web stats

Tuesday 28 July 2015

Raudhatul Jannah-Taman/kebun syurga




Raudhah Oh Raudhah. Sungguh setia engkau menemani maqam Nabi, yang jasad Baginda sesungguhnya tidak hancur dan tidak reput ditelan zaman. Sesungguhnya roh Baginda itu hidup di sisi Tuhannya.

Wanginya maqam Nabi bergabung dengan harumanmu Raudhah, oh wangi semerbak,wangi haruman kasturi yang kekal hinggalah ke hari kiamat.Jasa pengorbananmu wahai Raudhah Oh Raudhah, amat mencuit hati sesiapa sahaja yang berada di dalamnya.

Raudhah Oh Raudhah. Bertuahnya dikau, Allah pilih berada di sisi Nabi. Keberadaanmu di sisi maqam Nabi ternyata ianya menjadi penyeri pada maqam Nabi dan maqam 2 sahabat yang sangat dicintai Allah dan Rasulnya. Kesetiaanmu menjadi peneman kepada maqam Nabi,sangat dibanggakan Allah dan Rasulullah juga seluruh umat Islam sedunia.

Kemuliaanmu wahai Raudhatul Jannah (Taman atau kebun syurga) Dikhabarkan Baginda Rasul,dari Abi Said Al-Khudri Sabda Nabi, "Tempat di antara maqamku dan mimbarku ini adalah Raudhah (kebun) di antara beberapa kebun syurga"
Raudhah tempatnya bersebelahan dengan Masjid Nabawi. 

Antara rumah Nabi dengan mimbar. Raudhah sangat istemewa kerana setiap doa yang dipanjatkan di sini akan dimakbulkan Allah.Doa mustajab dan tidak ditolak oleh Allah Taala.

Berada dalam kawasan Raudhah hati lapang, tenang,kerana secara automatik suasananya sangat meleraikan segala kekusutan, kebuntuan, tekanan jiwa serta suasananya amat nyaman menusuk ke jantung kalbu. Oh indahnya berada di sisimu wahai Raudhah Oh Raudhah.

Haruman bau-bauanmu bergabung dengan bau-bauan yang mewangi Baginda Rasulullah dan maqam Nabi sangat memberi ketenangan yang sungguh mendalam pada hati dan perasaan sesiapa sahaja yang berada di dalamnya.

Ibadah di dalamnya sangat menghadirkan rasa khusyuk yang mencengkam di sanubari. Hati bagaikan disiat-siat, dicarik-carik, dirobek-robek,diremokredamkan, dihancurluluhkan, dipecah-pecahkan ,rasa sayu,rasa pilu dan bermacam-macam rasa apabila mengenangkan baginda Rasul yang sangat berkorban untuk agama Allah dan untuk umatnya.

Terbayang di ruangan mata hati, betapa baiknya Allah mengutuskan seorang Nabi yang sangat mencintai, menyayangi,mengasihi umatnya, juga terbayang di ruangan hati betapa Rasulullah sanggup bermati-matian untuk membawa kebenaran dari Allah, demi mengajak umatnya beriman kepada Allah dan Rasulnya.

Tempat Raudhah tidak pernah sepi, tempat yang paling afdhal memanjat doa dan memohon hajat di hati. Apa sahaja hajat dimohon di Raudhah insyaAllah semuanya Allah yang Maha Mendengar akan mendengariNya dan akan dikabulkan doa-doa munajat tersebut.




Barangsiapa yang tidak tertunai hajatnya, kunjungilah Raudhah dan berdoalah di dalamnya dengan sepenuh hati.InsyaAllah doa akan dikabulkan Tuhan.

Raudhah adalah taman syurga, di mana ianya sebagai tempat Allah menurunkan rahmat dan kasih sayangNya . Kawasan karpet hijau.(Kawasan raudhah). Adalah kawasan yang Rasulullah amat cintai.

Raudhah merupakan tempat Rasulullah beribadah sepanjang malam dan sepanjang umur hidupnya. Tempat Baginda memimpin shalat bersama para sahabat dan umat Islam, tempat Baginda menerima wahyu. Juga menerima titah perintah dari Allah melalui Malaikat Jibril sebagai utusan Allah.

Sabda Rasulullah SAW, "Antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga" H.R Al Bukhari dan Muslim.

Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam Nawawi mengatakan bahawa di situlah tempat seharusnya diperbanyakkan doa, kerana doa sangat Mustajab.

Maqam Rasulullah disebuah kawasan kubah hijau dalam kawasan Raudhah. Terdapat juga maqam Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Sayyidina Umar Al-Khattab.

Mereka berdua adalah orang yang sentiasa menemani Rasulullah sedari hidupnya hinggalah wafatnya Baginda Rasul. Suka duka bersama, susah senang bersama, senyum tawa, menangis pun bersama. Begitulah betapa setianya para sahabat kepada Baginda Rasul tercinta.

Nabi bersabda, "Di antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah.(Taman) antara taman-taman syurga.dan mimbarku berada pada telagaku (di syurga)". H.R bukhari.


Begitu istemewanya Raudhah yang sentiasa menemani Nabi dan 2 para sahabat yang Nabi cintai. Berada di dalamnya (Raudhah) amat terasa akan betapa dekatnya hubungan hati dengan Baginda Rasul juga para sahabatnya.

Berpusu-pusu, berbondong-bondong umat Islam mengambil keberkatan untuk memijakkan kaki ke Raudhah, di kawasan karpet hijau di dalam Masjid Nabawi. Shalat di dalamnya sangat memberi 1001 rasa yang sukar untuk dilafazkan oleh bahasa mulut , kerana bahasa hati sahajalah yang mampu mengungkapkan betapa terharunya, sebaknya, sayunya, pilunya, hibanya hati ini ketika berada di Raudhah dan kawasan sekitarnya.

Umat manusia setiap hari memenuhi ruangan berkat dan istimewanya ini. Tidak pernah lengang dari dikunjungi oleh umat Islam seluruh dunia.

Semoga berbahagialah sesiapa sahaja yang direzekikan dan diberi peluang oleh Allah Taala untuk melepaskan rindu di hati kepada kekasih Allah dengan memijakkan kaki di Raudhah dan maqam Nabi dalam Masjid Nabawi.

Semoga Raudhah, maqam Nabi, Maqam 2 sahabat karib Baginda Rasul, Kubah Hijau, masjid Nabawi menjadi saksi di akhirat kelak di hadapan Allah bahawa kita semua pernah memuliakan tempat yang sungguh istemewa dan bersejarah itu.

Semoga dengan berkat mengunjunginya kita juga akan memperolehi pandangan rahmat dan kasih sayang dari Allah seumur hidup kita. 

Semoga kita juga direzekikan layak untuk mendapat syafaa'atul kubra dari Baginda Rasul di hari perhitungan nanti. Jesteru itu terselamatkan kita dari terjun ke dalam neraka Allah yang amat dahsyat dan mengerikan itu. 

Wahai Raudhah Oh Raudhah. Rindunya diriku untuk memijakkan kakiku ke Raudhahmu buat kesekian kalinya. Semoga diizinkan Allah suatu masa nanti kita bertemu lagi.
Amin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment