web stats

Thursday 28 August 2014

KEMERDEKAAN YANG HAKIKI


31 Ogos 2014 genaplah kemerdekaan negara Malaysia tercinta yang ke 57

Alhamdulillah ...
Terima kasih Tuhan atas nikmat dan anugerah ini. 
Baiknya Engkau wahai Tuhan kami...., 
kerana telah memberikan kemerdekaan, keamanan, ketenteraman kepada negara tercinta kami yakni bumi Malaysia. 

Tanpa keizinanMu Ya Allah, kami tidak dapat menikmati kemerdekaan dan keamanan di negara kami ini.Maha Baiknya Engkau wahai Tuhan kami yang telah merdekakan tanah air kami daripada dijajah oleh penjajah. 

Sesungguhnya kami amat terasa betapa besarnya nikmat keamanan dan kemerdekaan yang Engkau telah kurniakan kepada kami rakyat Malaysia ini. 

 Apa pun Ya Allah kami difahamkan bahawa kemerdekaan tanah air tidak cukup untuk menyelamatkan kami daripada kemurkaanMu Ya Allah. 

 Kami mesti berusaha memerdekakan hati kami daripada cinta dunia dan daripada memiliki sifat-sifat terkeji (mazmumah). 


Jika hati kami masih memburu dunia yang menipu ini, ertinya kami gagal dalam memerdekakan diri dan hati kami dengan erti kata kemerdekaan yang sebenarnya di sisiMu wahai Tuhan kami. 

Tetaplah kami mendapat kemurkaanMu sekiranya kami kembali kepangkuanMu kelak. Tetaplah kami akan dihumbankan ke dalam neraka jahanamMu nanti, walaupun kami berada dalam negara Malaysia yang sudah merdeka. 

Kemerdekaan diri daripada azabMu di alam sana sebenarnya kemerdekaan yang hakiki.Kemerdekaan hati daripada sifat-sifat jahat seperti tamak, hasad dengki, buruk sangka, fitnah dan mengadu domba, kedekut, pemarah,suka zalimi sesama insan dan lain-lain lagi sifat yang terkeji. 

 Kemerdekaan yang hakiki ialah merdekakan hati atau diri daripada cinta dunia bahkan menncintai alam akhirat lebih dari alam yang fana ini. 

 Samalah seperti sabda Baginda Nabi kepada para sahabat yang menang dalam peperangan Badar.Baginda khabarkan kepada para sahabat bahawa jihad yang paling besar daripada jihad dalam peperangan Badar ialah jihad memerangi hawa nafsu. 

Maknanya walaupun kaum muslimin sudah bergembira dengan kemenangan dalam peperangan Badar namun ada lagi satu peperangan yang mesti diperjuangkan, yakni perjuangan memerangi kejahatan, kerakusan hawa nafsu. Itulah jihad yang sebenar menurut Allah dan Rasul. 

Samalah juga dengan kemerdekaan negara daripada penjajah, kita sudah merdeka sepenuhnya daripada dikuasai oleh musuh menawan negara kita, namun apakah kita sudah merdeka daripada cinta dunia dan sifat-sifat terkeji dalam hati sanubari kita?. Jika belum maknanya kita masih belum merdeka sebenarnya. 


Merdeka lahiriah tetapi batiniah kita masih belum merdeka,masih dibelenggu oleh kejahatan nafsu dan sifat-sifat terkeji. Oleh itu marilah kita berusaha sungguh-sungguh merdekakan hati dan roh (jiwa) kita ke arah kemerdekaan yang hakiki. 

Semoga dunia akhirat kita memperolehi keberuntungan yang berganda-ganda dan melimpah ruah di dalam Syurga Allah.InsyaAllah. Mudah-mudahan dengan rahmat Allah kita dilayakkan menduduki Syurga Allah yang penuh nikmat selama-lamanya. 

Semoga Allah redha dan pimpin hati nurani kita menjadi hamba-hambaNya yang benar-benar merdeka lahir dan batin. Amin Ya Allah.




http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

No comments:

Post a Comment