web stats

Tuesday 28 July 2015

SIAPAKAH DIA AL-HUMARA' SI MERAH JAMBU?.




Dirimu adalah puteri jelita Abu Quhafah(Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq) dan ibumu Ummu Rumman yang Baginda Rasul pernah bersabda:- "Barangsiapa yang hendak melihat bidadari yang cantik,pandanglah Ummu Rumman"

Ibumu seorang penghuni syurga dan juga seorang wanita yang cerdik dan berjiwa besar serta dari keturunan bangsawan Quraisy. Kecerdikan ibu dan ayahmu telah diwarisi oleh mu wahai Sayyidatina Sayyidatina Aisyah.

Watakmu seorang yang berani , lincah, aktif,tegas tapi lunak , tangkas,zuhud, kuat ibadah, fasih berbicara,sangat bijak dan bernas dalam mengeluarkan pendapat dan pandangan.
Dirimu salah seorang yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Baginda Rasulullah SAW. Seorang wanita yang sangat kuat ingatan dan sangat jujur orangnya.

Keistemewaanmu wahai Sayyidatina Aisyah (Ummul mukminin) sangat diakui oleh Allah, melalui perutusan wahyu yang dikhabarkan oleh Malaikat Jibril bahawa dirimu wahai Sayyidatina Aisyah RA, adalah isteri Baginda Rasul dunia akhirat.

Kecerdasan mu dan kekuatan akalmu dalam menghafal Al-Quran dan hadis-hadis Nabi, serta kefahaman yang amat tinggi terhadap selok belok hukum hakam Islam, atas dasar inilah Baginda Rasulullah menyuruh para sahabat dan umat Islam lainnya mengambil pelajaran daripada isterinya, Sayyidatina Aisyah RA , melalui sabda baginda yang bermaksud:- "Ambillah sebahagian agamamu dari Humaira' ini...".



Pesan Baginda Rasulullah ini menunjukkan kepada kita bahawa tidak salah ingin menuntut atau menimba ilmu dengan seorang wanita yang diakui akan ketajaman ilmu dan mindanya.Bahkan Nabi pun membenarkannya dan bersetuju akan hal ini. Engkau adalah penghuni syurga. 

Allah sangat memuliakanmu dan penuh penghormatan ke atasmu. Engkau adalah isteri Nabi yang paling menghiburkan Baginda Rasul dan isteri Nabi yang paling faham tugas dan peranan seorang Nabi. Engkau adalah sumber inspirasi bagi seorang suami yang bergelar seorang Nabi.

Dirimu dilahirkan 11 atau 12 tahun sebelum Hijrah. Atau ada yang mengatakan kelahiranmu 1 atau 4 tahun sesudah Nabi diutus menjadi Rasulullah SAW.Dikau menjadi isteri Nabi ketika usia 9 tahun lebih (belum genap 10 tahun).

Kulitmu kemerah-merahan dan digelar oleh Baginda Rasul (Humaira' yakni warna merah jambu). Tubuhmu langsing, ramping dan tinggi.Dirimu memeluk Islam sewaktu kecil lagi, ada ahli sejarah mengatakan dirimu masuk Islam sewaktu umat Islam baru 18 orang ketika itu. 

2 tahun selepas wafatnya Sayyidatina siti Khadijah Al-Kubra, turunlah wahyu kepada Baginda Rasul untuk menikahi dirimu.Begitu sekali Tuhan memilihmu sebagai pendamping kepada kekasihNya .

Suatu hari sebelum Nabi menikahimu Nabi berkata kepadamu dengan disaksikan oleh ibu ayahmu , "aku (Rasulullah) melihatmu (Sayyidatina Aisyah RA) dalam tidurku 3 malam berturut2, Malaikat mendatangiku dengan membawa gambarmu pada selembar sutra seraya berkata "ini adalah isterimu". Ketika aku membuka tabir itu maka nampaklah aku akan wajahmu. Kemudian aku berkata kepadanya (Malaikat) "jika ini benar dari Allah, nescaya akan terlaksana".

Mendengar akan khabar busyra ini gembiralah hati S.Abu Bakar As-Siddiq, isterinya juga dirimu wahai Aisyah RA, lalu berlakulah pertunangan antara Nabi dan dirimu wahai ummul mukminin . Setelah berlangsungnya pertunangan itu maka Nabi terus berhijrah ke Madinah beserta para sahabat.

Setelah baginda menetap di Madinah, baginda mengutuskan wakilnya menjemputmu untuk datang ke Madinah. Lalu dinikahinya dirimu sebagaimana yang Allah mahu dengan mas kahwin 500 dirham.

Baginda Rasulullah sangat menyayangimu kerana terlalu banyak keistemewaannya, sehinggakan dalam bilik Sayyidatina Aisyah yang berdampingan dengan Masjid Nabawi banyak kali turunnya wahyu. Keistemewaan ini tidak berlaku kepada mana-mana para isteri Nabi yang lain.

Di dalam hadis dikatakan "cinta pertama yang terjadi di dalam Islam adalah cintanya Baginda Nabi SAW kepada Sayyidatina Aisyah RA". HR Anas bin Malik.

Satu hari ada seseorang menghina Sayyidatina Aisyah didepan Ammar bin Yasir sehingga Ammar beri teguran dan amaran kepada orang itu "sesungguhnya celaka kamu!!...kamu telah menyakiti hati isteri kecintaan Nabi SAW". (H.R. At-Tirmidzi).

Ketika Sayyidatina Aisyah RA wafat , Ummu Salamah berkata "Demi Allah SWT , dia (Sayyidatina Aisyah) adalah manusia yang paling Rasulullah SAW, cintai selain ayahnya Sayyidina Abu Bakar RA".

Saudah bin zuma'ah antara isteri Nabi yang paling faham keutamaan-keutamaan Nabi dan Sayyidatina Aisyah,.beliau banyak merelakan giliran malamnya bersama Nabi dihadiahkan kepada Sayyidatina Aisyah RA,yang penting pada Sayyidatina Saudah biarlah dia terus menjadi isteri Nabi hingga akhir hayatnya.

Baginda Rasulullah SAW, wafat di pangkuanmu wahai sayyidatina Aisyah. Itulah antara kelebihan dan keistemewaanmu wahai Ummul Mukminin. Sewaktu Nabi sakit , dirimulah yang merawat dan menjaga Nabi hingga Nabi menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas ribaanmu.

Dalam kamarmu Baginda sakit dan di kamarmu jugalah baginda wafat bahkan di kamarmulah Baginda Rasul dimaqam kan.
Suatu hari Ummul Mukminin tertidur dalam tidurnya ia nampak tiga buah bulan jatuh ke kamarnya. 

Ketika ia mengkhabarkan hal ini kepada Sayyidina Abu Bakar, maka Sayyidina Abu Bakar berkata " jika yang engkau lihat itu benar, maka di rumahmu (di kamarmu) akan dikuburkan lagi 3 orang yang paling mulia di muka bumi ini.

Ketika Rasulullah SAW, wafat , Sayyidina Abu Bakar berkata" beliau(Rasulullah) adalah orang yang paling mulia antara 3 bulan itu".ternyata Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar Al-Faruq di maqamkan dikamar Ummulmukminin ini, bersebelahan dengan maqam Baginda Rasul.

Setelah wafatnya Baginda Rasul, ujian berat dilalui oleh Ummul Mukminin ini kerana fitnah terlalu besar terhadapnya. Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah sangat redha dengan ketentuan Allah ini, beliau hadapi tohmahan dan ujian ini dengan hati yang sabar dan tenang sekali. Dirimu banyak berdiam diri di dalam rumah dan sangat taat kepada Allah.

Rumah atau kamar Sayyidatina Aisyah sentiasa dikunjungi para sahabat dan umat Islam dari segala penjuru.

Tujuannya ialah:- 
1. Untuk menziarahi maqam. Nabi. 
 2. Untuk menimba ilmu . 

Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah RA adalah orang yang paling dekat dengan Rasulullah SAW. Wahyu pun banyak turun waktu ia sebilik dengan Rasulullah SAW. Ia memperolehi ilmu langsung dari Baginda Rasulullah SAW..

Wanita yang paling banyak menghafal hadis-hadis Nabi,sehinggakan para ahli hadis menempatkannya(S.Aisyah) pada urutan ke5 dari para penghafal hadis. Setelah Abu Hurairah, Ibnu Umar, Anas bin Malik, dan Ibnu Abbas.

Sayyidaitina Aisyah hidupnya penuh dengan jihad di jalan Allah. Kuat ibadahmu dan sangat zuhud kehidupanmu. Wafat pada usia 66 tahun, bertepatan bulan Ramadhan tahun ke 58 H.Dimaqamkan di tanah perkuburan Baqi.

Al-Fatehah buatmu ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul yakni Sayyidatina Aisyah RA. 

Semoga dengan berkat menyebut-yebut namamu dan membaca sejarahmu wahai Sayyidatina Aisyah ,bertambahlah kasih, cinta kami kepadamu.Justeru itu layaklah kami untuk memperolehi kasih sayang Baginda Rasul dengan menyintai orang yang Nabi cintai. 

Amin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment