web stats

Friday 18 July 2014

Takziah buat penumpang MH 17 serta kaum keluarga yang terlibat





Satu lagi peristiwa yang menyayat hati seluruh rakyat Malaysia terutama kaum keluarga yang terlibat dalam terhempasnya pesawat malang MH 17 pada tanggal 17 julai 2014.

Sejarah hitam yang penuh tragis ini akan dikenang seumur hidup oleh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi kaum keluarga dan sahabat handai para penumpang dan kru anak-anak kapal MH 17.

Kepada Allah kita datang, kepada Allah jualah tempat kita kembali. Al Fatehah buat semua yang syahid (mudah-mudahan), semoga Allah tempatkan mereka ke dalam golongan orang-orang yang muflihun dan diredhai Allah.

Memang tidak dapat dinafikan, peristiwa ini sangat pilu, sangat merobek-robekkan hati nurani sesiapa sahaja yang menghayati peristiwa hitam ini.Semua yang berlaku tentu besar hikmah dan pengajarannya.

 Gambar-gambar nahas MH17







Pada yang telah pergi berita busyra buat mereka kerana mereka mendapat syahid di sisi Tuhannya (mudah-mudahan).Mereka yang pergi akan terus pergi dan tidak akan kembali lagi. Namun bagi kita yang masih diizinkan Allah menghirup udara segar nikmat Allah ini hendaklah terus cekal, tabah dan kuatkan jiwa, menjalani tugas-tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah seperti sediakala.

Allah sangat tahu kenapa dan mengapa ujian seberat ini terjadi kepada pesawat MH17. Semuanya sudah ketentuan taqdir Ilahi. Tiada siapa pun yang mampu menghalangnya. Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui apakah kebaikan yang terkandung di dalam ilmu Allah atas peristiwa ini.

Pada yang masih bernafas, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadratNya (Allah), kerana kita masih dipanjangkan lagi usia walaupun orang tersayang sudah dipanggil pulang oleh Tuhan , yakniTuan empunya alam ini.

Marilah kita surrender dengan Allah yang Maha Pencipta. Surrender dengan ertikata sembahlah Allah dengan sepenuh hati nurani. Serahkan hidup dan mati kita kepadaNya. Serahkan segala urusan hidup kita kepada Allah yang Maha Mentadbir. Berlaku adillah kepada Allah dalam setiap tindak kita.

Marilah kita agungkan Allah seagung-agungnya. Marilah kita tinggikan Allah dengan setinggi-tingginya yakni dengan mendaulatkan kalimah toyyibah di muka bumi ini. Tinggalkan maksiat yang Allah murka dan benci. Tinggalkan kerja-kerja yang Allah laknat , marilah kita dokong agama Allah dengan membesarkan Allah melalui shalat, melalui menutup aurat, hindarilah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhram.

Hindarilah dari perkara-perkara yang melalaikan. Marilah kita bersatu hati dan berkasih sayang sesama umat Islam walaupun bukan darah daging kita. Bukankah kita bersaudara? Marilah kita infaqkan harta kepada mereka yang memerlukan bantuan dan simpati dari kita terutama golongan anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas,OKU dan mereka yang malang. 

Ambillah kesempatan bulan Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dan Ramadhan yang penuh berkat akan meninggalkan kita.Tahun hadapan belum tentu kita bertemu Ramadhan lagi kerana umur kita di tangan Allah. Mati bila-bila masa sahaja akan menyapa kita. Lebih-lebih lagi 10 malam terakhir yang ada di dalamnya Lailatul Qadar.

Marilah kita redha dengan apa sahaja tragedi dan ketentuan Allah yang berlaku walaupun memang amat pahit untuk ditelan.Namun ini semua hak Allah. Kita selaku hamba Allah, pasrah dan bertawakkallah kepadaNya.

Semoga apa yang terjadi sangat menginsafkan kita yang masih leka dan alpa ini.Tuhan tidak pernah lakukan segala sesuatu itu sia-sia. Maha Suci Tuhan dari melakukan sesuatu itu sia-sia.Semuanya ada hikmah yang tersurat atau tersirat disebalik kejadian. Ambillah positif atas nama Tuhan dan RasulNya.

Tuhan itu tidak zalim terhadap hamba ciptaannya. Inilah yang dikatakan tauhid kepada Allah.Taqwa kepada Allah dengan menyerah hati dan diri untuk Allah catur hidup kita.Allah itu Maha Baik kepada kita selaku hamba-hambaNya.

Allah korbankan pesawat MH 370 dan MH 17 untuk memberi iman ke dalam hati-hati kita yang masih hidup. Terimalah offer dari Allah ini. Sahutlah... Sambutlah... Tawaran dari Allah ini, semoga kita semua kembali kepangkuan Allah dalam membawa hati yang qalbun salim.
Amin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment