web stats

Thursday 4 December 2014

MENYESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA LAGI.


Waktu sihat,waktu orang yang disayangi ada di sisi, waktu rezeki murah apa yang dihajati dipenuhi, waktu rumah tersergam indah di hadapan mata, waktu kereta yang menjalar dimiliki, waktu oksigen masih Tuhan pinjamkan, waktu hayat masih dikandung badan....masing-masing mendabik dada seolah-olah dunia ini "ana yang punya".

Kita lupa bahawa semua kesenangan dan nikmat di atas semuanya adalah sementara waktu sahaja, sampai ajal tiba segalanya kita tinggalkan .Bila dah jadi mayat, kaku tubuh badan, sejuk kaki tangan dan keras semua anggota,di waktu itu baru kita tahu betapa tinggi rendah langit ciptaan Allah.

Menyesal, menangis, meraung tidak guna lagi.Semuanya sudah terlambat ibarat nasi sudah menjadi bubur.

Di waktu ini tiada siapa yang boleh membantu kita.Diri sendiri pun tidak boleh lakukan apa-apa lagi kepada diri.Bila dah jadi mayat yang kaku beku,mandi pun kena orang lain tolong mandikan, kafankan pun kena orang lain tolong kafankan, shalat jenazah pun kena orang lain tolong shalatkan, apatah lagi kebumikan jenazah kena orang lain juga tolong kebumikan kita waktu itu.

Semua orang uruskan,empunya diri tidak mampu lakukan apa pun walaupun kita banyak duit, harta menimbun, wang-wang simpanan di bank melimpah ruah, tanah beribu-ribu ekar banyaknya, binatang ternakan beratus-ratus ekor banyaknya, ladang kelapa sawit atau kebun-kebun buah-buahan tidak terhitung banyaknya, semuanya tidak boleh membantu kita lagi di waktu itu.

Apa yang boleh membantu kita di waktu begini?.Anak yang soleh dan solehah yang mendoakan kita, ilmu yang bermanfaat yang wariskan, amal jariah waktu kita hidup yang dimanfaatkan juga amal ibadah yang sebenar-benar ikhlas kerana Allah.

Masuklah kita ke alam barzakh tanpa ditemani oleh sesiapa walaupun isteri atau suami tercinta.Tinggallah semua yang disayangi dan sanak saudara.

Siapa yang boleh menyelamatkan kita di waktu ini?.Lebih-lebih lagi di padang Mahsyar kelak?.Hanya Baginda Rasulullah sahaja tempat kita memohon syafaatnya.

persoalannya ....apakah Nabi Muhammad kenal kita selaku umatnya,jika kita tidak pernah menyayanginya, mencintainya, memperjuangkan sunnahnya?.

Berselawat ke atas Baginda pun kita kedekut, macamana Nabi mahu mengaku kita umatnya?.
Di waktu inilah baru kita rasa menyesal kerana tidak pernah rasa bangga adanya Nabi sewaktu di dunia.Tidak pernah rasa bertuahnya ada Nabi Muhammad yang sangat mencintai kita selaku umatnya.



Kaum keluarga sanak saudara tidak mampu menolong kita, masing-masing nafsi-nafsi, hanya Baginda Nabi sahaja yang boleh tolong kita di waktu begini.
Sebab itulah kita kena cinta Nabi sepanjang hayat kita.Hanya Baginda Nabilah yang akan tolong kita di hari penyesalan nanti.

Kita duduk di bumi Allah ini jangan lawan Allah, janganlah berlagak sombong dengan Nabi. Lawan Allah itu maknanya tidak mahu akur dan taat kepada titah perintah Allah.

Allah kata siapa yang tidak suka dengan hukum-hakamKu, siapa yang tidak sabar dengan ujian dan mehnah dariKu, siapa yang tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat dariKu....sila keluar dari bumiKu, cari bumi lain selain dari bumiKu....

Allah!....bumi mana kita hendak cari?.Bukankah bumi ini Allah yang punya?.Kita pun Allah yang punya.Semua yang kita miliki pun Allah punya.Kita tidak ada apa-apa, semuanya Allah yang punya.

Lawan Nabi pula ertinya menolak apa yang Nabi perjuangkan. Menolak sunnah Nabi, menolak apa yang Nabi bawa.Bukankah Nabi Muhammad itu utusan Allah?.Bukankah pemegang kunci syurga itu adalah Nabi Muhammad SAW?.
Oleh itu janganlah kita berlagak sombong dengan Nabi, jika kita mahu menduduki syurga Allah.Dalam neraka azab, lapar haus sakit,susah dan menderita yang berpanjangan.Mampukah kita menghadapinya?.

Manakala di alam barzakh pula kita akan disoal siasat oleh pertanyaan Malaikat Mungkar Nakir.Jika tiada amalan di dunia, kita akan gagal menjawab soalan daripada Malaikat Mungkar Nakir, yang menjawab soalan nanti bukan mulut kita, bukan lidah kita, kerana semua sudah dikunci oleh Allah.

Amal ibadah dan kebaikan yang kita lakukan di dunia dahulu yang akan menolong kita, yang akan menjawab soalan bagi pihak kita. Di dunia tidak boleh jawab soalan peperiksaan masih selamat, cuma tidak lulus periksa sahaja, akan tetapi di alam barzakh tidak dapat jawab soalan akan diseksa oleh Malaikat mungkar Nakir, dipukul dengan tongkatnya masuk ke dasar bumi bahkan jika pukulan tersebut terkena gunung Uhud pun akan hancur lebur.Betapa dahsyat dan ngerinya pukulan dari Mungkar Nakir.

Begitu azab dan gerunnya seksaan di alam barzakh, alam kubur.Bahkan Baginda Nabi pun minta dijauhkan dirinya dari azab kubur, sedangkan Nabi itu maksum.Siapa kita, jika masih tidak takut dan gerun dengan azab kubur?.oleh itu marilah kita bertaubat sungguh-sungguh agar kita dihindari dan dijauhkan daripada azab kubur.

AMIN YA ALLAH.



No comments:

Post a Comment