web stats

Monday 15 September 2014

QURBAN MENURUT PANDANGAN ISLAM



Salam ceria kepada seluruh para pembaca budiman blog Ummu Sayyidah.Semoga semuanya sentiasa dalam rahmat Allah Taala
Amin

Sempena menyambut Eid Al- Adha 1435H tidak lama lagi, di sini Ummu Sayyidah sukacita memaparkan sedikit perkongsian ilmu yang berkaitan dengan Qurban binatang ternakan.
Sambutan Hari Raya Haji adalah sambutan kemenangan umat Islam sempena peristiwa yang berlaku antara Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS, mengenai ujian yang diperintahkan Allah ke atas mereka berdua.

Di khabarkan di dalam Al-Quran ,Sesungguhnya Nabi Ibrahim AS adalah seorang hamba yang sangat taat dan menyerahkan hati sebulatnya kepada Allah, ianya juga seorang hamba Allah yang sangat berdiri teguh atas agama Tauhid dan ia tidak pernah tergolong ke dalam golongan Musyrik kepada Allah,dan ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah ke atasnya.Allah telah memilih Nabi Ibrahim AS menjadi Nabi yang sentiasa Allah beri hidayah dan petunjuk kepadanya.

Ia sentiasa berada di jalan yang lurus .
Perkataan Qurban berasal  dari "Qaraba" yang bermaksud "mendekati".
Dalam konteks ibadah qurban bermaksud, "Mendekati Allah dengan mentaati perintah Allah" yakni "Taqarrub Ilallah".

Binatang yang di syariatkan Qurban ialah unta, lembu, kambing dan biri-biri sahaja.Selain darinya tidak sah penyembelihan qurban  seseorang .

Qurban hanya boleh
dilakukan pada Hari Raya Haji dan tiga hari selepasnya yakni hari Tasyriq(11,12 dan 13).Ianya mestilah dilakukan kerana Allah.

Qurban bukan boleh dilakukan bila-bila masa ikut kita suka bahkan ianya hanya boleh dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja dalam bulan Zulhijjah sebagaimana 4 hari yang Allah sudah tetapkan.
Ibadah ini sebagai tanda bersyukurnya hamba Allah kepada Allah dan niat hanya untuk Allah serta kerana Allah semata-mata dan tidak sah selainnya.

Bila waktu sah Qurban?
Ianya SAH dilaksanakan ialah selepas selesai shalat Eid Al-Adha sehingga terbenamnya maghrib 13 Zulhijjah.

Qurban hukumnya sunat muakkad yang sangat dituntut oleh agama terutama kepada mereka yang berkemampuan.

Ianya juga adalah Sunat Kifayah bagi sebuah keluarga.Maknanya apabila salah seorang ahli keluarga melakukannya semua ahli keluarga mendapat pahala dan rahmat dari Allah Taala.

Rasulullah SAW pernah bersabda , " Tiga perkara yang wajib ke atasku dan kepadamu menjadi tatawwu iaitu sunat iaitu qurban, solat witir dan shalat dhuha".

Kelebihan melakukan Qurban
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda,"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya qurban yang lebih disukai Allah Taala melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang qurban).

Sesungguhnya binatang qurban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk-tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya dan Allah memberi pahala ibadah qurban itu sebelum darah binatang qurban itu menyentuh ke bumi .maka (pahala) telah diterima di sisi Allah.

Maka beruntunglah kamu semua dengan pahala qurban itu.Oleh itu elokkanlah qurban kamu".
Dari riwayat Tirmidzi , Ibnu Majah dan Hakim
Siapa yang dituntut melakukan qurban?.

Baginda Rasulullah SAW bersabda "Barang siapa yang mempunyai kelapangan atau keluasan hidupnya (ertinya bagi yang mampu),tetapi tidak berqurban , janganlah ia mendekati tempat shalat kami maknanya tidak boleh hadir shalat Raya Eid Al-Adha pada hari tersebut".

Kepada siapakah daging qurban harus diagih-agihkan?

Daging qurban boleh dibahagi kepada tiga bahagian:-

1-Sepertiga untuk fakir miskin.

