web stats

Tuesday 30 December 2014

PELIHARALAH PERASAAN HATI SEORANG IBU


Hati seorang ibu sangat sensitif, jika si anak yang disayanginya melukakannya dan tidak ambil berat tentangnya.
Hati seorang ibu sangat tabah dengan apa sahaja ujian hidup, namun hati seorang ibu sangat kalah dan lemah bila berhadapan dengan perangai dan kerenah anak-anak kesayangannya.



Ibu sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan seorang anak,walaupun nyawanya sebagai tebusan.
Namun sebaliknya seorang anak tidak mampu menggadaikan hidupnya terhadap pengorbanan seorang ibu.
Inilah sifat dunia akhir zaman.

Hati dan perasaan ibu tidak dihiraukan sangat oleh si anak , yang penting si anak rasa puas melontarkan kata-kata lukanya pada hati seorang ibu.Ibu dijadikan tempat si anak melepaskan tension dan tekanan hidup.Begitulah dunia akhir zaman yang sifatnya penuh kedurhakaan si anak terhadap si ibu.


Sudah bersalah dan berdosa dengan si ibu yang sudah lanjut usianya, tidak rasa bersalah dan berdosa pula.Tidak pandai memohon maaf dan minta redha dari si ibu.Dibiarkan dosa dan kesilapannya berlalu begitu sahaja.Akhirnya si ibu yang sudah lanjut usia dijemput Allah, barulah si anak menyesal yang tiada gunanya lagi.

Si ibu sudah pergi menemui Tuhannya yang Maha Agung.
Begitulah sedikit sinopsis cerita bagi untuk menyedarkan si anak yang masih punyai seorang ibu di dunia ini.

Hargailah hati seorang ibu.Jagalah hati dan perasaan seorang ibu.Peliharalah lidahmu wahai si Anak......jangan celupar mulutmu dengan ibumu.Jagalah raut wajahmu selalu.....jangan melukakan hati dan perasaan seorang ibu dengan wajahmu yang kusam, masam, tidak indah dipandang oleh mata seorang ibu.




Belailah ibumu dengan kasih sayangmu,wahai si anak, 
sementara ibumu masih ada di hadapan matamu.
Berilah ciuman kasih seorang anak terhadap seorang ibu, sementara ibumu belum kaku sejuk tubuh badannya di hadapanmu.

Semuanya akan berakhir sekiranya Tuhan lebih menyayangi ibumu.Tebuslah dosa-dosamu ....wahai si anak, sementara ibumu masih ada nyawa dan masih segar di hadapanmu.

Menyesal dahulu berpendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi.Terlajak perahu masih boleh diundur, terlajak perbuatan dan kata-katamu terhadap ibumu..... wahai si anak, kamu akan menyesal seumur hidupmu.Renungilah kata-kata hikmahku ini kepada kamu .

Bagi si anak yang ibunya sudah kembali ke Hadrat Allah Taala,hadiahkanlah wirid zikir, doa munajat, Al-Faatihah dan bacaan Al-Quran semoga ibu kalian mendapat rahmat dari Allah di alam sana.Boleh juga buat amal jariah dan bersedekah atau sebarang kebajikan niat pahalanya untuk si ibu.Itulah cara untuk membalasi kebaikan dan pengorbanan si ibu terhadap si anak. 


Wahai sekalian insan yang bergelar seorang "ANAK"....
Ibumu adalah permata hatimu, jangan permata hati ini kamu abaikan.Kelak dirimu akan rugi selama-lamanya.
Rugi dunia dan di akhirat.

Mohonlah restu dan redha dari ibumu , sebelum ibumu memejamkan matanya yang terakhir buat selama-lamanya.......

No comments:

Post a Comment