah walaupun di bulan Ramadhan jin, syaitan, iblis sudah dibelenggu .



Manusia tetap melakukan kejahatan yang dahsyat kerana ikutkan hawa nafsu yang matanya buta dan tidak kenal Allah , nafsu yang sombong, bongkak dan angkuh ini sedaya upaya akan mengheret manusia tidak membesarkan Ramadhan, sukar untuk berpuasa , pelbagai alasan jika dituntut berpuasa.

Keluarlah macam-macam penyakit kononnya perut tidak boleh lapar, tidak boleh kosong , ada gastrik, sakit dalam perut dan lain-lain lagi alasan yang diada-adakan oleh nafsu.

Licitnya nafsu yang tidak bersekolah akan tetapi mampu mempermainkan manusia yang bersekolah dan berpelajaran tinggi.
Bahkan manusia yang ditipunya kononnya lebih cerdik dari nafsu kerana ada degree.

Rupanya nafsu lagi cerdik dari manusia walaupun nafsu tidak ada degree. Nafsu yang jahat akan menggoda umat Islam kalau kamu berpuasa, berbuka nanti kamu makan sepuas-puasnya, Qada' yang tidak dapat makan seharian.

Akhirnya sibuk dengan makan minum terlajak waktu untuk shalat. Kembung perut penuh dengan makanan macam ular sawa
kekenyangan kerana baru lepas menelan seekor kambing atau manusia dan sebagainya.



Bila berbuka banyak sangat makan itu dan ini, akhirnya terlena sakan, terawih entah ke mana, shalat fardhu entah ke mana, lebih-lebih lagi mengaji tadarus pun terabai sama sekali.
Begitulah nafsu memainkan peranannya.

Diselekuh mana sekalipun nafsu akan terus menggoda umat Nabi Muhammad SAW kerana memang peranan nafsu ammarah mengajak manusia melakukan kejahatan.

Bagi mereka yang sudah mampu mengekang nafsunya ketahap yang terpuji maka bulan yang mulia ini sangatlah memberi keberuntungan yang besar kepada para solafussoleh dan para muqarrabin.



Nafsu peringkat nafsul mutmainnah ke atas adalah nafsu yang sudah kenal Allah , sudah jinak dan tenang. Nafsu yang boleh mengajak manusia berbuat baik dan taatkan Allah.
Nafsu inilah yang selamat dari terjun ke neraka Allah.Berbahagialah bagi mereka yang sudah dianugerahkan Allah nafsul mutmainnah.Selamat dunia dan akhirat.

Amin Ya Allah


http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

Ramadhan satu rahmat untuk orang-orang bertaqwa



Ramadhan bulan yang membawa berkat dan rahmat kepada orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.Dalam Ramadhan adanya ibadah puasa yang sangat Allah suka dan redha.

Apa itu puasa?.
Puasa ( bahasa Arabnya As saum).
Secara bahasanya diertikan (menahan diri).

Dari segi istilah syarak maksudnya (menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari berserta niat).


Hukum puasa bulan Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam yang sudah baligh.

Orang yang berpuasa juga mestilah menahan diri daripada menipu, mengumpat, mengeluarkan kata-kata jahat , berperangai buruk, bertindak dan bersikap tidak berfaedah atau sia-sia.
Juga tidak dibenarkan bergaduh, bertengkar, tuduh menuduh, fitnah  memfitnah, mengadu domba dan sebagainya.

Puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran,kejujuran , menyuburkan sifat-sifat mahmudah (terpuji) dalam diri setiap insan. Ianya sebagai suatu latihan untuk menyucikan diri dan hati sepanjang Ramadhan dan bulan-bulan seterusya.

Dalil wajib puasa Ramadhan,
Firman Allah SWT, "Wahai orang-orang yang beriman,telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa".
(Surah Al-Baqarah ayat 183)

Sabda Nabi SAW bermaksud "Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa kepadanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka juga dibelenggu segala syaitan....".
(Riwayat Ahmad , An Nasa'i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah).


