web stats

Wednesday 2 April 2014

PEPERANGAN UHUD DALAM SEJARAH ISLAM..










Wahai Uhud....

Terkenal namamu dalam sejarah Islam,
Peperangan Uhud adalah peperangan yang sungguh menyayat hati dan terlalu banyak iktibar untuk direnungkan.

Bila dikenang dan terbayang di sudut hati, pilu rasanya apabila Baginda Rasulullah SAW nyaris-nyaris terbunuh di waktu itu. Terjatuh dalam lubang hingga patah gigi. Dalam masa yang sama bagaikan kilat yang bertali arus anak-anak panah dihalakan ke arah Nabi yang mulia itu.

Semuanya angkara kafir Quraisy yang cuba membunuh Nabi. Datanglah para sahabat menerpa belakang Nabi. Memeluk badan Nabi SAW dari belakang. Ditahan badannya dari hentaman anak-anak panah, agar selamatlah Nabi dari tikaman tombak-tombak yang tajam dan beracun itu.

Wahai Abu Dhujannah... 

Pilunya hatiku mengenangkan sejarahmu bersama Nabi Habibullah itu. Dikatakan dalam sejarah anak-anak panah melekat dengan begitu banyaknya di belakang tubuhmu. Bagaikan duri-duri Landak banyaknya. Di waktu itu tubuh Baginda Rasul dapat engkau selamatkan dari terkena panahan musuh.

Wahai Abu Dhujannah... 
Engkau sanggup berkorban nyawa bahkan sanggup terkorban , demi cintamu kepada seorang Nabi.
Luhurnya hatimu wahai Abu Dhujannah. Sejarah hitam Umat Islam ini tetap menjadi kenangan dalam sejarah Islam.

Ini semua berlaku kerana tentera Islam tidak taat pada arahan Nabi di waktu itu. Tentera pemanah tidak dibenarkan turun dari atas bukit Gunung Uhud , Namun arahan Nabi diabaikan kerana cinta dunia mula berbunga, di hati tentera Islam khususnya tentera pemanah.

Di saat itulah pihak musuh mengambil peluang mengepung dan menyerang tentera Islam dari segenap penjuru.Maka suasana menjadi huru hara dan tidak stabil lagi. Gawat sekali barisan tentera Islam di waktu itu.


Dalam waktu itulah Baginda Rasul berada dalam ancaman yang amat sengit. Tombak dan anak-anak panah musuh menhujani Baginda Rasul. Ini semua berlaku kerana tentera muslimin terpikat dengan harta ghanimah di bawah sana.

Dengan pantas Ummu Nusaibah srikandi Islam terbilang, menahan anak-anak panah dari terpacak ke tubuh Nabi.Ummu Nusaibah berjaya menyelamatkan Baginda Nabi dari tikaman anak-anak panah yang beracun itu.


 Akan tetapi malang tidak berbau,Ummu Nusaibah terkena panahan anak-anak panah di bahunya. Rasa bisa racun kesan anak-anak panah di bahunya seumur hidup ditanggung olehnya. Ya Allah...hebatnya pengorbanan srikandi Mu ini. Sanggup mati demi cintanya kepada seorang Nabi.

Uhud oh Uhud. Walaupun sejarah ini sungguh getir dan pahit untuk dikenang, namun sejarahmu banyak memberi iktibar kepada Umat Islam sedunia agar jangan cinta dunia dan taat pada pemimpin utama adalah sumber turunnya bantuan Allah juga sumber keberkatan.

Wahai Uhud..
Apa pun terjadi, engkau tetap bertuah kerana Nabi yang mulia pernah menjejakkan kakinya ke atasmu.... 

Wahai Uhud...
Semuga Uhud tetap gagah dalam sejarah Islam dan hingga kini Uhud tetap dalam kenangan. Terletaknya gunung Uhud di Madinah Al-Munawwarah. Tersergam indah engkau Uhud hingga ke hari ini.

Sejarah tetap menjadi saksi engkau wahai Uhud, kerana dikau pernah meraeikan Nabi dan malu pada Nabi.
Hebatnya engkau wahai Uhud.
Semoga ianya menjadi iktibar pada seisi alam fana ini.



No comments:

Post a Comment