web stats

Thursday 29 May 2014

Wahai Tuhanku, hanya kepada Mu aku bersujud




Aku sujud kepadaMu Tuhan... dengan meletakkan muka dan wajahku ke lantai atau di atas sejadah, adalah bukti betapa Maha Agungnya Engkau Ya Allah.

Engkau adalah Tuhan yang berhak disembah dan Engkau adalah Tuhan yang wajib hambaMu bersujud kepadaMu dengan sujud yang benar-benar sujud, yakni sujud lahir dan batin.

Sujud seorang hamba membuktikan yang hamba sememangnya lemah (dhaif) dan tiada kuasa apa-apa. Walaupun ke atas dirinya sendiri.

Sujudku kepadaMu Tuhan kerana aku sangat mengharapkan keampunanMu, KeredhaanMu, rahmatMu dan kasih sayangMu.

Aku sujud kepadaMu Tuhan...
Aku mohon kembalikanlah kegemilangan Islam buat kali kedua sekali lagi sebelum Engkau ranapkan bumiMu ini seranap-ranapnya di akhir zaman nanti.
Apapun aku yakin janjiMu adalah PASTI.

Aku sujud kepadaMu Tuhan...
kerana Engkau adalah Tuhan (Allah) yang Maha Besar,
Maha Tinggi , Maha Hebat, Maha Mengetahui dan Maha Segala Maha.

Aku sujud kepadaMu Tuhan...
kerana aku mengharapkan pengampunanMu di atas segala dosa-dosaku yang lalu, mahupun yang kini atau yang akan datang.

Betapa banyaknya dosa-dosaku kepadaMu Tuhanku...
bagaikan buih-buih di lautan yang tidak bertepi.





Aku sujud kepadaMu Tuhan...
kerana aku ingin keselamatan daripadaMu iaitu keselamatan dunia dan lebih-lebih lagi keselamatan di akhirat kelak.

Juga ku mohon kepadaMu, datangkanlah segera pembela agama yakni Imamul Ummah sesegeranya kerana bumi ini sangat memerlukan kehadirannya.

Aku sujud kepadaMu Tuhanku....
kerana aku mengaku aku adalah barang ciptaanMu,
yang sangat memerlukanMu. 

Setiap nadiku berdenyut,
setiap kali nafasku turun naik,
setiap kali jantungku berdegup,
setiap kali anggotaku bergerak,
setiap kali mataku berkelip.

Tuhan!... aku sujud kepadaMu...
mohon aku ditaubatkan di atas taubat.
Janganlah Engkau biarkan aku diperkudakan oleh nafsuku yang jahat dan rakus ini, kelak aku akan menjadi bahan bakaran api nerakaMu yang amat panas itu.


Azabnya... Pedihnya... Aduh sakitnya...
Sesungguhnya aku hambaMu yang kerdil ini,
sememangnya hambaMu ini tidak mampu menghadapi siksaan api nerakaMu itu.

Wahai Tuhanku...
Aku sujud kepadaMu tanda pengabdianku kepadaMu .
Aku sujud kepadaMu buktinya aku mengaku Engkau adalah Tuhanku, Tuhan yang menciptakan aku dan juga alam semesta ini.

Aku sujud kepadaMu kerana tiada Tuhan yang lain untuk disembah melainkan Engkau yang layak disembah.

Aku sujud kepadaMu Tuhanku dengan memohon agar diriku dan sekalian zuriat-zuriatku supaya diselamatkan dari Fitnah Dajjal Laknatullah.

Aku sujud kepadaMu Tuhanku...
Kerana Engkau anugerahkan daku seorang Nabi dan Rasul akhir zaman yang sangat berjasa, berkorban, dan sanggup mati demi membawa kebenaran kepada umatnya,
agar umatnya tidak tersesat jalan.
Itulah dia Nabiku dan juga Nabi kepada Umat akhir zaman.

Aku sujud kepadaMu Tuhan...
kerana hanya kepadaMu sahajalah tempat aku bergantung,
tempat aku bermanja,
tempat aku mengadu,
tempat aku berlindung,
juga tempat aku memohon segala hajat dan kemahuanku
Hajatku yang amatku pohonkan,
adalah matikan aku dalam Husnul Khatimah.




Aku sujud kepadaMu Tuhan....
kerana aku merasakan tenang dan terhibur bercakap-cakap denganMu dalam sujudku itu.
Alangkah indahnya hidup bersamaMu Tuhanku.

Tuhanku.... 
Tolonglah jangan sia-siakan sujudku kepadaMu.
Semoga Engkau terima sujudku,
walaupun aku hambaMu yang berdosa.
Dengarlah rintihan hatiku dalam sujudku ini.

Ya Allah!...Ya Tuhanku.....
Perkenankanlah apa yang ku pinta dalam sujudku itu,
Wahai Tuhan ku.

Amin Ya Rabbal A'alamin.

No comments:

Post a Comment