web stats

Friday 30 May 2014

Allah sebaik-baik Pencatur



Benarlah dunia ini adalah atas percaturanMu. 
Semuanya Engkau yang mencaturnya. 

Terjadinya malam dan siang silih berganti Engkau Pencaturnya. Terjadinya hujan panas silih berganti Engkau Pencaturnya.
Terjadinya sebuah kematian Engkau juga Pencaturnya. 

Engkau mencatur kematian dikalangan hamba-hambaMu. Tidak kira pangkat darjat, kecil besar, tua muda, miskin kaya , ibu, anak atau ayah , bayi atau janin dalam kandungan, Engkau mencatur semuanya.



Engkau mampu mencatur kematian semua insan, makhluk ciptaanMu apabila masa dan ketikanya sudah tiba.

Engkau adalah Pencatur kepada alam semesta ini, Panas, kemarau, banjir ataupun salji, semuanya percaturanMu yang Maha Hebat.
Tiada siapa yang mampu menghalang percaturanMu. 

Walaupun manusia hari ini mempunyai teknologi yang paling canggih . Semuanya Terpaksa akur atas percaturanMu.

Engkau suburkan tanam-tanaman atau matikan tanaman,binatang ternakan Engkau biakkan atau engkau pupuskan. Itu semua hakMu dan percaturanMu.



Engkau mencatur suami isteri hidup bahagia atau bercerai berai.Engkau mencatur segala apa yang wujud di muka bumiMu ini.Semuanya dalam kekuasaanMu dan PercaturanMu.

Engkau pencatur alam ini, Jika Engkau perintahkan Tsunami, maka berlakulah thunami yang amat dahsyat, begitu juga jika Engkau perintahkan berlakunya gempa bumi, ribut taufan, letupan gunung berapi , tanah runtuh, bangunan hangus, kapalterbang hilang, kapal laut karam, kenderaan rempuh merempuh berlakunya kemalangan di jalan raya, di lautan di angkasa raya dan dimana sahaja.Semuanya Engkau yang lakukan.


Engkau pencatur pada segala jamadat yang ada di muka bumi ini. Engkau lakukan semuanya tanpa campurtangan manusia sedikit pun.

Kun kata Engkau maka fayakunlah jadinya. Begitulah engkau mencatur dunia ciptaanMu ini.

Wahai umat manusia sekaliannya.... Gerunlah dengan percaturan dari TuhanMu yang Maha Mencatur. Tuhan boleh catur apa sahaja yang Dia mahu, kerana Dia adalah Raja segala Raja.Dia adalah Pencatur yang Maha Hebat, tiada tandingan bagiNya.

Wahai Umat manusia sekaliannya.... Surrenderlah dengan kehebatan Allah yang Maha Mencatur . Dialah Pencatur hidup kita dunia akhirat. Menyerah dirilah kepadaNya adalah sebaik-baik dan sebijak-bijak keputusan dari seorang hamba.



Semoga kita redha atas percaturan Tuhan terhadap diri kita. Baik buruk apa yang berlaku di dunia ini,semuanya dalam pengetahuanNya dan dalam genggamanNya.

Terimalah apa sahaja yang Tuhan aturkan dalam kehidupan kita kerana Tuhan Maha Tahu apa yang Dia caturkan. 

Semuanya Dia punya. Kita pun Dia punya. Sebaik-baik hamba ciptaan Allah , pasrahkan dirinya untuk dicatur oleh Zat yang Maha Segala Maha.

DALAM SUASANA APA MATINYA KITA???




Kematian demi kematian yang dikhabarkan melalui mediamassa cetak atau mediamassa eletronik semakin laju dan pantas.
Setiap hari ada saja kematian berlaku.

Ada yang mati di udara, ada yang mati di darat,ada yang mati di lautan,ada yang mati terbakar, ada yang mati lemas mangsa banjir , mati dihempap pokok, mati terjatuh longkang, mati tercampak dalam gaung, mati dipanah petir , mati dipatuk ular berbisa,mati dibaham harimau atau binatang buas, mati dipijak gajah, ada yang mati bersalin, ada yang mati sedang sujud kepada ALLAH dalam shalatnya, ada yang mati ditimbus tanah runtuh dan macam-macam lagi bentuk kematian seseorang insan.




Ada juga yang mati dibunuh, seperti mati ditikam, mati disembelih,mati dibom, mati diracun,termakan racun atau keracunan, mati digilis lori , mati diserang sakit jantung, mati diserang barah payu dara dan pelbagai penyakit kronik lagi. 

Ada yang mati tengah tidur,ada yang mati ketagih dadah, ada yang mati sedang memandu, ada yang mati sedang makan tercekik tulang, ada yang mati tersedak minum air, mati ditali gantung, mati dipancung dan macam-macam cara mati yang Allah lakukan kepada setiap hamba-hambaNya.

Apakah pula suasana dan punca kematian kita yang masih hidup ini?. Apakah matinya kita dalam husnul khaatimah atau dalam suk'ul khaatimah?. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui segala-galanya.



Apakah matinya kita sebagai matinya seorang yang muttaqin (bertaqwa), apakah matinya kita sebagai seorang mukminin (beriman) atau sebagai seorang muslimin( Islam)?.
Apakah matinya kita sebagai anak yang soleh atau solehah?. Apakah matinya kita sebagai seorang isteri yang solehah dan suami yang soleh?.

Hanya Allah sahaja yang mampu memberi jawapannya.
Ya Allah.... atas sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimMu, cabutlah nyawa kami sebaik-baik nyawa hambaMu yang dicabut.
Matikanlah kami dalam iman, dalam Islam.
Janganlah kami mati terhina lagi dimurkai olehMu .

Ada yang mati senang dan mudah.
Ada yang mati sangat susah dan azab sekali. 
Ada yang mati dalam kehausan , dahaga yang bersangatan. 
Ada yang mati mata terbeliak sambil menggelupur kepanasan.
Ada yang mati wajahnya senyum, bagaikan bayi sedang tidur di pangkuan ibunya. 
Ada yang mati harum wangi dan bersih jasadnya tiada najis waktu dimandikannya.

Ada yang mati mayat atau jenazahnya ringan walaupun badannya besar, ada yang mati badan kecil akan tetapi berat jenazahnya.
Ada yang mati muka berseri-seri, ada yang mati muka hitam gelap pekat dan menakutkan. 

Macam-macam keadaan mati setiap insan tidak sama.
Bergantung pada amal ibadahnya di sisi Tuhan .
Bergantung pada sejauhmana sucinya roh simati di sisi Tuhannya.




Juga bergantung pada sikap dan perbuatannya di dunia ini.
Sungguh mencemaskan , macamanakah matinya kita dan dikedudukan mana?.

Ya Allah..... Ya Tuhan kami...
Kami mohon kepadaMu, akhirilah kehidupan kami di duniaMu yang fana' ini dengan sebaik-baik kematian.
Taubatkanlah kami dan terimalah taubat kami yang selalu alpa dan lalai ini.

Ya Allah....Ya Tuhan kami......
Janganlah kami mati dalam durhaka kepadaMu.

Ya Allah ... Ya Tuhan kami.....
Kasihanilah kami yang kerdil lagi lemah ini.
Matikanlah kami dalam redhaMu dan restu NabiMu.
Ampunkanlah kami Ya Allah.....

Amin Ya Rabbal A'lamin.

Bicarahatiku sempena hari kelahiranku pada (1 Jun 2014)



Alhamdulillah!!.....
Segala puja dan pujiku panjatkan kehadratMu Ya Allah,
kerana masih lagi Engkau anugerahkan oksigen, turun naik nafasku dengan sesempurnanya juga meminjamkan umur kepadaku untuk terus hidup di muka bumiMu ini.

Hari ini hari lahirku buat kesekian kalinya. Amat terasa di qalbuku semakin lanjut usiaku semakin dekat aku dengan sebuah kematian yakni alam kubur (alam Barzakh).

Seolah-olah rumahku kata pergi... pergi... pergi... manakala kubur pula kata mari... mari... mari...

Dalam suasana begini.... diriku amat menuntut doa dari anak-anakku juga seluruh insan yang mengenaliku.



Diri ini tidak menuntut apa-apa lagi melainkan doa keselamatan agar diriku kembali kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera(Qalbun Saliim).

Hati yang sejahtera itulah yang lebih bermakna dari kek berlapis-lapis tingkat atau dari hadiah demi hadiah yang melalaikan.
Terharunya hati ini kerana di saat ini diriku masih bernafas dengan baiknya, namun apakah sedetik lagi daku akan terus diizinkan untuk bernafas ??? 

Apakah satu lahzah lagi daku terus boleh menghirup udara segar anugerah Allah ini???.

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahuinya dan Maha Tahu akan jawapannya.

Alangkah mahalnya kasih sayangMu dengan menganugerahkan daku oksigen dan pelbagai nikmat lagi. Maha Baiknya Engkau Tuhanku kepada hamba-hambaMu yang lemah ini. Aku bersyukur kepadaMu di atas semua anugerahMu ini.

Kematian Oh kematian...
engkau semakin hampir menjengukku,
semakin menggamit-gamitku, melambai-lambaiku
 sedangkan persiapanku untuk ke alam sana masih minus, masih belum cukup sebagaimana yang Allah kehendaki.

Oh..... Cemasnya... diriku, apabila mengenangkan persiapan lahir dan batinku yang masih belum cukup bekalan ini.
Kini .... genaplah usiaku separuh abad. Apakah amal ibadah yang ku lakukan sepanjang usia separuh abad ini sudah cukup menampung kekurangan ku di alam sana?.

Tanpa Rahmat dan Kasih sayangMu Tuhanku, rasanya daku masih belum selamat di alam sana.

Aduh !!... Terasa amat sedikitnya amal ibadah dan kebajikan yang ku lakukan berbanding dengan dosa-dosaku yang menggunung banyaknya terhadapMu.

Oh.... Tuhanku...
Di hari ini hambaMu yang kerdil ini amat merasakan bertambah cemasnya, apakah hambaMu ini mati dalam Husnul Khaatimah atau pun sebaliknya???.

 Ya Allah Ya Tuhanku!!..
HambaMu ini merayu janganlah Engkau matikan daku sebagai seorang Yahudi.... Jangan juga sebagai seorang Nasrani...
Atau sebagai seorang hamba yang muflis imannya.

Lebih-lebih lagi janganlah Engkau matikan daku sebagai seorang hamba yang durhaka (fasiq) dan syirik kepadaMu. Wal'iyazubillah....

Ya Allah.... Kasihanilah kepadaku, barang ciptaanMu ini... Selamatkanlah hatiku dari durhaka kepadaMu. Selamatkanlah hatiku dari menjadi orang yang Engkau murkai dan perangi.



Ya Allah... Anugerahkanlah daku hati yang sejahtera dari kejahatan hati yang boleh menyebabkan daku kufur nikmat kepadaMu.

Ya Allah.... Sejahterakanlah hatiku ini dari mazmumah, yang boleh menerjunkan daku ke LEMBAH NERAKAMU yang amat azab dan amat menggerunkan itu.

Ya Allah... Matikan daku sebagai matinya seorang Muslim (Islam), juga sebagai seorang Mukmin(beriman) yang bertaqwa di sisiMu.

Ya Allah... Walaupun hambaMu ini tidak layak untuk gelaran itu, namun daku mohon dengan belas ihsan dan rahmatMu Tuhanku..... 

Perkenankanlah munajat dan rintihanku ini... Seumur sisa-sisa baki usia ku ini Engkau redhailah hambaMu yang lemah ini.

Tempatkanlah hambaMu ini di tempat hamba-hambaMu yang bersyukur kepadaMu. Golongkanlah hambaMu ini ke dalam golongan hamba-hambaMu yang mendapat sebesar-besar rahmat dan keampunan(maghfirah) dari Mu.

Wahai Tuhanku.... Taubatkanlah diriku di atas taubat sempena Hari Kelahiranku yang ke 50 pada hari ini.

Semoga hidup dan matiku hanyalah uutukMu Ya Allah. Hanyalah untukmu Ya Nabiku dan hanyalah untuk mu wahai Agamaku (Islam).
Amin Ya Allah.


Thursday 29 May 2014

Wahai Tuhanku, hanya kepada Mu aku bersujud




Aku sujud kepadaMu Tuhan... dengan meletakkan muka dan wajahku ke lantai atau di atas sejadah, adalah bukti betapa Maha Agungnya Engkau Ya Allah.

Engkau adalah Tuhan yang berhak disembah dan Engkau adalah Tuhan yang wajib hambaMu bersujud kepadaMu dengan sujud yang benar-benar sujud, yakni sujud lahir dan batin.

Sujud seorang hamba membuktikan yang hamba sememangnya lemah (dhaif) dan tiada kuasa apa-apa. Walaupun ke atas dirinya sendiri.

Sujudku kepadaMu Tuhan kerana aku sangat mengharapkan keampunanMu, KeredhaanMu, rahmatMu dan kasih sayangMu.

Aku sujud kepadaMu Tuhan...
Aku mohon kembalikanlah kegemilangan Islam buat kali kedua sekali lagi sebelum Engkau ranapkan bumiMu ini seranap-ranapnya di akhir zaman nanti.
Apapun aku yakin janjiMu adalah PASTI.

Aku sujud kepadaMu Tuhan...
kerana Engkau adalah Tuhan (Allah) yang Maha Besar,
Maha Tinggi , Maha Hebat, Maha Mengetahui dan Maha Segala Maha.

Aku sujud kepadaMu Tuhan...
kerana aku mengharapkan pengampunanMu di atas segala dosa-dosaku yang lalu, mahupun yang kini atau yang akan datang.

Betapa banyaknya dosa-dosaku kepadaMu Tuhanku...
bagaikan buih-buih di lautan yang tidak bertepi.





Aku sujud kepadaMu Tuhan...
kerana aku ingin keselamatan daripadaMu iaitu keselamatan dunia dan lebih-lebih lagi keselamatan di akhirat kelak.

Juga ku mohon kepadaMu, datangkanlah segera pembela agama yakni Imamul Ummah sesegeranya kerana bumi ini sangat memerlukan kehadirannya.

Aku sujud kepadaMu Tuhanku....
kerana aku mengaku aku adalah barang ciptaanMu,
yang sangat memerlukanMu. 

Setiap nadiku berdenyut,
setiap kali nafasku turun naik,
setiap kali jantungku berdegup,
setiap kali anggotaku bergerak,
setiap kali mataku berkelip.

Tuhan!... aku sujud kepadaMu...
mohon aku ditaubatkan di atas taubat.
Janganlah Engkau biarkan aku diperkudakan oleh nafsuku yang jahat dan rakus ini, kelak aku akan menjadi bahan bakaran api nerakaMu yang amat panas itu.


Azabnya... Pedihnya... Aduh sakitnya...
Sesungguhnya aku hambaMu yang kerdil ini,
sememangnya hambaMu ini tidak mampu menghadapi siksaan api nerakaMu itu.

Wahai Tuhanku...
Aku sujud kepadaMu tanda pengabdianku kepadaMu .
Aku sujud kepadaMu buktinya aku mengaku Engkau adalah Tuhanku, Tuhan yang menciptakan aku dan juga alam semesta ini.

Aku sujud kepadaMu kerana tiada Tuhan yang lain untuk disembah melainkan Engkau yang layak disembah.

Aku sujud kepadaMu Tuhanku dengan memohon agar diriku dan sekalian zuriat-zuriatku supaya diselamatkan dari Fitnah Dajjal Laknatullah.

Aku sujud kepadaMu Tuhanku...
Kerana Engkau anugerahkan daku seorang Nabi dan Rasul akhir zaman yang sangat berjasa, berkorban, dan sanggup mati demi membawa kebenaran kepada umatnya,
agar umatnya tidak tersesat jalan.
Itulah dia Nabiku dan juga Nabi kepada Umat akhir zaman.

Aku sujud kepadaMu Tuhan...
kerana hanya kepadaMu sahajalah tempat aku bergantung,
tempat aku bermanja,
tempat aku mengadu,
tempat aku berlindung,
juga tempat aku memohon segala hajat dan kemahuanku
Hajatku yang amatku pohonkan,
adalah matikan aku dalam Husnul Khatimah.




Aku sujud kepadaMu Tuhan....
kerana aku merasakan tenang dan terhibur bercakap-cakap denganMu dalam sujudku itu.
Alangkah indahnya hidup bersamaMu Tuhanku.

Tuhanku.... 
Tolonglah jangan sia-siakan sujudku kepadaMu.
Semoga Engkau terima sujudku,
walaupun aku hambaMu yang berdosa.
Dengarlah rintihan hatiku dalam sujudku ini.

Ya Allah!...Ya Tuhanku.....
Perkenankanlah apa yang ku pinta dalam sujudku itu,
Wahai Tuhan ku.

Amin Ya Rabbal A'alamin.

Tuesday 20 May 2014

RINDU OH RINDU



Rindu adalah anugerah Tuhan kepada hamba-hambaNya.



Rindunya Nabi Junjungan besar kepada ummatnya, 

Ummati...
Ummati...
Ummati... 
Di bibir baginda sebelum pergi bertemu Ilahi, 
di negara yang kekal abadi.



Rindunya kita kepada Nabi...... 

Berselawatlah bertubi-tubi dan beribu kali dengan hati nurani yang suci murni.

Rindunya Nabi kepada Ilahi..... 

Shalat sampai pecah-pecah lutut, tumit dan kaki,
berdoa sampai hancur-luluh hati,
berjuang hingga hampir-hampir mati. 



Sanggup mengorbankan diri hingga terjatuh sampai patah gigi dan berdarah dahi. 


Rindu para sahabat kepada Nabi...... 

Hingga menitiskan air mata yang tidak terperi. 

Rindunya Saiyidina Bilal setelah wafatnya Nabi, 

amat dahsyat sekali dan menakjubkan hati, 
hingga ia tidak mampu menjadi muaazin lagi.

Rindu Oh Rindu........ 

Aku kepadamu wahai Nabi.
Rindu bagaikan lautan yang tidak bertepi.
Melihatkan maqammu dalam masjid Nabawi.



Tambah sayu dihati, pilu menyelubungi benak hatiku. 

hidup tanpa menyintaimu Ya Nabiku..... tiada erti.
Jiwa kosong hati sepi. 
Nur Muhammad penyeri diri.
Penawar bagi hati yang sunyi. 

Rindu Oh Rindu.....

Rindunya aku kepadamu wahai Nabiku.
Tidaklah hendaknya aku bertepuk sebelah tangan tanpa disahuti olehmu wahai Nabiku.



Semoga kerinduanku ini dibalasi.

Dengan Syafaatmu di Yaumul Mahsyar nanti,
tempat semua manusia diadili.

Ku mengharap kepadamu wahai Nabiku,

agar diriku sentiasa disisimu,
menjadi ingatan yang bersemadi dalam hatiku.



Rindu Oh Rindu.....

Sukarnya untuk diungkap bahasa hati, 
kerana perasaan rindu sangatlah maknawi.
Anugerahkanlah rinduku juga kepadaMu Ya Ilahi.
Rindu yang hakiki lagi sejati,
dari hambaMu yang dhaif ini.

Oh Tuhan kepada Nabiku.....

Izinkanlah kerinduan ini menjadi saksi di Akhirat nanti.
Di negaraMu yang kekal lagi abadi.

semoga rinduku kepadaMu, 
Ya Ilahi ...tidak berbelah bagi dalam hati, 
izinkanlah Ya Rabbi....
Rinduku kepadaMu dan Nabi...
Semoga rindu yang murni lagi hakiki.

Aamiin Ya Ilahi Rabbi.

Dalam kenangan Madinatul Munawwarah.

2011 yang lalu. 

Sepinya hatiku tanpaMu Tuhan.



Hati ini hakMu Ya Allah!!..
Hati ini milikMu wahai Tuhanku.
Hati ini tempat jatuhnya pandangan rahmat dan kasih sayangMu Ya Allah.

Hati ini tempat Nur Muhammad bertapak. 
Hati ini tempat Cahaya Iman .
Hati ini tempat pancaran cahaya taqwa.
Hati ini yang membezakan antara orang Tuhan atau team nafsu, syaitan dan iblis Laknatullah.
Hati ini sepi tanpaMu Tuhan...

Hati ini ketandusan tanpa Nur Muhammad.
Hati ini gersang tanpa sinaran iman dan Islam.
Hati ini sepi tanpa berzikir kepadaMu. 

Wahai Tuhan...
Penuhilah hati yang sekeping ini dengan takutkan Mu dan rindukan NabiMu.
Hiasi hati ini dengan mahmudah (sifat terpuji).

Suburkan hati ini dengan ingatkan kematian dan
rindukan alam akhirat.
Hati yang sesepi ini bajakan ia dengan tasbih dan istighfar.

Semoga hati ini tidak sepi lagi.
Akan tetapi ianya meriah dengan lautan hati yang riang ria dengan mendaulatkan kalimah Allah, 
membesarkan Zat Allah yang Maha Agung lagi Maha Perkasa.

Amin Ya Allah.

Sunday 18 May 2014

Bagaimana hendak khusyuk dalam shalat?!!...


Al-Kisahnya!!!...
Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf,
sangat warak dan khusyuk shalatnya.
Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk.



Lantas dia selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Begitulah sifat tawaduk yang diperintahkan Allah untuk dicontohi oleh sekalian umat manusia yang inginkan keselamatan hatinya di sisi Allah Taala. 

Pada suatu hari.....,
Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdur Rahman, bagaimanakah caranya Tuan shalat?"
Hatim berkata, "Apabila masuk waktu shalat, aku berwudhu' zahir dan batin."



Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"
Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air, sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1- Bertaubat
2- Menyesali dosa yang telah dilakukan
3- Tidak tergila-gilakan dunia
4- Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riya')
5- Tinggalkan sifat berbangga
6- Tinggalkan sifat khianat dan menipu 
7- Meninggalkan sifat dengki.

Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan mengadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:-

1. Aku sedang berhadapan dengan Allah
2. Syurga di sebelah kananku
3. Neraka di sebelah kiriku
4. Malaikat Maut berada di belakangku dan
5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa shalatku kali ini adalah shalat terakhir bagiku.

Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa di dalam shalat, aku faham maknanya.

Seterusnya aku rukuk dan sujud dengan tawaduk,
aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas.
Beginilah aku bershalat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar
menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.



Sabda Nabi maksudnya " ilmu itu milik Tuhan, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, insyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya".
 
 

Ya Allah ...Ya Tuhan kami...
Semoga sedikit sebanyak cerita di atas bolih membantu kami semua mendapatkan shalat yang khusyuk.



Walaupun masih jauh untuk kami yang kerdil dan serba lemah ini memperolehinya, akan tetapi niat untuk mendapatkannya itu. Semoga Engkau menilainya dari saat ke saat sebagai amal ibadah.

Ya Allah ....
Hindarilah kami dari dihumbankan ke dalam dasar Neraka WailMu, kerana Neraka Wail itu adalah tempat hamba-hambaMu yang lalai dalam shalatnya.

Wal'iyazubillah......

Ya Allah!!...Ya Tuhan kami...
Ampunkanlah kami atas kelalaian kami selama ini.
Tubna Ilallah........
Ampunkan kami Ya Allah...

Kasih Ibu membawa ke Syurga



IBU...

Jasamu tetap ku kenang sepanjang hayatku.
Pengorbananmu amat disanjung tinggi.
Dikaulah permata hatiku.  

Siang dan malam engkau terus berdoa kepada Tuhan demi keselamatan anak-anakmu ini.
Apabila mengenangkan jasa-jasamu wahai IBU...



Memang tiada apa yang mampu dibalas melainkan sebuah "DOA" dari anak-anak yang soleh dan solehah.


IBU...

Wajahmu tenang walaupun terpaksa harungi pelbagai ujian kehidupan bersama anak-anakmu.

Dirimu amat rela melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anak-anakmu.




Itulah dia hati seorang insan yang bergelar "IBU".

Balasilah jasa-jasa IBU dengan berkhidmat kepadanya atau dengan menghiburkan hatinya atau dengan memberi kasih sayang yang setulus-tulusnya pada seorang wanita yang bernama "IBU".

Terimakaseh padamu "IBU" kerana dirimulah maka lahirnya aku ke dunia ini....Semuga hidupmu dirahmati Allah dunia dan akhirat buatmu "IBU".




Terimakasih Tuhan atas anugerahMu kurniakan daku seorang "IBU".

Benarlah syurga di bawah telapak kaki IBU. 

Mengenangkan pengorbananmu terlalu hebat terhadap anak-anakmu.

Tuntutlah redha seorang IBU kerana redha IBU adalah redha Allah jua.

Janganlah menjadi anak durhaka seperti Al-Qamah , sukar untuk mengucap 2 kalimah syahadah bila hendak mati.


Ketahuilah wahai anak-anak!...
Gugurnya setitis air mata seorang IBU ke bumi ini, maka murka Allah seluas langit dan bumi juga seisinya.




Redha dan keampunan IBU membawa ke syurga. Perolehilah redha dan restu IBU untuk selamat dunia dan akhiratmu wahai anak-anak.


Amin Ya Rabbal A'lamin

Kes buang bayi semakin berleluasa



Negara  hari ini  sedang berhadapan dengan isu-isu sosial yang semakin kronik dan membimbangkan semua pihak.

Kejadian salah laku pelajar seperti bergaduh,mendera, buli membuli,tumbuk menumbuk bahkan ada yang sanggup membunuh kerap dipaparkan di dada-dada akhbar dan di televisyen.


Kehadiran gejala sosial ini selari dengan perkembangan kemajuan negara dan sangat memberi implikasi besar kepada kesejahteraan hidup individu , masyarakat dan negara.

 

Barah zina dan kes buang bayi semakin meningkat.

Bayi dibuang dan dibungkus dengan daun pisang,dengan kain buruk dan sebagainya.
Bahkan ada yang dibuang dalam tandas, tong-tong sampah, pondok buruk dan perigi buta.
Paling menyayat hati bukan sahaja bayi dibuang malah ada bayi yang dibakar, digigit anjing dan dimakan ulat kerana sudah mati serta menjadi bangkai yang busuk.

Ini kerana semata-mata hendak menjaga aib atau menutup malu, mereka sanggup membunuh anak yang dikandungnya dan dilahirkannya.Memang kejam ibu yang begini.
Sanggup membunuh nyawa  yang tidak berdosa itu.
MasyaAllah!...Astaghfirullah!...

Hendak jadi apa manusia akhir zaman ini?.

Sudah tidak tahu nilai-nilai kasih-sayang, anak sendiri pun sanggup digugurkan ,dibuang di merata-rata tempat yang belum tentu selamat dan tidak diketahui orang.
 
 

Binatang seperti kucing pun tahu sayangkan anak.Inikan pula manusia, nampaknya manusia hari ini lebih zalim daripada binatang.Tidak ada hati perut dan perasaan lagi sesama manusia.


