Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut di kepala kanak-kanak dicukur.
Sementara pengertian aqiqah dari segi syarak ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi.
Adalah sunat untuk melaksanakan aqiqah dan mencukur rambut bayi pada hari yang ketujuh selepas hari kelahiran anak tersebut.Bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan bolehlah ditangguhkam sehingga mereka mampu.
Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah SWT, sebagaimana penjelasan Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud, "Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama".
(Riwayat Abu Dawud, Al-Turmuzi dan Ibnu Majah)
HUKUM AQIQAH
Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing sahaja.
Diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah, bahawa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing.
(Riwayat Al-Turmuzi).
Daripada Ibnu Abbas RA pula menyatakan bahawa Rasullullah SAW, menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)
DAGING AQIQAH
Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya.
Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya, yang membawa maksud, "Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."
(Hadis riwayat al-Hakim)
Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu waktu Aqiqah.
Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih.
Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya.
Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya : "Rasulullah SAW, mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)."
Syarat sah aqiqah ialah:-
*Berniat aqiqah ketika menyembelih.
*Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta.
*Memenuhi syarat-syarat sembelihan.
*Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut
*Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh.
*Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
Bagaimanakah sejarah bermulanya ibadah aqiqah?.
Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa, “Pada zaman Jahiliyyah apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.
Menurut riwayat Ibnu Sakan pula, “Orang-orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun-ubun bayi yang baru saja dilahirkan itu. Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah S.A.W.
Baginda menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.
S:Apakah hikmah daging aqiqah sunat dimasak manis?
J: Inilah antara perbezaan yang ada di antara korban dan aqiqah, daging korban sunat diagihkan dalam keadaan mentah, manakala daging aqiqah pula sunat diagihkan setelah dimasak dengan masakan yang manis.
Adapun hikmah kenapa kita disarankan memasak daging aqiqah dengan masakan yang manis-manis ialah kerana ia sebagai doa harapan baik (tafa-ul), mudah-mudahan akhlak dan kelakuan anak tersebut akan menjadi baik dan manis dipandang. Wallahua'lam.
S:Apakah hikmah tulang haiwan aqiqah tidak boleh dipatah-patahkan?
J: Kita dituntut supaya tidak mematahkan tulang-tulang haiwan sembelihan aqiqah, akan tetapi sunnah dipotong mengikut sendi-sendi haiwan tersebut.
Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, iaitu ketika Fatimah binti Muhammad S.A.W. mengadakan aqiqah anaknya, maka Rasulullah S.A.W. bersabda; “Makan dan jamulah seleramu tetapi janganlah kamu memecahkan tulangnya”.
Begitulah serba sedikit ilmu mengenai aqiqah menurut pandangan Islam.Sebagai bukti terima kasih kehadrat Allah Taala juga
sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala atas anugerah kurniaan Allah dengan memiliki cahaya hati yang menjadi penghibur kepada suami isteri dan keluarga tersebut.
No comments:
Post a Comment