web stats

Friday 2 January 2015

MEMULIAKAN NABI DENGAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL.





(TEMA-PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA-12 RABIUL AWWAL 1436 H/3 JAN.2015M).

Memuliakan dan membesarkan Baginda Rasulullah SAW di bulan kelahirannya yakni hari Isnin , 12 Rabiul Awwal tahun Gajah, mengikut Ulamak Sejarah 50 hari selepas peristiwa tentera Gajah,adalah satu bukti bahawa kita sangat menyintai Baginda serta merindui Baginda Rasulullah SAW.

Program sambutan Maulidur Rasul disambut dengan begitu meriah di bumi Malaysia tercinta di segenap tempat dan negeri bersamaan 12 Rabiul Awwal 1436H. Hari kelahiran Baginda diraeikan dengan begitu meriah di sana sini.Kita cukup yakin, sesiapa yang menyintai Rasulullah akan dicintai Allah.Untuk mendapat redha Allah hendaklah kita merebut cinta Baginda Rasulullah SAW terlebih dahulu.

Semoga dengan berlakunya perhimpunan beramai-ramai secara berjamaah di merata tempat semata-mata ingin memuliakan dan membesarkan Baginda Rasulullah di hari kelahirannya,pada 12 Rabiul Awwal tahun Gajah, harap-haraplah Baginda respon, terhibur dan merestui kita serta mengaku kita sebagai  umatnya yang layak untuk dianugerahkan Syafaat Kubra daripada Baginda nanti di akhirat kelak.Amin.

Kita maklum bahawa doa setiap hamba itu akan ditolak tanpa mendahuluinya dengan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.Selawat ke atas Baginda bagaikan anak kunci untuk membuka pintu DOA dan MUNAJAT hamba agar dikabulkan Allah.

Firman Allah dalam  surah Al-Ahzab ayat 56 bermaksud, 
"Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta mohonkanlah kesejahteraan dengan sepenuh penghormatan".

Betapa Allah dan para Malaikat sekaliannya memuliakan Nabi dengan berselawat ke atasnya.Siapa kita?, yang tidak mahu berselawat ke atas Junjungan Nabi Akhir Zaman?.

Bahkan ada segelintir umat Islam hari ini mempertikaikan program Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan, ada yang tidak setuju dengan program-program besar yang dilaksanakan untuk memuliakan Nabi seperti program Malam Cinta Rasul atau Selawat Perdana.Hujah mereka zaman Nabi dan para sahabat tidak pernah anjurkan program seperti ini.

Saidina Omar Al-Khattab berkata"Aku mendengar bahawa DOA itu ditahan di antara langit dan bumi, tidak akan dapat naik, sehingga dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW".
Riwayat At-Tarmizi.











Selaku umat Islam yang cinta Allah dan Rasulnya, Sambutan Maulidur Rasul dan sebarang program yang menambahkan cinta Allah, Rindu Rasulullah SAW adalah satu jambatan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah dan Nabi Allah.Melalui program begini akan berlakunya tautan hati dan penyatuan ummah di kalangan umat Islam. Inilah yang Allah dan Rasul mahu.

Maulidur Rasul sebenarnya adalah majlis ilmu, majlis menceritakan siapa sebenarnya Nabi Muhammad SAW di sisi Allah.Program seperti ini bagaikan satu wasilah untuk umat Islam memperolehi rasa cinta dan rindu yang tinggi terhadap Nabi Akhir Zaman.

Para sahabat yang berada di zaman Nabi, mereka tidak adakan program Maulidur Rasul kerana Nabi sudah ada di hadapan mereka, batang tubuh Nabi yang mulia itu mereka boleh pegang, peluk, cium dan bersalam dengan Baginda.Jika mereka ada masalah boleh terus merujuk kepada Baginda SAW. 

Sedangkan di zaman kita ini Nabi sudah meninggalkan kita sejak 1,400 tahun yang lalu.Nabi sebagai IDOLA kita sudah tiada di zaman kita, sedangkan dalam masa yang sama kita mesti menyintai dan merinduinya, jika kita mahu diakui umatnya.Tanpa menyintai dan merinduinya mustahil kita akan dapat cinta Allah.

Untuk meraih rasa-rasa cinta dan rindu yang mendalam kepada baginda yang mulia ini sepertimana cinta dan rindunya para sahabat seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, seperti Saidina Umarul Faruq dan lain-lain para sahabat lagi, maka program dan majlis memuji-muji Nabi diadakan secara perhimpunan beramai-ramai (berjamaah),untuk memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul tersebut.Dengan cara ini, ianya merupakan salah satu cara atau satu alternatif untuk memupuk rasa-rasa cinta dan rindu yang hebat kepada kekasih Allah ini.

Allah uji umat Islam hari ini dengan pelbagai mehnah dan musibah,di bumi Malaysia khususnya di Pantai Timur, Allah lakukan Banjir Tsunami dari sungai bukan Tsunami dari laut, itupun sudah tidak terdaya kita membendung dan menanggungnya.


Allah uji dengan kelaparan, kehausan, penderitaan, kesusahan,kegelapan malam, kemusnahan semua harta benda, kehilangan rumah tempat tinggal, kemusnahan kebun-kebun dan ladang-ladang, semuanya ini kerana Allah ingin kembalikan kita semua kepada DIA yang Maha Pencipta dan kembali kasih kepada NabiNya dan juga sesama manusia khususnya sesama umat Islam.Itulah hikmahnya.

Apabila diuji dengan musibah, barulah hati kita berkata"Kami ini hanya milikMu Ya Allah". Kita juga akan berkata lagi  "Segala apa yang kami miliki semuanya pinjaman dariMu Ya Allah...
Engkau berhak mengambilnya kembali jika Engkau mahu".Itulah kata-kata orang yang sudah mendapat iman yang hakiki dalam hatinya.Semoga hidayah dan taufiq ini berkekalan hingga akhir hayat.Amin.


Apapun bersyukurlah kita masih mampu bersangka baik dengan Allah walaupun ujian amat hebat dan besar.Hasil daripada berlakunya musibah umat Islam sudah pandai untuk Takut, Gerun,Mengharap dengan Allah yang Maha Agung.Sudah pandai rindu mendalam pada Nabi Rasulullah SAW. Itu nikmat besar sebenarnya.

Semoga kita bertambah Takutkan Allah setakut-takutnya dan rindu Nabi serindu-rindunya.Berkat ujian besar ini penyatuan ummah secara automatiknya berlaku.Terima kasih Tuhan kami atas anugerah ini.

Amin Ya Allah. 

No comments:

Post a Comment