Sungguh memilukan namun ianya sudah menjadi bahan paparan dalam akhbar-akhbar dan berita-berita yang sangat memalukan kaum keluarga dan saudara-mara juga masyarakat setempat.


Ibnu Umar berkata bahawa sanya Baginda Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud,

"Sesiapa yang mengabaikan anaknya dan mencelanya di dunia ini maka Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi akan membongkar cacat celanya pada hari kiamat di hadapan para saksi sebagai balasan yang setimpal",

Masalah perzinaan berlaku begitu berleluasa sekarang ini di mana sahaja, di merata tempat.
 

Bahkan yang lebih menakutkan kes-kes melahirkan bayi tanpa bapa sudah menular pada remaja yang masih di alam persekolahan.

Mengandung di bawah umur menjadi perkara biasa.

Hal ini terjadi kerana :-

1.Tidak takut Tuhan yang Maha Menghukum dan Maha Mengadili.


2.Tidak ada ilmu agama yang cukup untuk mendidik hatinya agar menjauhi maksiat , dosa-dosa besar seperti zina ,sumbang muhram dan lain-lain.


3.Terlalu bebas pergaulan antara lelaki perempuan yang bukan muhram  bahkan ke sana ke mari berdua-duaan, tidak kira siang atau malam, 

bagaikan pasangan suami isteri sedangkan masih belum punya apa-apa hubungan secara sah sebagai suami isteri.

4. Ibu ayah terlalu sibuk bekerja di luar hinggakan tidak sempat meluangkan masa untuk anak-anak. 

Anak-anak terbiar dan kurang mendapat kasih sayang yang secukupnya maka terlibatlah dengan gejala social.
Akhirnya terjebak dengan zina dan lain-lain kejahatan dan maksiat .

5.Tidak takut seksa kubur, alam barzakh dan neraka kerana hati buta, nafsu diperturutkan.Ini berlaku kerana cetek ilmu agama.


6.Didikan dari ibu bapa terlalu memanjakan dan memewahkan anak-anak, menyebabkan mereka rosak akhlak dan tergadai maruah dirinya.

 
Anak-anak diberi segala kemewahan , apa saja kehendak mereka diturutkan hingga ke mana mereka pergi, ibu bapa biarkan.    Kononnya sebagai bukti kasih sayang kepada si anak, lebih-lebih lagi jika si anak itu adalah  anak tunggal, ditatang bagaikan minyak yang penuh, si anak jadi melampau, tidak tahu hendak bersyukur bahkan hidup dalam suasana bebas dan sukar untuk dinasihati.

Apabila terlibat dengan Mat rempit, Minah rempit, berpoya-poya ke sana ke sini, akhirnya terjebaklah dengan dadah, arak, judi, disco, berpeleseran , terlibatlah dengan zina dan perbuatan keji yang dimurkai Allah.


7-Peranan media massa

yang terlalu canggih sehinggakan segala maklumat dan informasi boleh diperolehi tanpa sekatan dan tapisan.

Paparan adegan-adegan negatif (Blue Film) dari filem-filem barat yang menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin mencuba sendiri mengikut apa yang ditontonnya.


8-Internet 

Teknologi informasi dan komunikasi (ICT) juga turut menyumbang gejala sosial yang negatif menular dengan laju dan pantasnya.

9-Cara berpakaian terlalu menjolok mata kaum lelaki dan tidak mengikut syariat. Pakaian dipakai seolah-olah tidak berpakaian sama sekali.


Berpakaian yang menampakkan aurat wanita, terlalu nipis,jarang, ketat dan terbuka sana sini, merangsang nafsu kaum lelaki.

Justeru itu menyebabkan berlakulah kes-kes rogol dan seks bebas .  
Ini semua berlaku kerana berpunca dari nafsu dituruti , hati tidak dibawa takutkan Tuhan, cintakan Nabi,gerunkan neraka dan rindukan syurga. 

Akhirnya jadilah manusia hidup bagaikan haiwan yang tidak tahu malu , tidak tahu gerun dengan Allah dan tidak takut dengan azab neraka Jahanam.


Firman Allah membawa maksud,

"katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman "hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu,
adalah lebih suci bagi mereka,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".
(Surah An-Nur ayat 30).

Apa yang berlaku ini adalah salah satu antara alamat kiamat yang sudah hampir .Dunia dan penghuninya sudah rosak serosak-rosaknya.



Perzinaan mengakibatkan keturunan tidak lagi bersih dan sangat merosakkan keturunan datuk nenek moyang.
Keturunan zina ini jika tidak ditaubatkan sungguh-sungguh , keturunan inilah yang sangat disukai syaitan, iblis laknatullah dan maharaja sihir akhir zaman (Dajjal Laknatullah).

Menurut sejarah, Dajjal itu terdiri daripada keturunan zina yang berlapis-lapis samada sebelah ibunya atau sebelah bapanya dan Dajjal sangat bangga dengan keturunan zina yang tidak ditaubatkan, supaya semuanya menjadi para pengikutnya apabila dia zahir nanti.

Wal'iyazubillah........

Semoga kita dan seluruh keturunan kita, Allah selamatkan daripada terjerumus ke lembah maksiat,dijauhi daripada melakukan dosa-dosa besar yang boleh menjadi hijab kepada masyarakat,negara dan seluruh alam buana ini. 
Kita mestilah berdoa bersungguh-sungguh agar keturunan kita tidak menjadi para pengikut Dajjal Laknatullah itu. 

Amin Ya Allah



Tuesday 13 May 2014

Kisah seorang Badwi- bersama Rasulullah SAW

 
Suatu hari Rasulullah Muhammad SAW sedang tawaf di Kaabah, baginda mendengar seseorang di hadapannya bertawaf sambil berzikir: "Ya Karim ! Ya Karim !"
Rasulullah SAW meniru zikirnya "Ya Karim ! Ya Karim !"
Orang itu berhenti di satu sudut Kaabah dan menyebutnya lagi "Ya Karim ! Ya Karim !" Rasulullah yang berada di belakangnya menyebutnya lagi "Ya Karim ! Ya Karim !"

Orang itu berasa dirinya seperti di perolok-olokkan, lalu menoleh ke belakang dan dilihatnya seorang lelaki yang sangat tampan dan gagah yang belum pernah di lihatnya sebelum ini.

Orang itu berkata, " Wahai orang tampan, apakah engkau sengaja mengejek-ngejekku, kerana aku ini orang badwi? Kalaulah bukan kerana ketampanan dan kegagahanmu akan kulaporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah."
Mendengar kata-kata orang badwi itu, Rasulullah SAW tersenyum lalu berkata: "Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?"
"Belum," jawab orang itu.
"Jadi bagaimana kamu beriman kepadanya?" Tanya Rasulullah SAW.
"Saya percaya dengan penuh atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya dan membenarkan perutusannya walaupun saya belum pernah bertemu dengannya, " jawab orang Arab badwi itu.

Rasulullah SAW pun berkata kepadanya: "Wahai orang Arab, ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat."
Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya lalu berkata, "Tuan ini Nabi Muhammad?" "Ya," jawab Nabi SAW.

Dengan segera orang itu tunduk dan mencium kedua kaki Rasulullah SAW.
Melihat hal itu Rasulullah SAW menarik tubuh orang Arab badwi itu seraya berkata, "Wahai orang Arab, janganlah berbuat seperti itu. Perbuatan seperti itu biasanya dilakukan oleh seorang hamba sahaya kepada tuannya.
Ketahuilah!... Allah mengutus aku bukan untuk menjadi seorang yang takbur, yang minta dihormati atau diagungkan tetapi demi membawa berita gembira bagi orang yang beriman dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya."

Ketika itulah turun Malaikat Jibril untuk membawa berita dari langit, lalu berkata, "Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: "Katakan kepada orang Arab itu, agar tidak terpesona dengan belas kasih Allah. 
Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di Hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil mahupun yang besar. "
Selepas menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi. 

Orang Arab itu pula berkata, "Demi keagungan serta kemuliaan Allah, jika Allah akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan denganNya. "
Orang Arab badwi berkata lagi, "Jika Allah akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maghfirahNya. Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa luasnya pengampunanNya. Jika Dia memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa dermawanNya."
Mendengar ucapan orang Arab badwu itu, maka Rasulullah SAW pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu sehingga air mata meleleh membasahi janggutnya.

Lantaran itu Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata, "Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: "Berhentilah engkau daripada menangis, sesungguhnya kerana tangisanmu, penjaga Arasy lupa bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga ia bergoncang. Sekarang katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan menghitung kemaksiatannya. 


Allah sudah mengampunkan semua kesalahannya dan akan menjadi temanmu di syurga nanti. "
Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengar berita itu dan menangis kerana tidak berdaya menahan rasa terharu.


Ath-Thaahirah - Gelaranmu Sayyidatina Khadijah Binti Khuwailid






Engkaulah Wanita Teladan-Sepanjang Zaman. Engkaulah wanita yang paling mulia dunia akhirat. Sayyidatina Khadijah Binti Khuwailid lahir di Mekah pada tahun 63 sebelum Hijriah.
Ayahmu Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai bin Kilab (datuk Baginda Rasulullah Saw), Maknanya nasabmu bertemu dengan nasab Baginda Rasulullah SAW.

Engkau seorang wanita yang sangat cerdik, cerdas dan dikagumi kaum Quraisy kerana budi pekerti mu yang sungguh menakjubkan. Sejarah mencatatkan kaum Quraisy menganggap dirimu Ratu Quraisy atau Ratu Mekah kerana kekayaanmu dan perniagaanmu sampai ke negeri Syam. Modal perdagangan atau perniagaan besar hingga mengkagumkan penduduk Mekah.

Terlalu ramai jejaka terhormat dari kalangan bangsawan Mekah ingin meminangmu wahai Sayyidatina Khadijah , namun semuanya engkau tolak dengan baik.


Suatu hari Maisarah seorang pekerjamu telah pergi berdagang ke Syam bersama Nabi Muhammad, pesananmu kepada Maisarah, kamu harus ikut dan taat apa sahaja yang datangnya dari Muhammad.

Sekembalinya dari Syam, Maisarah menceritakan kepadamu bahawa perdagangan di Syam bersama Nabi Muhammmad sangat maju dan untungnya sangat banyak. Kejujuran, amanah dan ketelusan Nabi Muhammad sangat memikat hatimu.

Wahai Sayyidina Khadijah Al-Kubra , harum namamu dalam sejarah Islam , harum juga namamu sebagai pendamping Baginda Rasul yang sangat disayangi Baginda juga sejarahmu tetap gemilang dan dikenang sepanjang hayat umat manusia di dunia ini .

Sehinggakan Baginda Rasul pernah bersabda , "Demi Allah, Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku disaat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfaqkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain". (HR Ahmad).

