web stats

Thursday, 1 May 2014

"WAHAI BUMI ....TELANLAH QARUN.".


Mengapa "MURKA" sangat Allah kepada Qarun?. Sehinggakan Allah perintahkan "Wahai bumiKu... telanlah Qarun dan semua harta-hartanya serta angkatan tentera-tentera sekaliannya".


Bumi yang sangat taat dan patuh dengan arahan Tuhannya, terus serta merta bertindak,justeru itu bumi pun membuka dada dan perutnya seluas-luasnya,  maka habis ditelannya Qarun serta semua bala tentera dan harta-hartanya. Tidak tinggal saki baki walaupun sedikit.


Menurut riwayat Ibnu Abbas (bahawa Qarun dibenamkan sehinggalah ke lapisan bumi yang ketujuh).MasyaAllah....
Rasanya semua umat Islam sudah tahu kisah Qarun yang angkuh dan sombong itu. Untuk mengambil pengajaran eloklah kita ceritakan lagi kisah Qarun yang ditelan bumi kerana takabburnya dengan Raja Segala Raja yakni Allah Taala. 


Al-kisahnya bermula... Qarun asalnya sangat miskin, lagi papa kedana.Melihatkan keadaannya sangat fakir, maka Nabi Musa AS   sangat kasihan dan prihatin kepadanya, maka diberinya Qarun ilmu untuk membuat emas. Dengan kepakarannya (Qarun) membuat emas akhirnya Qarun berjaya dalam perniagaannya lalu jadilah dia sekaya-kaya manusia di zaman itu. 


Qarun bukan sahaja kaya raya bahkan dia tampan, segak dan hemsem orangnya. Sehinggakan dia dipanggil Munawwir (An- Nur) makna (Cahaya). 


Rupa parasnya sangat cantik. Dia banyak menghafal Taurat.Orangnya cerdik, akalnya tajam dan kuat ingatan akan tetapi hatinya bodoh, dungu dan buta.

Suaranya sangat merdu tetapi bangga dan munafiq seperti sikap Samiri.Hipokrit (berpura-pura) dan berlakun-lakun. Samirilah yang banyak mempengaruhi kaum Nabi Musa supaya kaum Nabi Musa menyembah anak patung lembu yang diukir olehnya dari emas dan mengatakan itu Tuhan yang wajib disembah.


Maka ramailah yang terpengaruh dan terkeliru. Maka kaum Nabi Musa mulalah menyembah patung anak lembu yang kononnya boleh bercakap itu sebagai Tuhan yang mereka yakini. 

Qarun dari bangsa Bani Israel.Israel maknanya "kekasih Allah", dalam bahasa Arab (Habibullah).Atas dasar itulah Bani Israel bangga seolah-olah mereka pilihan atas pilihan. 


Sedangkan umat Nabi Muhammad adalah umat manusia yang paling baik dan terbaik dari segala zaman dan dari seluruh bangsa di dunia ini. 


Firman Allah

  كُنتُمْ خَيْرَ‌ أُمَّةٍ أُخْرِ‌جَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُ‌ونَ بِالْمَعْرُ‌وفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ‌ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرً‌ا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُ‌هُمُ الْفَاسِقُونَ

Bermaksud:- "Kamu wahai umat Muhammad, adalah sebaik-baik Umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji.serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman.
Surah Ali'Imran :110
 


Maka tercabarlah Bani Israel dengan Umat Nabi Muhammad, justeru itu timbullah perasaan irihati disanubari bangsa Israel hinggalah ke hari ini. Akhirnya mereka terus berdendam dengan umat Islam akhir zaman yang dinamakan umat Nabi Muhammad SAW.

Setelah Qarun kayaraya dan menjadi hartawan , jutawan Nabi Musa menghantar wakilnya untuk mengutip zakat darinya(Qarun),akan tetapi Qarun mula lupa daratan, lupa asal usul dirinya bahkan dia telah menjadi tukang emas atau pakar mengurus emas yang sangat takabbur dan bongkak.


Qarun seorang yang sangat tamak dan tidak pernah bersyukur atas nikmat kekayaannya. Tidak pernah puas dengan apa yang ada. Dapat 1 hendak 2 dapat 2 hendak 3,4,5 dan seterusnya. 


  
Dia tidak pernah kisahkan halal haram, baik buruk jika dia mahu.
Qarun enggan mengeluarkan zakat kerana katanya aku kaya sebab ilmu, kepandaian dan kepakaran aku.


Setelah Qarun tidak mahu mengeluarkan zakat harta, maka Qarun bermusuh dengan Nabi Musa, lalu Qarun mengupah seorang perempuan Yahudi yang sarat mengandung supaya mengaku bahawa Nabi Musa telah berzina dengannya.Dibayar upah kepada perempuan Yahudi itu berlipatkali ganda banyaknya.

Nabi Musa sedih dan berdoa kepada Allah, maka turunlah wahyu dari Allah "Wahai Musa, Kami telah jadikan bumi ini tunduk kepada perintahmu.Maka perintahkanlah sesuka hatimu".


Maka Nabi Musa berkata:- "Wahai bumi telanlah mereka".
Firman Allah yang membawa maksud, "Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk liang kubur . Janganlah begitu.Kelak kamu akan mengetahui akibat perbuatanmu itu.

At -Takathur.

Bila Qarun mula angkuh dan bangga diri, Allah benci kepadanya.Allah tidak lagi sayang kepadanya.Bila Allah MURKA,bahaya dan malanglah Qarun. Allah tidak suka kepada orang-orang yang membanggakan diri dan melampaui batas.


Tidak salah kita memiliki harta yang melimpah ruah akan tetapi infaqlah kejalan Allah,kerana dalam harta kekayaan kita miliki itu, ada hak milik asnaf zakat (fakir miskin, anak-anak yatim dan golongan-golongan yang layak menerima zakat dan sedekah).


Qarun sangat dimurkai Allah kerana menentang Nabi dan Rasul,bahkan sanggup membuat fitnah lagi terhadap Nabi Musa AS.Sangat bangga dengan kekayaannya sehinggakan menjadi hamba harta, hamba dunia, hamba nafsu, hamba syaitan iblis laknatullah, bukan hamba Allah lagi.


Kaumnya nasehatkan dia, jangan bangga dengan harta kamu wahai Qarun. Allah tidak suka kepada orang yang membangga diri. Qarun tidak pedulikan ingatan, teguran dari kaumnya. Bahkan Qarun kata dia kaya sebab ilmu pengetahuan dan usahanya.


Sepatutnya bila sudah kaya raya berbuat baiklah kepada orang lain seperti Allah berbuat baik kepadanya. Namun apa yang berlaku kepada Qarun sebaliknya , makin kaya semakin jauh dengan Allah. Janganlah kita meniru sikap Qarun yang amat merugikan ini.Rugi dunia rugi akhirat.

Allah menyuruh Qarun menggunakan hartanya untuk akhirat,supaya Qarun selamat dan tidak dihisab di akhirat kelak.Diharapkan Qarun sanggup infaqkan rezeki yang Allah beri kepadanya sebelum mati.

Dia juga mempunyai banyak kuda,ada tentera peribadi lagi. Punyai bodyguard sendiri, punyai banyak istana dan harta. Bahkan dia memiliki ratusan kuda. Tidak terhitung banyaknya harta yang Allah beri kepadanya.

Suatu hari dia memilih pakaian terbaik dan memilih kuda yang paling bagus, berbulu putih. Andainya orang melihat kudanya itu, mereka akan kagum dan tercenggang-cenggang kehairanan. 


Kuda itu dihias secukupnya, dia menunggang kuda putih yang hebat itu sambil berkata,"Tentera-tenteraku sambil dia menunjuk tentera-tentera terbaiknya kepada orang ramai. Lalu tentera-tenteranya itu pun berbaris mengikutinya dari belakang". Kemudian dia menunjukkan 10 orang pemuda gagah perkasanya dan berkata "Bawalah semua harta-hartaku".

Hari ini aku ingin menunjukkan harta-hartaku kepada orang ramai, emas,perak, barang-barangan perhiasan yang mewah seperti ruby,permata, mutiara, koleksi peribadiku,aku ingin orang melihat betapa banyaknya hartaku dengan penuh kagum dan sombong.

Allah saja izinkan Qarun menunjuk-nunjukkan harta kekayaan dan kemegahannya kepada seluruh penduduk kota melihat dan menyaksikannya.


Qarun seorang yang sangat sombong dan anggap dirinya adalah segala-galanya.Firaun adalah temannya.Ketika Qarun merasakan keangkuhan yang memuncak tingginya dan berfikir, "wow inilah diriku!!...dunia ana yang punya!!...hebatnya....."


Tiba-tiba dengan berkat doa Nabi Musa mohon Allah benamkan Qarun dalam bumi, maka Allah perkenankan doa dan permintaan Nabi kesayanganNya itu, maka Allah memerintahkan bumi untuk menelannya (Qarun).Kun kata Allah, maka fayakunlah hasilnya. 

"Wahai bumiKu, telanlah dia(Qarun) sekarang,telanlah dia dihadapan orang ramai yang sedang menyaksikan keangkuhannya. Tiba-tiba bumi terbelah maka menelan semua tenteranya, semua kuncinya dan semua hartanya termasuklah dia(Qarun). Istananya juga turut ditelan bumi.


Setelah selesai menelan Qarun dan gerabak-gerabaknya, bumi kembali seperti asalnya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku sebelumnya.



MasyaAllah...Maha Hebatnya Allah. Allah membuktikan kepada hamba-hambaNya siapa Al-Jabbar yang sebenarnya. Maka ketahuilah kita semua bahawasanya yang hak itu adalah kepunyaan Allah semata-mata.


Firman Allah "Sesungguhnya Qarun itu termasuk kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh orang-orang yang kuat. 


Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya "jangan engkau terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membanggakan diri".


Allah kurniakan perbendaharaan harta yang begitu banyak kepada Qarun sehinggakan anak-anak kunci hartanya sangatlah berat dan hanya orang-orang yang gagah perkasa sahaja yang mampu memikulnya.

Sabda Baginda Rasul, "ketika seorang lelaki sedang berjalan, memakai jubah 2 helai dan bangga dengan dirinya yang rambutnya tersikat rapi, maka Allah membenamkannya ke dalam perut bumi dan dia (Qarun) akan terus dibenamkan ke dalamnya iaitu akan terus menerus terbenam lebih dalam ke dasar perut bumi sehinggalah Hari Kiamat".

(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Pengajaran dari kisah Qarun yang takabbur ini,marilah kita umat Islam memanfaatkan segala harta kekayaan untuk lebih dekat dengan Allah dan keluarkanlah zakat serta berbuatlah kebajikan dan amal jariah. Bersedekahlah sewaktu kayamu sebelum miskin mengundangmu. Bersedekahlah sebelum nyawa di halkum , supaya tidak menyesal dikemudian hari.


Tidak rugi menjadi orang yang pemurah, kerana rezeki Allah akan gandakan 10 akan dibayar 100 atau 700 sebagai pulangannya kembali,begitulah seterusnya. Jadilah kita seperti Baginda Rasul SAW, para sahabat yang lajunya sedekah dan amal jariah mereka selaju angin kencang , sederas air terjun yang mencurah ke gunung-gunung.Anugerahkanlah hati seperti itu kepada kami juga Ya Allah....


Amin Ya Allah....

No comments:

Post a Comment