Kerugian meninggalkan puasa Ramadhan.
Pahala berpuasa Ramadhan amatlah besar.
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja bukan sahaja berdosa besar bahkan sangat rugi besar seumur hidupnya. Keberkatan Ramadhan tidak diperolehi , ganjaran Ramadhan yang lebih baik dari 1000 bulan pun tidak dimiliki.
Memang rugi sebesar-besar kerugian .Rugi dunia akhirat.

Abu Umamah RA berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW,Ya Rasulullah . Tunjukkan daku satu amalan yang membolehkan daku masuk syurga dengan cara itu.
Lalu Rasulullah Saw bersabda "kamu hendaklah berpuasa kerana sesungguhnya tiada satu cara pun yang mampu menandinginya". (Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Hibban).


Wajib menggantikan puasa Ramadhan bagi yang membatalkan puasa Ramadhan kerana keuzuran yang dibenarkan syariat.


Firman Allah Taala yang bermaksud "Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir(bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang dibuka itu pada hari-hari lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya), membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa). Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu maka itu adalah satu kebaikan baginya dan walaupun demikian berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada membayar fidyah) kalau kamu mengetahui". (Surah Al-Baqarah ayat 184).


Semoga kita diberi kekuatan lahir batin mengerjakan amalan puasa sepanjang bulan Ramadhan .
Juga diberi kekuatan untuk menggandakan amal ibadah sepanjang bulan yang penuh berkat ini.

Amin Ya Allah.

http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

Tuesday 9 June 2015

PERINGATAN DARI ALLAH


Tuhan....
Apa yang Engkau lakukan kepada hamba-hambaMu walaupun nampak seperti tidak logik dan tidak patut, akan tetapi ianya sangat logik dan patut sebenarnya.

Tanpa rotan dariMu Wahai Tuhan...kami lalai daripada mengingatiMu.Kami semakin jauh dariMu.Semakin lupa padaMu.
Kadang-kadang Engkau merotan kami dengan kematian.Engkau matikan orang yang paling kami kasih dan paling akrab (rapat) dengan kami.Engkau ambil nyawa mereka secara tiba-tiba dengan apa cara yang Engkau kehendaki.

Dengan kematian orang tersayang membuatkan kami insaf dan berkata " Innalillahiwainnaailaihiraajiuun...
Sesungguhnya dari Allah kami datang dan kepada Allah jua kami dikembalikan".


Bijak sungguh, hebat sungguh rotan dariMu Wahai Tuhan Kami.
Rotan dariMu boleh memberi iman dan menebalkan tauhid terhadap hamba-hambaMu secara automatik kepadaMu yang Maha Agung.

Rotan dariMu akan membawa jutaan kemanfaatan dan kebaikan  kepada hamba-hambaMu yang faham akan hikmah disebalik mehnah yang Engkau ciptakan itu.



Rotan dariMu yang berupa mehnah atau ujian adalah penawar bagi hati yang berpenyakit seperti penyakit hubbuddunia (cinta dunia) atau penyakit tercela seperti kedekut, sombong, bangga diri, rasa mampu, rasa hebat diri, mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hal orang lain, pemarah, jahat sangka, malas beribadah, ujub,riak,takabbur dan seumpamanya.

Benarlah rotan dariMu boleh menghidupkan hati yang hampir mati atau sudah mati.
Rotan dariMu boleh menajamkan hati yang telah tumpul dan berkarat.
Rotan dariMu boleh mencelikkan hati yang sudah buta.
Rotan dariMu boleh meriahkan hati yang telah lama jumud, kaku dan beku.




Rotan dariMu menyinarkan hati yang telah gelap gelita dari cahaya iman dan taqwa.
Rotan dariMu membuatkan hati kami dicahayakan oleh cahaya Nur Muhammad yang sungguh bercahaya itu.

Oleh itu ketahuilah wahai umat manusia seluruhnya, sesungguhnya rotan dari Allah sangat perlu dan semestinya kita perolehi, kerana itulah tanda Allah beri perhatian dan kasih kepada kita selaku hambaNya
.
Tanpa rotan dari Allah kita akan rasa Tuan dari Tuan alam ini yakni Allah Taala.Tanpa rotan dari Allah kita rasa hidup ini bagaikan menongkat langit yang tiada hujungnya.
Sedangkan kita semua akan mati, akan kembali kepangkuan Ilahi apabila sudah sampai ajal menjelma.Tidak dilewatkan sesaat dan tidak diawalkan sesaat jua.

