web stats

Sunday 29 March 2015

MENGAPA IMAN PENTING DALAM KEHIDUPAN?


Iman satu kalimah atau satu perkataan yang senang disebut namun ianya sangat susah dimiliki oleh seseorang.Iman bukanlah ibarat batu-batu kerikil ditepi-tepi jalan, atau bukan juga ibarat debu-debu yang berterbangan dibawa angin, ianya bukan juga bagaikan pasir-pasir yang bersepah di tepi-tepi pantai atau di mana sahaja, bahkan di perkarangan rumah kita pun menimbun banyaknya.

Jika iman seperti perumpamaan di atas, ertinya mudah sekali untuk memilikinya, di mana sahaja kita berada boleh sahaja tersepak-sepak dan terserempak dengannya.

Akan tetapi iman suatu yang sungguh mahal dan sukar untuk dimiliki sesukar untuk memperolehi emas,batu permata, intan berlian, yang mahal dan bermutu tinggi. Ianya hanya berada di dasar lautan yang paling dalam, jika tidak bersabung nyawa mendapatkannya, mustahil untuk memilikinya.


Bila sudah dapat terpaksa diproses, digilap dengan begitu tinggi menggunakan teknologi canggih yang sangat hebat kepakaran ahlinya, barulah dapat menghasilkan sebutir intan berlian batu permata yang cantik, bermutu hebat dan sangat tinggi nilai harganya di pasaran.

Untuk mendapatkan intan permata pun susah, lagilah iman, bertambah-tambah sukar dan payah memperolehinya.barang siapa yang memiliki iman ertinya dia akan memiliki segala-galanya.Sesiapa yang kehilangan dan ketandusan iman ertinya dia akan terlepas segala-galanya.

Hendak dapat iman bukan semudah yang diungkapkan, kerana ianya mesti taat pada titah perintah Allah dan mesti setia ikhlas dengan suruhan Nabi Pesuruh Allah.

Untuk memiliki iman yang hakiki mesti sanggup menunaikan shalat fardhu, mesti sanggup berlaparhaus dahaga berpuasa di bulan Ramadhan, mesti sanggup mengeluarkan zakat apabila cukup syarat-syaratnya, mesti bersedia naik haji apabila berkemampuan dan mesti rela bersedekah, beramal jariah, beramal soleh,membuat amalan-amalan sunat sebanyak mungkin juga mesti membuang mazmumah dan menyuburkan hati roh dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah).

Orang yang beriman jika diuji dengan ujian dia akan bersabar dan redha.Jika diuji dengan sakit, miskin, kematian orang tersayang atau dengan apa ujian sekalipun, walaupun amat pahit ditelan namun ianya anggap sebagai kasih sayang Allah, perhatian Allah terhadapnya juga sebagai kifarah dosa dan sebagainya.Dia sangat tenang dalam ujian walaupun separuh mati nyawa dibuatnya.

Akan tetapi sebaliknya pula sikap orang yang tidak beriman, jika diuji oleh Allah dengan apa ujian sekali pun mereka akan marah Allah, mereka akan menyalahkan Allah, mereka akan kata Allah zalim, Allah tidak adil, Allah tidak sayang dia, Allah jahat, Allah teruk,Allah kejam, Allah tidak faham dia,Allah tidak itu dan tidak ini.Ada sahaja hujahnya memperburukkan Allah.Sabar dan redha jauh sekali.MasyaAllah...Maha Suci Allah dari pertuduhan yang sangat jahat seperti di atas.

Orang yang begini ternafi iman dan Islamnya. Jika dia umat Islam, tidak mustahil... tersilap langkah jatuh kufur di atas sangkaan dan tuduhannya terhadap Allah.Astaghfirullah.....Mohon ampun Ya Allah dari ciri-ciri orang yang tidak beriman ini.Dunia rugi akhirat apatah lagi.Dalam dunia tiada ketenangan hidup, keluh kesah yang memanjang, di akhirat pula dihumbankan ke dalam dasar neraka jahanam.

Wal'iyazubillahi min zaalik.

Mengapa jiwa kita keluh kesah dan tidak tenang dalam hidup?, sedangkan harta dunia melimpah ruah, tidak habis makan sampai mati pun ada.Kenapa jiwa kosong?, kenapa hilang bahagia?sedangkan segala yang dihajati ada di dunia ini.Itu buktinya tidak ada iman dalam hatinya yakni tidak ada Allah dan Rasul dalam hatinya.

Para ahli suffah walaupun miskin tiada harta akan tetapi hati mereka tenang dan bahagia.Ini kerana dalam hati mereka cukuplah Allah bagiku, cukuplah Rasulullah bagiku.Mereka cukup dengan Allah dan Rasulullah seumur hidup mereka.Alangkah bahagianya hati si mukmin yang begini.

Iman sangat perlu dan penting dalam kehidupan seseorang.Orang yang ada iman dia tidak fikir masa depannya.Dia tidak fikir apakah nasibnya nanti bila sudah tua?.Bila aku tua nanti kalau tidak ada wang-wang di bank macamana nasibku?.Macamana nanti kalau aku susah bila aku tua, siapa hendak jaga aku, siapa hendak bagi aku makan, siapa hendak sara kebajikan aku dan macam-macam dia memikirkan masa depannya.



Orang beriman dia tidak akan fikir masa depannya yang ada kaitan dengan kehidupan di dunia ini, akan tetapi dia akan fikir begini..... bila aku  mati nanti bagaimana nasibku dalam kubur di alam barzakh, apakah kuburku lapang, luas, terang atau gelap gelita, sempit dan penuh dengan siksaan menunggu hari pembalasan di hari kiamat nanti?.

 Macamana nasibku di padang Mahsyar dan titian siratalmustaqim dan apakah aku mendapat rahmat dari Allah untuk menduduki syurga Allah atau dihumbankan ke dalam neraka jahim?.Orang yang beriman akan memikirkan masa depannya yang ada kaitan dengan akhirat.Inilah yang dikatakan hati mukmin yang sejati.Semoga kita digolongkan ke dalam golongan mukmin yang sejati.

Aamin Ya Allah. 

No comments:

Post a Comment