2-Sepertiga untuk ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

3.Sepertiga untuk diri sendiri dan bahagian ini boleh (harus) dimakan.

Akan tetapi yang terbaiknya (afdhalnya) yang berqurban makan sedikit sahaja daging qurbannya dan selebihnya di sedekahkan kepada yang memerlukannya.

Qurban adalah satu ibadah yang Allah redha dan rahmati.Allah sangat memberkati dan memberi ganjaran yang sangat lumayan dan besar kepada mereka yang berkemampuan menunaikan perintah qurban.

Hikmah qurban untuk menghayati sejarah pengorbanan yang sangat agung oleh Nabi Ibrahim khalilullah AS, yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail ketika Allah perintahkan menyembelih anaknya tersebut.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sangat akur dan  taat dengan arahan dari Allah sebulat hati mereka.

Akhirnya Allah selamatkan Nabi Ibrahim dari disembelih oleh ayahnya lalu Allah gantikan seekor kibas yang gemuk dan besar sebagai qurban Nabi Ibrahim AS.

Sejarah ini satu mukjizat bagi seorang Nabi yang bergelar Khalilullah di sisi Allah.
Hikmah qurban ini sangat besar dalam agama Islam dan mempunyai rahsia-rahsia yang patut kita gali dan gembar gemburkan supaya kita rasa betapa besarnya hikmah ibadah qurban.Juga betapa hebatnya ketaatan Nabi Ibrahim AS serta anaknya Nabi Ismail AS.

Apa hukumnya mengagihkan daging qurban kepada orang yang bukan Islam?.
Menurut fatwa ulamak harus hukumnya daging qurban diagihkan kepada orang yang bukan Islam terutama jiran yang terdekat dan kawan yang rapat walaupun dia bukan Islam.



Lebih baik lagi jika orang bukan Islam itu masuk Islam dengan berkat makan daging qurban.
Orang yang dituntut tunaikan ibadah qurban

1.Orang Islam

2. Baligh (berakal)

3.Yang punya kemampuan.

Mana yang lebih afdhal
Sembelih seekor unta, seekor lembu atau seekor kambing, daripada berkongsi 7 bahagian?.

Lebih afdhal tidak dikongsikan qurban tersebut kerana jika berkongsi, nyawa dibahagi 7.Jika tidak mampu menyembelih seekor unta atau lembu eloklah sembelih qurban seekor kambing daripada berkongsi 7 bahagian, kerana kelebihan tidak berkongsi akan dapat bahagian yang sempurna  dari kepalanya, tanduknya, ekornya ertinya kita dapat qurban yang lengkap dan seekor penuh.


Akan tetapi harus hukumnya jika berkongsi 7 bahagian qurban unta atau lembu,sekiranya tidak mampu seekor seorang.

Binatang yang tidak sah qurban menurut syariat.

1. Binatang yang matanya buta sebelah atau kedua belah (jelas cacatnya).

2. Binatang yang berpenyakit (tidak sehat)

3.Binatang yang cacat anggotanya seperti jelas tempangnya berjalan pun terhuyung hayang.

4.Binatang yang terlalu kurus sehingga menampakkan tulangnya.

Tidak sah menyembelih ternakan qurban jika kekurangan yang terdapat pada binatang tersebut mengaibkan.

Jika tidak mengaibkan seperti ekornya patah atau telinganya sedikit terpotong boleh jadikan qurban sekiranya ia gemuk dan melepasi 4 syarat di atas.

Akan tetapi ada ulamak yang berpendapat makruh menyembelih qurban ternakan seperti sifat di atas walaupun ia gemuk dan tidak berpenyakit.

Walau pun makruh hukumnya namun ianya sah menjadi qurban.

Bagi yang berkemampuan berlumba-lumbalah untuk melaksanakan hukum qurban di hari Eid Al-Adha nanti.Bagi yang tidak mampu berdoalah bersungguh-sungguh kehadrat Ilahi , agar dilapangkan rezeki sehingga suatu hari nanti kita juga mampu menunaikan qurban yang sangat Allah redhai ini.

Amin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment