web stats

Tuesday 9 June 2015

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN....


Marhaban Ya Ramadhan al-Mubarak
Selamat datang wahai Ramadhan Al-Mubarak.

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi kerana Ramadhan yang ditunggu-tunggu akan menjelang tiba tidak lama lagi.

Ambillah peluang keberkatan Ramadhan pada tahun ini sungguh-sungguh kerana besar kemungkinan kita tidak akan menemuinya lagi di tahun hadapan. Wallahu a'lam.



Ramadhan bulan yang penuh berkat dan bulan yang mulia dari 1000 bulan,kerana adanya malam Lailatul Qadar.

Nabi bersabda maksudnya,
"Carilah Lailatul Qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadhan".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Firman Allah Taala,
Ertinya "Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan".
(Surah al-Qadar ayat 3).


Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lainnya.

Baginda Rasulullah SAW bersabda ertinya,
" Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan , diikat semua syaitan dan jin-jin yang durhaAminditutup semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu.Dan dibuka semua pintu-pintu syurga ,tidak ditutup walaupun satu pintu.

Penyeru pun menyeru " Wahai orang-orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah . Wahai orang-orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah!. dan yang ikhlas kerana Allah dibebaskan daripada api neraka dan penyeru itu akan menyeru pada setiap malam Ramadhan". 
Riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah.




Alangkah seronoknya umat Islam yang mukmin dan muttaqin , menunggu bulan yang penuh berkat ini . Amalan puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah.

Pada malam Lailatul Qadar yang penuh berkat kerana turunnya sekalian para Malaikat dan bersama-sama turunnya berkat , rahmat Allah yang hanya dikhaskan untuk malam Lailatul Qadar.
Di bulan ini Allah ampunkan dosa sesiapa sahaja yang bertaubat dan mohon keampunan dengan sebesar-besar pengampunan dari Allah Taala, terutamanya pada malam Lailatul Qadar.

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA ,
bahawa sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Ertinya bagi sesiapa hamba Allah yang ingin bertaubat, maka di bulan yang ajaib ini wajarlah bertaubat dengan sesungguh-sungguh hati kerana di bulan ini Allah mengampunkan semua dosa-dosa yang lalu.

Antara keistemewaan bulan Ramadhan ini juga, Allah telah menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah.
Sabda Baginda Rasul yang bermaksud, "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya sehingga 700 kali ganda".

Allah berfirman yang membawa maksud,
"Melainkan puasa, kerana ianya untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka yang meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Ku".

Bagi orang yang berpuasa akan mendapat 2 kegembiraan . 1.Ketika berbuka puasa 2.Ketika menemui Tuhannya,dan bau busuk dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Bulan ini juga adalah bulan rahmat Allah sebesar-besar rahmat kerana adanya malam Lailatul Qadar (malam 10 terakhir Ramadhan).

Sayyidatina Aisyah berkata ertinya ,
Rasulullah SAW , apabila masuk 10 malam terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam dengan ibadah, bersungguh-sungguh dan uzlah dari para isterinya".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Doa makbul , munajat diterima di bulan ini.
Amal ibadah digandakan.
Bulan yang mulia ini sangat menuntut umat Islam banyakkan amal ibadah, membaca ayat-ayat suci Al-Quraan (tadarrus), banyakkan selawat kepada Baginda Rasul, banyakkan menghidupkan malam, banyakkan bersedekah, beramal jariah dan apa sahaja kebajikan digandakan balasan oleh Allah Taala.

Marilah kita berlumba-lumba menabur semaksimum kebaikan di bulan Ramadhan yang hanya setahun sekali kita jumpa.
Tahun hadapan belum tentu kita bertemu Ramadhan lagi.
Umur kita tidak tahu bila Allah akan ambil kembali.

Sekalian para solafus soleh sangat menunggu-nunggu bulan yang mulia ini,bagaikan suami isteri menunggu kelahiran anak sulung dari kandungan si ibu untuk melahirkan, bahkan lebih berganda-ganda dari itu.

Sabda Rasulullah SAW ertinya ,
" Sesungguhnya di dalam syurga ada 1 pintu yang dipanggil " al-Rayyan", masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat.tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka. Maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu pun ditutup. maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Di bulan ini syaitan iblis, jin-jin yang jahat dirantai dan dibelenggu. Nafsu sahaja yang bebas menggoda manusia. Syaitan iblis diikat supaya tidak mengganggu manusia untuk berpuasa berlapar dahaga dan beribadah kepada Allah. Juga untuk beramal jariah sebanyak-banyaknya.

Sungguh pun begitu nafsu tidak pernah leka dan berdiam diri meruntun manusia ke arah kejahatan dan kelalaian. Digodanya manusia supaya jangan berpuasa, jangan berlapar dahaga. Jangan beramal ibadah, jangan bersedekah, jangan berterawikh, jangan keluarkan zakat harta, jangan bayar fidyah, jangan bantu anak-anak yatim, fakir miskin , asnaf zakat dan macam-macam bisikan dari nafsu kepada manusia. 

Maksiat lahir dan batin turut berleluasa di bulan Ramadhan kerana nafsu sentiasa menggoda,rugilah hamba Allah yang menjadi hamba nafsu di bulan yang mulia ini.

Orang yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan, rugi dunia akhirat. Rugi di dunia kerana ganjaran pahala dan kebaikan bulan yang penuh berkat ini tidak mereka miliki.
Manakala rugi di akhirat mereka akan dihumban ke dalam neraka jahanam yang kekal lagi abadi di dalamnya.
Wal'iyazubillah.

Sambutlah ramadhan dengan jiwa terbuka,
dengan ucapan (AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN).

Marilah sama-sama kita menunggu Ramadhan al-Mubarak datang sebagai tetamu Allah yang sangat mulia dari 1000 bulan.
Marilah kita menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak pada tahun ini dengan penuh rasa hamba dan kesyukuran kepada Ilahi yang masih meminjamkan kita nafas oksigen hinggakan kita masih berpeluang bertemu dengan Ramadhan kali ini buat kesekian kalinya. 


Terimakasih Tuhan yang Maha Baik kepada hamba-hambaNya.
Semoga Ramadhan pada tahun ini benar-benar menginsafkan kita dan menjadikan kita sebenar-benar hamba kepada Allah,
Tuhan cinta agung kita dunia akhirat.

Amin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment