Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barangsiapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, insyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya. Jika ada apa-apa kemusykilan atau sebarang usulan hubungi 013-5107 313
Sunday, 8 June 2014
Jangan khianati janji-janjimu kepada Allah.
Dalam shalat kita berjanji kepada Allah, sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untukMu Tuhan semesta alam.
Begitu indahnya bunyi lafaz ikrar kita kepada Allah yang Maha Pencipta lima kali sehari semalam.
Inilah janji-janji hamba pada Khaliqnya.Jika benar shalat untuk Allah, sudah tentulah shalat itu boleh memandu hati kita menjadi manusia yang mempunyai hati yang Allah redha dan Nabi suka.
Hati yang tidak dicelahi oleh sifat-sifat munafiq dan hati syaitan, iblis yang terkutuk.
Jika benar ibadah untuk Allah, sudah tentulah ibadah itu boleh membina peribadi mulia dan akhlak terpuji yang membuahkan ulfah.
Jika hidup untuk Allah sudah tentulah hidupnya kita di muka bumi ini tidak membuat kerosakan, tidak menyusahkan orang lain apatah lagi kawan, sahabat handai dan kaum keluarga (darah daging).
Akan tetapi apa yang terjadi di dunia akhir zaman ini , manusia hidup untuk menindas orang, menyusahkan kawan, bahkan sanggup membunuh kebahagiaan kawan dan kaum keluarga sendiri.
Jika benarlah hidup untuk Allah, pastilah keberadaan kita di dunia ini menjadi penawar yang harum mewangi pada alam dan pada semua kenalan dan pada umat manusia di dunia ini.
Apa yang terjadi kita menjadi racun dan api dalam sekam yang suka menabur fitnah pada insan lain, bahkan hasad dengki atas nikmat orang lain dan cuba untuk memusnahkannya.
Hidup untuk nafsu bukan untuk Tuhan.Kalau bukan membesarkan nafsu sudah tentulah kita hidup aman damai, penuh kasih sayang, lagi-lagilah sesama saudara seIslam.
Akan tetapi apa yang berlaku hari ini??? Sesama sendiri pun porak peranda kasih sayang.
Saling tuduh menuduh, prajudis sesama umat Islam bahkan sesama kaum keluarga, sanak-saudara pun bermasam-masam muka, tidak bertegur sapa antara satu sama lain, sedangkan Allah perintahkan umat Islam itu sesungguhnya bersaudara, maka dituntut bersilaturrahim bukan bermusuh-musuhan sesama sendiri .
Ikrar kata mati untuk Allah, akan tetapi tidak ingat mati pun, tidak rindu mati pun bahkan kalau boleh tidak mahu mati . Bekalan-bekalan mati tidak dicari, yang diburu dunia yang menyebabkan azabnya bila hendak mati. Wal'iyazubillah.
Dunia dikumpulkan sebanyak-banyaknya di dalam hati , sehinggakan makin kaya makin bakhil, makin senang hidup makin kedekut bagaikan tangkai jering.
Hendak bersedekah takut miskin,takut harta susut, takut duit habis, sedangkan Allah akan beri ganjaran kepada orang yang pemurah dengan berlipat kali ganda.
Tidak ingat mati kerana dunia penuh dalam hati. Cinta dunia menghalang seseorang hamba ingat mati, rindu mati dan bersiap sedia untuk mati.
Bagi orang mukmin, mati adalah kerinduannya. Merindui mati sangat membantu si hamba rasa cemas , rasa takut sekiranya amalan dan kebajikannya di dunia ini belum cukup untuk mengadap Allah SWT.
Dengan merindui mati si hamba akan menanam bekalan untuk menuju akhirat sebanyak-banyaknya.
Kematian adalah tunangan bagi setiap insan. Orang yang paling cerdik di dunia ini kata Baginda Rasul ialah orang yang ingat mati dan merindui kematian.
Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang yang merindui kematian dan berusaha membuat persiapan bekalan untuk ke alam sana .
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment