web stats

Tuesday 13 May 2014

AKU PENUMPANG DI BUMIMU TUHAN



Kami adalah para penumpang di bumiMu Tuhan. Kami berada dalam bahteraMu  di atas bumiMu ini. Sungguh besar kapalMu ini Wahai Tuhan, seluas langit dan bumi serta seisinya. 

Maha hebatnya Engkau menciptakan bumi ini ibarat sebuah kapal yang indah, besar, aman, damai ,selesa,serba lengkap peralatan dan kemudahan di dalamnya, sementara sampai ke destinasi yang dituju yakni disebuah alam yang jauh nun di sana , yang penuh dengan segala kenikmatan yang berganda-ganda bagi orang mukmin.
Di alam inilah bagaikan sebuah Pulau Idaman yang amat cantik, indah yang tiada tandingannya. 


Dalam kapal besarMu ini, Engkau sebagai Nakhodanya dan aku serta seluruh makhluk ciptaanMu sebagai anak-anak kelasi dalam kapalMu yang sungguh hebat ini.

Petugas-petugas dalam kapalMu yang sangat taat setia ialah para Nabi, para Rasul dan para Malaikat ,juga para Rijaalullah dan para Rijaalul ghaib.

Sebagai penumpang... sewajarnya kami mesti patuh dan taat dengan arahan-arahanMu selaku BOSS atau OWNER di bumiMu ini. Kami mesti taat dan patuh dengan para petugasMu selaku orang-orang kepercayaan Mu sebagai UtusanMu .

Sebagai penumpang juga sewajarnya... kami mesti akur sahaja apa jua aturan-aturan yang telah ditetapkan olehMu, jika mahu terus kekal menjadi penumpang yang sedar diri dan kenal diri di bumiMu ini.
Jika kami tidak akur, tidak taat ertinya kami mesti mencari bumi lain selain bumi ciptaanMu ini.

Aduh!!..
Mana kami semua hendak pergi?.
Mana ada bumi lain selain dari bumiMu?.
Mana ada alam lain selain alam ciptaanMu?.
Mana ada bahtera lain selain bahtera atau kapalMu?,
sedangkan kami juga barang ciptaanMu jua.

Justeru itu...
wajarlah untuk kami patuh, taat dan akur pada arahan dan perintah dariMu Tuhan. Sebagai penumpang atas bumiMu ini, kami mesti menyembahMu dengan menunaikan shalat lima waktu sehari semalam. Jika tidak mengabdikan diri padaMu, tentu Engkau akan murka dan akan menghalau kami mencari bumi lain selain dari bumiMu.
Mana ada bumi lain lagi di dunia ini sedangkan dunia ini dan seisinya adalah milikMu.Kami juga adalah milikMu.

Sebagai penumpang kami semua mesti taat dan patuh dengan petugas-petugasMu yakni pada Nabi dan Rasul terutamanya Ketua dikalangan petugas-petugasMu adalah Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW.

Kami semua mesti akur dengan suruhan baginda Rasulullah SAW dan permintaannya. Ketua petugasMu iaitu Nabi Muhammad Rasulullah SAW minta kami sebagai umatnya dalam bumiMu ini berbuat baik, beramal soleh dan mencontohi akhlak peribadi Baginda.

Sebagai penumpang yang baik, kami semua mesti terima sahaja apa yang dipinta olehMu. Apa yang diputuskan oleh BOSS(OWNER) yang mencatur bumi ini. Apa sahaja KALAMULLAH dariMu kami mesti (Sami'kna Wa'atokna) yakni "kami dengar dan kami patuh". Walaupun nafsu kami terpaksa bermujahadah, namun hati kami, roh kami mesti akur sepenuhnya, barulah kami tergolong ke dalam golongan para penumpang yang lulus dengan cemerlangnya di atas bumiMu ini.

Wahai Tuhan kami....
Jika Engkau perintahkan sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan, maka kami mesti sembahyang menyembahMu.

Jika Engkau perintahkan tutuplah aurat maka,kami mesti menutup aurat dari pandangan lelaki ajnabi. 

Jika Engkau perintahkan keluarkanlah zakat bagi yang cukup haul dan nisabnya, cukup syarat-syaratnya maka kami wajib mengeluarkan zakat.

Jika Engkau perintahkan pergilah tunaikan haji atau umrah bagi yang mampu, Jika kami mampu dan cukup syarat-syaratnya maka wajib bagi kami menunaikannya.

Jika Engkau perintahkan bersyahadahlah atas nama Tuhanmu dan Nabimu, maka bersaksilah kami bahawa (Tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah) maka sahlah kami semua sebagai seorang Muslim di sisiMu, maka kami mesti bersyahadah untuk menjadikan kami seorang Muslim(Islam).

Begitulah juga bila Engkau perintahkan, percayalah kepada Allah dan RasulNya, pada kitabNya (Al- Quran), pada para MalaikatNya, pada qada' dan qadarNya, pada hari kiamatNya, maka kami mesti beriman kepada semua yang Engkau perintahkan itu, barulah sempurna iman kami sebagai penumpang di atas bumiMu ini.

Rupanya untuk menjadi para penumpang di atas muka bumiMu ini ada syarat-syaratnya yang mesti dipatuhi, dituruti dan ditaati. Barulah menjadi para penumpang yang baik dan selamat dunia akhirat.

Barulah menjadi para penumpang yang dikasihi Tuhan,(Owner) yang Dia punya hak di bumi ini. Ooo kalau begitu, marilah kita semua wahai sekalian manusia barang ciptaan Allah yang bergelar (Hayawanun Natiq menurut istilah dalam ilmu Balaghahnya iaitu-haiwan yang boleh berkata-kata yakni manusia), Rupanya kita ini adalah para penumpang sahaja di bumi Allah ini. 

Bumi ini bukan milik kita. Diri kita pun bukan milik kita. Kita hanya sebagai para penumpang yang memijak bumi Allah ini, ianya hanya bersifat sementara dan hanya pinjaman semata-mata.

Oleh itu tidak ada hak kita hendak bangga diri, hendak rasa besar diri, rasa bongkak, sombong sebab bumi ini dan kita juga bukan milik kita. Kita hanya anak-anak kelasi dalam kapal Allah yakni bumi ini. Selaku penumpang kita mesti akur dengan arahan dari nakhoda kapal dan para petugasNya.

Kita tidak boleh melakukan apa yang dilarang oleh Tuan Nakhoda kapal ini , kita tidak boleh buat sesuka hati kita dalam kapalNya ini. Mesti kita ikut peraturan-peraturanNya ,jika kita tidak mahu dilempar dan dibuang, disingkirkan dari kapalNya ini yakni dari bumi Tuhan ini.

Mana-mana para penumpang yang degil , Engkau akan humbankan ke dalam nerakaMu. Bukankah begitu janji-janjiMu pada hamba-hambaMu yang durhaka padaMu?, Wahai Tuhan Kami?.

Sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji-janjiMu. Engkau Tuhan yang sangat menepati akan janji-janjiMu.

Ngerinya jika Engkau murka wahai Tuhan. Tidak mampu hamba yang kerdil ini jika Engkau humbankan ke dalam nerakaMu. Sedangkan nerakaMu juga berdoa agar ia tidak dihumbankan ke lembah nerakaMu.

Ibnu Majah dan Tarmidzi, Tabrani meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW bersabda "Sesungguhnya dalam neraka jahanam itu terdapat satu (LEMBAH) yang mana neraka jahanam meminta perlindungan daripada lembah tersebut sebanyak 400 kali. Lembah neraka jahanam ini disediakan untuk mereka yang sentiasa membantah (durhaka) daripada Umat Nabi Muhammad SAW". Wal'iyazubillah...


Ya Allah !!..
Hindarilah kami dari dihumbankan ke lembah neraka jahanam yang disabdakan Baginda itu. Ya Allah terimalah kami yang dhaif ini sebagai para penumpang dalam kapalMu yakni di atas bumiMu ini. Semoga Engkau redha pada kami yang amat lemah lagi berdosa dan banyak salah laku ini.

Ampunkan kami Ya Allah .

No comments:

Post a Comment