Rotan dari Allah akan mengembalikan fitrah semula jadi seorang hamba.Hamba tetaplah hamba walau apa keadaan sekali pun.Hikmah rotan dari Allah si hamba akan kenal dirinya sebagai hamba kepada Tuhan yang Maha Pencipta.


http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

KUATKAN IMAN KENTALKAN JIWA.

 
Wahai Allah....
Tolonglah pelihara hati kami ini
Agar tidak syirik kepadaMu.

Wahai Allah...
Tolonglah genggam hati kami ini
Agar tetap berdiri teguh di atas agamaMu yakni Islam.

Wahai Allah....
Tolonglah jaga hati kami ini, agar tidak nampak kesalahan orang lain, sedangkan kesalahan kami amat terlalu banyak di sisiMu.




Wahai Allah...
Tolonglah.... sucikanlah hati kami daripada merasakan diri kami sudah selamat dari azab api nerakaMu, sedangkan mazmumah kami masih tahap tertinggi di sisiMu.

Wahai Allah...
Tolonglah bersihkan hati kami dari ciri-ciri orang munafiq yang lidahnya bercabang dan ibarat talam dua muka, lain depan lain pula di belakang,lain dalam hati, lain pula lidah bertutur kata.

Wahai Allah...
Tolonglah bantu kami bermujahadah melawan nafsu liar kami ini , nafsu yang masih tahap Ammarah ini agar ditingkatkan nafsu kami ke tahap nafsul Mutmainnah dan seterusnya.



Wahai Allah....
Tolonglah kami agar sentiasa berbaik sangka denganMu dalam apa saja ujian dariMu untuk kami yang amat kerdil lagi amat lemah ini.

Wahai Allah....
Anugerahkanlah kami hati yang sentiasa bersyukur dan hati yang tahu berterima kasih kepadaMu di atas segala nikmat dariMu

Wahai Allah....
Matikanlah kami dalam redhaMu dengan mati dalam husnul khaatimah bukan mati dalam kekufuran.
Wal'iyazubillahimin zaalik.

Wahai Allah...
Tolonglah.... izinkanlah kami hidup dan mati dalam iman dan Islam.

Wahai Ramadhan Engkau Datang Lagi




Wahai Ramadhan... 
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!... 

Kedatanganmu Ya Ramadhan sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia .
Manusia yang cintakan Allah dan Rasul sangat gembira dengan kedatanganmu Ya Ramadhan.
Wahai Ramadhan ...
Engkau bulan yang sangat berkat dari 1000 bulan.
Engkau bulan yang membawa cahaya iman dan taqwa kepada insan.




Wahai Ramadhan..
Muncullah engkau dengan penuh gembira, kerana kehadiranmu akan disambut dengan meriah oleh seluruh para muttaqin, para muqarrabin ,para solihin,para mukminin juga para muslimin dan muslimat yang ada Allah dan Rasul dalam hati mereka.



Wahai Ramadhan..
Semuga kedatanganmu pada kali ini benar-benar dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam,kerana kedatanganmu hanya setahun sekali.
Kedatanganmu membawa rahmat,
membawa keberkatan,
membawa cahaya yang gilang gemilang kepada semua insan yang tahu akan hakikat bulan Ramadhan dan keistemewaannya.



Wahai Ramdhan yang ditunggu-tunggu!...
Muncullah, tibalah, hadirlah...
Ya Ramadhan.... dengan penuh gemilang di tahun ini.
Semuga aku juga sekalian umat Islam benar-benar ikhlas menyambut kehadiranmuYa Ramadhan...



Ku ucapkan Marhaban Ya Ramadhan,
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.
Hadirlah Ya Ramadhan dengan penuh syahdu buat seluruh umat Islam yang cintakan Tuhan dan rindukan Nabi Muhammad SAW.





Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam sejagat. Semoga Ramadhan kali ini memberi erti yang mendalam kepada setiap peribadi,untuk mengubah diri dan hati ke arah menjadi mukmin sejati.

Amin Ya Allah




http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html