web stats

Wednesday, 25 June 2014

Wahai Ramadhan Engkau Datang Lagi




Wahai Ramadhan... 
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!... 

Kedatanganmu Ya Ramadhan sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia .
Manusia yang cintakan Allah dan Rasul sangat gembira dengan kedatanganmu Ya Ramadhan.
Wahai Ramadhan ...
Engkau bulan yang sangat berkat dari 1000 bulan.
Engkau bulan yang membawa cahaya iman dan taqwa kepada insan.



Wahai Ramadhan..
Muncullah engkau dengan penuh gembira, kerana kehadiranmu akan disambut dengan meriah oleh seluruh para muttaqin, para muqarrabin ,para solihin,para mukminin juga para muslimin dan muslimat yang ada Allah dan Rasul dalam hati mereka.


Wahai Ramadhan..
Semuga kedatanganmu pada kali ini benar-benar dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam,kerana kedatanganmu hanya setahun sekali.
Kedatanganmu membawa rahmat,
membawa keberkatan,
membawa cahaya yang gilang gemilang kepada semua insan yang tahu akan hakikat bulan Ramadhan dan keistemewaannya.


Wahai Ramdhan yang ditunggu-tunggu!...
Muncullah, tibalah, hadirlah...
Ya Ramadhan.... dengan penuh gemilang di tahun ini.
Semuga aku juga sekalian umat Islam benar-benar ikhlas menyambut kehadiranmuYa Ramadhan...


Ku ucapkan Marhaban Ya Ramadhan,
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.
Hadirlah Ya Ramadhan dengan penuh syahdu buat seluruh umat Islam yang cintakan Tuhan dan rindukan Nabi Muhammad SAW.




Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam sejagat. Semoga Ramadhan kali ini memberi erti yang mendalam kepada setiap peribadi,untuk mengubah diri dan hati ke arah menjadi mukmin sejati.

Amin Ya Allah



Puasa hati puasa yang Allah redha.

.
Salam Ramadhan kepada semua pembaca blog Ummu Sayyidah.Mari kita ikhlaskan niat kita dalam beribadah sepanjang bulan Ramadhan juga sepanjang umur kita.
Macam-macam nawaitu (niat)orang yang berpuasa di bulan Ramadhan.

Ada yang berpuasa kerana keturunan atau tradisi.
Mak ayah dan kaum keluarga berpuasa mereka pun berpuasalah.
Ada yang berpuasa kerana suasana dan keadaan memaksa,
sebab keadaan sekeliling ramai umat Islam maka ikutlah berpuasa.

Ada orang berpuasa kerana ingin menjamu selera dengan pelbagai juadah waktu berbuka puasa.
Ada orang berpuasa kerana malu alah kepada mak dan bapa mertua. 




Tidak kurang juga ada yang berpuasa kerana malu kepada isteri yang kuat ibadahnya.
Akan tetapi puasa yang begini hanya Allah sahaja yang mampu mengetahui ganjaran apakah untuk mereka ini. 

Walau bagaimana pun menurut hadis puasa yang tersalah niat ini hanya dapat dahaga dan lapar serta letih sahaja. Tiada ganjaran pahala sedikit pun di sisi Allah Taala.

Walaupun bulan Ramadhan lebih baik dari 1000 bulan kerana di dalamnya ada Lailatul Qadar namun kebaikan 1000 bulan ini hanya akan dirasai, dikecapi oleh mereka yang membesarkan bulan penuh berkat ini dengan "Puasa hati".yakni lahir dan batinnya turut berpuasa. 



Lahirnya menahan lapar dahaga dan menahan dari melakukan maksiat-maksiat lahir bahkan batinnya juga turut berpuasa.
Hatinya dijauhi dari melakukan dosa-dosa hati (batin).
Seumpama dihindarinya dari mengumpat kawan, jiran atau sesiapa sahaja, hatinya tidak hasad dengki , dendam , buruk sangka dengan manusia. 
Hatinya bersih daripada sifat-sifat terkeji.

Orang yang memperolehi puasa hati sepanjang Ramadhan,
hatinya disucikan, dimurnikan, dibersihkan daripada sifat-sifat iblis syaitan laknatullah.
Meningkat taqwanya, meningkat imannya, meningkat syahsiah peribadinya, meningkat kesabarannya,meningkat amal jariahnya, meningkat sedekahnya, meningkat perasaan kasih syangnya sesama insan bahkan terhadap binatang sekali pun.



Pemurahnya meningkat, baik sangkanya meningkat, kasihan belasnya terhadap anak-anak yatim , fakir miskin dan orang-orang susah meningkat,bantuan moral dan materialnya terhadap golongan yang kurang upaya, kurang bernasib baik, kurang berkemampuan pun meningkat.

