web stats

Thursday, 12 February 2015

SYUKUR ATAS NIKMAT ALLAH SANGAT DITUNTUT..

Tidak ada Bani Adam yang tidak bersalah dan tidak berdosa di dunia ini.Janganlah kita mendabik dada mengatakan kita tidak pernah melakukan kesilapan walaupun sebesar janggut udang, senipis kulit bawang atau sebesar habuk debu.

Hanya Baginda Rasulullah SAW sahaja yang terpelihara daripada dosa dan noda.Ini adalah keputusan muktamad dari Allah.
Allah telah mengiktiraf Baginda Nabi adalah
"Maa'sum" ertinya terhindar dari segala dosa dan noda.

Walaupun Nabi Maa'sum namun Nabi tetap menyembah Allah hingga bengkak-bengkak lutut dan tumit kakinya, bila ditanya oleh Sayyidatina Aisyah "Bukankah Tuan sudah dijamin syurga buat apa susah-susahkan diri hingga begitu sekali?".

Nabi respon kepada persoalan Sayyidatina Aisyah, Nabi berkata "Bukankah aku adalah hamba kepada Tuhanku?.Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur".



Begitulah hebatnya rasa syukur yang ada pada seorang Nabi akhir zaman.Patut ianya dicontohi. Syukur itu akan datang dari lubuk hati yang sangat dalam bagi setiap diri yang rasa dia adalah hamba.Syukur tidak akan bertapak dalam hati yang megah dan rasa dirinya Tuan.

Syukur itu akan datang pada setiap hati yang merasai kebesaran Allah dan kekerdilan dirinya.

Syukur itu akan datang menerpa sanubari jika rasa kehambaan yang tinggi dan rasa keTuhanan yang menjunam dan terpasak dalam hati nurani.

Tanpa iman dan taqwa dalam dada, mustahil rasa syukur akan membaluti diri.

Syukur adalah satu perasaan yang amat tinggi antara hamba dan khaliqnya.Allah sangat suka kepada hamba-hambaNya yang tahu bersyukur dan selalu bersyukur kepadaNya.



Sesiapa yang bersyukur akan Tuhan tambah nikmat dalam hidupnya.Oleh itu marilah kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, supaya dengan kesyukuran itu Allah redha kepada kita selaku hamba-hambaNya.

Janganlah kita menjadi orang  yang tidak bersyukur kerana orang yang tidak bersyukur termasuk ke dalam golongan orang-orang yang kufur nikmat.Allah akan murka kepada hamba-hambaNya yang kufur nikmat.Tidak pernah puas dengan apa yang Allah beri.Tidak pernah rasa terima kasih atas nikmat yang diperolehi.

Orang yang tidak bersyukur seringkali mengeluh dan mengungkit-ungkit kekurangan dirinya serta kesusahan yang dialaminya.
Seolah-olah Allah tidak pernah  faham dia dan tidak pernah  memenuhi hasrat dan impiannya. Maha Suci Allah dari berlaku tidak adil dan zalim terhadap hamba ciptaanNya.

No comments:

Post a Comment