web stats

Wednesday, 31 December 2014

MALAM CINTA RASUL 2015




Alhamdulillah...segala puja dan puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.Selawat dan salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dengan ucapan "Allahumma solli'ala Sayyidina wa Maulaana Muhammad, Wa'ala aa'lihi wasobbihi wasallam".

"Berkat Selawat Malaysia Selamat".

Alhamdulillah... sungguh bergema Kalimah Toyyibah  dan selawat Nabi dikumandangkan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada hari Rabu malam Khamis bersamaan akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015 Masihi..

MasyaAllah....terharunya hatiku ini menyaksikan Malam Cinta Rasul yang dilangsungkan di Dataran Merdeka tersebut.
Maha Besar Allah atas apa yang terjadi (musibah banjir besar), sehinggakan kerana itu manusia menyerah diri padaMu Ya Allah.


Lagu Taubat (Ilaahilas tulilfirdausi ahlaaa......) dikumandangkan beramai-ramai dengan penuh syahdu, dengan alunan suara yang rasa berdosa dan bersalah pada Allah.Terasa suasana Islam telah menerjah ke hati sanubari umat Islam Malaysia tercinta.

Doa juga dipanjatkan ke Hadrat Allah Taala, agar Allah pulihkan bencana alam berupa banjir besar bagaikan Tsunami jadinya.
Bah atau banjir besar yang mengganas merempuh melanda Pantai Timur dan bumi Malaysia dengan begitu dahsyat sekali.Dikatakan banjir terburuk pada tahun ini.

Tentulah Nabi Roh, Nabi Akhir Zaman terharu dan terhibur melihat umatnya sudah mula dekat hatinya dengan Allah dan sudah mula merindui dan menyintai Nabinya.

Melalui program Selawat Perdana ini,rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam semakin bersatu hati dan berkasih sayang.Malam Cinta Rasul 2015 dihadiri seramai 200,000 orang membanjiri dataran Merdeka Kuala Lumpur. 
Dimeriahkan lagi Malam tersebut dengan paluan kompang yang sungguh menghiburkan.

Ya Nur Muhammad...
Engkaulah pemilik Syafaat Kubra di Yaumul Mahsyar kelak.Anugerahkanlah kami Syafaatmu itu Ya Rasulallah SAW.





Ya Alllah...Ya Rasulallah SAW....
Dengan bersatunya hambaMu ini Ya Allah, dengan berpadunya umatmu ini Ya Rasulallah SAW, maka tolonglah, angkatlah bala bencana yang menimpa bumi ini, khususnya bumi Malaysia tercinta.

Ya Allah Ya Rasulallah SAW...
Berkatilah bumi Malaysia khususnya dan amnya seluruh dunia.Jauhilah segala mala petaka yang sangat menggerunkan kami.

Ya Allah janganlah Engkau goncang dan hancur musnahkan bumi ini hingga kami lari bertempiaran ke atas-atas bukit dan gunung-ganang, sedangkan larinya kami tidak juga kami selamat, jika Engkau tidak pelihara kami yang kerdil ini.

Ya Allah atas nama NabiMu...Rasulullah SAW,
Berkatilah bumi Malaysia dan bumiMu seluruh dunia.
Sesungguhnya keampunan dariMu yang kami dambakan.

Malam Cinta Rasul benar-benar menggamit hati seluruh kaum Muslimin, agar berusaha untuk merebut rasa cinta serta takut Allah dan rindu Nabi.Malam tersebut terasa sungguh bahawa Allah diAgungkan,diTinggikan,diEsakan dan diBesarkan.

Nabi pula dimuliakan, dipuji, dan dicintai.Selama ini kita menyambut tahun baru mengikut kalendar Masihi dengan program-program yang amat menghina Allah dan Baginda Rasulullah SAW.

Apa tidaknya, dalam program sebelum ini berlakunya perlanggaran syariat , pergaulan bebas antara pemuda pemudi yang tiada batasannya, lebih Barat dari Barat, bahkan ada yang tersasar hingga berlakunya perbuatan-perbuatan terkutuk dan sebagainya. 

Alhamdulillah...disebalik mehnah dan musibah banjir besar Tsunami ini, rupanya penuh dengan rahmat dari Allah, walaupun kita lihat secara zahirnya negatif, akan tetapi disebalik musibah terkandung di dalamnya jutaan rahmat dan hikmah.

Suasana Syiar Islam mula terasa bahangnya, apabila ujian besar Allah timpakan.Ianya telah mengajak rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam,bermuhasabah, bertafakkur,bertaubat di atas dosa-dosa .

Majlis taubat dengan kata-kata mohon keampunan dari Allah "Tubnailallah" sungguh menghancur luluhkan hati bagi yang hatinya tidak buta dan hidup.Kita mengharapkan pengampunan Allah dan bertaubat. 

Kalau sebelum ini di "Ambang Tahun Baru" disambut dengan nyayian Rock dan lain-lain lagi yang menyebabkan terloncat-loncat, terjerit-jerit, terkinja-kinja sana sini dengan hiburan yang melampau batas, akan tetapi Alhamdulillah pada akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015 Masihi, disambut dengan penuh keberkatan dan keinsafan.Harap Allah nilai sebagai ibadah.

Semoga awal tahun 2015 ini dirahmati Allah kerana program sambutannya sangat Islamik, penuh dengan amal ibadah seperti shalat Insyak berjamaah,shalat hajat beramai-ramai, zikir-zikir, selawat-selawat ,qasidah munajat, bacaan doa, taubat, nasyid-nasyid yang membesarkan Allah dan RasulNya.

Lagi meremang bulu roma dan terasa kebesaran Allah,
apabila laungan yang menusuk ke jantung hati, Takbir!Allahu Akbar! Takbir!Allahu Akbar!Takbir!Allahu Akbar!.
MasyaAllah! Subhanallah. 

Sekiranya ada yang mati dalam perhimpunan Perdana ini, semoga syahidlah hendaknya dan termasuk ke dalam golongan hamba yang diredhai Allah dan Nabi.Amin.