Di bulan Ramadhan bukan kita beribadah sepanjang sebulan dan berpuasa sepanjang bulan kerana mengejar fadhilat dan ganjaran, walaupun memang Allah sediakan ganjaran di bulan Ramadan sangat besar dan lumayan dari hari puasa pertama hinggalah ke malam terakhir Ramadhan, namun ganjaran dan fadhilat itu kita serahlah kepada Allah membalasinya.Kita berpuasa adalah kerana kita hamba Allah yang taat dengan titah perintah Allah sebagai Tuhan yang wajib kita sembah.


Yang penting bagi kita selaku hamba Allah yang taat dan patuh kepada Tuhan kita yakni Allah Taala, kita berbuatlah sebaik-baik amalan dan seikhlas-ikhlas niat.

Puasa hati di bulan berkat ini sangat meraih keberuntungan dunia dan akhirat. Hamba Allah yang berpuasa dengan puasa hati sepanjang Ramadhan perangai dan wataknya akan Allah ubah menjadi hamba Allah yang benar-benar berakhlak mulia.

Puasa hati boleh mendidik hati yang keras, degil menjadi cair dan lembut.Hati yang kasar akan menjadi lunak dan berhemah tinggi.
Puasa hati boleh mengubah watak harimau belang, singa bertaring, anjing liar, anjing serigala, ular tedung yang berbisa dan pelbagai watak binatang yang ganas dan merbahaya akan dirubah menjadi watak yang baik dan jinak.

Puasa hati boleh menjadikan seorang isteri menjadi isteri yang solehah dan taat suami.
Puasa hati boleh menjadikan seorang suami yang tidak bertanggung jawab menjadi seorang suami yang sangat bertanggung jawab dan penyayang kepada kaum keluarganya.

Puasa hati boleh membuatkan masyarakat aman damai kerana semuanya sudah mampu memaafkan kesalahan orang lain bahkan sangat mampu meminta maaf dengan sesiapa sahaja yang dia rasa bersalah dengan hamba Allah.

Puasa hati boleh merubah sikap haji bakhil yang kedekut seperti tangkai jering akan menjadi para dermawan bagaikan angin kencang menghadiahkan, menyumbang , memberi sedekah dan mengeluarkan zakat harta atau zakat fitrah terhadap dirinya atau kaum keluarganya.
Puasa hati boleh melahirkan manusia agung dengan peribadi agung dan akhlak yang agung.



Betapa indahnya puasa hati jika kita benar-benar manfaatkan bulan yang berkat ini. Hati kita akan Allah sucikan, gilapkan, murnikan, bersihkan dan dimasukkan cahaya Nur Muhammad ke dalam hati kita. 

Maka bercahayalah hati kita dengan cahaya Nur Muhammad, berserilah hati kita dengan serinya Nur Muhammad maka jadilah hati kita hati orang-orang mukmin, hati orang-orang muttaqin , hati orang-orang muqarrabin, arif billah yang hati inilah tempat jatuhnya kasih sayang Tuhan.

Hati sebeginilah yang dikatakan hati yang sejahtera ( Qalbun salim). Jika kembali kepada Allah membawa hati yang begini maka syurga al firdauslah tempat yang selayaknya untuk hamba ini.

Oleh itu marilah kita berlumba-lumba beramal ibadah dan berpuasa hati di bulan Ramadhan yang penuh keajaiban ini.
Semoga roh kita ditingkatkan berkat bulan yang sangat-sangat agung dan mulia ini.

Amin Ya Allah



Pembaziran adik beradik syaitan



Salam Ramadhan dan ceria selalu kepada seluruh umat Islam pembaca blog Ummu Sayyidah.

Sempena bulan Ramadhan yang telah tiba sebagai tetamu yang dinanti-nantikan oleh seluruh pencinta Allah dan Rasulullah SAW, satu perkara yang mesti diingat-ingatkan di bulan yang penuh berkat ini supaya umat Islam seluruhnya elakkanlah berlakunya pembaziran.


Samada waktu berbuka puasa mahupun waktu bersahur. Sediakanlah makanan, minuman sekadar yang perlu dan mengikut bilangan penghuni di dalam rumah yang terlibat dalam hidangan berbuka puasa. 

Janganlah berlebih-lebihan sehingga makanan dan minuman atau juadah berbuka puasa terpaksa dibuang kerana basi atau terlalu banyak , tidak habis dimakan. 



Jika amalan ini sering berlaku setiap kali Ramadhan bukan pahala , ganjaran yang berlipat kali ganda kita perolehi akan tetapi sebaliknya.
Kemurkaan Allah akan berlaku ke atas kita walaupun kita penat lelah lapar dahaga berpuasa seharian.
Allah sangat benci kepada hamba-hambaNya yang membazir.
Pembaziran itu sifat syaitan laknatullah.

Firman Allah SWT maksudnya "........makan dan minumlah tetapi jangan berlebihan.Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.
(Surah Al-A'raf ayat 31).

Orang yang membazir Tuhan akan sukat rezekinya nanti.
Orang yang suka membazir ertinya orang ini tidak tahu bersyukur kepada Allah yang memberi rezeki kepadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud ".....Demi sesungguhnya , jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu dan jika kamu kufur (engkar), sesungguhnya azab siksaKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim ayat 7).

Firman Allah lagi yang bermaksud "....dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau, sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan , sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya". 




Daripada membazir , elok kita sedekahkan kepada jiran-jiran atau fakir miskin yang memerlukannya.
Daripada makanan, minuman terbuang setiap hari elok bawa ke masjid, ke surau untuk more lepas shalat terawih.
Ada juga rezeki orang kampung atau penduduk-penduduk di taman-taman perumahan.

Mana tahu dengan cara ini dapat menghiburkan orang ramai dan fakir miskin.Semoga Allah hiburkan kita pula.
Sedekah dan amal jariah di bulan yang mulia ini ,
jika ikhlas Allah akan lipat kali gandakan pembalasannya .


Ingatlah setiap kali kita hendak membazir,
bayangkanlah ramai umat manusia dan umat Islam di negara luar sana kebuluran, ada yang hanya dapat makan nasi seminggu beberapa kali sahaja.
Ada yang ketandusan minuman, air kering di negara mereka, tumbuh-tumbuhan kering dan mati kerana kemarau yang panjang.

Sedangkan kita, Allah melimpahkan rahmat dan nikmatnya yang melimpah ruah.Bersyukurlah dengan tidak melakukan pembaziran terutama di bulan Ramadhan, semoga Allah tambah lagi nikmat yang ada jika kita bersyukur.

Akhirkata marilah sama-sama kita sentiasa bersyukur dan meninggalkan tabiat buruk yakni sikap suka membazir , pastikan setiap wang ringgit yang dikeluarkan dengan membeli belah tidak melampau batas sehingga termasuk golongan membazir.Semoga tajuk ini membantu kita semua menjauhi pembaziran.
Semoga Allah redha kepada kita dunia dan akhirat .

Amin Ya Allah. 



Sunday, 15 June 2014

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN....




Marhaban Ya Ramadhan al-Mubarak
Selamat datang wahai Ramadhan Al-Mubarak.

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi kerana Ramadhan yang ditunggu-tunggu akan menjelang tiba tidak lama lagi.

Ambillah peluang keberkatan Ramadhan pada tahun ini sungguh-sungguh kerana besar kemungkinan kita tidak akan menemuinya lagi di tahun hadapan. Wallahu a'lam.



Ramadhan bulan yang penuh berkat dan bulan yang mulia dari 1000 bulan,kerana adanya malam Lailatul Qadar.

Nabi bersabda maksudnya,
"Carilah Lailatul Qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadhan".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Firman Allah Taala,
Ertinya "Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan".
(Surah al-Qadar ayat 3).


Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lainnya.

Baginda Rasulullah SAW bersabda ertinya,
" Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan , diikat semua syaitan dan jin-jin yang durhaka, ditutup semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu.Dan dibuka semua pintu-pintu syurga ,tidak ditutup walaupun satu pintu.

Penyeru pun menyeru " Wahai orang-orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah . Wahai orang-orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah!. dan yang ikhlas kerana Allah dibebaskan daripada api neraka dan penyeru itu akan menyeru pada setiap malam Ramadhan". 
Riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah.




Alangkah seronoknya umat Islam yang mukmin dan muttaqin , menunggu bulan yang penuh berkat ini . Amalan puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah.

Pada malam Lailatul Qadar yang penuh berkat kerana turunnya sekalian para Malaikat dan bersama-sama turunnya berkat , rahmat Allah yang hanya dikhaskan untuk malam Lailatul Qadar.
Di bulan ini Allah ampunkan dosa sesiapa sahaja yang bertaubat dan mohon keampunan dengan sebesar-besar pengampunan dari Allah Taala, terutamanya pada malam Lailatul Qadar.

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA ,
bahawa sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Ertinya bagi sesiapa hamba Allah yang ingin bertaubat, maka di bulan yang ajaib ini wajarlah bertaubat dengan sesungguh-sungguh hati kerana di bulan ini Allah mengampunkan semua dosa-dosa yang lalu.

Antara keistemewaan bulan Ramadhan ini juga, Allah telah menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah.
Sabda Baginda Rasul yang bermaksud, "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya sehingga 700 kali ganda".

Allah berfirman yang membawa maksud,
"Melainkan puasa, kerana ianya untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka yang meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Ku".

Bagi orang yang berpuasa akan mendapat 2 kegembiraan . 1.Ketika berbuka puasa 2.Ketika menemui Tuhannya,dan bau busuk dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Bulan ini juga adalah bulan rahmat Allah sebesar-besar rahmat kerana adanya malam Lailatul Qadar (malam 10 terakhir Ramadhan).

Sayyidatina Aisyah berkata ertinya ,
Rasulullah SAW , apabila masuk 10 malam terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam dengan ibadah, bersungguh-sungguh dan uzlah dari para isterinya".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Doa makbul , munajat diterima di bulan ini.
Amal ibadah digandakan.
Bulan yang mulia ini sangat menuntut umat Islam banyakkan amal ibadah, membaca ayat-ayat suci Al-Quraan (tadarrus), banyakkan selawat kepada Baginda Rasul, banyakkan menghidupkan malam, banyakkan bersedekah, beramal jariah dan apa sahaja kebajikan digandakan balasan oleh Allah Taala.

Marilah kita berlumba-lumba menabur semaksimum kebaikan di bulan Ramadhan yang hanya setahun sekali kita jumpa.
Tahun hadapan belum tentu kita bertemu Ramadhan lagi.
Umur kita tidak tahu bila Allah akan ambil kembali.

Sekalian para solafus soleh sangat menunggu-nunggu bulan yang mulia ini,bagaikan suami isteri menunggu kelahiran anak sulung dari kandungan si ibu untuk melahirkan, bahkan lebih berganda-ganda dari itu.

Sabda Rasulullah SAW ertinya ,
" Sesungguhnya di dalam syurga ada 1 pintu yang dipanggil " al-Rayyan", masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat.tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka. Maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu pun ditutup. maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Di bulan ini syaitan iblis, jin-jin yang jahat dirantai dan dibelenggu. Nafsu sahaja yang bebas menggoda manusia. Syaitan iblis diikat supaya tidak mengganggu manusia untuk berpuasa berlapar dahaga dan beribadah kepada Allah. Juga untuk beramal jariah sebanyak-banyaknya.

Sungguh pun begitu nafsu tidak pernah leka dan berdiam diri meruntun manusia ke arah kejahatan dan kelalaian. Digodanya manusia supaya jangan berpuasa, jangan berlapar dahaga. Jangan beramal ibadah, jangan bersedekah, jangan berterawikh, jangan keluarkan zakat harta, jangan bayar fidyah, jangan bantu anak-anak yatim, fakir miskin , asnaf zakat dan macam-macam bisikan dari nafsu kepada manusia. 

Maksiat lahir dan batin turut berleluasa di bulan Ramadhan kerana nafsu sentiasa menggoda,rugilah hamba Allah yang menjadi hamba nafsu di bulan yang mulia ini.

Orang yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan, rugi dunia akhirat. Rugi di dunia kerana ganjaran pahala dan kebaikan bulan yang penuh berkat ini tidak mereka miliki.
Manakala rugi di akhirat mereka akan dihumban ke dalam neraka jahanam yang kekal lagi abadi di dalamnya.
Wal'iyazubillah.

Sambutlah ramadhan dengan jiwa terbuka,
dengan ucapan (AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN).

Marilah sama-sama kita menunggu Ramadhan al-Mubarak datang sebagai tetamu Allah yang sangat mulia dari 1000 bulan.
Marilah kita menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak pada tahun ini dengan penuh rasa hamba dan kesyukuran kepada Ilahi yang masih meminjamkan kita nafas oksigen hinggakan kita masih berpeluang bertemu dengan Ramadhan kali ini buat kesekian kalinya. 


Terimakasih Tuhan yang Maha Baik kepada hamba-hambaNya.
Semoga Ramadhan pada tahun ini benar-benar menginsafkan kita dan menjadikan kita sebenar-benar hamba kepada Allah,
Tuhan cinta agung kita dunia akhirat.

Amin Ya Allah.

http://umusayyidah.blogspot.com/p/rawatan-alternatif-islam-nuril-anwar.html?m=1

Jauhilah dadah pembunuh segala-galanya



Bahaya dadah sangat jelas, akan tetapi mengapakah manusia tetap memburu dadah. Samada menghisapnya atau melalui suntikan. 

Lebih dahsyat lagi menjadi pembekal dadah dan pengedar dadah.
Dadah merosakkan diri namun manusia tetap tergila-gilakan dadah.



Dadah membinasakan,menjahanamkan kehidupan seseorang dan menyebabkan seseorang itu hilang daya fikir yang waras, hilang pertimbangan, hilang kebahagiaan hidup, hilang masa depan,hilang segala-galanya. Akan tetapi dadah juga yang mereka cari.

Kenapalah manusia tidak sayang pada dirinya sendiri???
Dengan dadah manusia ketagih , dengan dadah manusia binasa.
Bagi yang sudah berumahtangga kerana dadah hancur musnah mahligai kencana yang dibina selama ini.



Si isteri terpaksa merana , malu, rasa rendah diri, rasa terhina, hilang keyakinan diri jika si suami penagih dadah.
Malu kepada masyarakat setempat,
malu kepada sanak saudara, sahabat handai.

Bagi si anak pula , mesti berlaku tekanan jiwa jika si ayahnya penagih dadah.
Hidup tanpa kasih sayang dari seorang ayah
Dipandang hina oleh masyarakat, dikata nista "anak penagih dadah!!!".
Di sekolah pula diejek-ejak kawan-kawan sedarjah "anak penagih...anak penagih...".

Bayangkanlah betapa hebatnya tekanan jiwa yang ditanggung oleh si anak jika ayahnya seorang penagih najis dadah.
Tidakkah si ayah kasihankan si anak ini??? 



Apakah nasib masa hadapan si anak yang malang ini?.
Apakah si anak boleh hidup bahagia seperti si anak lain?,
yang hidupnya cukup mendapat kasih sayang dari si ayahnya?. 

Si anak ini akan menjadi mangsa
akhirnya bila besar si anak ini juga akan menjadi manusia yang penuh prajudis pada nasib hidupnya.
Akhirnya dia akan berdendam pada si ayahnya yang menjahanamkan masa hadapannya,atau ia akan berdendam kepada kawan-kawannya, atau masyarakat sekeliling.



Tidak mustahil si anak ini akan bertindak luar batasan.
Siapa yang bersalah jika si anak ini menjadi pengganas bila besar nanti?
Si ayah mestilah berfikir dengan waras apakah dadah membahagikannya?.
Membahagiakan keturunan dan zuriatnya???.
Kerana dadah rumahtangga hilang kebarmonian,
kerana dadah ibu ayah sanggup dibunuhnya,
kerana dadah terpaksa menerima hukuman ditali gantung,
kerana dadah sanggup hidup merempat di tepi-tepi jalan macam anjing dan kucing kurap berkeliaran ditepi-tepi jalan dan longkang, lebih dahsyat lagi kerana dadah sanggup mati dalam longkang, sanggup merompak, menyamun, mencuri tidak kurang juga sanggup merogol,sanggup membunuh bahkan sanggup lakukan apa sahaja asalkan dapat duit untuk dadah.



Najis dadah sangat bahaya jika terpengaruh dengan dadah.
Sekali terkena atau terjebak sukar untuk berpatah balik ke fitrah asal manusia.
Oleh itu jauhilah menjadi najis dadah.Jangan cuba-cuba, jangan rasa-rasa, kerana sekali cuba sekali rasa akan binasa selama-lamanya.

Apa specialnya dadah?.
Semuanya merosakkan sistem tubuh badan.
Semua organ dalam badan tidak akan berfungsi dengan baik. Merosakkan paru-paru, jantung, hati, limpa, dan semua anggota tubuh badan.Lebih teruk lagi merosakkan akal.



Badan yang gemuk, berisi, segak, hemsem akan tinggal tulang yang kurus kering, susut tubuh,mata cengkung , jalan pun melayang terhuyung hayang bagaikan dedaun kering ditiup angin.
Apalah indahnya menjadi penghisap dadah kalau beginilah keadaannya.

Paling sedih yang menjadi mangsa dadah terdiri dari anak-anak bangsa Melayu Islam, sedangkan bangsa-bangsa asing menjadi pengedar yang kaya raya.

Anak-anak muda belia Melayu Islam punah ranah kerana dadah. Khayal, dungu, binggung,bodoh, beku, lesu,layu bila terjebak dengan najis dadah. Tidak ada masa hadapan lagi, semuanya ranap binasa agama , bangsa dan negara.



Sayangnya anak-anak muda sepatutnya menjadi tunggak kepada agama, bangsa dan negara.Menjadi pendokong kepada agama, bangsa dan negara.Menjadi remaja harapan kepada ibu ayah yang sudah tua. Akan tetapi semuanya tinggal harapan.

Semoga Ramadhan menjelang tiba tidak lama lagi mengajak kita semua umat Islam juga remaja-remaja Melayu Islam, bangkitlah dengan semangat waja untuk membenteras najis dadah dan bertaubatlah kembali kepangkal jalan.





Beramal bakti pada agama, bangsa dan negara tercinta.Tinggalkanlah dadah yang merosakkan, melalaikan dan membunuh segala keharmonian manusia dahkan meragut nyawa insan yang terlibat. 

Semoga Ramadhan pada tahun ini sangat memberi erti kepada kita semua dunia akhirat.amin.
Amin Ya Allah

ENGKAU WANITA TERBILANG CEMERLANG.

Wahai Siti Asiah!.....
Engkau adalah wanita contoh juga wanita cemerlang dan terbilang. Sungguh kental iman dan keyakinanmu kepada Allah Taala. 

Al- kisah di bumi Mesir seorang raja yang amat zalim iaitu Firaun sedang mencari-cari isteri setelah kematian isteri pertamanya.
Maka timbullah rasa keinginan dan perasaannya mahu berkahwin lagi setelah mendapat khabar ada seorang gadis jelita lagi rupawan dari keturunan Imran yang bernama Siti Asiah.

Firaun mengutus Haman untuk meminang siti Asiah untuknya.Ibu bapa kepada Asiah mohon persetujuan dari Siti Asiah setelah rombongan peminangan sampai ke rumahnya.


Siti Asiah berkata "bagaimana saya hendak mengahwini Firaun, sedangkan dia seorang raja yang zalim dan ingkar kepada Allah?".
Haman memberitahu kepada Firaun bahawa Asiah menolak peminangannya, maka marah sungguh Firaun dengan penolakan peminangannya itu.

Sebagai raja yang zalim ia rasa tercabar dengan penolakan peminangan oleh Siti Asiah. Firaun terus menghantar bala tenteranya untuk menangkap ibu bapa Siti Asiah untuk diseksa dan dihukum.

Kedua ibu bapa Siti Asiah dihumbankan ke dalam penjara serta dibelenggu kedua kaki tangan mereka.

Siti Asiah diugut oleh Firaun jika tidak mahu menerima pinangannya dan tidak mahu berkahwin dengannya maka kedua ibu bapa Siti Asiah akan terus didera, diseksa hingga mati.

Firaun memberi syarat jika Siti Asiah sudi berkahwin dengannya, dia akan membebaskan kedua-dua ibu bapa Siti Asiah dan Siti Asiah akan hidup senang lenang di istananya.

Oleh kerana ancaman itu,maka Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Firaun dan bersedia menjadi isteri Firaun tetapi dengan syarat.

Antara syarat-syaratnya ialah:- 

1.Firaun mesti membebaskan kedua orang tuanya. 

2. Firaun mesti sediakan sebuah rumah yang selesa dan lengkap untuk kedua orang tuanya. 3.Firaun Mesti pastikan makan minum dan segala keperluan kebajikan kedua orang tuanya. 

4.Jika Siti Asiah menjadi isteri Firaun dia minta hadir dalam majlis dan acara-acara tertentu sahaja. 

5.Siti Asiah tidak bersedia tidur bersama Firaun.
Sekiranya syarat-syarat tersebut tidak diluluskan maka Siti Asiah rela mati dibunuh bersama ibu bapanya oleh Firaun dan kuncu-kuncunya.

Akhirnya Firaun bersetuju dengan semua syarat-syarat yang Siti Asiah utarakan. Maka secara rasminya jadilah Siti Asiah isteri kepada Firaun raja yang amat zalim itu.

Walaupun Siti Asiah diberikan pelbagai kemewahan, beliau tetap taat kepada Allah SWT, Beliau enggan membenarkan kata-kata suaminya (Firaun) yang mengaku dirinya sebagai Tuhan (ana rabbukumul a'ala)

Akhirnya Siti Asiah menjadi isteri kepada tokoh kekafiran yang paling dahsyat iaitu Firaun. Beliau juga ibu angkat kepada Nabi Musa AS.

Setiap malam Siti Asiah bermunajat kepada Allah supaya kehormatannya tidak disentuh oleh suaminya (Firaun).
Maha Suci Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, demi menjaga maruah Siti Asiah wanita yang beriman kepada Allah dan Nabi Musa AS, maka Allah ciptakan iblis yang menyamar sebagai Siti Asiah,maka iblis itulah setiap malam tidur dan bergaul dengan Firaun.

Suatu hari Siti Asiah membantah tindakan suaminya yang membunuh dan menyeksa Masyitah dan anak-anaknya tukang sisir rambut anak Firauan.

Syahidnya Masyitah dan anak-anaknya dalam kuali panas yang berisi minyak panas yang mendidih , telah menyebabkan Siti Asiah terluncur kata-kata yang sangat pedas dan pedih Firaun mendengarnya. Lantas marahlah Firaun terhadap Siti Asiah.

Asiah berkata kepada Firaun "celakalah kamu!..., apa yang menyebabkan kamu berani melawan Allah?". Kata-kata tersebut membuktikan bantahan Siti Asiah terhadap kezaliman suaminya kerana menyeksa Masyitah dan kaum keluarganya.
Firaun berkata "Mungkin kamu mengalami kegilaan sebagaimana yang berlaku kepada Masyitah?.
Asiah berkata " aku tidaklah gila, akan tetapi sesungguhnya aku telah beriman kepada Allah SWT,Tuhanku, Tuhanmu dan Tuhan semesta alam".
Firaun bangkit marahnya lebih-lebih lagi rahsia keimanan Siti Asiah terbongkar beriman dengan Allah dan Rasul (Nabi Musa), maka Siti Asiah ditangkap, dipenjara dan diseksa.

Justeru itu Firaun terus menyeksa isterinya itu, tidak diberi makan dan minum,hingga syahidnya Siti Asiah dalam deraan yang amat menyeksakan itu.

Kemudian Firaun menyuruh kaki tangan Siti Asiah diikat kepada 4 arah 4 penjuru. kemudian keempat-empat tali itu ditarik hingga Asiah menemukan kematiannya.

Sebelum Siti Asiah menghembuskan nafasnya yang terakhir , Allah telah membuka mata Siti Asiah dan ia dapat melihat malaikat dan melihat segala sesuatu yang telah sisediakan untuknya berupa kemuliaan. Kemudian Siti Asiah tertawa. Lantas Firaun berkata"lihatlah kegilaan yang ada pada diri wanita ini.
Ia tertawa waktu diseksa kemudian mati!....".

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW telah berkata "Firaun memukulkan kedua tangan dan kakinya (Asiah) dalam keadaan terikat .Maka ketika mereka (Firaun dan pengikutnya meninggalkan Siti Asiah,maka malaikat menaunginya lalu ia berkata (Ya Rabb, bangunkan sebuah rumah baginya di sisiMu dalam syurga.Maka Allah perlihatkan rumah yang telah disediakan untuknya Asiah di syurga sebelum dia meninggal".

Sejarah menyebut yang siti Asiah meninggal dunia dengan wajah tersenyum walaupun beliau mati diseksa , ada riwayat mengatakan Siti Asiah dipancung. Sebelum Siti Asiah menghembuskan nafasnya yang terakhir ia sempat berdoa yang doanya termaktub dalam Firman Allah yang membawa maksud:- "Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman,ketika ia berkata "Ya Tuhanku...bangunlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim

Begitulah berakhirnya kisah seorang wanita yang sangat tabah dan cekal berhadapan dengan raja yang zalim.Allah telah menjanjikan kemenangan buat Siti Asiah di syurga sana.Sebuah mahligai telah disiapkan untuk Siti Asiah di dalam syurga.



Begitulah Maha Agungnya Allah telah memberi ganjaran yang setimpal kepada hamba-hambaNya yang sanggup berkorban dan mati keranaNya. Siti Asiah menjadi bidadari syurga yang sedang menikmati keindahan syurga yang berganda-ganda dan tiada penghujungnya.

Al-Fatehah buatmu wahai Siti Asiah.Pengorbananmu dikenang seumur hidup oleh seluruh umat Islam yang cintakan Allah, Rasul , Islam dan seluruh para kekasih Allah.

Monday, 9 June 2014

Wahai Tuhan... pandulah hatiku ini


 

Hanya Engkau Ya Allah...Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. 

Tiada kuasa yang lebih mengatasi kuasa Mu Ya Allah.
Manusia hanya merangcang, 
Engkau Zat yang Maha Agung yang menentukan.

Wahai Tuhan tolonglah hambaMu ini.
Tolonglah pandu hatiku yang sekeping ini.
Semoga hatiku ini sentiasa berada dalam landasan yang Engkau redhai.
Semoga hatiku ini sentiasa sabar dengan ujian dariMu.


Semoga hatiku ini sentiasa berbaik sangka dengan apa yang Engkau tentukan samada baik ataupun sebaliknya.
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang hambaMu tidak ketahui.
Kadang-kadang apa yang hambaMu tidak mahu ,
itu yang terbaik dariMu untuk hamba-hambaMu.
Kadang-kadang apa yang hambaMu rasa baik , 
akan tetapi ianya tidak baik di sisiMu.



Oleh itu..
Yang terbaiknya pandulah hatiku ini agar menerima sahaja ketentuan qada dan qadar dariMu,
walaupun ianya berat dan pahit.
Semuanya ada maksud yang positif dariMu .

Wahai Tuhanku.... 
Tolonglah pandu hatiku untuk terus menerus menyembahMu. Terus menerus mengabdikan diri kepadaMu.

Supaya hatiku tetap beriman kepadaMu,
beriman kepada NabiMu dan tetap mengagungkan syariatMu, meninggikan kalimahMu ( Allah )di muka bumiMu ini.

Wahai Tuhanku..
Tetapkanlah hatiku pada jalan yang Engkau redhai.
Sesungguhnya redhaMu adalah keselamatan bagiku ,
dunia dan akhirat.

Tetapkanlah hatiku dalam memburu kasih sayangMu dan memburu kecintaan kekasihMu yakni Nabi Muhammad SAW.
Semoga matinya aku sebagai hambaMu yang beriman kepadaMu dan RasulMu.

Amin Ya Allah

Kenapa hatiku resah tidak menentu?



Wahai Tuhan ...
Kenapa hatiku resah tidak menentu?.
Sayu,pilu, sedih, hiba, berdebar-debar jantungku berdegup kencang, darah menyirap turun naik, nafas ku terasa sesak dan 1001 rasa yang mengundang perasaanku.

Apakah ini tandanya dosa-dosa yang aku lakukan?.
Dosa-dosa yang mesti ditaubatkan dengan Taubatan Nasuha?.
Aku tiada jawapan....
Wahai Tuhanku.....
Tolonglah berikan jawapan pada diriku yang amat lemah ini.
Aku perlukan jawapan daripada Mu,
wahai Tuhanku atas pergerakan hatiku ini.




Syukur kepadaMu Tuhanku...
Akhirnya aku difaham-fahamkan,
bahawa hati ini sedang diproses untuk meletakkan Tuhan sepenuhnya di dalam hati.

Hati ini tempat perebutan antara nafsu, syaitan dan para malaikat.
Beruntungnya jika hati dipimpin oleh roh-roh suci dan para malaikat.


Malangnya hati ini.... 
Jika dikuasai hawa nafsu dan syaitan laknatullah,
serta roh-roh yang jahat lagi kotor.

Hati yang seketul ini bagaikan raja dalam diri setiap bani Adam.
Jika baik hati ini, maka baiklah seluruh anggota tubuh badan.
Jika kotor hati ini, maka rosak dan musnahlah seluruh jasad hamba.
Tempat jatuhnya pandangan Allah adalah hati yang telah disucikan, dibersihkan, dicahayakan dengan cahaya Nur Muhammad.

Hati yang dikatakan Qalbun Salim itu adalah hati yang telah dihiasi dengan sifat-sifat yang murni.
Bukan hati yang penuh dengan ulat-ulat mazmumah yang amat menjijikkan.

Wahai Tuhan kepada Nabi ku...
Nabi Muhammad SAW.
Pimpinlah hatiku ini.



Pandulah perjalanan hatiku.
Pantaulah hatiku selalu.
Agar hatiku sentiasa lurus dan telus kepadaMu,
Wahai Tuhanku,
juga Tuhan kepada Nabiku.

Anugerahkanlah hatiku,
bagaikan hati wali-wali Allah,
yang tidak takut akan hal-hal dunia,
kerana akhirat lebih besar baginya.

Amin Ya Allah.

Sunday, 8 June 2014

Bertolak ansurlah di jalan raya





Manusia hari ini sangat tidak mempedulikan keselamatan orang lain termasuklah di jalan-jalan raya.

Masing-masing bagaikan pokok yang melepaskan pucuk masing-masing. Berlumba-lumba di jalan raya mahu segera, mahu cepat, walaupun terpaksa meragut nyawa orang lain yang penting dia puas. Inilah antara sikap yang boleh membawa kemalangan di mana-mana.

Sikap tidak sabar dalam memandu , ingin cepat, tidak ada disiplin di jalan raya, terlalu laju hingga hilang fokus.Akhirnya kenderaan terbabas dan melanggar apa sahaja yang ada di hadapan,di kiri atau di kanan.

Sikap berlumba-lumba ingin menunjuk-nunjuk, aku hero di jalan raya,seolah-olah jalan raya "ana yang punya".

Bermegah-megah di jalan raya,sifat sombong waktu memandu,lagilah kenderaan lebih canggih dari orang lain,seinci sedikit pun tidak beri laluan kepada kenderaan lain.



Tidak berhemah ketika memandu,gopoh gapah,tidak menghiraukan kenderaan kiri, kanan, belakang dan hadapan. Ini memang menempah maut nama nya!...

Diberi disiplin lampu isyarat merah, wajib berhenti untuk keselamatan bersama akan tetapi ada juga yang melanggarnya dan merempuh bagaikan orang tidak siuman membawa kenderaan.

Lampu isyarat tidak dipedulikan, merempuh apa sahaja, tanpa memikirkan keselamatan orang lain juga keselamatan dirinya sendiri. Orang yang sikap begini tidak sayang nyawa nama nya.

Sukar memberi signal,kiri atau kanan apabila hendak melintas atau masuk simpang..ini adalah sifat yang sangat merbahaya dan menyusahkan orang lain.



Parking kenderaan tidak pada tempatnya, sangat menyusahkan orang ramai. Menyebabkan orang lain membuang masa menyelesaikan masalah parking yang tidak teratur disebabkan pemandu yang tidak bertanggung jawab.

Bagi anak-anak muda yang sedang galak berpoya-poya dan berseronok , di jalan raya pun mereka anggap macam tempat mereka berpesta dengan kenderaan motosikalnya , pecut tanpa memikirkan bahayanya dari sikap sedemikian rupa.

Akhirnya terpaksa tersepit di bawah lori, terhimpit di celah-celah kenderaan lain bahkan ada juga yang terbabas melanggar tiang eletrik, langgar tiang lampu isyarat dan macam-macam yang dilanggarnya. Nasib baik selamat, nasib tidak baik, mati katak di jalan raya. Wal'iyazubillah.



Itulah antara sikap-sikap pemandu yang tidak tahu untuk bertolak ansur di jalan raya. Kemalangan ngeri sering kita dengar dan lihat dalam mediamassa eletronik dan mediamassa cetak di hari ini.

Terdapat mangsa yang hancur kenderaannya, pemandu dan penumpang mati di tempat kejadian, ada yang patah kaki, patah tangan, retak tulang belakang, ada yang tersepit , terselit di bawah treler dan macam-macam lagi yang menyayat hati. 



Ini semua adalah angkara tidak ada sikap toleransi dan berhati-hati di jalan raya. Oleh itu sewajarnyalah kita semua berwaspada dan berhati-hati di jalan raya. Lebih-lebih lagi berakhlak mulia sepanjang memandu kenderaan supaya semua pihak selamat dan menyelamatkan keadaan dan suasana.

Jika semua pihak ada sikap terpuji di jalan raya I Allah, kemalangan dan musibah di jalan raya dapat diatasi. Sedikit sebanyak akan membantu untuk menyelamatkan mangsa dari terkorban di jalan raya.



Semoga kita semua menjadi orang yang menyelamatkan orang lain walau di mana jua kita berada. Jadilah penyelamat kepada manusia walaupun di jalan raya. Semoga ianya juga dianggap amal ibadah oleh Allah SWT.

Amin Ya Allah.