web stats

Tuesday 13 May 2014

Gelaran Al-Kazzab -Sang. Pendusta Besar








Musailamah Al-Kazzab bin Habib. Seorang pemimpin dari Kabilah Bani Hanifah di Yamamah. Daerahnya terletak di Kota Riyadh(Arab Saudi). Orangnya sangat kejam, zalim,bengis,berpengaruh, mempunyai watak kepimpinan, rupanya agak hodoh, badannya sederhana, rasa hebat diri dan rasa dia istemewa akan tetapi orangnya dermawan.

Sedikit sebanyak sifat dermawannya ini telah mempengaruhi para pengikutnya supaya setia dan taat kepadanya.

Dakwah Baginda Rasul dengan para sahabat dan kaum muslimin semakin menular dengan hebatnya, maka wilayah kekuasaan Baginda Rasul dengan kaum muslimin semakin meluas setiap penjuru.

Maka Musailamah selaku pemimpin Yamamah rasa irihati dan sangat tercabar dengan kekuasaan dan kekuatan yang semakin meluas di kalangan kaum Muslimin.

Beliau mula khuatir takut wilayah kekuasaannya (Yamamah) dikuasai kaum Muslimin di bawah kepimpinan Baginda Rasulullah SAW.

Untuk mempertahankan pengaruh dan kekuasaan kepimpinannya, maka Musailamah menggelar dirinya juga seorang Nabi Utusan Allah melalui wahyu dari Malaikat Jibril padanya.
Kata Musailamah "dia... (Muhammad) Nabi yang pertama dan aku(Musailamah) nabi yang selanjutnya, dia yang mendirikan dan aku yang membangunkan".

Musailamah juga cuba membuat bahasa yang menandingi ayat Al-Quran. Salah satu ayat yang digubah oleh Musailamah adalah kalimat yang menceritakan tentang haiwan katak.

Katanya"Allah menjadikan katak itu ayat bagi kalian. Tuhan berfirman katanya, (Musailamah), Hai katak betina anak dari dua katak. Bersihkanlah air seberapa banyak kamu membersihkannya, bagian atasmu ada diair bagian bawahmu ada di tanah. Bukan orang minum yang kau larang dan bukan air yang kau kotori".

Musailamah reka cipta ayat seperti aroma Al-Quran. Tetapi semuanya adalah palsu dan tidak benar. Karut marut semuanya. Tidak setanding ayat-ayatnya dengan "KALAAMULLAH" yang sangat agung dan luarbiasa .

Dengan jumlah pengikutnya yang semakin ramai maka Musailamah makin percaya bahawa dirinya adalah adalah utusan Allah. Musailamah mengutus surat kepada Baginda Rasul meminta wilayah kekuasaannya.

Dia mengarahkan wakilnya, "pergilah mengadap kepada Muhammad utusan Allah, daripada Musailamah utusan Allah. Katanya ada pun selepas itu, separuh bumi ini untuk kami dan separuhnya untuk Quraisy tetapi kaum Quraisy berbuat keterlaluan (menguasai seluruhnya)".

Baginda Rasulullah SAW membalas surat Musailamah dengan menambahkan Pendusta (Al-Kazzab). Gelaran Al-Kazzab ini sangat terkenal hingga ke hari ini kekal namanya di panggil (Musailamah Al-Kazzab).

Jawapan Baginda, "Daripada Nabi Muhammad SAW, kepada Musailamah Al-Kazzab , ada pun selepas itu "Bumi ini adalah milik Allah. Dialah yang berhak mewariskanNya kepada hamba yang dikehendakiNya.Kemenangan adalah milik orang yang bertaqwa dan keselamatan milik orang-orang yang mengikuti petunjuk".
Habib bin Zaid ( putera Nusaibah bintu Ka'ab) menjadi wakil bagi pihak Nabi mengutus surat balas dari Nabi kepada Musailamah Al-Kazzab, Setelah Musailamah membaca surat Nabi maka dia bertanya kepada Habib.
"Apakah kau bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah?"
Habib menjawab "Ya"
Tanya Musailamah lagi "Apakah kau juga bersaksi bahawa aku adalah utusan Allah?".
Habib. Jawab "aku tuli ...dan tidak boleh mendengar".
Ditanya banyak kali kepada Habib adakah aku(Musailamah) utusan Allah?"
Namun jawapan Habib tetap mengatakan "aku tuli..tidak boleh mendengar".
Akhirnya Habib diseksa oleh Musailamah dan dengan kejamnya Musailamah telah memotong-motong setiap bahagian tubuh badan utusan Rasulullah itu hingga menemui ajalnya (syahid).
MasyaAllah betapa hebatnya para sahabat mempertahankan iman dan aqidahnya , sanggup diseksa dan dibunuh dengan begitu kejam sekali.

Pada tarikh 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijriah adalah tahun umat Islam berdukacita kerana telah wafatnya Baginda Rasulullah SAW. Tugas kenabiannya Baginda telah pun selesai.

Kesedihan yang memuncak di kalangan kaum muslimin dengan wafatnya Baginda Rasul menjadi berita paling gembira pada Musailamah Al-Kazzab.

Dia telah menganggap Rasulullah telah mewarisi kenabian pada dirinya.Begitulah terjadinya bila Allah sudah COP hatinya menjadi Pendusta Agama.