Semoga program seperti ini dapat diadakan sentiasa bukan hanya sekali sekala  dan waktu-waktu tertentu sahaja.Semoga Nama Allah dilaung-laungkan bergema sentiasa.Nama Nabi Muhammad Rasulullah SAW,digembar gemburkan setiap masa.Barulah turunnya keberkatan dari langit dan bumi.Turunnya keberkatan dari semua penjuru dunia, Timur,Barat,Utara dan Selatan.  

Semoga rakyat Malaysia dan umat Islam di mana sahaja, disinari cahaya NUR MUHAMMAD dan kembali menuju jalan Allah yang lurus hingga akhir hayat.Semoga segala permintaan dan hajat dimakbulkan Allah hendaknya sempena Malam Cinta Rasul 2015.

Jadilah kita umat Nabi Muhammad yang menepati dengan Firman Allah Taala yang membawa maksud,
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman dengan Allah dengan sebenar-benar beriman".
(Surah Ali'Imran 110).

Amin Ya Rabbal Aa'lamin.

Tuesday, 30 December 2014

MUNAJAT SEORANG HAMBA




Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas NabiMu Nabi Muhammad Rasulullah SAW.



Wahai Tuhan Cinta Agung kami..... 
Tolonglah kasihanilah kami yang amat lemah dan tidak berdaya ini...
Tolonglah Ya Allah.....Ya Tuhan kami....

Kami merayu padaMu Ya Allah.... 
Perintahkanlah tentera airMu untuk surut dan masuk ke dalam perut bumi hingga ke dasarnya, serta menyerapkan air sepantas kilat untuk keringkan bumiMu ini, agar kembali pulih dari banjir yang amat dahsyat ini.



Ya Allah Wahai Tuhan Cinta Agung kami....
Tolonglah hentikan hujan yang mencurah-curah ke bumi,
agar bumiMu ini kembali stabil dan pulih seperti sediakala.
Turunlah hujan sekadar hujan rahmat dariMu,
agar bumi ini tidak ketandusan dan tidak kekeringan panjang (kemarau).

Ya Allah Wahai Tuhan Cinta Agung kami...
Perintahkanlah langit agar tidak menitiskan lagi air hujan ke bumi, yang membinasakan bumi dengan banjir yang merosakkan segala-galanya.

Kasihanilah kami hamba ciptaanMu ini Ya Allah.
Kami tidak berdaya melawan taqdirMu Ya Allah.
PadaMu kami berserah diri dan hati nurani....
Selamatkanlah kami di dunia juga di akhirat Ya Allah...
Ya Allah...janganlah menguji kami yang tidak termampu untuk kami menanggungnya Ya Allah...


Ya Allah...Wahai Tuhan Cinta Agung kami....
Atas nama NabiMu Nabi Muhammad SAW....
Tolonglah baik pulihkan semula bumiMu ini dari segala bala bencana banjir dan seumpamanya.Ampunkanlah dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami Ya Allah.


Janganlah lakukan lagi banjir gelombang ke 4 khususnya di sebelah Pantai Timur Ya Allah.
Dengarilah rintihan hambaMu yang berdosa ini Ya Allah.......
Ya Tuhan kami.

Jika Engkau putuskan juga untuk melakukannya, lakukanlah sekadar kemampuan kami untuk menghadapinya Ya Allah.
Sesungguhnya Engkau Maha Tahu apa yang wajar untuk hamba-hambaMu ini Ya Allah.Kami berserah diri padaMu Ya Allah.

Amin Ya Rabbal Aa'lamin.


PELIHARALAH PERASAAN HATI SEORANG IBU


Hati seorang ibu sangat sensitif, jika si anak yang disayanginya melukakannya dan tidak ambil berat tentangnya.
Hati seorang ibu sangat tabah dengan apa sahaja ujian hidup, namun hati seorang ibu sangat kalah dan lemah bila berhadapan dengan perangai dan kerenah anak-anak kesayangannya.



Ibu sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan seorang anak,walaupun nyawanya sebagai tebusan.
Namun sebaliknya seorang anak tidak mampu menggadaikan hidupnya terhadap pengorbanan seorang ibu.
Inilah sifat dunia akhir zaman.

Hati dan perasaan ibu tidak dihiraukan sangat oleh si anak , yang penting si anak rasa puas melontarkan kata-kata lukanya pada hati seorang ibu.Ibu dijadikan tempat si anak melepaskan tension dan tekanan hidup.Begitulah dunia akhir zaman yang sifatnya penuh kedurhakaan si anak terhadap si ibu.


Sudah bersalah dan berdosa dengan si ibu yang sudah lanjut usianya, tidak rasa bersalah dan berdosa pula.Tidak pandai memohon maaf dan minta redha dari si ibu.Dibiarkan dosa dan kesilapannya berlalu begitu sahaja.Akhirnya si ibu yang sudah lanjut usia dijemput Allah, barulah si anak menyesal yang tiada gunanya lagi.

Si ibu sudah pergi menemui Tuhannya yang Maha Agung.
Begitulah sedikit sinopsis cerita bagi untuk menyedarkan si anak yang masih punyai seorang ibu di dunia ini.

Hargailah hati seorang ibu.Jagalah hati dan perasaan seorang ibu.Peliharalah lidahmu wahai si Anak......jangan celupar mulutmu dengan ibumu.Jagalah raut wajahmu selalu.....jangan melukakan hati dan perasaan seorang ibu dengan wajahmu yang kusam, masam, tidak indah dipandang oleh mata seorang ibu.




Belailah ibumu dengan kasih sayangmu,wahai si anak, 
sementara ibumu masih ada di hadapan matamu.
Berilah ciuman kasih seorang anak terhadap seorang ibu, sementara ibumu belum kaku sejuk tubuh badannya di hadapanmu.

Semuanya akan berakhir sekiranya Tuhan lebih menyayangi ibumu.Tebuslah dosa-dosamu ....wahai si anak, sementara ibumu masih ada nyawa dan masih segar di hadapanmu.

Menyesal dahulu berpendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi.Terlajak perahu masih boleh diundur, terlajak perbuatan dan kata-katamu terhadap ibumu..... wahai si anak, kamu akan menyesal seumur hidupmu.Renungilah kata-kata hikmahku ini kepada kamu .

Bagi si anak yang ibunya sudah kembali ke Hadrat Allah Taala,hadiahkanlah wirid zikir, doa munajat, Al-Faatihah dan bacaan Al-Quran semoga ibu kalian mendapat rahmat dari Allah di alam sana.Boleh juga buat amal jariah dan bersedekah atau sebarang kebajikan niat pahalanya untuk si ibu.Itulah cara untuk membalasi kebaikan dan pengorbanan si ibu terhadap si anak. 


Wahai sekalian insan yang bergelar seorang "ANAK"....
Ibumu adalah permata hatimu, jangan permata hati ini kamu abaikan.Kelak dirimu akan rugi selama-lamanya.
Rugi dunia dan di akhirat.

Mohonlah restu dan redha dari ibumu , sebelum ibumu memejamkan matanya yang terakhir buat selama-lamanya.......

HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH DARI ALLAH



Rupanya dengan peristiwa musibah banjir ini, Engkau lakukan untuk kembalikan iman dalam hati hamba-hambaMu.Kini seluruh dunia khususnya bumi Malaysia mula bersungguh-sungguh memuja dan memujiMu.Barulah masing-masing berkata "Kami amat memerlukanMu...Ya Allah".

Begini rupanya cara didikan Mu kepada kami yang lalai dan keras hati ini.Rupanya dengan musibah Banjir Ala Tsunami ini, Engkau telah kembalikan kepada kami sesuatu yang telah lama hilang dari kami, iaitu hilangnya rasa kasih sayang dan rasa persaudaraan antara satu sama lain.




Apabila mehnah ini terjadi...automatik Engkau telah kembalikan sifat-sifat perikemanusiaan dalam hati kami.Kini tercetuslah sikap saling doa mendoakan , saling tolong menolong, bantu membantu, saling selamat menyelamatkan walaupun terpaksa bersabung nyawa, saling hibur menghiburkan dengan menghulurkan pelbagai bantuan untuk sanak saudara seagama di mana sahaja mereka berada walaupun tiada pertalian darah daging .

Rupanya inilah  antara hikmah terbesar yang Engkau mahu selama ini.Engkau mahu hamba-hambaMu hidup berkasih sayang, tidak mementingkan diri, tidak mementingkan kroni suku sakat dan sanggup berkorban dan terkorban atas nama Allah dan Rasulullah SAW.

Engkau juga ingin menguji sejauhmana pemurahnya sikaya dalam menghulurkan bantuan dan sumbangannya kepada saudara-saudara yang dalam kesusahan,dengan ertikata sanggup menjadi bank kepada orang susah dan miskin.Sikap Haji Bakhil dan tangkai jering selama ini sudah terungkai dengan izinMu Ya Allah.

Engkau mahu hambaMu hidup harmoni sesama sendiri, bukan ibarat pokok yang melepaskan pucuk masing-masing.Engkau mahu hambaMu menyayangi saudaranya bagaikan ia menyayangi dirinya sendiri.Tidak bergaduh, tidak bertelagah, tidak hasad dengki, tidak ada perasaan kutuk mengutuk, benci membenci, sindir menyindir,dan lain-lain sifat terkeji lagi.

Cantik sungguh ROTAN dariMu Ya Allah...
Tarbiah yang sungguh ajaib dan menakjubkan.Hasilnya hambaMu mula sedar bahawa betapa pentingnya berkasih sayang sesama mereka.Jika ada lagi saki baki hambaMu yang sombong, bongkak, tidak mahu berkasih sayang,ertinya mereka memang sudah dicop hatinya dalam kemurkaanMu sepanjang zaman.
Wal'iyazubillahiminzaalik. 

Engkau juga mahu hamba-hambaMu rukuk, sujud, bertasbih, bertahmid, bertakbir membesarkanMu yang Maha Besar.Engkau mahu hambaMu tawaduk mengaku kalah dan lemah di hadapanMu.Sekali gus mengakui Engkau adalah Tuhan yang
Maha Agung dan Maha Segala Maha.

Tiada Tuhan yang lain selainMu dan Nabi Muhammad itu pesuruhMu.Rupanya hikmahnya Engkau mahu hambaMu takutkanMu dengan sebenar-benar takut dan rindu pada kekasihMu dengan sebenar-benar rindu.

Maha Hebat percaturanMu ini Ya Allah.Melalui percaturanMu ini,hambaMu sentiasa basahi bibir dan hatinya dengan zikrullah, juga sentiasa menadah tangan mohon doa dan kasihan belas dariMu.Program-program yang melalaikan pun terpaksa dibatalkan  dan digantikan dengan program-program memuja memujiMu dan NabiMu.Begitulah yang Engkau mahu sebenarnya Ya Allah.  


Untuk mendapatkan anugerah nilaian iman dan taqwa yang begitu mahal dariMu,rupanya amat memerlukan sebuah pengorbanan yang amat besar.Ramai yang terkorban dan syahid demi mendapatkan iman di sisiMu.

Terima kasih padaMu Tuhan atas kasih sayangMu ini.Ya Allah kami semua insaf dan bertaubat kepadaMu,Terimalah taubat kami.Terimalah rintihan kami juga, Ya Allah tolonglah pulihkan bumi ini seperti sediakala.Izinkanlah kami hidup aman damai dalam rahmat dan keampunanMu Ya Allah.

Amin Ya Allah.

Saturday, 27 December 2014

MUTIARA HIKMAH SEORANG AYAH.

Salam ukhwah untuk semua.
Renungan bersama .....



SAHABAT YANG BAIK.

ﻭﻗﺎﻝ ﻟﻘﻤﺎﻥ ﺍﻟﺤﻜﻴﻢ ﻻﺑﻨﻪ.

Luqman yang bijak menasehati anaknya,
Dia berkata, 
Wahai puteraku...
Hendaklah perkara pertama yang engkau cari setelah iman kepada Allah ialah sahabat yang jujur.



Sesungguhnya sahabat yang jujur itu seperti pohon yang rendang. Jika engkau duduk di bawah naungannya, dia akan menaungimu.

Jika engkau mengambil sesuatu darinya,dia akan mengenyangkanmu.

Jika dia tidak bermanfaat bagimu, dia tidak mencelakakanmu.

Ya Allah....kurniakanlah kami sahabat-sahabat yang sejati, jujur dan beriman.

Amin Ya Allah.

Sedikit penghuraian sahabat yang jujur yang dimaksudkan di sini ialah, kawan atau sahabat yang tiada kepentingan terhadap kawan atau sahabatnya.Dia bersahabat benar-benar kerana Allah tidak ada muslihat jahat disebalik persahabatannya.

Inilah yang dikatakan bertemu dan berpisah atas nama Allah dan Rasulullah SAW.Ini juga yang dikatakan ikatan hati dalam persahabatan.Ikatan hati ini akan Allah perpanjangkan hingga ke alam baqa, yakni di Padang Mahsyar nanti Allah akan temukan dua sahabat ini di bawah naungan Arasy.MasyaAllah hebatnya ganjaran Allah bagi sesiapa yang bersahabat, bertemu dan berpisah kerana Allah dan Rasulullah SAW.

Kawan yang jujur boleh memimpin kita ke jalan yang lurus.
Lagilah kalau kawan atau sahabat tersebut sangat beriman kepada Allah.Hanya orang yang takut Allah sahaja akan berlaku jujur dan amanah terhadap dirinya atau orang lain.

Kawan yang jujur sekali gus beriman kepada Allah dan Rasulullah adalah kawan dunia akhirat.Dia akan mengajak kita berbuat amal ma'aruf dan menegah kemungkaran.Kawan yang jujur akan menyelamatkan kita daripada terjerumus ke lembah maksiat seperti melakukan perkara-perkara yang keji di sisi Allah dan sebagainya.

Kita tidak akan dibawanya ke tempat-tempat yang merosakkan dan melalaikan seperti ke disco-disco, ke sarang-sarang pelacuran, ke tempat kegiatan haram, ke tempat yang boleh menjahanamkan hidup kita dunia dan di akhirat.Kawan yang baik, jujur dan beriman akan menyelamatkan tauhid kita daripada rosak dan sesat.Jalan keredhaan Allah jua yang akan dipandu dan dituju.Iman kita akan selamat jika kita pandai memilih kawan dalam hidup.

Pilihlah kawan yang hatinya sangat kenal Allah dengan sebenar-benar kenal.Kawan yang takut Allah dan rindu Nabi.Itulah kawan yang mesti kita usahakan untuk bertemu di dunia ini.Kawan yang mengajak kita sembah Allah, kawan yang mengajar kita berhati malaikat bukan berhati syaitan iblis laknatullah.

Ramai manusia rosak di hari ini kerana terpengaruh dengan kawan.Asalnya tidak merokok,tidak menghisap dadah, ganja dan seumpamanya, akan tetapi pengaruh kawan yang jahat, akhirnya terjebak ke kancah yang keji.

Ramai manusia hari ini terutama dari kalangan remaja belia beliawanis, terjerat dengan pergaulan bebas, meminum minuman keras seperti arak, berjudi, bermain loteri, melihat blue filem dan akhirnya sanggup menggadai maruah diri. Ibarat kata pepatah Melayu "terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya".Tidak ada gunanya lagi jika nasi sudah menjadi bubur. 
Akhirnya khayal dan rosak maruah diri,semuanya berpunca kerana tersalah pilih kawan dalam kehidupan seharian.

Alangkah bertuahnya jika kita pandai memilih kawan karib demi masa hadapan maruah diri.Di dunia kita terselamat, manakala di akhirat pula kita mendapat pandangan rahmat dari Allah.Oleh itu benar dan tepat sekalilah kata-kata hikmah dari Lukmanul Hakim kepada puteranya supaya pilihlah kawan yang baik, jujur serta yang beriman kepada Allah dan Rasulnya.

Kawan yang baik, jujur dan beriman tidak akan jadi duri dalam daging, tidak akan tikam kita dari belakang, jauh sekali untuk memerangkap kita agar kita terperangkap dengan kejahatan yang dirancangkan.

Oleh itu marilah kita berdoa kepada Allah Taala, agar kita dikurniakan, dipertemukan kawan yang baik, beriman, jujur sejujurnya.Kita akan bahagia dunia dan akhirat jika memperolehi kawan yang Allah redha kepadanya.Keredhaan Allah dan Rasulullah sangat penting dalam hidup seseorang.

Akhirnya marilah kita tadah tangan setinggi-tingginya berdoa kepada Tuhan cinta agung kita dengan doa "Ya Allah...Tuhan cinta agungku...pertemukanlah aku kawan atau sahabat yang Engkau redhai padanya agar aku juga Engkau redhai juga dengan berkatnya". 

Amin Ya Allah.       
   

TUHAN TOLONG JAGA MEREKA UNTUKKU







Kepada seluruh kaum keluarga dan sanak saudaraku di Pantai Timur, banjir melanda dengan begitu dahsyat kini, menyebabkan segala harta benda, rumah, kenderaan dan semuanya hanyut, musnah dibawa arus air yang laju dan deras.

Semoga Allah menggantikan mahligai kencana bertatah emas permata buat kalian yang kehilangan rumah.

Semoga Allah gantikan kalian dengan kenderaan di dalam syurga nanti yang diperbuat daripada emas, intan permata Zamrud.InsyaAllah.

Allah musnahkan segala harta benda dan kesenangan hidup kita, akan tetapi Allah ganti dengan yang lebih mahal lagi iaitu hati yang takutkan Allah setakut-takutnya.InsyaAllah.Amin.

Jika kalian bersabar dengan ujian ini,
PASTI besar ganjarannya di sisi Tuhan Rabbul Jalil.
Tuhan tidak pernah memungkiri janji-janjiNya.Itu tandanya kasih sayang Allah pada kita, Allah lakukan kerana Allah mahu kita kembali padaNya dalam membawa hati yang sejahtera.

Segala harga benda dan asset perniagaan dan binatang ternakan kalian musnah sama sekali,agar ianya menjadi penyebab utama untuk meringankan hisab di Yaumul Mahsyar kelak.




Redhalah dengan apa yang telah terjadi kerana ianya adalah kehendak Allah bukan kemahuan kita, namun sebagai hamba, kita pasrah dan berserah padaNya yang Maha mencatur dan pencatur.
Allah Maha Mengetahui di atas apa yang ditentukan olehNya.

Bersangka baiklah dengan Allah, walaupun memang sangat berat ujian yang menimpa,ibarat berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.
  

Jika ada kaum keluargaku yang terkorban dalam tragedi banjir ini, doaku semoga syahidlah kalian samada mati lemas,mati kesejukan, mati kelaparan, mati menahan kesakitan dan seumpamanya, doaku semoga kalian dianugerahkan matinya seorang syahid dan matinya seorang ahli Syurga Al-Firdaus...Amin.


Apa pun ku berdoa semoga semuanya selamat dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.Kepada Allah kita datang kepada Allah jua kita kembali.

Al Fatihah bagi saudara-saudara seIslamku yang telah pergi bertemu Tuhannya.
Semoga roh semuanya dalam rahmat dan redha Ilahi.
  
Amin Ya Allah.

BILA LANGIT MULA MENANGIS...




Wahai bumi.....
Telanlah air di atas dadamu.
Seraplah air masuk ke dalam dasar perutmu dan simpanlah ia ke dalam dasar bumimu yang paling dalam.

Bumi adalah makhluk Allah yang sangat taat dan patuh kepada Allah.Ia akan menakung air sebanyak-banyaknya dan sedalam-dalamnya di atas dadanya, jika itu arahan dari Allah.

Langit, bumi dan air apabila bergabung dan berpadu, maka akan tumbuhlah tumbuh-tumbuhan yang menghijau suburnya.Dengan kerjasama matahari dan udara, akan tumbuhlah pokok-pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang lazat,manis dan segar.Sangat memberi manfaat dan nikmat kepada manusia sepanjang zaman.



Akan tetapi terkini hasil gabungan langit, bumi dan air telah menakung air dengan begitu dahsyat jadinya .Bumi dipenuhi dengan air yang laju dan deras.Habis semua pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan musnah sama sekali, bahkan manusia dan binatang pun tenggelam hanyut lemas di dalamnya.
Begitulah sifat alam terkini.

Kini langit, bumi dan air bergabung, sepakat meranapkan apa saja yang ada di atas muka bumi ini.Bumi dan air telah dan sedang menyapu bersih bumi ini dari segalanya.

Taat sungguh langit yang menurunkan hujan tidak henti-henti curahannya,manakala bumi dan air pula bersatu melenyapkan segala jamadat di permukaan bumi.Begitulah hebatnya ketaatan langit,bumi dan air terhadap Tuhannya.

Tidak sedikit pun bumi, air dan langit belas kasihan di atas apa yang dimusnahkannya.Samada makhluk yang bernyawa atau tidak bernyawa semuanya hancur musnah.Itulah alam ciptaan Tuhan yang tidak pernah engkar pada perintah Tuhannya walaupun sesaat jua.




Bumi dan air bertindak dengan ganasnya menelan, mengunyah apa saja yang ada di atasnya.Bagaikan Malaikat Zabaniah sanggup menyeksa penghuni neraka dengan penyeksaan sedahsyat-dahsyatnya tanpa belas kasihan walaupun sedikit,bahkan setiap saat ditambahkan lagi azab dan penderitaan hukuman.Malaikat Zabaniah sanggup lakukan ini semua kerana taat pada perintah Allah.


Wahai langit......
Cukuplah....janganlah menangis lagi.....
Tolonglah.......atas nama Tuhan dan Nabi Muhammad SAW, hentikanlah air mata tangisanmu berbentuk air hujan yang mencurah-curah ke bumi.

Wahai langit....
Tolonglah.....bendung hujan dalam perutmu.Janganlah engkau memuntahkannya lagi ke bumi ini, KECUALI SEDIKIT CUMA SEBAGAI HUJAN RAHMAT.

Tidak termampu lagi penghuni bumi menanggungnya.Namun apakan daya...engkau wahai langit...hanyalah makhluk Allah jua yang mesti taat dan patuh pada perintah Allah.Begitulah juga halnya dengan langit,bumi dan air.


Engkau menangis yang bersangatan kerana kesalahan kami juga.Kami manusia yang digelar HAYAWANUN NAATIQ sangat membuat kerosakan yang melampau-lampau di atas bumi Allah ini.Manusia telah durhaka dan membuat maksiat semahu-mahunya di bawah naungan langitmu.Tidak peliklah engkau menangis ...wahai langit.

Bila langit mula menangis...maka tangisannya yang sangat hebat telah memenuhi bumi dengan air bah(banjir) atau tsunami yang amat mengerunkan.Kalau begitulah betapa taatnya langit,bumi dan air kepada Allah, maka apa yang mesti kita lakukan?.

Jawapannya kita hanya mampu berdoa, merintih, merayu hanya kepada Allah sahaja, supaya dihentikan hujan, di hentikan banjir yang dahsyat ini.Hanya Allah sahaja yang mampu memerintahkan langit, bumi dan air untuk bertindak mengikut kemahuan Allah Taala.

Oleh itu marilah kita bermunajat terus menerus ke Hadrat Allah Taala supaya disurutkan air,diredakan banjir,dipulihkan bencana alam bentuk banjir tsunami ini dengan segera.

Marilah kita shalat hajat dan merayu terus menerus kepada Tuhan cinta agung, agar musibah ini diangkat dan ditamatkan.

Ya Allah tolonglah.... kasihanilah kami yang sungguh tidak berdaya dan amat lemah ini.Kami bertaubat dan berserah diri kepadaMu.
Ya Allah.....Ampunkan segala ketelanjuran dan dosa-dosa kami Ya Allah.

TUBNAILALLAH.....

Amin Ya Allah.
      

Wednesday, 24 December 2014

BANJIR BENCANA ALAM PERCATURAN TUHAN.




Di sana sini hiruk pikuk dengan berita banjir.Suasana semakin hari semakin gawat dengan ramainya terkorban dan menjadi mangsa banjir kini Ya Allah....
Manakala hujan pula turun tidak henti-henti di setengah tempat dan negeri.
Air mula melimpah dengan deras dan lajunya.

Bertambah menggerunkan lagi apabila kami dikhabarkan akan adanya gelombang ke 2, mengatakan bahawa keadaan banjir 
semakin buruk dan menakutkan, bagaikan TSUNAMI lakunya.

Mohon Ampun Ya Allah Yang Maha Agung...
Kami mengaku kalah di atas percaturanMu ini Ya Allah. 
Ampunkanlah segala dosa-dosa dan kelalaian kami selama ini, sehinggakan Engkau bertindak begini menggerunkan.
Hanya dengan tentera air sahaja yang Engkau perintahkan,
maka dalam sekelip mata sahaja musnah segalanya.

Maha hebatnya kekuasaanMu Ya Allah...
Sekali Engkau bertindak dengan FirmanMu "KUN FAYAKUN",Jadilah ...maka terjadilah".

Maka habis semuanya hancur musnah segalanya.
Hebatnya KekuasaanMu Ya Allah...
Tiada siapa yang mampu menghalangnya dan menentangnya.

Mohon Ampun Ya Allah Yang Maha Agung...
Sungguh pun ini adalah QahharMu, Qudrat dan IradahMu, 
namun kami merayu kepadaMu Ya Allah...

Kami mohon belas kasihanMu Ya Allah atas nama NabiMu Nabi Muhammad SAW, Nabi akhir zaman,Ampunkan kami Ya Allah...
Berikanlah kami peluang untuk kami bertaubat dan membaiki diri.

Tolonglah kami Ya Allah....
Pulihkanlah keadaan yang amat buruk ini kepada keadaan yang baik seperti sediakala.

Mohon Ampun Ya Allah Yang Maha Agung....
Janganlah hendaknya banjir mengganas lagi terus menerus begini.Kasihanilah kami hamba-hambaMu yang tidak berdaya ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar rintihan hamba-hambaMu ini.Kami mohon Ya Allah...dengan berkat dan Mukjizat Nabi Akhir Zaman Nabi Muhammad SAW,perkenankanlah doa kami Ya Allah... 

Sekiranya Engkau ingin teruskan juga....dengan memerintahkan tentera air dan segala para tenteraMu, untuk terus menerus memusnahkan segala apa yang ada di mukabumiMu ini,
kami akur Ya Allah.
Kami taat Ya Allah.
Kami redha Ya Allah....

Cuma pinta dari kami hambaMu yang lemah ini, anugerahkanlah kami hati yang takut setakut-takutnya kepadaMu, agar kami dapat iman serta rasa berTuhan yang tinggi dan rasa kehambaan yang tinggi di sisiMu, agar kami layak melonjakkan roh kami dengan ujian ini.

Jika kami mati dan terkorban dalam mehnahMu ini, anugerahkanlah kami Syahid di sisi Mu Ya Allah.
Apa pun yang Engkau lakukan kepada kami adalah kasih sayangMu Ya Allah....

Walaupun ianya nampak buruk dan negatif.
Namun bagi hamba-hambaMu yang kenal akan DzatMu yang Maha Baik, Engkau adalah sangat adil dan tidak pernah berlaku zalim kepada barang ciptaanMu ini.

Dunia ini semakin rosak dengan durhakanya manusia kepadaMu.
Engkau murka atas semua kemungkaran ini, 
maka Engkau lakukan sesuatu yang diluar dugaan kami.
Namun ini semua adalah peringatan dan pengajaran bagi saki baki hambaMu yang Engkau masih beri peluang untuk hidup lagi, supaya kami insaf dan bertaubat.Ampunkan kami wahai Tuhan.....














Mohon Ampun Ya Allah Yang Maha Agung...
Mana yang sudah pergi kembali dengan musibah banjir ini, semoga Engkau masukkan mereka ke dalam golongan hamba-hambaMu yang memperolehi syahid .Semoga Engkau redha kepada mereka Ya Allah....

Takziah buat kaum keluarga yang menjadi mangsa korban banjir dan Al-Fatihah buat yang telah kembali kepangkuanMu dengan musibah banjir ini.Ya Allah..... 

Semoga berbahagialah mereka di alam sana bersama Engkau Ya Allah.
Kembali mereka di sisiMu sebagai tempat yang selayaknya,
kami juga akan menyusul semuanya untuk kembali jua ke kampung asal kami suatu hari nanti.

Bukahkah kami dan segala yang ada di dunia ini Engkau punya 
Ya Allah?....Engkau berhak mengambilnya semula jika Engkau mahu, kerana itu semua kepunyaaanMu.
Maha Suci Engkau dari zalim terhadap kami ciptaanMu ini 
Ya Allah....

Mohon Ampun Ya Allah Yang Maha Agung....
Semoga apa yang terjadi menambahkan lagi rasa gerun dan takut kami kepada Dzat yang Maha Hebat lagi Maha Perkasa.
Tabahkan kami dan kuatkanlah jiwa kami hadapi semua cubaan dariMu ini Ya Allah....

Apa keadaan sekalipun kami tetap redha dan sabar dengan ujian ini, walaupun ianya amat pahit untuk ditelan semuanya ini, namun kami tetap yakin Engkau lakukan itu semua adalah terbaik untuk kami.Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.Segala-galanya adalah percaturanMu yang Maha hebat.

Mohon Ampun Ya Allah Yang Maha Agung....
Ampunkanlah kami dan taubatkanlah kami.... 
Ya Allah.......Anugerahkanlah kami sebagai hamba-hambaMu yang mampu bersabar dan redha dengan ujian dariMu dan mampu bersyukur dengan nikmat dariMu.

Amin Ya Allah.

Sunday, 21 December 2014

JANGAN BIARKAN NABI MENANGIS LAGI......




Apakah benar kita mengaku kita umat Nabi Muhammad SAW?.
Jika benar apa buktinya?.
Setiap pengakuan mesti ada pembuktiannya.

Jangan sampai kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, mengecewakan Nabi kita.Amat malang sekali jikalau kitalah orang yang mengecewakan Nabi Muhammad SAW di akhir zaman ini.

Baginda Rasulullah SAW beritahu.... kitalah umat yang Nabi paling sayang yakni umat di akhir zaman.
Tidak banggakah kita dengan pengakuan dan pengiktirafan Nabi ini kepada kita?.



Sabda Nabi SAW maksudnya "Umat yang datang kemudian adalah umat yang paling aku sayang kepada mereka".

Ya Allah!..... sebaknya hati ini dengan ungkapan dari seorang Nabi terhadap cinta kasihnya kepada kita.Buta mata dan buta hatilah jika hati kecil kita tidak tersentuh dengan pengakuan Nabi ini.

Jangan kita biarkan Nabi menangis lagi buat kali kedua,
jangan sampai Nabi kecewa kali kedua terhadap kita,cukuplah Nabi kita menangis di zaman Baginda SAW berada di Kota Mekah.

Nabi kita pernah menangis waktu di Kota Mekah, apa tidaknya kaum keluarga sendiri tolak apa yang Nabi perjuangkan.
Bapa saudara sendiri hina Baginda,bapa saudara sendiri kata "celakalah engkau wahai Muhammad".

Sehari-harian Nabi dimaki hamun oleh penduduk Mekah.
Muhammad...... kamu orang gila (majnun),tinggalkanlah ajaran kamu itu......

Kamu tukang sihir,bayangkanlah perasaan Nabi di waktu itu, kalaulah kita boleh filemkan kembali kisah Nabi di zaman itu,Ya Allah...... tersiat-siatnya hatiku ini mengenangkan penderitaanmu Ya Rasulallah.... 

Bayangkanlah.....betapa jahatnya Abu  Lahab,Abu Jahal dan seluruh penduduk Mekah kata Muhammad sudah gila..... Muhammad tukang sihir, bahkan tidak cukup dengan kata-kata penghinaan yang melampau-lampau, mereka  merancang hendak membunuh Nabi SAW.

Mereka pulau Nabi beberapa tahun lamanya, ada sejarah mengatakan selama 3 tahun tempuh masa pemulauan tersebut. Dipulau Nabi dan Kaum Muslimin sehingga ke tahap kaum kafir Quraisy tidak mahu berjual beli barangan dengan Baginda dan Kaum Muslimin.

Nabi hadapi tahun-tahun kemarau yang panjang ,Nabi lapar dan dahaga, hendak minum air, air orang tidak bagi, hendak makan, makanan tidak dijual, maknanya tiada sebarang urusan jual beli yang dibenarkan, dipulaukan hingga tidak boleh berhubung dengan sesiapa sama sekali.Tidak boleh menjamu makan kepada mereka yang dipulau.Tiada sebarang ikatan perkahwinan dan tidak dibenarkan mendapatkan apa jua bentuk bantuan dari luar Mekah.

Akhirnya habislah bekalan makanan dan mereka hanya memakan sebiji kurma sehari.Kemuncaknya hanya tinggal setengah biji kurma terpaksa dibahagi-bahagi.Baginda dan kaum Muslimin akhirnya terpaksa mengalas perut dengan memakan rumput-rumput kering.

Ada juga sejarah memaparkan kulit unta dicuci bersih dan diracik-racik kecil serta direndam dalam air dijadikan makanan.Begitu hebatnya ujian yang Baginda hadapi beserta Kaum Muslimin dalam menegakkan kalimah Allah di waktu itu.  

Jikalau kita dapat tadahlah air mata Nabi di waktu itu, mungkin tidak mampu kita menadahnya, terlalu banyaknya air mata Nabi mengalir kerana Islam dihalang, ditekan dan ditentang habis-habisan. 

Apabila Nabi ke Taif, Nabi dihalau oleh orang-orang Taif dengan begitu dahsyat sekali,Allah telah mengutuskan Malaikat Jibril dan Malaikat penjaga bukit-bukau gunung-ganang untuk membela Nabi, sehinggakan Malaikat Jibril pun tidak sanggup melihatnya bahkan Malaikat Jibril tawarkan dirinya, memerintahkan Malaikat tersebut untuk menghempap dan menelangkupkan Mekah di antara dua bukit dan mereka akan musnah.

Nabi tidak izinkan sambil berkata...."jangan lakukannya, biarlah aku bersabar terhadap kaumku..." 

 Wahai Malaikat Jibril.... biarlah aku berdoa kepada Tuhanku "Wahai Tuhanku.... berilah petunjuk kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui".

Baiknya hati seorang Nabi akhir zaman.
Kejahatan dibalas dengan kebaikan dan doa.Ini semua kerana Nabi sangat ingin menyelamatkan umatnya dunia dan akhirat.Hebatnya jiwa seorang Nabi.

Sedangkan penduduk Taif membaling Nabi dengan batu-batu yang besar dan kasar, dibaling juga dengan benda-benda yang tajam,dengan pelepah-pelepah tamar, juga dengan tulang-tulang binatang, dilontar dengan najis yang kotor seumpama tahi Unta dan sebagainya.

Nabi bersandar disebatang pokok anggur yang rendang sambil menadah tangan setinggi-tingginya ke Hadrat Ilahi, sambil berdoa dan mengadu kepada Allah " Wahai Tuhanku.... aku mengadu kepadaMu Ya Allah....aku mohon kekuatan kepadaMu, aku hina pada pandangan manusia, sedangkan Nabi sangatlah teramat mulia di sisi Allah..Allah angkat darjat Nabi yang agung itu".

Di akhir zaman ini umat Islam sudah kurang minat dan tidak ghairah lagi membaca, memahami dan menghayati buku atau Kitab Sirah Nabi, sebab itulah kita tidak rasa sedih dengan penderitaan dan pengorbanan Nabi dalam membawa kebenaran agama sehinggakan kerana itu kemanisan iman dan Islam kita kecapi hingga kini.

Ummu Sayyidah ingin menyeru diri sendiri, juga kepada seluruh pembaca blog Ummu Sayyidah,selain daripada Al-Quran (Kalamullah),marilah kita baca kitab atau buku Sirah Nabi , barulah kita kenal,cinta dan rindu Nabi.

Sedihnya masyarakat umat Islam hari ini lebih ghairah membaca majalah-majalah hiburan yang kurang sopan dan tidak menambahkan iman dalam hati,bahkan ada yang suka membaca dan menghayati komek-komek yang melalaikan.

Sedangkan kita semua maklum bahawa kebanyakkan majalah-majalah hiburan hari ini boleh meruntuhkan akhlak dan moral umat Islam .Apabila Al-Quran dan kitab-kitab Sirah Nabi kurang dibaca, maka kita tidak dapat menghayati Sirah Nabi yang indah itu.

Anak-anak pelajar di sekolah baca buku Sirah sekadar untuk lulus periksa bukan untuk dihayati Sirah Nabi tersebut.Masing-masing bila habis periksa tutup buku Sirah dan mulalah membaca buku atau majalah yang karut marut, itu punca besar juga menyebabkan para remaja kita rosak akhlak dan moralnya.

Jika kita selaku umat Nabi Muhammad SAW tidak serius dan tidak ghairah membaca dan menghayati Sirah Nabi kita, maka akhirnya kisah-kisah Nabi yang menyayat hati ini tertutup begitu sahaja ditelan dek zaman.

Yakinlah...kekuatan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, adalah kecintaan kita kepada Nabi akhir zaman.
Cinta yang benar-benar datangnya dari lubok hati yang sangat dalam sedalam dasar lautan yang paling dalam.

Ya Allah!.... anugerahkanlah cinta kami kepada Nabi Muhammad SAW yang sangat menyintai kami sebagai umatnya dengan ungkapannya "UMMATI..UMMATI..UMMATI".

Amin Ya Allah....

Wednesday, 17 December 2014

SIAPAKAH AKU DAN KAMU?.




Benarlah aku dan kamu adalah hamba.Hamba yang lemah segala-galanya dan tidak punya apa-apa.

Untuk hantarkan sebiji nasi atau seteguk air ke mulutku dan kamu pun, kita perlukan Allah, dengan izinNya baru kita mampu lakukan.


Untuk menelan makanan atau minuman pun sangat perlukan Allah. Hendak mengunyah makanan yang sudah berada dalam mulut pun perlukan Allah juga.
Aduh!....Lemahnya diriku dan kamu.

Untuk pejamkan mata dan celikkan mata pun dengan izinMu jua Ya Allah.
Untuk melangkah selangkah pun perlukan Allah, apatah lagi untuk kita berjalan dan berlari.

Untuk kami mendirikan shalat dan melakukan apa saja ibadah pun, Engkau Ya Allah yang mesti gerakkan tubuh badan anggota kami.
Tanpa pertolonganMu Ya Allah, kami tetaplah akan kaku dan tidak mampu bergerak walaupun seinci.

Tidak mampu untuk kami angkat takbir, tidak mampu untuk kami rukuk, sujud,iktidal,duduk antara dua sujud, berdiri,pusing kiri kanan memberi salam pun perlukan Engkau Ya Allah....... yang mengizinkannya.

Lemahnya kami sebagai hambaMu.
Tidak mampu lakukan apa-apa tanpa bantuanMu Ya Allah.


Untuk hidup pun kami perlukan Engkau Ya Allah.
Oksigen kurniaanMu Ya Allah teramatlah besar untuk kami.
Tanpa udara dan nafas oksigen mana mungkin kami boleh hidup, sesaat oksigen jika Engkau stop,kami akan mati.

Jika oksigen Engkau sekat-sekat,kami akan tercunggap-cunggap bernafas, semput, tidak cukup nafas untuk bernafas,itu pun sudah cukup menginsafkan kami, bahawa benarlah kami ini hambaMu.

Segala kekuatan tenaga, kekuatan tulang 4 kerat, semua Engkau yang gerakkan, Tanpa izinMu Ya Allah, lumpuhlah segala anggota pancaindera yang ada.

Satu kerja apa pun tidak mampu dilaksanakan, jika Engkau tidak campurtangan.Allah.....alangkah lemahnya kami tanpaMu Ya Allah....
Benarlah kami adalah hambaMu.

Jika sakit, untuk sembuh pun mesti Engkaulah yang Maha Penyembuh dan  menyembuhkan.
Makan ubat sebanyak mana sekalipun, jika Engkau Ya Allah.... tidak izinkan sembuh, tanggunglah sakit sampai mati.
Bila mati sakit lagi dengan seksaan alam kubur dan dipalu Malaikat Mungkar Nakir sedahsyat-dahsyatnya.
 
Allah....tidak mampunya hambaMu ini, jika Engkau tidak ampunkan dosa-dosa hambaMu yang melaut luasnya ini,yang menggunung banyaknya ini.
Untuk ampunkan dosa-dosa kami juga, kami amat memerlukanMu Ya Allah.

Benarlah kami adalah hamba yang tidak mampu berbuat apa-apa.
Untuk pusingkan badan kiri kanan, dongak ke atas, tunduk ke bawah , ke tepi, ke tengah pun perlukan Engkau Ya Allah .
Tanpa izinMu Ya Allah..... jadilah kami ibarat anak patung yang tidak bernyawa.




Jika begitulah lemahnya diri kami ini,mana keupayaan dan kekuasaan kemampuan diri kami?. Di manakah hebatnya kami?. SemuanyaEngkau punya Ya Allah.Semuanya dalam genggamanMu.

Langit yang kami junjung , bumi yang kami pijak semuanya kepunyaanMu Ya Allah.Sesungguhnya kami tidak ada kebanggaan apa-apa.
Semuanya milikMu Ya Allah.
Kami pun milikMu Ya Allah.

Tidak usahlah kita mendabik dada kata kita hebat,
kita mampu, kita boleh buat itu dan ini,
kerana semuanya Allah punya.
Semuanya dengan izin Allah.

Seorang Ratu Cantik punyai susuk tubuh dan wajah yang anggun dan menawan pun Allah ciptakan.
Seorang penyanyi punyai suara yang merdu pun Allah ciptakan.

Tidak perlu untuk kita banggakan dan rasa hebat diri untuk semuanya ini, kerana Allah punya, cuma sekadar dipinjamkan sahaja semua nikmat tersebut supaya kita bersyukur dan menggunakannya pada jalan yang Allah redhai.

Maka berserahlah hidup dan mati hanya untuk Allah.Tiada daya dan upaya kita lagi, melainkan dengan pertolonganMu jua Ya Allah.

Benarlah kita ini adalah hamba dan Engkau Ya Allah... adalah Tuan (Owner) empunya alam ini.
Takutilah Allah,Dzat yang Maha Segala Maha.
Dialah Raja Segala Raja,kita tetaplah seorang hamba di sisiNya.

Hamba yang amat lemah, semuanya memerlukan Allah yang Maha Perkasa.Bergantunglah kepada Allah dalam semua hal keadaan.Semoga kita selamat dunia dan di akhirat.