web stats

Wednesday 31 December 2014

MALAM CINTA RASUL 2015




Alhamdulillah...segala puja dan puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.Selawat dan salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dengan ucapan "Allahumma solli'ala Sayyidina wa Maulaana Muhammad, Wa'ala aa'lihi wasobbihi wasallam".

"Berkat Selawat Malaysia Selamat".

Alhamdulillah... sungguh bergema Kalimah Toyyibah  dan selawat Nabi dikumandangkan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada hari Rabu malam Khamis bersamaan akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015 Masihi..

MasyaAllah....terharunya hatiku ini menyaksikan Malam Cinta Rasul yang dilangsungkan di Dataran Merdeka tersebut.
Maha Besar Allah atas apa yang terjadi (musibah banjir besar), sehinggakan kerana itu manusia menyerah diri padaMu Ya Allah.


Lagu Taubat (Ilaahilas tulilfirdausi ahlaaa......) dikumandangkan beramai-ramai dengan penuh syahdu, dengan alunan suara yang rasa berdosa dan bersalah pada Allah.Terasa suasana Islam telah menerjah ke hati sanubari umat Islam Malaysia tercinta.

Doa juga dipanjatkan ke Hadrat Allah Taala, agar Allah pulihkan bencana alam berupa banjir besar bagaikan Tsunami jadinya.
Bah atau banjir besar yang mengganas merempuh melanda Pantai Timur dan bumi Malaysia dengan begitu dahsyat sekali.Dikatakan banjir terburuk pada tahun ini.

Tentulah Nabi Roh, Nabi Akhir Zaman terharu dan terhibur melihat umatnya sudah mula dekat hatinya dengan Allah dan sudah mula merindui dan menyintai Nabinya.

Melalui program Selawat Perdana ini,rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam semakin bersatu hati dan berkasih sayang.Malam Cinta Rasul 2015 dihadiri seramai 200,000 orang membanjiri dataran Merdeka Kuala Lumpur. 
Dimeriahkan lagi Malam tersebut dengan paluan kompang yang sungguh menghiburkan.

Ya Nur Muhammad...
Engkaulah pemilik Syafaat Kubra di Yaumul Mahsyar kelak.Anugerahkanlah kami Syafaatmu itu Ya Rasulallah SAW.





Ya Alllah...Ya Rasulallah SAW....
Dengan bersatunya hambaMu ini Ya Allah, dengan berpadunya umatmu ini Ya Rasulallah SAW, maka tolonglah, angkatlah bala bencana yang menimpa bumi ini, khususnya bumi Malaysia tercinta.

Ya Allah Ya Rasulallah SAW...
Berkatilah bumi Malaysia khususnya dan amnya seluruh dunia.Jauhilah segala mala petaka yang sangat menggerunkan kami.

Ya Allah janganlah Engkau goncang dan hancur musnahkan bumi ini hingga kami lari bertempiaran ke atas-atas bukit dan gunung-ganang, sedangkan larinya kami tidak juga kami selamat, jika Engkau tidak pelihara kami yang kerdil ini.

Ya Allah atas nama NabiMu...Rasulullah SAW,
Berkatilah bumi Malaysia dan bumiMu seluruh dunia.
Sesungguhnya keampunan dariMu yang kami dambakan.

Malam Cinta Rasul benar-benar menggamit hati seluruh kaum Muslimin, agar berusaha untuk merebut rasa cinta serta takut Allah dan rindu Nabi.Malam tersebut terasa sungguh bahawa Allah diAgungkan,diTinggikan,diEsakan dan diBesarkan.

Nabi pula dimuliakan, dipuji, dan dicintai.Selama ini kita menyambut tahun baru mengikut kalendar Masihi dengan program-program yang amat menghina Allah dan Baginda Rasulullah SAW.

Apa tidaknya, dalam program sebelum ini berlakunya perlanggaran syariat , pergaulan bebas antara pemuda pemudi yang tiada batasannya, lebih Barat dari Barat, bahkan ada yang tersasar hingga berlakunya perbuatan-perbuatan terkutuk dan sebagainya. 

Alhamdulillah...disebalik mehnah dan musibah banjir besar Tsunami ini, rupanya penuh dengan rahmat dari Allah, walaupun kita lihat secara zahirnya negatif, akan tetapi disebalik musibah terkandung di dalamnya jutaan rahmat dan hikmah.

Suasana Syiar Islam mula terasa bahangnya, apabila ujian besar Allah timpakan.Ianya telah mengajak rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam,bermuhasabah, bertafakkur,bertaubat di atas dosa-dosa .

Majlis taubat dengan kata-kata mohon keampunan dari Allah "Tubnailallah" sungguh menghancur luluhkan hati bagi yang hatinya tidak buta dan hidup.Kita mengharapkan pengampunan Allah dan bertaubat. 

Kalau sebelum ini di "Ambang Tahun Baru" disambut dengan nyayian Rock dan lain-lain lagi yang menyebabkan terloncat-loncat, terjerit-jerit, terkinja-kinja sana sini dengan hiburan yang melampau batas, akan tetapi Alhamdulillah pada akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015 Masihi, disambut dengan penuh keberkatan dan keinsafan.Harap Allah nilai sebagai ibadah.

Semoga awal tahun 2015 ini dirahmati Allah kerana program sambutannya sangat Islamik, penuh dengan amal ibadah seperti shalat Insyak berjamaah,shalat hajat beramai-ramai, zikir-zikir, selawat-selawat ,qasidah munajat, bacaan doa, taubat, nasyid-nasyid yang membesarkan Allah dan RasulNya.

Lagi meremang bulu roma dan terasa kebesaran Allah,
apabila laungan yang menusuk ke jantung hati, Takbir!Allahu Akbar! Takbir!Allahu Akbar!Takbir!Allahu Akbar!.
MasyaAllah! Subhanallah. 

Sekiranya ada yang mati dalam perhimpunan Perdana ini, semoga syahidlah hendaknya dan termasuk ke dalam golongan hamba yang diredhai Allah dan Nabi.Amin.

Semoga program seperti ini dapat diadakan sentiasa bukan hanya sekali sekala  dan waktu-waktu tertentu sahaja.Semoga Nama Allah dilaung-laungkan bergema sentiasa.Nama Nabi Muhammad Rasulullah SAW,digembar gemburkan setiap masa.Barulah turunnya keberkatan dari langit dan bumi.Turunnya keberkatan dari semua penjuru dunia, Timur,Barat,Utara dan Selatan.  

Semoga rakyat Malaysia dan umat Islam di mana sahaja, disinari cahaya NUR MUHAMMAD dan kembali menuju jalan Allah yang lurus hingga akhir hayat.Semoga segala permintaan dan hajat dimakbulkan Allah hendaknya sempena Malam Cinta Rasul 2015.

Jadilah kita umat Nabi Muhammad yang menepati dengan Firman Allah Taala yang membawa maksud,
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman dengan Allah dengan sebenar-benar beriman".
(Surah Ali'Imran 110).

Amin Ya Rabbal Aa'lamin.

No comments:

Post a Comment