web stats

Sunday 13 April 2014

Nikmat Iman Dan Islam






Semoga sedikit sebanyak Tuhan mencatit ganjaran yang baik kepada kita yang berusaha menambahkan ilmu Islam melalui bicarahati ku untuk mu yang dipaparkan.

Banyaknya nikmat Tuhan anugerahkan kepada kita selaku hamba-hambaNya. Walaupun kita durhaka padaNya namun nikmat terus menerus Tuhan beri pada kita.

Maha Baik dan Maha Pemurahnya Tuhan kepada kita.Nikmat yang paling besar Tuhan kurniakan kepada kita ialah nikmat iman dan Islam. Ianya lebih besar dari nikmat oksigen turun naik nafas yang Allah kurniakan kepada semua makhluk di dunia ini.

Kerana nikmat iman dan Islam yang akan menyelamatkan kita semua dari seksaan api neraka Allah di akhirat kelak. Dengan nikmat iman dan Islam kita diakui Allah selaku hamba-hambaNya yang diredhai dunia dan akhirat. 

Tanpa redha Allah malanglah nasib kita dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak. 

Bersyukurnya kita kepada Allah kerana lahir-lahir sahaja ke dunia ini, kita tidak dilahirkan dalam agama lain selain dari Islam yakni bukan lahirnya sebagai seorang kafir. 

Pernahkah kita merenung sejenak akan nikmat iman dan Islam yang Allah anugerahkan kepada kita sejak azali lagi?. Jika pernah Alhamdulillah. 

Jika tidak terfikir maka mulai saat ini marilah kita berfikir dengan mata hati, bahawa bertuahnya kita , lahir-lahir sahaja ke dunia ini, ayah kita azankan dan iqamahkan kita . 

Maka selamatlah kita dari menjadi penganut agama lain selain Islam.
Terselamatlah kita dari jadi Yahudi, Nasrani, Majusi, Israel dan lain-lain bangsa yang sesat lagi menyesatkan itu. Lahir-lahir sahaja kita dikenalkan Allah... Tuhan kita, Nabi Muhammad pesuruh Allah. 

Kita dididik oleh guru-guru kita, di bimbing oleh ibu ayah kita supaya sembahlah Allah Tuhan yang Maha Esa.

Syukurnya kita tidak dilahirkan ke dunia ini menjadi penyembah berhala, penyembah matahari, bulan bintang, penyembah patung-patung, penyembah salib, penyembah lain-lain selain menyembah Allah yang Maha Segala Maha itu.

Takutlah kita dari kekufuran kerana kekufuran itu membinasakan kita dunia akhirat. Nikmat yang besar seperti iman dan Islam Allah anugerahkan pada kita dan keturunan kita.Besarnya nikmat ini yang wajib sangat-sangat disyukuri.

Nikmat banyak dari Allah.Macam-macam nikmat sebenarnya. Jika kita hendak kira dan hitung nikmat Allah, pasti tidak mampu mengira dan menghitungnya.

Nikmat tubuh badan kita pun tidak terhingga.Nikmat mata yang boleh melihat, nikmat telinga yang boleh mendengar, nikmat hidung yang boleh mencium bau busuk atau wangi, nikmat buang air besar atau kecil, nikmat boleh bernafas turun naik, nikmat boleh makan minum, nikmat boleh tidur, nikmat akal boleh berfikir dengan waras,nikmat ada kaki boleh berjalan ke sana ke sini dan berjuta-juta nikmat lagi yang kita perolehi. 

Bila hilang nikmat baru kita rasa betapa besarnya nikmat.Mata boleh melihat bila Allah tarik nikmatnya kita jadi buta, baru kita terasa betapa indahnya ada mata yang boleh melihat..

Nikmat berkata-kata, apabila Tuhan tarik jadi bisu, baru kita rasa betapa nikmatnya boleh bercakap dan berkata-kata. Nikmat ada telinga jika Tuhan tarik jadi pekak, baru kita terasa betapa nikmatnya boleh mendengar.

Nafas boleh tarik atas ke bawah, boleh hembuskan nafas sepanjang hari sepanjang umur kita itu juga nikmat yang amat besar dari Allah. Namun nikmat yang lagi besar dari bernafas ialah nikmat iman dan Islam.

Jika kita dalam iman dan Islam maknanya kita dalam rahmat Allah. Marilah kita berterima kasih kepada Allah akan nikmat-nikmat ini. 

Nikmat iman dan Islamlah yang akan membawa kita ke syurga Allah.Syurga yang kekal lagi abadi. Di dalam syurgalah tempat rehat kita yang sebenar-benarnya. Dalam syurgalah tempat kebahagiaan kita yang hakiki .

Di dunia ini hanya tempat ujian dan mehnah dari Allah. Lulus ujian dari Allah maka besarlah ganjarannya di sisi Allah. Semuga kita semua menjadi hamba Allah yang sabar dan tabah dengan segala ujian dari Allah.

Disebalik kepahitan ujian ada kemanisan yang sedia menanti di hari kemudian.

InsyaAllah.Tuhan tidak pernah memungkiri janji-janjiNya.Setiap yang sabar dan redha dengan mehnah dari Allah pasti akan diadili seadil-adilnya. 

Semoga kita termasuk golongan hamba yang diadili dengan kebaikan yang melimpah ruah di hari kemudian. 

Amin Ya Rabbal a'lamin.

No comments:

Post a Comment