Engkau sumber inspirasi Baginda Rasul juga sebagai tempat meniup semangat juang Baginda Nabi akhir zaman.Namamu harum bukan saja pada wajahmu yang cantik, rupawan, jelita namun harum pada akhlak dan keperibadianmu yang sangat luhur dan suci murni itu.

Dikau adalah wanita pertama yang beriman pada Allah dan Rasul, dari keturunan terhurmat dan bangsawan Quraisy. Harum semerbak mewangi namamu dunia akhirat.

Dirimu mempunyai semangat yang tinggi, ketajaman daya fikirmu amat diakui oleh sejarah ,walaupun dirimu seorang janda sebelum mengahwini Nabi, namun dirimu sangat menjaga kehormatan dan maruah diri sehinggakan engkau digelar Ath-Thaahirah (Wanita yang suci).

Seorang ahli perniagaan yang banyak harta. Kaya dan sangat ada karisma dan prinsip hidup.Saat Baginda berumur 25 tahun, dirimu dalam usia 40 tahun. Ketika inilah dirimu memohon agar Baginda Rasul meminangmu dan sekaligus memperisterikanmu.

Akhlak Baginda Rasul yang amanah, jujur, bijaksana, taat dan seribu kepujian lagi yang ada pada Baginda Rasul telah menggamit hatimu untuk berkahwin dengan Baginda Rasul sebagai suamimu dunia akhirat.

Dengan disaksikan oleh bapa saudara Baginda Rasulullah( Abu Talib dan Hamzah bin Abdul Mutalib) melamarmu dengan mahar 20 ekor unta muda.

Pada tahun 595 Masihi telah sahlah mereka suami isteri di sisi Allah dan agama. Perbezaan usia dan harta antara dirimu dan Nabi tidak menjadi masalah kerana cinta yang tulus antara sesamamu sangat hebat dan juga pengabdianmu dan Baginda Rasul kepada Allah SWT yang sungguh mendalam.

Hasil pernikahan ini dirimu berdua dianugerahi 6 orang anak.2 lelaki ( Al-Qasim, Abdullah) dan 4 perempuan (Zainab,Ruqayyah,Ummu Kalsum dan Fatimah Az-Zahra').
Cita-cita murnimu itu telah ditunaikan maka berlakulah percantuman hati antara dua jiwa yang mulia ini di sisi Allah SWT. 


Setelah menjadi isteri kepada Utusan Allah, dikau wahai Sayyidatina Khadijah merupakan manusia pertama yang shalat di belakang Nabi SAW bersama Sayyidina Ali KWJ.

Segala hartamu diinfaqkan untuk Islam.Bahkan hambamu Zaid bin Haritsah pun diserahkan kepada Baginda Rasul, terus Baginda menerima Zaid sebagai anak angkatnya.

Kemuliaan Zaid juga termasuk orang yang paling dekat dengan Baginda Rasul dan merupakan salah seorang yang berada di saf pertama waktu shalat di belakang Nabi.

Dirimu sangat setia dan sangat menjadi pendorong utama kepada Baginda dalam menyampaikan dakwah Islam juga menjadi pembakar semangat di waktu Baginda diuji dan teruji.
Engkau Wahai Sayyidatina Khadijah tidak pernah berputus asa bahkan bersemangat waja dalam berdakwah memperkenalkan Tuhan dan utusan Allah di tengah-tengah masyarakat kaum Quraisy.


Sayyidatina Khadijah ini seringkali memberi pembelaan terhadap suaminya (Rasulullah) dalam apa jua keadaan sekalipun.Dikau sentiasa berada di samping suamimu, (Utusan Allah)itu.

Begitu mulianya Sayyidatina Khadijah sehinggakan Malaikat Jibril mendatangi Baginda Rasul sambil berkata"Wahai Rasulullah ...ini dia Khadijah.Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman.Bila ia datang kepadamu,sampaikanlah salam padanya dari Rabnya(Tuhannya) dan dariku(Jibril) dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumahnya di dalam syurga dibuat dari mutiara, emas dan perak,yang tidak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan".

Sayyidatina Khadijah terus menjawab salam itu dengan katanya "Allah Maha Penyelamat daripadaNya keselamatan dan kepadaNya pula kembali keselamatan, semuga keselamatan atas Malaikat Jibril".
HR Shahih Bukhari.



Pada tahun 616 Masihi kaum Muslimin telah diboikot kaum kafir Quraisy kerana marah sangat kepada Baginda Rasulullah dan kaum Muslimin kerana berdakwah , boikot ini berlangsung selama 3 tahun.

 Sayyidatina Khadijah jatuh sakit , setelah pemboikotan dihentikan.Maka Sayyidatina Khadijah meninggal dunia setelah berumur 65 tahun. Inilah tahun yang paling menyedihkan Nabi SAW.Tahun itu dinamakan (Tahun Kesedihan).

Sayyidatina Khadijah dimaqamkan di Kompleks Pemaqaman Ma'la di Mekah.Ia dimaqamkan bersebelahan dengan maqam anaknya Abul Qasim.

Begitulah sejarah memaparkan kepada kita wanita contoh suri tauladan ini untuk dicontohi. Hatinya penuh mendalam beriman kepada Allah dan Rasulullah SAW. Sangat berkorban untuk Islam dan sangat setia pada suaminya. 
Wanita syurga yang sangat Allah muliakan. 

Semoga ada rezeki kita untuk bersamanya di dalam syurga Allah nanti. Al Fatehah buatmu wahai wanita idola ummah .

Amin Ya Rabbal A'alamin

 http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1