web stats

Thursday, 28 August 2014

KEMERDEKAAN YANG HAKIKI


31 Ogos 2014 genaplah kemerdekaan negara Malaysia tercinta yang ke 57

Alhamdulillah ...
Terima kasih Tuhan atas nikmat dan anugerah ini. 
Baiknya Engkau wahai Tuhan kami...., 
kerana telah memberikan kemerdekaan, keamanan, ketenteraman kepada negara tercinta kami yakni bumi Malaysia. 

Tanpa keizinanMu Ya Allah, kami tidak dapat menikmati kemerdekaan dan keamanan di negara kami ini.Maha Baiknya Engkau wahai Tuhan kami yang telah merdekakan tanah air kami daripada dijajah oleh penjajah. 

Sesungguhnya kami amat terasa betapa besarnya nikmat keamanan dan kemerdekaan yang Engkau telah kurniakan kepada kami rakyat Malaysia ini. 

 Apa pun Ya Allah kami difahamkan bahawa kemerdekaan tanah air tidak cukup untuk menyelamatkan kami daripada kemurkaanMu Ya Allah. 

 Kami mesti berusaha memerdekakan hati kami daripada cinta dunia dan daripada memiliki sifat-sifat terkeji (mazmumah). 


Jika hati kami masih memburu dunia yang menipu ini, ertinya kami gagal dalam memerdekakan diri dan hati kami dengan erti kata kemerdekaan yang sebenarnya di sisiMu wahai Tuhan kami. 

Tetaplah kami mendapat kemurkaanMu sekiranya kami kembali kepangkuanMu kelak. Tetaplah kami akan dihumbankan ke dalam neraka jahanamMu nanti, walaupun kami berada dalam negara Malaysia yang sudah merdeka. 

Kemerdekaan diri daripada azabMu di alam sana sebenarnya kemerdekaan yang hakiki.Kemerdekaan hati daripada sifat-sifat jahat seperti tamak, hasad dengki, buruk sangka, fitnah dan mengadu domba, kedekut, pemarah,suka zalimi sesama insan dan lain-lain lagi sifat yang terkeji. 

 Kemerdekaan yang hakiki ialah merdekakan hati atau diri daripada cinta dunia bahkan menncintai alam akhirat lebih dari alam yang fana ini. 

 Samalah seperti sabda Baginda Nabi kepada para sahabat yang menang dalam peperangan Badar.Baginda khabarkan kepada para sahabat bahawa jihad yang paling besar daripada jihad dalam peperangan Badar ialah jihad memerangi hawa nafsu. 

Maknanya walaupun kaum muslimin sudah bergembira dengan kemenangan dalam peperangan Badar namun ada lagi satu peperangan yang mesti diperjuangkan, yakni perjuangan memerangi kejahatan, kerakusan hawa nafsu. Itulah jihad yang sebenar menurut Allah dan Rasul. 

Samalah juga dengan kemerdekaan negara daripada penjajah, kita sudah merdeka sepenuhnya daripada dikuasai oleh musuh menawan negara kita, namun apakah kita sudah merdeka daripada cinta dunia dan sifat-sifat terkeji dalam hati sanubari kita?. Jika belum maknanya kita masih belum merdeka sebenarnya. 


Merdeka lahiriah tetapi batiniah kita masih belum merdeka,masih dibelenggu oleh kejahatan nafsu dan sifat-sifat terkeji. Oleh itu marilah kita berusaha sungguh-sungguh merdekakan hati dan roh (jiwa) kita ke arah kemerdekaan yang hakiki. 

Semoga dunia akhirat kita memperolehi keberuntungan yang berganda-ganda dan melimpah ruah di dalam Syurga Allah.InsyaAllah. Mudah-mudahan dengan rahmat Allah kita dilayakkan menduduki Syurga Allah yang penuh nikmat selama-lamanya. 

Semoga Allah redha dan pimpin hati nurani kita menjadi hamba-hambaNya yang benar-benar merdeka lahir dan batin. Amin Ya Allah.




http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

Monday, 25 August 2014

Bangkitlah wahai pemuda-pemudi Islam seagamaku



Salam persaudaraan seagama dan sebangsa dariku buat kalian Wahai saudara-saudara remaja seMalaysia

Jadilah kalian pemuda pemudi harapan agama, bangsa dan negara Pemuda tiang agama.Pemudi tunjang kemajuan negara dan penyeri agama

Pemuda pemudi adalah harapan ibu ayah. Harapan pemimpin Negara. Harapan agama, negara dan bangsa

Wahai belia beliawanis Negara Malaysia tercinta.
Jadilah kalian ibarat obor-obor yang menerangi alam ini dan juga memberi manfaat kepada orang lain.Jadilah lampu yang memberi cahaya kepada umat manusia di akhir zaman.

Jadilah kalian ibarat air mutlaq yang suci lagi menyucikan.Jadilah kalian penyelamat yang selamat dan menyelamatkan orang lain dari kekufuran dan kemaksiatan.

Hentikanlah perkara-perkara yang melalaikan, hentikanlah sikap-sikap yang sia-sia dan merugikan diri sendiri serta kaum keluarga, agama dan negara.


Tinggalkanlah najis rokok, najis dadah, najis arak, najis judi dan seumpamanya. Tinggalkanlah aksi-aksi gila merempit di jalan-jalan raya. Tinggalkanlah perangai yang buruk dan merugikan masa hadapan kalian, samada di dunia mahupun di alam sana (akhirat).

Kasihanilah ibu bapa yang membesarkan kalian, kasihanilah ibu yang sarat mengandungkan kalian sembilan bulan sepuluh hari. Kasihanilah ibu bapa yang sanggup berkorban apa sahaja demi memberikan keselamatan, perlindungan, keselesaan, kegembiraan dan keceriaan kepada kalian.

Apa balasan kalian kepada kedua-dua orang tua yang sanggup bergadai nyawa membesarkan kalian?


Apa balasan kalian kepada orang tua yang membesarkan kalian dari sebesar tapak tangan hinggalah kalian sesempurna fizikal yang Allah anugerahkan.

Penawar dan bunga yang harum semerbak mewangi ibu bapa berikan kepada kalian, apakah kalian menjirusnya dengan najis yang busuk dan racun yang berbisa?.

Patutkah kalian berbuat demikian kepada mereka yang berjasa dan berkorban untuk kalian?.Bahkan sanggup berkorban apa sahaja demi kalian sebagai buah hati dan cahaya hatinya?.



Wahai pemuda pemudi harapan agama, bangsa dan negara.Tidakkah kalian bercita-cita ingin menjadi remaja yang disanjungi, dimuliakan, dihurmati oleh dunia?.

Tidakkah kalian mahu menjadi remaja idola yang dicintai Tuhan dan disayangi Nabi?

Jadilah kalian pemuda pemudi soleh dan solehah yang mengharumkan nama agama Islam,yang mewangikan nama negara tanah air tercinta yakni negara Malaysia bumi bertuah kita bersama.

Budaya-budaya kuning yang datangnya dari Barat, Yahudi, Nasrani janganlah diikuti kerana budaya mereka adalah budaya yang menghancurkan, menjahanamkan jiwa kita.


Budaya mereka adalah budaya yang akan menerjunkan kita ke lembah neraka jahanam. Budaya mereka adalah budaya yang Allah laknat dan Allah murka.

Budaya mereka adalah budaya yang membutakan hati dan roh dari mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Budaya mereka membawa perpecahan, penzaliman dan kedurjanaan.

Wahai pemuda pemudi harapan agama, bangsa dan negara. Jadilah kalian sebagai penyejuk matahati bagi dunia Islam. Kalianlah pencetus agama Islam yang akan menguatkan agama pada masa akan datang.


Tinggalkanlah merempit dan sebagainya yang tidak memberi keuntungan apa-apa pun walaupun sebesar janggut udang. Rugi masa, rugi tenaga, rugi wang ringgit, rugi segala-galanya. 

Kembalilah wahai belia-beliwanis Islam kepada Allah dan Rasul. Kembalilah ke jalan yang lurus siratalmustaqim , bukan jalan-jalan yang sesat lagi menyesatkan.


Doa dariku untuk kalian , semoga Allah memberi taufiq dan hidayah yang berterusan hingga ke alam baqa.Semoga kita semua selamat dunia dan akhirat.

Amin Ya Rabbal a'alamin

http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

Sunday, 24 August 2014

Bacalah Al-Quran bila-bila masa sahaja



Bila baca Quran, hati akan tenang.Bila baca Quran hati akan bercahaya. Bila baca Quran hati akan dipandu Allah. Bila baca Quran hati akan dipimpin dan akan dihindari dari syaitan iblis bertapak dalam hati.

Bila baca Quran hidup akan mendapat rahmat dari Allah.Jangan simpan Al- Quran sampai berhabuk dan berdebu, hinggakan penuh semut-semut yang berumah tangga dan beranak-pinak dan bercucu cicit dalam Al-Quran.

MasyaAllah...Dahsyatnya... Membiarkan Al-Quran Kalamullah yang mulia itu begitu sekali keadaannya. Laknat Allah ke atas hamba-hamba yang begini. Wal'iyazubillah....


Al-Quran untuk dibaca,untuk dihayati bukan untuk dijadikan pamiran atau dimuziumkan di rak-rak almari rumah kita. Bukan untuk disimpan kemas dalam kotak-kotak atau peti besi.

Al-Quran mesti ditatang, dimuliakan, ditinggikan, dihurmati, dengan cara dibelai-belai maknanya dibaca dan ditadaruskan selalu walaupun bukan bulan Ramadhan yang hanya datang setahun sekali.


Takkanlah hendak tunggu setahun sekali baru hendak baca Al-Quran.Takkanlah hendak tunggu bulan puasa baru hendak menatapi Al-Quran.Takkanlah hendak mengaji atau membaca Al-Quran bermusim.Takkanlah hendak baca Al-Quran bila ada kematian atau terjadinya musibah dan bala bencana terhadap diri kita atau kaum keluarga kita atau terhadap Negara kita.

Bukti cinta Allah,cintai Kalamullah yakni bacalah Al-Quran.Cinta Allah tidak bermusim.Cinta Allah mesti setiap detik, setiap saat setiap kali naik turunnya nafas kita, setiap masa maknanya 24jam mesti ingat Allah, rindu Rasulullah SAW.


Hati yang asyik bersama Al-Quran adalah hati yang hidup.Hati yang subur, hati yang sentiasa digilapkan dengan zikrullah, hati yang sentiasa disucikan, dibersihkan, di cahayakan dengan cahaya iman dan taqwa.

Al- Quran adalah panduan kita, Al- Quran adalah tempat rujuk kita, Al- Quran adalah mukjizat Baginda Rasul yang paling hebat dan paling mulia.Al-Quran adalah nadi bagi umat Islam.

Al-Quran adalah penunjuk jalan yang benar lagi diredhai Tuhan.
Al-Quran adalah kekuatan umat Islam lahir dan batin.
Generasi yang mengagungkan Al-Quran adalah generasi yang mendapat pandangan Allah. Hidup berkat, jiwa selamat.


Di dunia mendapat keampunan Allah manakala di akhirat pula mendapat rahmat dari Allah. Selayaknyalah syurga firdaus bagi mereka yang mendapat rahmat dari Allah.

Berkat membesarkan Al-Quran , Allah redha dunia akhirat.Keredhaan Allah adalah penentu buat si hamba untuk mendapat tempat yang paling istemewa di alam sana.

Amin Ya Rabbal A'lamin
  
http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

Ya Hanana...Beruntungnya kami ada Nabi...


Ya hanana....Ya hanana....Ya hanana...
(Betapa beruntungnya kami ada Nabi).Ianya satu anugerah dari Ilahi.Hendaklah kita syukuri dan berterima kasih kepada Allahu Rabbi. 
Nabi Junjungan Besar Muhammad SAW adalah seorang Nabi contoh buat ummah manusia di akhir zaman.

Baginda adalah IDOLA umat Islam dan ikutan kita dalam semua perkara.Walaupun dari segi lahirnya Baginda sudah tiada lagi, sudah wafat 1400 tahun yang lalu, namun ianya tetap subur dan segar dalam sanubari kita selaku ummatnya..


Kewafatan Baginda Rasul bukanlah sebab besar untuk kita lupakannya. Sesungguhnya Baginda tetap hidup di sisi Tuhannya. Baginda tetap hidup dalam hati setiap insan yang rindukannya.

Baginda tetap dikenang sepanjang hayat dan seumur hidup kita. Mana mungkin kita boleh lupakan Baginda begitu sahaja.Baginda adalah seorang Nabi yang sungguh berjasa dan sangat berkorban untuk kita selaku ummatnya.




Sayangnya Baginda kepada kita lebih daripada sayangnya ibu ayah kandung kepada kita. Nabi sangat sayang kepada sekalian ummatnya.Oleh sebab itu Baginda Nabi diizinkan oleh Allah untuk memberi syafaat kepada sekalian ummatnya yang beriman kepada Allah dan Rasul.

Inilah bukti sayangnya Baginda Rasul kepada kita semua. Baginda akan berusaha menyelamatkan kita semua daripada azab api neraka Allah dengan memberikan kita syafaat di Yaumul Mahsyar kelak.

Tidakkah kita rasakan betapa besarnya pengorbanan dan jasa baik yang Baginda berikan?. Nabi Muhammad adalah Nabi pilihan kepada kita selaku ummatnya. Penghulu sekalian para Nabi dan para Rasul juga sekalian manusia.


Nabi Muhammad SAW adalah Nabi yang kerananya dunia ini diciptakan. Tanpa Nabi Muhammad SAW, kita tidak kenal Tuhan yang menjadikan kita dan tanpa Nur Muhammad tidak wujudlah alam maya ini .

Nabi Muhammad. SAW pembawa kemerdekaan, keamanan dan Bagindalah menjadikan manusia bersatu dan bermaruah tinggi. Nabi Muhammad SAW datang dengan membawa risalah kebenaran yakni Al-Quran dan As-Sunnah. Datangnya membawa kasih sayang dan keberkatan yang melimpah ruah.


Pegangan kita kepada risalah Allah yang Nabi Muhammad SAW bawa, dapat membantu kita menuju ke jalan yang lurus. Pembersihan hati dan jiwa diajarkan kepada kita melalui baginda Rasul tercinta.

Jihad melawan hawa nafsu adalah jihad yang besar. Lebih besar dari jihad dalam peperangan Badar.

Firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran serta menjadi pembawa khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan pembawa amaran kepada orang-orang yang ingkar dan setelah engkau sampaikan semuanya itu , engkau tidak akan diminta bertanggungjawab lagi tentang ahli-ahli neraka.

(Surah Al-Baqarah:ayat 119)

  Orang-orang Yahudi dan Nasrani sangat menentang perjuangan Nabi Muhammad SAW, Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sesekali bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau menurut agama mereka yang telah terpesong itu. Katakanlah kepada mereka ,sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam).

( Al- Baqarah:ayat 120)

Bersama Nabi ertinya bersama Allah.Menyayangi Nabi ertinya mencintai Allah.Akur dengan ajaran Islam yang Nabi bawa ertinya membenarkan agama Allah yang suci lagi diredhai.
Ya Allah !.... Izinkanlah kami yang kerdil lagi lemah ini menjadi ummat Nabi akhir zaman.

Ya Allah!... Izinkanlah kami yang berdosa ini merasakan Nabi Muhammad SAW sentiasa di sisi, Allah di hati.

Amin Ya Allah


http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

Saturday, 23 August 2014

Merempit gejala sosial yang merosakkan

 
Penggunaan istilah Mat Rempit 
atau samseng jalanan bukanlah satu istilah yang patut dibangga-banggakan, 
akan tetapi patut malu dan rasa hina kerana istilah itu adalah maruah seseorang yang sudah dicemari. 

Satu istilah yang tidak bermoral di kalangan belia negara kita.
Mat Rempit adalah istilah penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram. 

Biasanya Mat Rempit menggunakan motor kapcai atau skuter. Ianya satu gejala sosial remaja Malaysia terkini. 

Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba-lumba di tengah-tengah kota pada malam hari di hujung minggu, kadang-kadang bersama Mat Rempit ada Minah Rempit sebagai teman wanita mereka. 


Kebanyakkan motosikal Mat Rempit telah diubah suai dengan begitu banyak, hilang keaslian sebuah motosikal yang dijual di pasaran. 

Dianggarkan di Malaysia terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. Mereka beraksi gila-gila, biasanya waktu senja masa waktu shalat Maghrib berkumandang atau waktu malam yang sepi,mereka menunggang motosikal dengan berbagai-bagai cara dan teknik. 

Ada yang teknik seperti berbaring, berdiri , separuh duduk,yang bagaikan hendak terbang,yang hendak tiru superman, ada yang kaki ke atas, tangan bersilang dengan kaki bersilang dan macam-macam aksi yang merbahaya lagi. 




Mereka bangga untuk digelar juara atau wira di jalanan, walaupun terpaksa mengorbankan nyawa. Jalan yang berliku dan berbahaya adalah suasana yang paling mereka suka. Suka kepada cabaran yang mencabar. 

Kadang-kadang mereka menunggang motosikal melawan arus jalan. Sanggup mati katak dan sanggup putus kepala demi kepuasan . 

Sanggup berlumba walaupun bahaya.Mereka rasa diri mereka terdiri daripada golongan yang macho dan berani mati. 
 Apa punca wujudnya Mat Rempit? 

1.Perasaa ingin mencuba 

2.Tiada kawalan dari ibu bapa atau penjaga  

3.Tidak memperolehi kasih sayang sepenuhnya dari keluarga 

4.Pengaruh kawan-kawan sekeliling 

5.Mengisi masa lapang 

6.Mendapatkan habuan atau ganjaran sesama mereka seperti ada pertaruhan bagi yang menang atau yang dapat mengalahkan pihak lawan 

7.Pengaruh filem-filem Barat atau sebagainya 

8.Pengambilan dadah dan alkohol yang berleluasa dan berlebihan. 

9.Terlibat dengan kegiatan gangster 

10.Kurang didikan agama sedari kecil 

11.Tidak takut Allah dan tidak cinta Rasul adalah punca utama wujudnya kumpulan Mat Rempit. 

Jalan penyelesaian budaya sosial ini ialah usahakan mereka mendapat didikan sedari awal, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

Ibu bapa bertanggung jawab penuh dalam memberi pengisian jiwa kepada anak-anak mereka. 


Ketengahkan ilmu tauhid, tasauf kepada anak-anak dari sedari kecil lagi. Supaya mereka takut Allah, cinta Nabi, rindukan alam akhirat, takut azab kubur, takut neraka, rindukan syurga . 

Apabila rasa-rasa keTuhanan bertapak di dalam hati maka sayugianyalah hati akan subur, hati atau roh hidup. Hati tidak akan senang dengan perbuatan yang melalaikan . 

Hati akan mengajak anggota pancaindera untuk tunduk kepada Allah dan akur kepada suruhan Nabi Muhammad SAW. Justeru itu gejala sosial akan dapat ditangani dan diatasi. 

Undang-undang dunia tidak akan mampu menangani masalah Mat Rempit. Mereka bukan makan saman pun. Polis traffik pun mereka boleh langgar dan rempuh. Berapa ramai polis traffik menjadi mangsa korban mereka. 

Penjara atau lokap pun bukan memberi kesan apa-apa pada hati mereka. Setelah keluar dari penjara, jil atau lokap lagi mereka mengganas, berdendam dengan pihak-pihak keselamatan jalan raya. 

Mereka akan menjadi samseng jalan raya yang lagi berganda persennya berbanding sebelumnya. 
Takut Allah, cintai Rasul serta gerunkan alam kubur, alam barzakh, alam akhirat sangat membantu Mat Rempit berubah dan insaf. 

Peranan ibu bapa hendaklah banyak berdoa supaya Allah lahirkan mereka anak-anak yang soleh solehah dari alam roh lagi ertinya dari dalam kandungan lagi ibu bapa hendaklah berdoa kepada Allah, lahirlah si anak yang taat , beriman dan bertaqwa . 


InsyaAllah dengan berkat doa dari ibu bapa , akan lahirlah generasi solafus soleh yang mengharumkan nama baik agama, bangsa dan negara. 

Amin Ya Allah.

http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

Akibat merempit, nyawa melayang




Hari ini anak-anak muda, belia remaja, suka sangat merempit. 
Menunggang motosikal laju-laju sambil membonceng awek di belakang, beraksi sakan di jalan-jalan raya, seolah-olah dunia ini ana yang punya.. 


Tunjuk power dan handal di celah-celah lori dan treller serta kenderaan-kenderaan lainnya di jalan raya. Sikap merempit ini sangat membahayakan diri Mat rempit dan Minah rempit, juga sangat membahayakan nyawa orang lain di jalan raya.Pecut motorsikal bagaikan kilat lajunya.

Aduh!.... Tidak sayang nyawa betullah kumpulan ini. 

Apa hendak jadi anak-anak muda zaman ini,minat sangat merempit, walaupun tidak ada faedah sedikit pun.Akan tetapi demi kepuasan nafsu mereka lakukan juga walaupun mereka tahu ianya sangat merbahaya.
                                     AKIBAT MEREMPIT  
Banyak terjadi kes-kes yang menyayat hati, ada yang terperosok di bawah lori, ada yang terburai isi perut dan berkecai daging di bawah perut treler dan lain-lain kenderaan yang besar-besar.

Ada yang terpelanting, terseret badan bersepai di jalanraya.
Mayat bergelimpangan di tengah-tengah jalan raya.Tidak kurang juga yang masuk hospital , cacat anggota sana sini akibat merempit.

Namun tidak insaf-insaf juga. Biasanya maut yang lebih ramai dari yang terselamat.Merempit satu amalan yang tidak wajar dan satu sikap yang amat bodoh.Jarang nyawa Mat rempit dapat diselamatkan sebab kemalangan yang berlaku semuanya dahsyat dan mengerikan. 





Biasanya Mat rempit mati di tempat kejadian.Tidak sempat mengucap walaupun satu kalimah,tidak tahulah bagaimana matinya di sisi Tuhan,apakah mati dalam iman atau sebaliknya.
Hanya Allah sahajalah yang Maha mengetahuinya.
Dari segi hukum adatnya mati kataklah namanya sebab dalam keadaan lupa Tuhan.Hati lalai dari mengingati Allah yang wajib disembah.  

Ada yang terputus kaki, ada yang badan terpotong-potong dan tercaing-caing, ada yang badan hancur lumat digilis kenderaan berat dan lain-lain keadaan yang mengerikan. 

Walaupun sudah banyak pengajaran namun kumpulan Mat rempit dan Minah rempit tetap tidak serik.walaupun sudah ramai Mat rempit dan Minah rempit (MATI KATAK) di jalan raya namun belum memberi keinsafan kepada yang tinggal,maseh juga mahu merempit semahu-mahunya. 

Ada yang leher dan tangan terputus, mata tersembol keluar , bebola mata tercampak di jalan raya tergolek-golek, amat menyayat hati namun Mat rempit tetap tidak lupus, makin ramai anak-anak muda suka merempit. 

Bermacam-macam aksi gila dilakukan oleh Mat rempit.Seronok-seronok akhirnya jadi tragedi yang menyebabkan ibu ayah separuh gila mendengar khabar anak-anak muda mereka tersungkur di jalan-jalan raya. 



Inginku berpesan kepadamu wahai sekalian Mat rempit dan Minah rempit, ambillah pengajaran dari apa yang telah terjadi kepada kawan-kawan kalian yang sebelum ini menemui ajal maut dengan begitu dahsyat dan mengerikan. 


Sayangilah nyawa anda , sebelum terlambat, insafilah .
Tinggalkanlah kerja-kerja yang tidak memberi faedah kepada diri dan keluarga serta negara.


Semoga kalian wahai Mat rempit dan Minah rempit dianugerahkan hidayah oleh Allah Taala . 

Amin Ya Allah. 

http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

Friday, 22 August 2014

BERKAT SELAWAT MALAYSIA SELAMAT


Selawat ke atas Baginda Junjungan Rasulullah SAW, sememangnya terlalu banyak kebaikan dan keberkatannya.


Benarlah kata-kata dari YM Habib Syeikh Assegaf bin Abdul Qadir Assegaf bin Abdul Rahman Assegaf,
"BERKAT SELAWAT MALAYSIA SELAMAT".


Selawat ertinya DOA.Puji-pujian dan mohon Allah limpahkan rahmat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah Taala bermaksud,
"Wahai orang-orang yang beriman!... berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan".
 ( Al- Ahzab ayat 56)


Kelebihan selawat mendapat Syafaat Kubra (yakni sebesar-besar syafaat) daripada Baginda Nabi Muhammad SAW.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Brg siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi 10 kali dan pada waktu petang 10 kali,maka dia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat".

Kita sangat memerlukan Syafaat Baginda Rasul di akhirat kelak kerana memandangkan kita terlalu banyak cacat celanya dan mempunyai dosa yang menggunung banyaknya.

Betapa penting dan perlunya kita berselawat supaya setiap doa kita diterima Allah.

Riwayat Ad-Dailami, "Setiap doa adalah terhalang , sehingga berselawat ke atas Nabi SAW".


Begitu sekali Allah melihat kepentingan selawat.Sebagai hamba yang banyak dosa dan iman kita pun iman akhir zaman ibarat senipis kulit bawang selayaknya banyakkan selawat.


Jalan keluar untuk doa kita dikabulkan Allah SWT ialah berselawatlah kepada Nabi SAW. Berselawatlah kepada Nabi Muhammad SAW seolah-olah kita mendapat "recommendation" daripada Baginda Rasul SAW.


Bila kita berselawat ke atas Nabi, maka Nabi pun menjawab selawat kita .Selawat baginda untuk kita, itulah doa untuk kita,untuk negara kita Malaysia tercinta.




Benarlah apa yang disarankan oleh Al- Habib Syeikh AsSegaf yakni "BERKAT SELAWAT MALAYSIA SELAMAT".


Kelebihan selawat mengikut pandangan para ulama diantaranya:-


1)Memperolehi limpah rahmat dari Allah.


2)Diangkatkan darjat.


3)Memperolehi kesempurnaan iman.


4)Dijauhi dari kerugian dan penyesalan.


5)Mendekatkan diri kepada Allah(Taqarrub Ilallah).


6)Memperolehi hubungan yang rapat dengan Nabi SAW.


7)Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki yang halal lagi berkat.


8)Melapangkan dada dan menenangkan jiwa.


9)Menghapuskan dosa dan menutup aib.


10)Terselamat dari kebinggungan di hari kiamat.


11)Terhindar dari kefakiran kerana kefakiran membawa kepada kekufuran.


12)Memperolehi keberkatan dalam hidup.


13)Menjadi sebab doa diterima Allah(Doa makbul).


14)Memudahkan jalan menuju dan memasuki syurga.


15)Memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat.


16)Memperolehi pujian seluruh makhluk di langit dan bumi.


17)Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati.


18)Menghilangkan rasa haus dahaga dari panas matahari di padang Mahsyar.


19)Dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti Titian Siratal Mustaqim di akhirat.


20)Terkabul segala hajat dan cita-cita.


21)Kuat ingatan serta menghapuskan penyakit lupa.


Gelaran kepada orang yang tidak minat berselawat ialah gelaran orang yang hina dan bakhil.




Petikan kata-kata Al- Habib Syeikh bin Abdul Qadir As Segaf, "Rasul adalah orang yang paling bahagia jika umatnya bisa bahagia. 
Selaku umat Nabi Muhammad SAW sewajarnya kita sering berselawat kepada Nabi kita. Jangan hanya mengaku umatnya tetapi tidak pernah berselawat kepada Baginda".

Semoga negara Malaysia tercinta Allah selamatkan dari sebarang ancaman musuh lahir dan batin dengan berkat selawat.


Amin Ya Allah.



Mintalah kepadaKu nescaya Aku kabulkan


Maha Baiknya Allah terhadap hamba-hambaNya.

Allah offer diriNya supaya hamba-hambaNya mintalah kepadaNya apa sahaja pasti akan dikabulkanNya.

Allah Maha Pemurah lagi Maha Adil.Allah tempat hamba-hambaNya mengadu, Allah tempat kita bergantung, Allah tempat kita minta tolong, Allah tempat kita mohon segala hajat.Allah tempat kita bermanja .Bahkan Allah adalah tempat kita mencurahkan segala isi hati kita.Allah tidak akan sia-siakan harapan kita terhadapNya.


Allah tempat kita berhibur, tempat kita menyelesaikan segala masalah .Allah Maha Mendengar apa sahaja permohonan dan permintaan kita.Allah Maha Mendengar apa yang hamba-hambaNya mohon bantuanNya.


Jangan sesekali kita prajudis dengan Allah.Sekiranya permohonan kita tidak diterima ertinya tentu ada hijab dan dosa yang menghalang Allah terima doa dan hajat kita. Jangan berputus asa , bertaubat terus menerus dan mohon lagi dengan penuh rasa hamba, dengan penuh mengharap agar Allah angkat doa dan munajat kita.



Allah sangat tahu apa yang ada dalam hati kita.

Allah sangat faham hamba-hambaNya.
Jangan sesekali kita kata Allah zalim , Allah tidak adil kerana tidak tunaikan hajat-hajat dan kemahuan kita.
Allah Maha Mengetahui apa yang baik,
apa yang buruk terhadap hamba-hambaNya.

Allah Maha Baik walaupun kita nampak seolah-olah Allah tidak sayang kepada kita contohnya Allah uji kita dengan ujian kesakitan.


Allah beri kita sakit sebab Allah hendak gugurkan dosa-dosa kita di dunia supaya kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih dari dosa.




Allah mahu kita bersabar dengan ujian sakit supaya Allah boleh beri kita pahala sabar yang tahap tertinggi yakni bighairil hisab.


Maha Baiknya Allah, di ujinya kita tetapi diberi ganjaran yang sungguh hebat di akhirat yakni syurgaNya,itu pun sekiranya kita sabar dan bersangka baik dengan ujian dariNya.

