web stats

Thursday 13 November 2014

WiFi terbesar terhubungnya hati dengan Allah dan Rasulullah SAW

 
Pernah ke kita terfikir ada WiFi yang paling hebat dan tercanggih di dunia ini tanpa bayaran bulanan, tanpa agreement dan tanpa kontrak setahun atau lebih?.

WiFi terhebat dan terbesar ini tidak perlu kita isi borang untuk memperolehinya.

Hebatnya WiFi ini kerana ianya tidak terbatas penggunaannya.
Siang malam,pagi petang,24 jam dan sepanjang umur hidup kita boleh gunakannya dan tidak ada tempuh masa yang terbatas.
Ianya free of charge.

Siapa-siapa pun layak dan boleh menggunakan WiFi ini walaupun ia miskin dan tidak punya harta,wang, pekerjaan tetap atau tidak berjawatan tinggi.

WiFi ini ALLAH PUNYA.Siapa saja yang bergelar hamba Allah layak mendapatkan WiFi terhebat di dunia ini.WiFi ini Allah siapkan khas untuk hamba-hambaNya yang mahu membuat talian terus berhubung denganNya dan Rasulullah melalui amalan-amalan yang Allah perintahkan dan yang Rasulullah SAW ajarkan.

Sudah tentulah hubungan yang paling hebat dengan Allah yakni menunaikan shalat 5 waktu sehari semalam.Selebihnya mendirikan shalat-shalat sunat qabliah atau ba'diah sebelum shalat fardhu.Juga shalat malam, shalat hajat, shalat taubat dan apa saja shalat sunat yang dituntut oleh Agama Islam. 

Sesiapa yang tidak menunaikan shalat dan menunaikan apa sahaja titah perintah Allah di dunia ini, bermakna dia tidak akan memperolehi WiFi percuma dari Raja Segala Raja ini.
Ruginya manusia begini, Allah anugerahkan WiFi percuma pun tidak mahu terima dan menggunakannya.

Bukankah dengan berhubung hati atau roh dengan Allah melalui shalat itu hasilnya sumber ketenangan dan kebahagiaan yang Allah segerakan sebelum memperolehi kebahagiaan yang kekal lagi abadi di alam akhirat nanti?.


Perhubungan hati atau roh dengan Allah akan terasa betapa indahnya kita  ada Tuhan yang Maha Hebat di dunia ini.
Dialah Allah, Tuhan yang menjaga kita,Tuhan yang memberi rezeki kepada kita.

Tuhan yang menghidupkan dan mematikan kita, juga Tuhan yang akan membangkitkan kita semula di alam sana nanti..
Tuhan yang segala-galanya ada padaNya.Mintalah apa sahaja,pasti Dia  Maha mendengar dan kabulkan.

Jika Dia tidak kabulkan di dunia, Dia akan kabulkan di akhirat sana.Tidak rugi kita berhubung dengan Allah melalui WiFi ajaib dan terhebat ini.Bila-bila masa sahaja kita boleh hubungi Allah.Melalui doa,rintihan, munajat dan apa sahaja selain daripada shalat.

Setiap saat,setiap waktu talian WiFi dibuka kecuali setelah nyawa di halkum, setelah pintu langit tertutup, barulah terputusnya hubungan ketika itu kerana pintu taubat sudah tertutup buat kita .

Ruginya kita tidak mengambil peluang keemasan ini untuk berhubung dengan Allah dan Rasulullah SAW,melalui talian
WiFi terhebat ini.

Kita tidak rugi apa-apa jika kita meluangkan masa berkomunikasi dengan Allah dan Rasulullah SAW.
Bahkan kita akan beruntung dunia dan akhirat.

WiFi dengan baginda Rasulullah SAW tentulah selawat ke atas junjungan besar Baginda Rasulullah SAW.

Melalui selawatlah, hati umat akan terhubung dan dihubungkan dengan Nabi akhir Zaman itu.
Melalui selawat ke atas Baginda hati akan diikat, dicantumkan dengan kekasih Allah ini.
Inilah WiFi yang terhebat antara umat dengan Nabinya.

Lebih hebat lagi Wifi ini tidak tergugat dengan bencana alam atau hujan,ribut, petir,guruh dan kilat yang sambar menyambar, ianya tidak perlu kepada wayar bumi untuk mengawal keselamatan linenya.

Memang terlalu hebat dan ajaib Wifi Allah ini.Tidakkah anda teruja dengan kehebatan Wifi Allah ini.Buta matahatilah bagi sesiapa yang tidak terasa kehebatan Wifi Allah ini.

Melalui selawat, hati si umat akan disambungkan terus menerus sampai talian terhebat ini kepada Nabi Muhammad SAW.

Maka natijah dari hubungan ini  Baginda Nabi akan menyahut, menyambut selawat kita itu sebagai tanda kasih sayang berbalas antara umatnya dengan Nabi SAW.

Hasilnya di alam akhirat nanti talian Wifi selawat ini akan terus bersambung dan disambungkan, akhirnya berbahagialah bagi umat yang ghairah berselawat ke atas Baginda Rasul pilihan atas pilihan ini, kerana mereka akan mendapat pembalasan yang sangat setimpal dengan amalan selawatnya yakni memperolehi Syafaa'atul Kubra nanti.

Tidak ada hijab antara hamba dengan Khaliqnya, antara umat dengan Nabinya,talian hayat melalui WiFi terhebat ini akan sampai kepada Tuhan Pencipta alam dan kepada Nabi SAW.

Jika kita melakukan dosa pasti talian WiFi terhebat ini akan tersumbat, line tidak clear, akan tersekat dan akan menghalang hubungan kita dengan Allah dan Baginda Rasulullah SAW.

Bagaimana hendak menyambung talian WiFi terhebat ini jika sudah terhalang?.Tidak perlu bayar di mana-mana kaunter pembayaran,akan tetapi ianya perlu bertaubat sebenar-sebenar taubat dengan ertikata Taubatan Nasuha.

Setelah taubat diterima Allah,
maka line Wifi terhebat di dunia terus terbuka seluas-luasnya,
Waktu itu kita ambiklah kesempatan sebesar-besarnya, untuk berhubung dengan Allah dan Baginda Rasulullah dengan cara apa sekalipun,Insya Allah semuanya akan diterima.

Dengan Taubat Nasuha juga dengan bersedekah sebagai kifarah dosa akan melajukan line Wifi terhebat di dunia ini untuk sampai ke Hadrat Allah dan juga ke Hadrat Baginda Rasulullah SAW.

Jangan sia-siakan talian Wifi terhebat di dunia ini yang Allah anugerahkan kepada kita selaku hamba-hambaNya.

Ruginya hidup kita di dunia ini jika Wifi terhebat dari Allah ini tidak kita gunakan sebaik-baiknya.Semuanya percuma sahaja.
Bukankah ini juga nikmat yang sangat hebat dan besar dari Allah kepada hamba-hambaNya?.


Maha Baiknya Allah,memerintahkan kita menyembahNya, berdoa
kepadaNya, bercakap-cakap denganNya melalui shalat dan rintihan, doa munajat supaya terhubungnya hubungan hati antara si hamba dengan Khaliqnya, setelah itu diberi ganjaran Syurga pula dengan rahmat dan kasih sayangNya.MasyaAllah...

Hebatnya Allah ciptakan ini semua.Tidak tersentuhkah hati kecil kita akan kasih sayang Allah yang Maha Hebat in?.

Bila kita boleh berhubung dengan Allah melalui shalat dan lain-lain upacara ibadah, boleh berhubung dengan Baginda Rasulullah melalui selawat,  bukankah kita rasa bertuahnya kita ada Tuhan, ada Nabi SAW yang sangat prihatin kepada kita?.

Terasa kita ada teman, ada kawan yakni ada rafiiqul A'ala, ada tempat mengadu, ada tempat bermanja, ada tempat bergantung harap, ada tempat memadu kasih, ada tempat mencurahkan segala isi hati.Ada tempat meminta pertolongan dan menyelesaikan masalah.

Ohhh.......indahnya ada Tuhan, ada Nabi yang faham kita,yang sentiasa bersama kita siang dan malam.Nikmatnya hidup bersama Tuhan dan Nabi Akhir Zaman.
Terima kasih Ya Allah atas anugerah nikmat yang sungguh mahal dan berharga ini.

Jadikanlah kami hamba-hambaMu yang tahu bersyukur atas nikmat dan rahmatMu setiap saat,detik, waktu dan sepanjang masa.

Amin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment