web stats

Friday 6 March 2015

ORANG MUKMIN ITU SENTIASA TENANG


Orang Mukmin itu sentiasa tenang walaupun dalam ujian yang menimpa diri.Tidak pernah keluh kesah dan tidak menentu walaupun berat ujian yang dihadapinya.

Tenang bukanlah ertinya berdiam diri tanpa usaha ikhtiar jika di uji dengan ujian kesakitan atau pelbagai mehnah mengundang.



Tenang bukanlah ertinya tidak menangis mengalirkan air mata jika diuji dengan kematian atau kehilangan insan tersayang.Akan tetapi hatinya tenang tidak meratap, tidak meraung dan tidak hilang pertimbangan menumbuk-numbuk tubuh badannya atau mengoyak-goyakkan pakaiannya.Itu amalan Jahiliah yang Allah dan Nabi tidak suka.

Insan tersayang yang pergi diiringi dengan doa restu dan redha atas pemergian mereka.Bacaan Yasin dikirimkan, shalat jenazah ditunaikan dengan penuh syahdu dan sayu, namun hati tetap sabar dan mengambil hikmah disebalik ujian itu.



Tenang bukanlah ertinya tawakkal tidak bertempat sekiranya ditimpa musibah.Menyelamatkan diri amat dituntut jika berlakunya kebakaran, banjir atau apa saja bencana alam.

Tenang yang sebenar tabah hadapi ujian walaupun pahit namun hati tetap terima Qada' dan Qadar ketentuan Allah .Hati tidak pernah berputus asa dengan rahmat dari Allah.



Hati tidak pernah bersangka buruk dengan Allah bahkan hati sentiasa bersangka baik dengan Allah.Walau dalam apa keadaan sekali pun,hati sangat lurus dan telus dengan Allah.

Inilah yang dikatakan hati orang Mukmin itu sangat tenang setenang air di kali.Mampu bersabar bila ditimpa ujian dan mampu bersyukur sebanyak-banyaknya apabila diberi nikmat.

Indah sungguh hati orang Mukmin dikeji tidak mati, di puji tidak lupa diri.Puji dan keji sama sahaja padanya kerana Allah dan Rasul sudah ada dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment