web stats

Tuesday 28 July 2015

Ath-Thaahirah - Gelaranmu Sayyidatina Khadijah Binti Khuwailid






Engkaulah Wanita Teladan-Sepanjang Zaman. Engkaulah wanita yang paling mulia dunia akhirat. Sayyidatina Khadijah Binti Khuwailid lahir di Mekah pada tahun 63 sebelum Hijriah.
Ayahmu Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai bin Kilab (datuk Baginda Rasulullah Saw), Maknanya nasabmu bertemu dengan nasab Baginda Rasulullah SAW.

Engkau seorang wanita yang sangat cerdik, cerdas dan dikagumi kaum Quraisy kerana budi pekerti mu yang sungguh menakjubkan. Sejarah mencatatkan kaum Quraisy menganggap dirimu Ratu Quraisy atau Ratu Mekah kerana kekayaanmu dan perniagaanmu sampai ke negeri Syam. Modal perdagangan atau perniagaan besar hingga mengkagumkan penduduk Mekah.

Terlalu ramai jejaka terhormat dari kalangan bangsawan Mekah ingin meminangmu wahai Sayyidatina Khadijah , namun semuanya engkau tolak dengan baik.


Suatu hari Maisarah seorang pekerjamu telah pergi berdagang ke Syam bersama Nabi Muhammad, pesananmu kepada Maisarah, kamu harus ikut dan taat apa sahaja yang datangnya dari Muhammad.

Sekembalinya dari Syam, Maisarah menceritakan kepadamu bahawa perdagangan di Syam bersama Nabi Muhammmad sangat maju dan untungnya sangat banyak. Kejujuran, amanah dan ketelusan Nabi Muhammad sangat memikat hatimu.

Wahai Sayyidina Khadijah Al-Kubra , harum namamu dalam sejarah Islam , harum juga namamu sebagai pendamping Baginda Rasul yang sangat disayangi Baginda juga sejarahmu tetap gemilang dan dikenang sepanjang hayat umat manusia di dunia ini .

Sehinggakan Baginda Rasul pernah bersabda , "Demi Allah, Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku disaat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfaqkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain". (HR Ahmad).

Engkau sumber inspirasi Baginda Rasul juga sebagai tempat meniup semangat juang Baginda Nabi akhir zaman.Namamu harum bukan saja pada wajahmu yang cantik, rupawan, jelita namun harum pada akhlak dan keperibadianmu yang sangat luhur dan suci murni itu.

Dikau adalah wanita pertama yang beriman pada Allah dan Rasul, dari keturunan terhurmat dan bangsawan Quraisy. Harum semerbak mewangi namamu dunia akhirat.

Dirimu mempunyai semangat yang tinggi, ketajaman daya fikirmu amat diakui oleh sejarah ,walaupun dirimu seorang janda sebelum mengahwini Nabi, namun dirimu sangat menjaga kehormatan dan maruah diri sehinggakan engkau digelar Ath-Thaahirah (Wanita yang suci).

Seorang ahli perniagaan yang banyak harta. Kaya dan sangat ada karisma dan prinsip hidup.Saat Baginda berumur 25 tahun, dirimu dalam usia 40 tahun. Ketika inilah dirimu memohon agar Baginda Rasul meminangmu dan sekaligus memperisterikanmu.

Akhlak Baginda Rasul yang amanah, jujur, bijaksana, taat dan seribu kepujian lagi yang ada pada Baginda Rasul telah menggamit hatimu untuk berkahwin dengan Baginda Rasul sebagai suamimu dunia akhirat.

Dengan disaksikan oleh bapa saudara Baginda Rasulullah( Abu Talib dan Hamzah bin Abdul Mutalib) melamarmu dengan mahar 20 ekor unta muda.

Pada tahun 595 Masihi telah sahlah mereka suami isteri di sisi Allah dan agama. Perbezaan usia dan harta antara dirimu dan Nabi tidak menjadi masalah kerana cinta yang tulus antara sesamamu sangat hebat dan juga pengabdianmu dan Baginda Rasul kepada Allah SWT yang sungguh mendalam.

Hasil pernikahan ini dirimu berdua dianugerahi 6 orang anak.2 lelaki ( Al-Qasim, Abdullah) dan 4 perempuan (Zainab,Ruqayyah,Ummu Kalsum dan Fatimah Az-Zahra').
Cita-cita murnimu itu telah ditunaikan maka berlakulah percantuman hati antara dua jiwa yang mulia ini di sisi Allah SWT. 


Setelah menjadi isteri kepada Utusan Allah, dikau wahai Sayyidatina Khadijah merupakan manusia pertama yang shalat di belakang Nabi SAW bersama Sayyidina Ali KWJ.

Segala hartamu diinfaqkan untuk Islam.Bahkan hambamu Zaid bin Haritsah pun diserahkan kepada Baginda Rasul, terus Baginda menerima Zaid sebagai anak angkatnya.

Kemuliaan Zaid juga termasuk orang yang paling dekat dengan Baginda Rasul dan merupakan salah seorang yang berada di saf pertama waktu shalat di belakang Nabi.

Dirimu sangat setia dan sangat menjadi pendorong utama kepada Baginda dalam menyampaikan dakwah Islam juga menjadi pembakar semangat di waktu Baginda diuji dan teruji.
Engkau Wahai Sayyidatina Khadijah tidak pernah berputus asa bahkan bersemangat waja dalam berdakwah memperkenalkan Tuhan dan utusan Allah di tengah-tengah masyarakat kaum Quraisy.


Sayyidatina Khadijah ini seringkali memberi pembelaan terhadap suaminya (Rasulullah) dalam apa jua keadaan sekalipun.Dikau sentiasa berada di samping suamimu, (Utusan Allah)itu.

Begitu mulianya Sayyidatina Khadijah sehinggakan Malaikat Jibril mendatangi Baginda Rasul sambil berkata"Wahai Rasulullah ...ini dia Khadijah.Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman.Bila ia datang kepadamu,sampaikanlah salam padanya dari Rabnya(Tuhannya) dan dariku(Jibril) dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumahnya di dalam syurga dibuat dari mutiara, emas dan perak,yang tidak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan".

Sayyidatina Khadijah terus menjawab salam itu dengan katanya "Allah Maha Penyelamat daripadaNya keselamatan dan kepadaNya pula kembali keselamatan, semuga keselamatan atas Malaikat Jibril".
HR Shahih Bukhari.



Pada tahun 616 Masihi kaum Muslimin telah diboikot kaum kafir Quraisy kerana marah sangat kepada Baginda Rasulullah dan kaum Muslimin kerana berdakwah , boikot ini berlangsung selama 3 tahun.

 Sayyidatina Khadijah jatuh sakit , setelah pemboikotan dihentikan.Maka Sayyidatina Khadijah meninggal dunia setelah berumur 65 tahun. Inilah tahun yang paling menyedihkan Nabi SAW.Tahun itu dinamakan (Tahun Kesedihan).

Sayyidatina Khadijah dimaqamkan di Kompleks Pemaqaman Ma'la di Mekah.Ia dimaqamkan bersebelahan dengan maqam anaknya Abul Qasim.

Begitulah sejarah memaparkan kepada kita wanita contoh suri tauladan ini untuk dicontohi. Hatinya penuh mendalam beriman kepada Allah dan Rasulullah SAW. Sangat berkorban untuk Islam dan sangat setia pada suaminya. 
Wanita syurga yang sangat Allah muliakan. 

Semoga ada rezeki kita untuk bersamanya di dalam syurga Allah nanti. Al Fatehah buatmu wahai wanita idola ummah .

Amin Ya Rabbal A'alamin

No comments:

Post a Comment