web stats

Sunday 15 June 2014

ENGKAU WANITA TERBILANG CEMERLANG.

Wahai Siti Asiah!.....
Engkau adalah wanita contoh juga wanita cemerlang dan terbilang. Sungguh kental iman dan keyakinanmu kepada Allah Taala. 

Al- kisah di bumi Mesir seorang raja yang amat zalim iaitu Firaun sedang mencari-cari isteri setelah kematian isteri pertamanya.
Maka timbullah rasa keinginan dan perasaannya mahu berkahwin lagi setelah mendapat khabar ada seorang gadis jelita lagi rupawan dari keturunan Imran yang bernama Siti Asiah.

Firaun mengutus Haman untuk meminang siti Asiah untuknya.Ibu bapa kepada Asiah mohon persetujuan dari Siti Asiah setelah rombongan peminangan sampai ke rumahnya.


Siti Asiah berkata "bagaimana saya hendak mengahwini Firaun, sedangkan dia seorang raja yang zalim dan ingkar kepada Allah?".
Haman memberitahu kepada Firaun bahawa Asiah menolak peminangannya, maka marah sungguh Firaun dengan penolakan peminangannya itu.

Sebagai raja yang zalim ia rasa tercabar dengan penolakan peminangan oleh Siti Asiah. Firaun terus menghantar bala tenteranya untuk menangkap ibu bapa Siti Asiah untuk diseksa dan dihukum.

Kedua ibu bapa Siti Asiah dihumbankan ke dalam penjara serta dibelenggu kedua kaki tangan mereka.

Siti Asiah diugut oleh Firaun jika tidak mahu menerima pinangannya dan tidak mahu berkahwin dengannya maka kedua ibu bapa Siti Asiah akan terus didera, diseksa hingga mati.

Firaun memberi syarat jika Siti Asiah sudi berkahwin dengannya, dia akan membebaskan kedua-dua ibu bapa Siti Asiah dan Siti Asiah akan hidup senang lenang di istananya.

Oleh kerana ancaman itu,maka Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Firaun dan bersedia menjadi isteri Firaun tetapi dengan syarat.

Antara syarat-syaratnya ialah:- 

1.Firaun mesti membebaskan kedua orang tuanya. 

2. Firaun mesti sediakan sebuah rumah yang selesa dan lengkap untuk kedua orang tuanya. 3.Firaun Mesti pastikan makan minum dan segala keperluan kebajikan kedua orang tuanya. 

4.Jika Siti Asiah menjadi isteri Firaun dia minta hadir dalam majlis dan acara-acara tertentu sahaja. 

5.Siti Asiah tidak bersedia tidur bersama Firaun.
Sekiranya syarat-syarat tersebut tidak diluluskan maka Siti Asiah rela mati dibunuh bersama ibu bapanya oleh Firaun dan kuncu-kuncunya.

Akhirnya Firaun bersetuju dengan semua syarat-syarat yang Siti Asiah utarakan. Maka secara rasminya jadilah Siti Asiah isteri kepada Firaun raja yang amat zalim itu.

Walaupun Siti Asiah diberikan pelbagai kemewahan, beliau tetap taat kepada Allah SWT, Beliau enggan membenarkan kata-kata suaminya (Firaun) yang mengaku dirinya sebagai Tuhan (ana rabbukumul a'ala)

Akhirnya Siti Asiah menjadi isteri kepada tokoh kekafiran yang paling dahsyat iaitu Firaun. Beliau juga ibu angkat kepada Nabi Musa AS.

Setiap malam Siti Asiah bermunajat kepada Allah supaya kehormatannya tidak disentuh oleh suaminya (Firaun).
Maha Suci Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, demi menjaga maruah Siti Asiah wanita yang beriman kepada Allah dan Nabi Musa AS, maka Allah ciptakan iblis yang menyamar sebagai Siti Asiah,maka iblis itulah setiap malam tidur dan bergaul dengan Firaun.

Suatu hari Siti Asiah membantah tindakan suaminya yang membunuh dan menyeksa Masyitah dan anak-anaknya tukang sisir rambut anak Firauan.

Syahidnya Masyitah dan anak-anaknya dalam kuali panas yang berisi minyak panas yang mendidih , telah menyebabkan Siti Asiah terluncur kata-kata yang sangat pedas dan pedih Firaun mendengarnya. Lantas marahlah Firaun terhadap Siti Asiah.

Asiah berkata kepada Firaun "celakalah kamu!..., apa yang menyebabkan kamu berani melawan Allah?". Kata-kata tersebut membuktikan bantahan Siti Asiah terhadap kezaliman suaminya kerana menyeksa Masyitah dan kaum keluarganya.
Firaun berkata "Mungkin kamu mengalami kegilaan sebagaimana yang berlaku kepada Masyitah?.
Asiah berkata " aku tidaklah gila, akan tetapi sesungguhnya aku telah beriman kepada Allah SWT,Tuhanku, Tuhanmu dan Tuhan semesta alam".
Firaun bangkit marahnya lebih-lebih lagi rahsia keimanan Siti Asiah terbongkar beriman dengan Allah dan Rasul (Nabi Musa), maka Siti Asiah ditangkap, dipenjara dan diseksa.

Justeru itu Firaun terus menyeksa isterinya itu, tidak diberi makan dan minum,hingga syahidnya Siti Asiah dalam deraan yang amat menyeksakan itu.

Kemudian Firaun menyuruh kaki tangan Siti Asiah diikat kepada 4 arah 4 penjuru. kemudian keempat-empat tali itu ditarik hingga Asiah menemukan kematiannya.

Sebelum Siti Asiah menghembuskan nafasnya yang terakhir , Allah telah membuka mata Siti Asiah dan ia dapat melihat malaikat dan melihat segala sesuatu yang telah sisediakan untuknya berupa kemuliaan. Kemudian Siti Asiah tertawa. Lantas Firaun berkata"lihatlah kegilaan yang ada pada diri wanita ini.
Ia tertawa waktu diseksa kemudian mati!....".

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW telah berkata "Firaun memukulkan kedua tangan dan kakinya (Asiah) dalam keadaan terikat .Maka ketika mereka (Firaun dan pengikutnya meninggalkan Siti Asiah,maka malaikat menaunginya lalu ia berkata (Ya Rabb, bangunkan sebuah rumah baginya di sisiMu dalam syurga.Maka Allah perlihatkan rumah yang telah disediakan untuknya Asiah di syurga sebelum dia meninggal".

Sejarah menyebut yang siti Asiah meninggal dunia dengan wajah tersenyum walaupun beliau mati diseksa , ada riwayat mengatakan Siti Asiah dipancung. Sebelum Siti Asiah menghembuskan nafasnya yang terakhir ia sempat berdoa yang doanya termaktub dalam Firman Allah yang membawa maksud:- "Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman,ketika ia berkata "Ya Tuhanku...bangunlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim

Begitulah berakhirnya kisah seorang wanita yang sangat tabah dan cekal berhadapan dengan raja yang zalim.Allah telah menjanjikan kemenangan buat Siti Asiah di syurga sana.Sebuah mahligai telah disiapkan untuk Siti Asiah di dalam syurga.



Begitulah Maha Agungnya Allah telah memberi ganjaran yang setimpal kepada hamba-hambaNya yang sanggup berkorban dan mati keranaNya. Siti Asiah menjadi bidadari syurga yang sedang menikmati keindahan syurga yang berganda-ganda dan tiada penghujungnya.

Al-Fatehah buatmu wahai Siti Asiah.Pengorbananmu dikenang seumur hidup oleh seluruh umat Islam yang cintakan Allah, Rasul , Islam dan seluruh para kekasih Allah.

No comments:

Post a Comment