web stats

Thursday, 27 November 2014

Berniaga jangan hanya mahu untung semata-mata



Berniaga Nabi suka, Allah redha.Ianya amalan Nabi kerana Nabi juga seorang ahli perniagaan dan para sahabat pun ramai terdiri daripada ahli perniagaan. Peniaga yang jujur akan mendapat rahmat Allah dan layak menduduki syurga Allah di akhirat kelak.
Amin.

Berniaga amalan mulia lagilah jika niat untuk menegakkan Fardhu kifayah, gugur dosa orang lain kerana kita sudah menegakkan Fardhu kifayah tersebut.
Akan tetapi berniaga biarlah kerana Allah, untuk meraih redha Allah dan restu Baginda Rasulullah SAW.

Jangan menipu pembeli dengan dikurangkan timbangan atau dengan menjual barang-barang yang busuk, yang sudah tamat tarikh luput, yang sudah tidak boleh dimakan lagi atau yang sudah berulat dan berkulat.

Kadang-kadang hendak untung lebih berganda-ganda sanggup jual ayam, daging, yang sudah tidak ada kualiti lagi atau ikan yang sudah pecah perut dan mata merah.

Udang, sotong yang sudah lembik, atau kerang yang sudah berbau dan tidak segar lagi.

Sayur-sayuran yang sudah layu, kekuningan tidak hijau lagi.Buah-buahan yang kecut, tidak ori lagi.

Bagi peniaga-peniaga di restoran-restoran atau kedai-kedai makan, janganlah kerana terlalu mengejar keuntungan dunia, menjual lauk pauk yang sudah berhari-hari, dipanaskan dan dijual semula.

Banyak terjadi sekarang ini , ayam ada ulat, ayam keras tidak enak lagi dimakan, kerana yang sudah berhari-hari dipanaskan.Lauk pauk diubah suai dari yang goreng dimasak sambal atau masak kicap dan sebagainya.Sedangkan ayam, ikan, daging yang tidak laku dijual diproses semula,supaya tidak rugi.



Hasilnya pelanggan makan ada yang keracunan makanan, ada yang terkena cirit birit,ada yang muntah-muntah sehinggakan bersabung nyawa pun ada.Ada yang terpaksa bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan dari para doktor.Ada yang terpaksa ditahan dalam wad kerana keracunan makanan pun ada.

Janganlah terlalu memikirkan untung semata-mata, terpaksa gadaikan nyawa orang ramai.Ada juga terlalu ingin mengejar masa,basuh bahan-bahan mentah pun acuh tidak acuh,tidak bersih.
Yang lebih parah lagi telur pun tidak dibasuh.Ambik dari sarang terus dipecahkan dan dimasak. Dijamu pelanggan dengan makanan yang tidak bersih lagi bernajis.

MasyaAllah....!
Betapa jahatnya hati peniaga yang begini.Pelanggan dihidangkan makanan seperti ini akan menggelapkan hati.
Ada juga yang ingin mengejar masa membasuh pinggan- mangkuk, gelas, sudu, garfu cincai-cincai sahaja, air mutlak tidak dijirus atau dilalukan, maka semua yang dibasuh tadi tidak suci menurut syariat hukum fekahnya.

Ada juga masalah kebersihan tidak dititik beratkan, lalat, cicak, lipas berkeliaran, yang lebih dahsyat lagi tikus bermaharaja lela di kawasan niaga.Aduh....parahnya...gelinya.
Lalat bertelur dimakanan, tikus kencing dimakanan atau bahan-bahan minuman, cicak, lipas lalu lalang atas makanan jualan dan sebagainya.

Jika tidak pentingkan kebersihan, pinggan-mangkuk, gelas, cawan,sudu garfu pun tidak dibasuh semula untuk digunakan setelah semua binatang-binatang yang disebut sebentar tadi menari-nari di atasnya.

Bayangkanlah bekas-bekas tersebut dihidangkan makanan dan minuman untuk para pelanggan.Geli dan meloyakan bukan?.
Makanan tidak tertutup dengan rapat dan sempurna, terbiar semalaman, entah binatang apa lagi yang hinggap dan menjilatnya, pagi-pagi dipamerkan dan dijual.

Begitulah risikonya makanan diluar jika peniaga-peniaga tidak prihatin dengan kebersihan dan juga terlalu memikirkan untung dunia semata-mata.Tidak fikir keselamatan akhirat kelak.

Oleh itu dinasehatkan para peniaga jika mahu berniaga, jujurlah dengan Allah, jujurlah dengan Baginda Rasulullah, jujurlah dengan para pelanggan, juga jujurlah dengan diri sendiri.Ingatlah apa yang kita lakukan di dunia ini akan dihisab, disoal siasat dan dihitung di alam sana.

Takutilah akan pembalasan Allah terhadap peniaga yang hanya mementingkan kesenangan dan keuntungan duniawi semata-mata, tanpa memikirkan keadilan dan keselamatan para pembeli atau para pelanggan.

Untung di dunia tidak boleh bawa kemati.Mati nanti semuanya kita tinggalkan.Apa sudahnya nasib kita di alam kubur (alam barzakh), apa nasib kita di padang Mahsyar, di hari perhitungan?. Jika di dunia kita tiada bekalan yang baik-baik, di akhirat kita akan rugi serugi-ruginya.

Wal'iyazubillahiminzaalik

No comments:

Post a Comment