web stats

Tuesday 9 June 2015

Puasa hati puasa yang Allah redha.

.
Salam Ramadhan kepada semua pembaca blog Ummu Sayyidah

Mari kita ikhlaskan niat kita dalam beribadah sepanjang bulan Ramadhan juga sepanjang umur kita.
Macam-macam nawaitu (niat)orang yang berpuasa di bulan Ramadhan.

Ada yang berpuasa kerana keturunan atau tradisi.
Mak ayah dan kaum keluarga berpuasa mereka pun berpuasalah.
Ada yang berpuasa kerana suasana dan keadaan memaksa,
sebab keadaan sekeliling ramai umat Islam maka ikutlah berpuasa.

Ada orang berpuasa kerana ingin menjamu selera dengan pelbagai juadah waktu berbuka puasa.
Ada orang berpuasa kerana malu alah kepada emak dan bapa mertua. 




Tidak kurang juga ada yang berpuasa kerana malu kepada isteri yang kuat ibadahnya.
Akan tetapi puasa yang begini hanya Allah sahaja yang mampu mengetahui ganjaran apakah untuk mereka ini. 

Walau bagaimana pun menurut hadis puasa yang tersalah niat ini hanya dapat dahaga dan lapar serta letih sahaja. Tiada ganjaran pahala sedikit pun di sisi Allah Taala.

Walaupun bulan Ramadhan lebih baik dari 1000 bulan kerana di dalamnya ada Lailatul Qadar namun kebaikan 1000 bulan ini hanya akan dirasai, dikecapi oleh mereka yang membesarkan bulan penuh berkat ini dengan "Puasa hati".yakni lahir dan batinnya turut berpuasa. 



Lahirnya menahan lapar dahaga dan menahan dari melakukan maksiat-maksiat lahir bahkan batinnya juga turut berpuasa.
Hatinya dijauhi dari melakukan dosa-dosa hati (batin).
Seumpama dihindarinya dari mengumpat kawan, jiran atau sesiapa sahaja, hatinya tidak hasad dengki , dendam , buruk sangka dengan manusia.Hatinya bersih daripada sifat-sifat terkeji.

Orang yang memperolehi puasa hati sepanjang Ramadhan,
hatinya disucikan, dimurnikan, dibersihkan daripada sifat-sifat iblis syaitan laknatullah.
Meningkat taqwanya, meningkat imannya, meningkat syahsiah peribadinya, meningkat kesabarannya,meningkat amal jariahnya, meningkat sedekahnya, meningkat perasaan kasih syangnya sesama insan bahkan terhadap binatang sekali pun.


Pemurahnya meningkat, baik sangkanya meningkat, kasihan belasnya terhadap anak-anak yatim , fakir miskin dan orang-orang susah meningkat,bantuan moral dan materialnya terhadap golongan yang kurang upaya, kurang bernasib baik, kurang berkemampuan pun meningkat.

Di bulan Ramadhan bukan kita beribadah sepanjang sebulan dan berpuasa sepanjang bulan kerana mengejar fadhilat dan ganjaran, walaupun memang Allah sediakan ganjaran di bulan Ramadan sangat besar dan lumayan dari hari puasa pertama hinggalah ke malam terakhir Ramadhan, namun ganjaran dan fadhilat itu kita serahlah kepada Allah membalasinya.Kita berpuasa adalah kerana kita hamba Allah yang taat dengan titah perintah Allah sebagai Tuhan yang wajib kita sembah.


Yang penting bagi kita selaku hamba Allah yang taat dan patuh kepada Tuhan kita yakni Allah Taala, kita berbuatlah sebaik-baik amalan dan seikhlas-ikhlas niat.

Puasa hati di bulan berkat ini sangat meraih keberuntungan dunia dan akhirat. Hamba Allah yang berpuasa dengan puasa hati sepanjang Ramadhan perangai dan wataknya akan Allah ubah menjadi hamba Allah yang benar-benar berakhlak mulia.

Puasa hati boleh mendidik hati yang keras, degil menjadi cair dan lembut.Hati yang kasar akan menjadi lunak dan berhemah tinggi.
Puasa hati boleh mengubah watak harimau belang, singa bertaring, anjing liar, anjing serigala, ular tedung yang berbisa dan pelbagai watak binatang yang ganas dan merbahaya akan dirubah menjadi watak yang baik dan jinak.

Puasa hati boleh menjadikan seorang isteri menjadi isteri yang solehah dan taat suami.
Puasa hati boleh menjadikan seorang suami yang tidak bertanggung jawab menjadi seorang suami yang sangat bertanggung jawab dan penyayang kepada kaum keluarganya.

Puasa hati boleh membuatkan masyarakat aman damai kerana semuanya sudah mampu memaafkan kesalahan orang lain bahkan sangat mampu meminta maaf dengan sesiapa sahaja yang dia rasa bersalah dengan hamba Allah.

Puasa hati boleh merubah sikap haji bakhil yang kedekut seperti tangkai jering akan menjadi para dermawan bagaikan angin kencang menghadiahkan, menyumbang , memberi sedekah dan mengeluarkan zakat harta atau zakat fitrah terhadap dirinya atau kaum keluarganya.
Puasa hati boleh melahirkan manusia agung dengan peribadi agung dan akhlak yang agung.



Betapa indahnya puasa hati jika kita benar-benar manfaatkan bulan yang berkat ini. Hati kita akan Allah sucikan, gilapkan, murnikan, bersihkan dan dimasukkan cahaya Nur Muhammad ke dalam hati kita. 

Maka bercahayalah hati kita dengan cahaya Nur Muhammad, berserilah hati kita dengan serinya Nur Muhammad maka jadilah hati kita hati orang-orang mukmin, hati orang-orang muttaqin , hati orang-orang muqarrabin, arif billah yang hati inilah tempat jatuhnya kasih sayang Tuhan.

Hati sebeginilah yang dikatakan hati yang sejahtera ( Qalbun salim). Jika kembali kepada Allah membawa hati yang begini maka syurga al firdauslah tempat yang selayaknya untuk hamba ini.

Oleh itu marilah kita berlumba-lumba beramal ibadah dan berpuasa hati di bulan Ramadhan yang penuh keajaiban ini.
Semoga roh kita ditingkatkan berkat bulan yang sangat-sangat agung dan mulia ini.

Amin Ya Allah



http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

No comments:

Post a Comment