web stats

Saturday, 17 January 2015

BENARLAH AKU SEORANG HAMBA

(Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan yang lain melainkan Engkau Ya Allah.Aku juga bersaksi bahawa  Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruhMu Ya Allah).

Aku mengaku aku adalah hambaMu Ya Allah.Tiada daya dan upayaku untuk melawan taqdir dan qada' qadar dariMu.
Apa yang terjadi kini semuanya menginsafkan aku, bahawa Engkau boleh lakukan apa sahaja terhadap hamba-hamba ciptaanMu ini.




Engkau boleh saja gulung dan lipat bumiMu ini dalam sekelip mata atau satu lahzah, jika Engkau berkehendak.Engkau sangat mampu hancurkan segala-galanya sebagaimana mampunya Engkau ciptakan dan wujudkan segala-galanya.Semuanya dalam percaturanMu yang Maha Hebat lagi Maha segala Maha.Kami akur bahawa semuanya dalam genggamanMu Tuhan.  



Akhirnya aku bersujud sembah ke bawah Duli Kebesaran dan KeagunganMu Ya Allah.Imanku yang seringkali Yazid Wayankus (berkurang bertambah) ini,keampunan dariMu ku pohonkan Ya Allah.

Jika imanku bertambah (Yazid) terasa betapa indah dan lazatnya menyembahMu, jika imanku berkurang (Yankus) terasa betapa lemah longlainya aku dari menyembahMu.Aduh...teruknya diriku ini...menyintaiMu bermusim dan tidak istiqaamah pula.

Ya Allah..berilah aku kekuatan agar imanku sentiasa bertambah walau di mana jua berada dan walau di dalam apa jua keadaan.Engkau memang Maha Mengetahui iman hamba-hambaMu yang sering naik turun ini, untuk mengekalkan rasa keTuhanan dan rasa kehambaan yang tinggi, maka Engkau ciptakan mehnah, musibah dan dugaan untuk hambaMu ini.

Maka Engkau lakukan Banjir Tsunami yang amat dahsyat sebagai peringatan untukku dan juga untuk seluruh hamba-hambaMu di dunia ini.Apa yang Engkau lakukan bukanlah untuk segelintir hambaMu, akan tetapi teguran, amaran untuk semuanya.




Janganlah ada yang menuding jari mengatakan hamba Allah di Pantai Timur yang berdosa dan teruk perangai mereka kerana banjir berlaku teruk di negeri mereka, sedangkan apa yang Engkau uji itu hanya layak pada hamba-hambaMu yang Engkau tahu kekuatan iman dan kemampuan hati mereka menghadapi mehnah yang amat dahsyat ini.

Tahniah dan syabas kepada saudara maraku juga saudara se Islamku di Pantai Timur, kerana kalian semua mempunyai hati yang mampu berhadapan dengan ujian yang amat berat ini.

Kalian telah korbankan segala-galanya untuk orang lain mendapat iman dan takutkan Allah setakut-takutnya.Ku doakan kalian semua diberkati dan diredhai  Allah dunia akhirat.Semoga semuanya dilayak-layakkan memperolehi syurga Firdaus di akhirat kelak.

Berbahagialah kalian semua, kerana kalian dipilih dan terpilih atas ujian besar ini.Ini buktinya kasih sayang Allah dan perhatian Allah terhadap kalian.Berbaik sangkalah dengan Allah.Janganlah
berburuk sangka kepadaNya di atas apa yang telah terjadi.Ini semua terkandung hikmah yang amat besar untuk hamba yang Allah kasih dan sayang.

Allah ingin memberikan kalian nikmat di akhirat yang lebih berganda-ganda hebatnya dari kenikmatan yang ada di dunia yang fana ini.Yakinlah bahawa Allah Maha Baik lagi Maha Adil terhadap hamba ciptaaanNya.Semoga kalian dirahmati Allah dunia dan akhirat dengan berkat sabar atas ujian ini.

Amin Ya Allah.  

No comments:

Post a Comment