Beruntungnya bagi hamba-hamba Allah yang faham akan kerja Allah dan peranan Allah ke atas dirinya selaku hamba kepada Allah.Jika kita kenal Allah dengan matahati pasti kita redha dengan apa sahaja yang Allah tentukan dan taqdirkan dalam hidup kita,
Kita tidak akan mengeluh dan resah gelisah di atas apa sahaja cubaan dan dugaan dari Allah terhadap kita .

Kita akan bersabar, bertenang sambil berdoa  dan bermunajat agar Allah anugerahkan kita kekuatan yang luar biasa dalam mengharungi liku-liku ujian atau mehnah dari Allah.
Inilah bukti Allah beri perhatian dan sayang kepada hamba ciptaanNya.Oleh itu selayaknya Allah dicintai dan diagungkan.

http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

Monday, 18 August 2014

Pray For Malaysia, Doa untuk Malaysia







Alhamdulillah!.... nampaknya negara Malaysia, negara kita telah menyambut kemerdekaan negara yang ke 57 dengan mengadakan sambutan shalat hajat dan doa beramai-ramai di Dataran Merdeka pada hari Jumaat lepas (malam sabtu).ini satu perkembangan yang sangat positif untuk rakyat Malaysia.semoga Allah Taala berkati.Amin.

Lihat gambar-gambar suasana di bawah sekali


                         

Semoga dengan prihatinnya hamba-hamba Allah rakyat Malaysia memuja memuji Tuhan besar-besaran semoga tanah air bumi Malaysia di pelihara dan dibela Tuhan.

Semoga Pray For Malaysia, Doa untuk Malaysia dikabulkan Tuhan dan negara Malaysia terus Allah anugerahkan keamanan, kemerdekaan dan kedamaian yang berterusan. 
Amin.

Bermuhasabah.bertafakkur,berdoa,merintih ,bertaubat adalah sebaik-baik kaedah dalam Islam , semoga Allah memandang kita sebagai insan yang sentiasa bersyukur dengan kemerdekaan, keharmonian keamanan negara kita.

Orang yang tidak bersyukur nikmat yang ada padanya, akan Allah tarik nikmat semula . Jangan kita bersifat kufur atas nikmat yang Allah beri kepada kita selama ini.

Mendoakan kesejahteraan negara kita adalah kewajiban kepada kita semua. Segala ujian yang terjadi kepada negara kita adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita.

Tuhan mahu kita menyembahnya sepenuhnya. Tuhan mahu kita agungkan Dia.Tuhan mahu kita membesarkan Dia.Tuhan adalah Raja segala Raja .Dia berhak disembah, dibesarkan, diagungkan, di puja puji.

Menjaga keamanan, kemerdekaan,kesejahteraan negara kita adalah kewajiban kita sebagai rakyat Malaysia.Hanya kepada Allah sahaja yang selayaknya kita bermohon semuga Allah lindungi negara kita,supaya perasaan mahabbah , saling hormat dan menghormati ada dalam hati setiap anak-anak watan Malaysia.


Kita bersyukur kerana Allah merdekakan negara kita dari penjajah.Sambutan kemerdekan yang ke 57 disambut dengan membesarkan Tuhan adalah satu tindakan yang sangat tepat oleh pihak pemerintah negara kita.Ianya mesti disokong oleh seluruh anak watan.

Semoga ianya dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa.Semoga tanah watan mendapat keampunan Allah dan mendapat rahmat yang melimpah ruah.  

Semoga Allah memberi panduan , pimpinan kepada seluruh para pemerintah negara ini supaya mereka benar-benar meletakkan Allah dan Rasul ditempat yang sepatutnya.

Semoga musibah yang berlaku kepada MH 370 dan MH 17 benar-benar menjadi pengajaran dan iktibar agar rakyat Malaysia tidak lupa Allah yang Maha Mentadbir alam ini.Semoga apa yang berlaku itu mendekatkan kita kepada Allah , Tuhan semesta alam.

Wahai Tuhan kami berilah kemenangan kepada kami umat Islam di dunia ini.Menangkanlah Islam dan hancurkanlah musuh-musuhMu Ya Allah.

Ya Allah wahai Tuhan kami,merdekakanlah juga Palestin Gaza yang sedang dalam ujian berat kini.Tumpaskanlah musuh-musuhMu yang cuba menghancurkan Gaza.

Amin Ya Allah.