Sayyidina Abu Bakar As- Siddiq (Khalifah pertama) telah mengambil tindakan bijak membuat operasi menentang gerakan Murtad di bawah kepimpinan Musailamah Al-Kazzab.

Diutuskannya pasukan pertama muslim di bawah Panglima Ikrimah bin Abu Jahal untuk menumpaskan Musailamah dan pengikut-pengikutnya, namun pasukan Ikrimah tidak mencapai hasrat yang diharapkan oleh Khalifah Sayyidina Abu Bakar, justeru itu Khalifah mengutuskan pasukan Panglima Khalid Ibn Walid untuk menambah kekuatan pasukan Muslimin.

Maka di hari pertempuran Yamamah,40,000 pasukan Musailamah berhadapan dengan pasukan Muslimin di bawah panglima Khalid Ibn Walid seramai 11,000 tentera Islam. Peristiwa ini tercatat sebagai peristiwa terbesar kaum Muslimin dengan kaum gerakan Murtad. Perang Yamamah berlaku pada bulan Disember 632 Masihi.

Pertempuran berlangsung sengit sekali.Hinggakan pedang dan tombak bersimpang siur serta ramai tentera Islam yang mati syahid.Namun semangat tentera Islam tetap utuh dan kental.
Musailamah menyeru pengikut-pengikutnya dengan memberi semangat katanya " Wahai Bani Hanifah!!!... kalian telah dijanjikan syurga . Ayuuuh..serang.... kalian telah dijanjikan syurga".

Dalam masa yang sama kaum Muslimin bertali arus mara ke hadapan dengan gagahnya . Sanggup mati dan seolah-olah bidadari syurga sedang melambai-lambai untuk berjuang bermati-matian memerangi puak Murtad Musailamah Al-Kazzab .

Pasukan tentera muslimin berjaya mengentarkan pihak musuh, maka lari lintang pukang gerakan murtad dan Musailamah ketakutan dan akhirnya mereka bersembunyi dibalik benteng. Tentera Islam terus mara mengejar pihak musuh dengan beraninya dan terus membunuh musuh-musuh Allah dengan hebatnya.


Gerakan Murtad dan Musailamah terus lari dan Musailamah mengarahkan para tenteranya menutup pintu kotanya yang dipanggil (Taman Pemurah). Ujar Musailamah pada tenteranya" Jangan bagi mereka (tentera Islam) masuk".

Maka pintu itu berjaya ditutup. Semua orang-orang Musailamah Al-Kazzab masuk ke dalam tembok yang ditutup pintunya.
Namun keberanian pasukan tentera Muslimin yang luar biasa terus mengempur menyerang tembok untuk dimasukinya. Al-Barra' bin Malik seorang mujahid Islam atas inisiatifnya telah memanjat tembok dengan keberaniannya yang sungguh luarbiasa, ia merempuh masuk ke dalam sarang musuh hingga berjaya membuka pintu gerbang benteng .

Keberanian tentera muslimin membuatkan puak Musailamah makin tersepit akhirnya Musailamah nabi palsu tewas di tangan Wahsyi bin Harb. Dengan lemparan tombak dari Wahsyi tepat mengenai dada Musailamah tembus ke belakangnya.

Wahsyi berkata "ketika aku dalam jahiliah, aku membunuh manusia terbaik (S.Hamzah R.A), dan ketika aku memeluk Islam, aku membunuh manusia terjahat (Musailamah Al-Kazzab)".
Sepantas kilat juga Abu Dujannah R.A menghayunkan pedangnya hingga akhirnya Musailamah jatuh tersungkur ke bumi. Nabi Palsu ini tewas pada usianya 150 tahun. Wallahua'lam.

Akhirnya kota(Taman Pemurah) tersebut diberi gelaran (Taman Maut).
Nabi mengatakan bahawa akan ada selepasku 30 pendusta besar masing-masing mengaku dia adalah nabi. Sehingga hari ini muncul lagi orang yang mengaku dia nabi. Mengaku dia mendapat wahyu, hal ini akan berterusan berlaku sehinggalah zahirnya Sang Pendusta yang paling besar yakni Dajjal . Dajjallah penutup bagi sekalian nabi palsu.

Gerakan Murtad yang dibawah Musailamah telah dibersihkan di zaman Khalifah S.Abu Bakar As-Siddiq . Namun gerakan pembelutan aqidah akan terus terjadi hinggalah ke zaman Dajjal Laknatullah. Akhirnya Dajjal akan dibunuh oleh Nabi Isa Al-Maseh (putera Maryam).

Baginda Nabi menasehatkan umatnya agar memiliki ilmu yang cukup ,agar tidak tersesat dalam kebodohan hingga mengaku dirinya Nabi dan utusan Allah seperti Musailamah Al-Kazzab.
Firman Allah Taala yang bermaksud, "Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki antara kamu, akan tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup para Nabi ". (Surah Al-Ahzab : 33)
Manakala sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Aku adalah penutup para Nabi dan tidak ada Nabi lagi sesudahku". HR: Abu Daud,Ibnu Majah dan Ahmad.

Ya Allah selamatkanlah iman-iman kami, iman seluruh zuriat dan keturunan kami dari terpesung aqidah dan terkeluar dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Amin Ya Allah.

1 comment: