web stats

Tuesday, 13 May 2014

WAHAI HINDUN-TAUBATMU DITERIMA ALLAH.





Di zaman jahiliah engkau digelar (Akilatul Kibdah) yakni pemakan hati atau jantung. Taubatnya wanita pemakan jantung Sayyidina Hamzah diterima Allah. 

Hindun binti Uthbah (wanita Quraisy) juga dirimu adalah isteri Abu Sufian bin Harb (tokoh Quraisy) yang sangat memusuhi Islam dan Nabi.Sangat benci Rasulullah SAW dan kaum muslimin. 

Hindun berparas cantik, cerdas, mahir menunggang kuda,penuh kewibawaan, petah berbicara,pandai dalam bahasa sastera dan juga bersyair. 

Bersemangat waja,kuat jiwa dan sangat berani menempuh apa sahaja ranjau dan duri dalam apa sahaja suasana dan keadaan.
Ayahnya Uthbah bin Rabiah bin Abdi Syam bin Abdul Manaf.

Nasabnya bertemu dengan Rasulullah melalui datuknya Abdul Manaf. Manakala ibunya bernama Syafiyyah binti Umayyah bin Haritsah.

Abu Sufian meminangnya setelah dia bercerai dengan suami pertamanya Abdul Faqih.Saat Islam tersebar dakwahnya, Hindun mendokong suaminya (Abu Sufian) menindas kaum muslimin dan menghalang dakwah Baginda Rasulullah SAW.

Ucapannya yang pedas selalu ditujukan kepada Rasulullah . Kebenciannya terhadap Rasul dan Islam semakin memuncak setelah mengetahui saudara kandungnya Abu Huzaifah memeluk agama Islam.

Kebencian ini menjadi dendam yang membara setelah ayahnya(Uthbah bin Rabia'ah) bapa saudaranya (Syaibah bin Rabiah)dan saudara kandungnya(Walid bin Uthbah) terbunuh dalam peperangan Badar.

Permusuhan semakin sengit setelah satu persatu kaum keluarganya masuk Islam termasuk anaknya Sayyidina Muawiyah bin Abu Sufian. Dendamnya terhadap Nabi dan Saidina Hamzah terus menyala kerana Saidina Hamzahlah yang menyebabkan kaum keluarganya tewas(mati) dalam peperangan Badar.


Wahai Hamzah, aku akan memburumu wahai sang pemburu singa kata Hindun.Jika engkau mati akanku koyak-koyakkan dan robek-robekkan jasadmu.

Hutang darah dibayar darah.Angkat dan hayun pedangmu wahai pelindung keluarga, kata Hindun waktu peperangan Uhud. Khususnya ditujukan kepada Sayyidina Hamzah.

Dalam perang Uhud Hindun sendiri ikut berperang,untuk memberi semangat kepada pasukan Musyrikin Mekah.Sayyidina Hamzah berhasil dibunuh oleh budak suruhannya yang bernama Wahsyi.

Setelah Sayyidina Hamzah berjaya dibunuh Wahsyi maka Hindun arahkan Wahsyi membelah dada Sayyidina Hamzah kerana Hindun mahu mengunyah jantungnya Sayyidina Hamzah, namun tidak mampu menelannya akhirnya dimuntahkannya kembali.


Berita sedih ini dikhabarkan kepada Baginda Rasul maka Baginda bersabda "Kalau Hindun menelannya, tentu dia (Hindun) tidak akan tersentuh api neraka, kerana Allah mengharamkan bagi neraka untuk menyentuh bagian daging Hamzah sedikit pun".

MasyaAllah begitu hebatnya kurniaan dan anugerah Allah terhadap Sayyidina Hamzah sehinggakan api neraka diharamkan menjilat tubuh badannya.

Pada 10 Ramadhan 8 Hijriah bertepatan 1 jan 630 Masihi Baginda Rasulullah membawa 10,000 sahabatnya dari Madinah menuju Mekah, inilah peristiwa besar yang mencatat sejarah yang dinamakan Fathu Mekah atau penaklukan Kota Mekah, di bawah kepimpinan Baginda Rasul sendiri.

Peristiwa ini pula telah menjadi satu peristiwa yang ajaib terhadap Hindun binti Uthbah. Abu Sufian (suami Hindun) rasa tidak mampu lagi menandingi kaum Muslimin,hingga akhirnya menghampiri Baginda Rasulullah untuk masuk Islam.

Kata Abu Sufian kepada Baginda Rasul, "Aku katakan secara jujur dan tiada tekanan dan paksaan, aku bersaksi tiada Tuhan selain ALLAH dan engkau Muhammad adalah utusan ALLAH".
Setelah melihat suaminya masuk Islam maka hati Hindun juga tidak mampu membendung hidayah Allah.

Hindun bertanya kepada suaminya" apakah selama ini kita tersesat?"
Maka jawab suaminya "Ya..selama ini kita tersesat, selama ini kita mengukuhkan kehormatan dengan cara yang salah,ternyata tuhan kita lebih kerdil dari kita sendiri".

Akhirnya Hindun bertemu Baginda Rasulullah dan berbaiah pada Nabi dan masuk Islam. Hindun berkata "Wahai Rasulullah, segala puji bagi Allah yang telah menurunkan agama yang menjadi pilihanNya, agar dapat bermanfaat bagi diriku.

Semoga Allah memberi rahmatNya kepadamu, wahai Muhammad.Sesungguhnya aku wanita yang telah beriman kepada Allah dan membenarkan apa yang disampaikan RasulNya".


Hindun telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat.Dia menjadi wanita solehah setelah Islamnya. Hindun menjadi wanita yang rajin beribadah bahkan sangat menghidupkan shalat malam yakni qiyamul lail. 

Banyak berpuasa bahkan ketulusan Islamnya Hindun buktikan dalam peperangan Yarmuk setelah Baginda Rasul wafat.

Setelah wafatnya Baginda Rasulullah SAW, Hindun sangat sedih yang memuncak bahkan nyaris-nyaris hatinya hancur kerana rasa amat bersalah terhadap Baginda sebelum ia masuk Islam sangat membenci dan memusuhi Nabi. 

Namun dirimu tetap teguh dan menjaga janji setia yang pernah diucapkan di hadapan Nabi untuk bermati-matian membela agama Allah dan Rasulullah . 

Dalam peperangan Yarmuk Hindun bersama suaminya (Abu Sufian) bergabung dengan panglima Khalid Ibnu Walid menumpaskan pasukan Romawi, inilah peperangan yang terbesar dalam sejarah Islam yang telah membuka sekaligus gerbang Islam di kawasan Syam.

Peranannya memberi semangat kepada kaum Muslimin dan merawat pasukan tentera muslimin yang terluka. Dirimu adalah srikandi yang terbilang dan gemilang dalam sejarah Islam.

Hindun menjerit di tengah-tengah medan perang "pilih kematian... Jangan pilih kehinaan".

Ternyata Hindun termasuk dalam golongan salah seorang sahabat Nabi yang diterima taubatnya. Asalnya menjadi penentang terbesar Nabi akhirnya membela Nabi sehebat-hebatnya.


Bagi kita, untuk tak meremehkan orang-orang yang terpanggil kembali kepada Allah SWT. Orang yang kita caci maki hari ini kerana keburukan perangainya, tidak mustahil kelak dia menjadi pejuang terdepan meninggikan kalimatullah

Begitulah kehendak Allah terhadap wanita solehah ini. Matinya sebagai seorang pejuang atau srikandi Islam dan syahidah di jalan Allah. Berbahagialah dirimu wahai kekasih Allah Hindun binti Uthbah di dalam syurga Allah yang nikmatnya tidak pernah putus dan tiada hujungnya .

Al-Fatehah dariku buatmu wahai srikandi Islam terbilang.
Semoga kami juga dianugerahkan keberkatan dengan memaparkan sejarahmu yang agung ini untuk dikenang dan dicontohi.

Amin Ya Allah.

1 comment:

  1. dongeng paling bego yg pernah gw baca. pembunuh kluarga nabi diberi gelar sayidina muawiyah. smoga allah melaknat penulis skaligus pemfitnah sejarah ini

    ReplyDelete