web stats

Sunday, 29 March 2015

APA YANG DIKATAKAN IMAN?.


Iman adalah keyakinan dalam hati.Seseorang hamba Allah yang beriman kepada rukun iman yang enam, maka sahlah imannya. 

Taarif iman pada loghah atau bahasa ialah percaya.Percaya bahawa Allah itu Wujud, sudah dikira berimanlah seseorang itu.Akan tetapi mesti belajar dan menuntut ilmu agama lebih dalam lagi tentang sifat-sifat wajib, harus dan mustahil bagi Allah.

Apa itu taarif iman mengikut istilah?.
Iman itu ialah Islam yang mesti jadi pegangan seseorang,yakni ikrar billisan, watasdiiqun bil qalbi, wa'amalun bil arkan, (maknanya diucapkan oleh lidah,dibenarkan oleh hati dan dilaksanakan oleh perbuatan anggota lahir).

Maknanya taarif iman yang sempurna mestilah mengaku,percaya dan berbuat.

Mengaku ertinya mestilah mengucap dua kalimah syahadah, ikrar dengan lidah "aku naik saksi bahawa sanya Tuhan itu adalah Allah dan aku naik saksi bahawa sanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah atau utusan Allah", maka sahlah Islam dan iman seseorang itu jika dia mengucap dua kalimah syahadah tanpa syak, zan, waham dan ragu.

Setelah diucapkan dengan lidah, diakui pula oleh hati,yakni diyakini dan dibenarkan oleh hati nurani bahawa benarlah apa kata lidah Tuhan itu adalah Allah, Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.Hati mesti percaya sungguh-sungguh apa kata lidah.


Hati mesti percaya akan sifat-sifat wajib yang ada pada Nabi, sifat-sifat mustahil yang ada pada Nabi tanpa sedikit pun dicelahi syak,zan, waham pada apa yang diyakini tersebut.

Apa itu syak, zan dan waham?.

Syak itu ialah 50% percaya 50% tidak percaya.Antara percaya dengan tidak percaya, sama banyak peratusannya.

Manakala zan itu pula lebih banyak percaya dari tidak percaya,Percaya 75% , tidak percaya 25%.

Sedangkan waham pula sedikit percaya dan banyak tidak percaya, 25% percaya dan 75% tidak percaya.

Iman yang sempurna maknanya tidak dicelahi oleh syak,zan dan waham.Apa yang diikrarkan oleh lidah, diyakini oleh hati sekali gus terus dilaksanakan oleh anggota lahir, umpamanya dia shalat, dia puasa, dia tunaikan zakat, dia tunaikan haji jika mampu,dia bersedekah, beramal jariah, dia mengaji dengan membaca Al-Quraan, dia menutup aurat, dia meninggalkan maksiat dan dosa,dia berjuang mempromosi Allah dan Baginda Rasulullah SAW dengan apa cara sekalipun, dia berkorban untuk Islam dan dia berbuat apa sahaja perintah Allah dan Rasulullah SAW.



Dengan ertikata apa yang diikrarkan oleh lidah dan yang dibenarkan oleh hati, dilakukan pula oleh sikap perbuatannya , dibuktikan dengan kepala, tangan, kaki, telinga, hidung, mulut, jari jemarinya serta seluruh jawarihnya yang berfungsi untuk bertindak.Maka sahlah iman dan Islamnya.Namun untuk kesempurnaannya ada syarat-syaratnya.

Setakat ucap sahaja tanpa amalan lahir, itu belum sempurna, belum lengkap iman seseorang.Lemah dalam beramal seperti cuai shalat, tidak berpuasa, tidak mahu keluarkan zakat, ada harta wang ringgit tidak mahu menunaikan haji, lebih suka berpoya-poya membelanjakan wang ringgit honeymoon sana sini, picnic ke sana ke mari, melancung luar negara dan dalam negara tanpa ada hubungan dengan tuntutan rukun Islam seperti tidak mahu menunaikan haji bila berkemampuan, maka kesempurnaan imannya ternafi sama sekali.

Anggota lahirnya tidak mahu tunduk pada titah perintah Allah, bahkan tidak peduli apa kata Allah dan apa pandangan Rasulullah terhadapnya, maka mereka begini termasuk golongan Aa'si yakni mukmin durhaka namanya.

Kalau golongan ini sering bertaubat, menyesali akan kealpaan, kecuaian, kelemahan dirinya , jika Allah ampunkan dan terima taubatnya, maka akan masuk syurga juga akhirnya walaupun awalnya terjun juga ke dalam neraka.Masuk neraka selama mana dosa dan kedurhakaannya kepada Allah.

Mungkin sekali sekala sembahyang juga, tunaikan zakat juga sesekali sekala, berbuat baik juga walaupun seumur hidup sekali dua, namun amal kejahatan lebih berat dari amal kebaikan.Orang yang begini akan menerima kitab sebelah kiri di Padang Mahsyar kelak.

Ada juga golongan yang ragu-ragu akan keIslamannya.
Keraguannya hanya bermain di dalam hatinya.
Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui hakikat orang yang begini.Jenis ini dikatakan Munafiq yakni nifaq.Keyakinannya tidak padu.Dicelahi oleh salah satu antara syak,zan, waham dan ragu-ragu.Mereka begini dalam kitab dikatakan golongan Yuzhirul Islam wayubthinul kufra yakni golongan menzahirkan Islam menyembunyikan kekufuran.

Orang nifaq ini hakikatnya kafir.Kalau dia mati kekal dalam neraka bahkan lebih dahsyat dan lebih azab lagi dari orang kafir penyembah berhala.Sesungguhnya orang munafiq ini dicampakkan ke dalam neraka yang paling dalam, paling dasar, paling bawah,dikerak-kerak dalam lubuk neraka,

Kenapa dan mengapa golongan munafiq ini tempatnya lebih dahsyat dari kafir penyembah berhala?.

Sebab masyarakat Islam terkeliru dengan lakunan mereka yang sangat licik itu.Mereka sangat menggelirukan dan menipudaya.
Kalau orang kafir senang hendak mengenalinya, jelas kesesatannya, akan tetapi para munafiq ini ibarat api dalam sekam.Mereka lebih berbahaya daripada orang kafir, sebab orang kafir jelas mereka sembah api, matahari, pokok, lembu, tok kong,patung dan lain-lain.

Orang Yahudi, Nasrani Kristian, Majusi sangat jelas mereka menyembah lain selain dari Allah, jelas mereka menyegutukan Allah, dan ketara rumah-rumah ibadah tok kong dan gereja mereka. Akan tetapi orang munafiq mana boleh kita tuduh sembarangan kata mereka kafir, boleh jadi mukmin aa'si, sedangkan pada hakikatnya mereka sudah jatuh kafir.

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.Mana boleh kita hendak menuduh seseorang itu munafiq atau kafir.Tersilap tuduh, tuduhan itu memakan diri.Orang yang dituduh tidak kafir atau munafiq maka tuduhan itu berpatah balik kepada sipenuduh.

Wal,iyazubillahimin zaalik.






No comments:

Post a Comment