Sempena Ramadhan Al-Mubarak ini banyakkan taubat dan banyakkan muhasabah diri. (bertafakkur), mengenangkan dosa-dosa kita yang lepas, samada sengaja atau tidak, samada besar atau kecil, semuanya Allah akan ampunkan jika kita bersungguh-sungguh mohon keampunan kepada yang Maha Esa.
Di bulan Ramadhan inilah doa makbul terutama 10 malam terakhir. Malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan. Di malam Lailatul Qadar tidak tertolak segala munajat, hajat, taubat, rintihan dan permintaan kepada Tuhan yang Maha Agung.
Banyakkan niat sepanjang Ramadhan kerana Allah sangat Maha Mendengar akan apa sahaja yang terlintas di hati kita sepanjang Ramadhan.
Sayangnya Allah kepada kita hamba-hambaNya, di anugerahkan kita sebulan Ramadhan sebagai bulan untuk kita membersihkan hati nurani kita dari dosa dan noda.
Bulan Ramadhan bagaikan bulan hamba Allah over haul hatinya dari sifat nifaq dan sifat-sifat hati yang jahat dan tercela selama ini kepada sifat-sifat hati yang murni dan bersih.
Setahun sekali Ramadhan menjelma dan muncul bagaikan satu rahmat yang sangat besar kepada setiap insan.
Di bulan yang penuh berkat ini manusia diminta berubah dari jahat kepada baik, dari rakus kepada pemurah. Dari panas baran kepada sabar. Dari berperangai iblis ditukar kepada berhati malaikat.
Semoga Ramadhan kali ini memberi keberkatan yang sebenar-benarnya kepada kita sebagai hamba Allah.Dengan keberkatan itu layaklah kita meraih sifat taqwa dalam diri kita buat selama-lamanya.
Amin Ya Allah.