web stats

Tuesday 6 May 2014

Penyakit Hati (Mazmumah) Barah Paling Dahsyat


Macam-macam jenis penyakit yang dihidapi manusia di dunia ini. Ada yang sakit lahir, ada yang sakit batin. 

Sakit lahir walaupun kronik tidaklah sampai ke neraka jika pesakit tersebut kuat dengan Allah. Akan tetapi sakit batin yakni penyakit hati (mazmumah) sakitnya boleh membawa ke neraka jika tidak bertaubat.

Sakit lahiriah walaupun kronik dan serius seperti kencing manis, darah tinggi, jantung berlubang, sakit lemah jantung, asma (lelah), leukemia, anemia, barah payu dara, barah otak, barah usus, barah rahim, resdung yang peringkat kritikal, batu karang, stroke, mati sebelah badan atau angin Ahmar dan lain-lain lagi , kalau mati kerana sakit-sakit lahir ini namun pesakitnya redha, sabar dengan ujian kesakitan maka bighairil hisab untuknya.

Tuhan gugurkan dosa-dosa orang yang sakit lahiriah jika ia sabar , redha dengan mehnah dari Allah. Peningkatan darjat dan penyucian roh berlaku ke atas pesakit yang diuji , dan redha dengan ujian kesakitan kepadanya.

Akan tetapi penyakit batiniah (penyakit hati) yang kronik jika mati tidak sempat bertaubat neraka jahanamlah sewajarnya bagi mereka ini. Wal'iyazubillah .

Apakah dia yang dikatakan penyakit hati yang lebih dahsyat dari barah yang sangat kronik?. 

Ia adalah penyakit-penyakit tercela (mazmumah), seperti dendam kesumat, hasad dengki, suka menabur fitnah, sangka buruk, khianat, bakhil, suka mencari aib atau salah orang lain, cemburu buta, suka mengadu domba, buruk laku(perangai), penipu, pembohong, sombong, bongkak, gila dunia, cinta dunia dan macam-macam lagi penyakit hati yang ada pada manusia hari ini yang tidak takut Allah Taala.


Sifat-sifat keji, jahat, kotor, jijik di atas jika berulat, bernanah dalam hati manusia, maka akan rosak binasalah dunia kerananya. Allah dan Baginda Rasulullah SAW sangat benci pada orang yang berhati sekeji ini. 


Di akhirat mereka akan menerima pembalasan dari Allah setimpal perbuatannya. Di alam kubur lagi mereka akan diseksa hinggalah ke hari kiamat.Inilah yang dikatakan "DOSA HATI".

Penyakit hati ini tidak nampak dek mata lahir, tidak seperti panyakit lahir jika ada kudis nampak kudisnya, jika terkena barah nampak nanah dan bau hanyir , busuknya , jika terkena angin Ahmar nampak badannya lumpuh, kaki tangan tidak boleh bergerak, muka senget dan lain-lain lagi.


Akan tetapi barah hati (penyakit hati) sangat halus menular ke dalam sanubari yang kadang-kadang sangat sukar dikesani. Lagi sukar dikesani jika individu itu suka berpura-pura, berlakun-lakun ,talam 2 muka, hipokrit atau munafiq.


Jauhilah hindarilah dari penyakit-penyakit tercela ini kerana ianya boleh merosakkan hati dan menggelapkan hati. Mencacatkan ibadah kita ke hadrat Ilahi. Penyakit hati ini akan membakar amal ibadah dan kebajikan kita seperti daun-daun kayu yang kering dijilat api.

Sia-sia sahaja segala amalan dan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini jika mengekalkan penyakit hati ini bersarang dalam sanubari. Semuanya tertolak, sembahyang, puasa, haji, zakat, amal jariah , bacaan Al-Quran, wirid, zikir, tahajud, puasa sunat dan segala-galanya bagaikan bangkai di sisi Allah. Musnah semuanya kerana penyakit hati.

Oleh itu marilah kita bersehkan , gilapkan, sucikan hati kita dengan bertaubat kepada Allah, membuang sifat-sifat jahat dalam hati kita dan menggantikannya dengan penawar bagi hati yakni sifat-sifat terpuji (sifat mahmudah) lawan kepada sifat mazmumah seperti baik sangka, jujur, amanah,penyayang, pemurah, menunaikan hajat kawan, membantu fakir miskin, anak yatim, pemaaf suka minta maaf, bertolak ansur, tidak mengumpat orang, tidak menghina orang, tidak menjatuhkan orang, tidak mencari cacat cela dan aib orang dan lain-lain lagi sifat yang baik-baik.

Allah dan Baginda Rasulullah suka dan sayang pada orang yang memiliki hati yang terpuji. Semuga kita semua dapat membawa hati yang sejahtera dunia dan akhirat.

Mati yang membawa hati sejahtera sahaja yang Allah pelawa untuk masuk ke dalam syurgaNya melalui mana-mana pintu syurga yang telah disediakan.

No comments:

Post a Comment