web stats

Tuesday 28 July 2015

Pedang Allah-Khalid Ibn Walid R.A




Nama sebenarmu ialah Khalid bin Al-Walid bin Al-Mughirah, dilahirkan di Mekah.Ayahmu Walid bin Al-Mughirah (ketua Bani Makhzum).

Adalah sebuah suku daripada suku bangsa Quraisy. Dirimu berbadan tegap, berbahu lebar,berjanggut tebal, berhati dan watak ketenteraan,seorang juara gusti , suka main tombak,lembing, busur dan pedang.Penunggang kuda yang sangat handal.
 
Dalam pertempuran Mu'tah Panglima Khalid mengambil alih tampuk pimpinan tentera Muslim, dengan pasukan tentera Islam seramai 3,000 orang mampu mengalahkan Empayar Byzantine(Rom) yang seramai 200,000 tentera.

Selain dari pertempuran Mu'tah banyak lagi pertempuran yang engkau terlibat .

Antara ratusan peperangan yang engkau ikuti ialah pertempuran Hunain, pengepungan Taif, menyertai kempen Tabuk. Perang Yamamah, perang Yarmuk dan lain-lain lagi peperangan.

Engkau adalah antara panglima Islam yang memainkan peranan penting mengepalai peperangan antara tentera Islam dengan tentera Rom dan Parsi pada kurun ke 7.

Berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam tempuh 3 tahun sahaja.Ini satu pencapaian yang sungguh ajaib dan luar biasa.

Engkau berbangsa Arab keturunan Quraisy. 
Pernah menentang Nabi dalam perang Uhud, akhirnya memeluk agama Islam dan memohon maaf kepada Nabi atas tindakanmu sebelum ini.
Engkau digelar "SAIFULLAH AL-MASLUL" yakni "PEDANG ALLAH YANG TERHUNUS".


Gelaran ini Baginda Rasul anugerahkan kepadamu kerana dirimu berjaya menyelamatkan tentera-tentera Islam daripada dibunuh musuh. Bahkan Baginda Rasulullah bersabda"Wahai Khalid engkau adalah sebilah pedang dari pedang Allah.

Dalam peperangan Yamamah, Panglima Khalid berteriak dengan kuatnya sambil bertakbir "ALLAHU AKBAR!!...Marilah kita berebut-rebut mencium bau syurga", maka terjadilah peperangan yang amat dahsyat dan hebat. Anak panah bersimpang siur dan mayat bergelimpangan.Ramai tentera Islam syahid dalam perang Yamamah ini.

Engkau adalah sahabat Nabi yang sangat disayangi Nabi.Juga seorang pahlawan Islam yang sangat digeruni musuh-musuh Allah.

Engkau sangat diberi kepercayaan oleh Khalifah Allah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A.dalam mengetuai pasukan tentera muslimin bertahun-tahun lamanya.



Engkau juga diberi amanah untuk memerangi puak Murtad dan engkau juga ditugaskan membunuh Musailamah bin Al- Kazzab yang mengaku Nabi beserta pengikut-pengikutnya.

Terlalu banyak jasa-jasamu untuk Islam.Dikaulah panglima Islam yang sangat berani dan handal.Keberanianmu bagaikan singa atau harimau di medan perang. Siapa sahaja musuh-musuh terjatuh di hadapanmu tidak akan terselamat dari pedangmu.

Wahai Panglima Khalid RA,kagumnya aku dengan keperkasaan dan ketangkasanmu memerangi musuh-musuh Allah dengan pedangmu. Benarlah engkau "SAIFULLAH".
Orangnya sangat kuat hinggakan digelar (Al-Qawiyyul Amin)yang kuat dan amanah.Sangat lasak, tidak tahu rehat,tidur atau baring,sangat kuat semangat dan berhati waja.

Kemampuanmu tidak ada tandingannya, sangat taat, sangat berbaik sangka dengan pemimpin atau khalifah di atasmu. Buktinya engkau dipecat sebagai seorang ketua panglima perang disaat engkau sedang hebat bertarung di medan juang oleh Khalifah Umar Al-Faruq dan digantikan dengan sahabat baikmu Sayyidina Abu Ubaidah Ibn Jarrah,engkau terima perlucutan jawatan ini dengan tenang sekali.

Dengan tenang engkau menyerahkan jawatanmu kepada Sayyidina Ubaidah Ibn Jarrah, tanpa merajuk, tanpa prajudis, tanpa dendam, tanpa sakit hati, tanpa buruk sangka pada Khalifah Umar sedikit pun. Dalam masa yang sama semangat juangmu tetap utuh dan kental.

Walaupun engkau telah dipecat dan dilucutkan jawatan , namun dirimu tetap berjuang dan berperang serta membunuh musuh-musuh Allah seperti biasa.Semangat juangmu tidak luntur dan berganjak walaupun seinci jua.

Engkau tetap membantu tentera Islam menakluk negara-negara dan kuasa-kuasa besar yang gagah, hingga jatuh terjelapak di bawah kekuasaan Islam.

Ikhlas sungguh hatimu dalam menegakkan agama Allah dan menumpaskan musuh Islam, sewaktu dirimu dipecat oleh Sayyidina Umar engkau berkata "aku bukan berjuang kerana Umar tetapi aku berjuang kerana Tuhan kepada Umar".



MasyaAllah...mulianya hatimu,berjuang bukan kerana jawatan tetapi kerana Allah semata-mata. Engkau wahai Sayyidina Khalid, tidak pernah kalah dalam peperangan menentang musuh,engkau sentiasa menang dan terus menang.

Di zaman jahiliah sebelum engkau menyertai pasukan Nabi, engkau berjaya mengalahkan umat Islam dalam peperangan Uhud. Sehingga dikatakan dalam sejarah Islam, lukanya Baginda Nabi dalam peperangan Uhud adalah angkara engkau wahai Panglima Khalid.

Namun demikian engkau telah menebus segalanya itu dengan bermati-matian mempertahankan agama Allah dan menebas musuh-musuh Allah dengan pedangmu.

Satu-satu musuh Allah tersungkur di telapak kakimu, terutamanya dalam perang Mu'tah di mana kedudukan umat Islam hampir-hampir tewas dalam pertempuran Mu'tah, akhirnya engkau mengatur strategi yang hebat akhirnya tentera Islam dapat diselamatkan.

Dalam perang Mu'tah tentera Islam yang sedikit bertembung dengan tentera Rom seramai 200,000 orang memang nyaris-nyaris menerima kekalahan, setelah bendera Islam silih berganti bertukar tangan dari Zaid bin Harithah,Jaafar bin Abu Talib, Abdullah bin Rawahah semuanya syahid, maka bendera Islam disambar oleh Thabit bin Arqam dan terus pantas menyerahkan kepada Panglima Khalid maka automatik Panglima Khalid menjadi komandan perang dan terus mengarahkan tentera Islam berundur ke Madinah kerana tentera Islam sudah terlalu ramai yang gugur syahid dan yang tinggal tidak mampu untuk bertahan lagi.

Waktu zaman jahiliahmu,dirimulah yang menyebabkan umat Islam kalah dengan teruk dalam peperangan Uhud.Di atas kecuaian tentera pemanah dari pasukan tentera muslimin yang tidak mendengar arahan Baginda Nabi,supaya jangan tinggalkan pasukan pemanah dari atas bukit, tetapi pasukan tentera pemanah turun juga dari atas bukit kerana tergoda dengan harta ghanimah . 

Akhirnya engkau dengan tangkasnya mengambil kesempatan di atas kelemahan tentera muslimin, engkau mengepung gunung Uhud dan tentera Islam, maka itulah sejarah yang paling buruk bagi kaum muslimin dalam sejarah peperangan.

Akhirnya setelah engkau meninggalkan alam jahiliah mu dan menjadi orang kuat kepada Baginda Nabi , engkau terus menjadi "Pedang Allah". Tidak sekali pun engkau kalah dalam bertempur melainkan kemenangan demi kemenangan walaupun tentera muslimin bersamamu hanya 10 orang tentera yang beriman yang menjual dunia demi akhiratnya menentang 100,000 orang tentera Rom ,
Akhirnya Tuhan memberi power yang luar biasa serta Izzah kepada Sayyidina Khalid dan 10 orang tentera Islam ini. 

Maka akhirnya mereka dengan bilangan yang amat sedikit mampu menewaskan tentera Rom(musuh) dengan jayanya. Akhirnya engkau (Sayyidina Khalid) tetap kembali dengan seribu kemenangan.

Engkau juga terkenal sebagai pakar jalan, pakar pecut kuda,pakar strategi,pakar segala pakar. Bukti betapa tangkasnya dirimu wahai Sayyidina Khalid,sewaktu hendak perang bermula di Iraq sempat engkau pecut kuda dari Iraq sampai ke Mekah, untuk menunaikan haji.

Bila selesai haji ,engkau berpatah balik ke Iraq untuk berperang, Setengah para sahabat tidak perasan ketiadaanmu seketika. Begitu sekali licitnya dirimu wahai Sayyidina Khalid.

Pernah berlaku dalam sejarah, Tentera Rom sudah mengepung tentera Islam,bila engkau mendapat tahu akan hal ini, engkau memecut kudamu dan pergi ke Syam menyelamatkan tentera Islam tersebut. 

Ternyata usahamu diizinkan Allah.Misi itu berjaya.
Khalifah umar memecatmu (Sayyidina Khalid) kerana ingin menjaga hati umat Islam supaya jangan merasakan perang menang kerana Khalid.Demi menjaga hatimu juga , Sayyidina Umar lakukan ini semua.

Hebatnya engkau wahai Panglima Khalid Ibn Walid, sehinggakan mana-mana Kota yang tentera Islam tidak boleh masuk, engkau (Sayyidina Khalid) mampu dan boleh redah masuk dan terus menawan kota tersebut.

Sehinggakan Sayyidina Umar akhirnya berkata:- "Sayyidina Abu Bakar lebih kenal Khalid dariku".
Engkau wahai Sayyidina Khalid,adalah seorang panglima Islam mati di atas katil, ditempat tidurmu, tidak mati dibunuh musuh.

Persoalannya sekarang, kenapa Sayyidina Khalid tidak mati syahid?
Sedangkan sabda Rasulullah adalah jenazah orang yang mati syahid tidak dimandikan, kerana darahnya akan menjadi saksi dan bersyahadah di hari kiamat.

Habis bagaimana dengan Panglima Khalid, mati atas katil tempat tidurnya bukan mati di medan jihad?
Seorang sahabat menjenguk panglima Khalid seraya panglima Khalid berkata... "Tahukah engkau, ketika Sayyidina Umar menurunkan Jabatanku?pada awalnya aku sangat kecewa tetapi sekarang aku sedar bahawa apa yang Sayyidina Umar lakukan adalah tindakan yang sangat tepat, kerana dia mahukan yang terbaik padaku.dan aku tidak lagi merasa kecewa lagi terhadap Sayyidina Umar.

Hampir saat-saat kewafatanmu , orang-orang yang menziarahimu , engkau menunjukkan tanganmu dan tidak ada sejengkal jarak pun di tanganmu kecuali ada bekas luka,dan apabila engkau menunjukkan tangan kanan kirimu, menunjukkan dada dan kakimu sambil berkata, "lihatlah aku , aku bertempur dalam ratusan peperangan, banyak pertempuran , akan tetapi aku sakarat di tempat tidurku".
Para sahabat menenangkanmu dan menghiburkanmu dengan berkata padamu " Wahai Khalid!!,,, bukankah baginda Rasulullah telah mengelarkanmu pedang Allah?.

Maka tidak mungkin kau gugur dalam pertempuran,kerana jika kau gugur dalam pertempuran, bererti pedangnya Allah telah berhasil dipatahkan oleh orang-orang kafir.

Sedangkan pedangnya Allah tidak boleh dipatahkan atau di kalahkan oleh pihak musuh kerana ini akan menjatuhkan maruah dan kewibawaan pedang Allah yakni "SAIFULLAH".

Begitu sekali betapa Maha Hebat dan Maha Bijaksananya Allah menetapkan kematian Panglima Perang Khalid Ibn Walid R.A, wafatnya di atas katil di tempat tidurnya.Maha suci Allah melakukan ini sia-sia.

Firman Allah yang membawa maksud:- (Janganlah kamu mengira orang yang gugur di jalan Allah itu mati,bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Ali Imran :169
Demi Allah setiap orang yang mati syahid dari umat ini akan bersaksi untuk Panglima Khalid Ibn Walid RA matinya adalah syahid walaupun matinya di tempat tidurnya. 

Allah Maha Mengetahui segala-galanya.
Ketika wafatnya Panglima Khalid di Hims Syria, para wanita dari Bani Makhzum keluar dan menangis. Kata ibu Khalid dalam puisinya setelah wafatnya Khalid, "Kau lebih baik dari jutaan orang.Ketika musuh-musuhmu terjatuh di hadapanmu. kau lebih berani daripada seekor singa atau harimau. Kau lebih dermawan daripada banjir yang mengalir menuruni gunung".
Kata Sayyidina Umar kepada ibu Panglima Khalid," engkau adalah benar. Kata-katamu terhadap Khalid adalah benar". 

Sedangkan ratusan peperangan demi peperangan Panglima Khalid sertainya. Tidak ada 1 inci , 1 jarak pun tubuh badannya dari hujung rambut hingga hujung kuku yang tidak terkena pedang, tombak, anak panah, semuanya tinggal parut dan kesan-kesan luka.

Pada 4 tahun terakhir kehidupanmu, engkau diturunkan pangkat dan tidak dibenarkan lagi ke medan perang. Ini adalah ujian terbesar untukmu wahai Panglima Khalid Ibn Walid. Selama itulah dirimu memenuhi masa lapangmu dengan membaca Al- Quran. Sedari fajar hinggalah ke zohor.

Engkau berkata " jihad telah menghentikan aku dari belajar Al- Quran.Sejak dari hari itu engkau belajar Al- Quran , membaca Al- Quran dan menangis terus menerus kerana takutkan Allah. MasyaAllah.... hebatnya ketaqwaanmu wahai hero penyelamat dan jaguh bagi umat Islam.

Semuga sejarahmu wahai Panglima Khalid Ibn Walid menjadi suri tauladan kepada umat Islam sejagat.

Betapa dirimu sanggup hancur luluh tubuh badanmu demi mempertahankan agama Allah di atas muka bumi ini. 

Dengan memaparkan kisah sejarah silammu , semoga diriku juga mendapat keberkatan dari Allah dunia dan akhirat.
Amin Ya Rabbal A'alamin.

No comments:

Post a Comment