Sunday, 11 January 2015

GEJALA SOSIAL SEMAKIN BERLELUASA.

Terkejut sekali bila ku lihat gambar-gambar dan tonton video yang tersebar di Media Sosial, gadis Melayu bertudung menutup aurat dengan kemasnya, tiba-tiba naik ke atas pentas bersalam, lalu dicium, dikucup dahi  dan dipeluk erat oleh artis lelaki Korea (KPOP).Dengan rela hati membenarkan diri mereka diaibkan di atas pentas cara terbuka.Malah gadis Melayu bertudung sendiri ghairah memeluk artis KPOP tanpa segan silunya.

Hancur luluh hatiku ini apabila melihat gadis Melayu bertudung begitu murah serta tergadai kesopanan gadis Melayu yang selama ini kaya dengan adab ketimurannya, hingga sanggup merelakan dirinya dicabul maruah dikhalayak ramai dengan bangganya.







Fanatik keterlaluan hinggakan sanggup menggadai maruah sebagai gadis Melayu Islam.Bagaikan histeria berjangkit-jangkit seorang demi seorang naik ke pentas semata-mata untuk dipeluk cium oleh artis pujaan KPOP, lupa diri mereka adalah gadis Melayu Islam yang bertudung lingkup. 



Para penonton yang hadir dalam program tersebut bersorak gemuruh menyokong perbuatan terkeji itu.Maka berpestalah syaitan-syaitan iblis menang di waktu tersebut.Islam dipermain-mainkan.Syariat Allah diperlecehkan.Kalimah Toyyibah yang dijunjung tinggi telah dipijak-pijak pada saat peristiwa tersebut.
Imej agama Islam di mata dunia terhina sekali.
Aduh!....sedihnya.

Buta dan beballah mata hati umat Islam melihatnya jika hati kecilnya tidak rasa tercabar dan dicabar dengan isu ini.Dajjal Laknatullah yang sedang berusaha untuk lepas dari rantai mengikat dirinya itu, lagi tidak sabar untuk zahir ke bumi ini untuk mengajak seluruh manusia mengaku dia adalah Tuhan dan menjadi pengikut dan kuncu-kuncunya yang setia. 

Nampak ketara sekali gadis Melayu Islam yang bertudung dipeluk dan dicium dengan rela hati,mereka dipeluk dari hadapan dan juga dari belakang. Mereka seronok secara terbuka diperlakukan sedemikian rupa. Astaghfirullahal'Azim...., seronok dengan dosa dan maksiat, hinggakan sanggup durhaka kepada Allah Taala, dengan melanggar hukum hakam Allah secara terang-terangan.
MasyaAllah...

Ya Allah...apa sudah jadi dengan sebahagian gadis-gadis Melayu Islam bertudung hari ini.Sudah tidak takut Allah lagi.Tidak malu lagi pada Nabi Muhammad SAW.Tidak fikir langsung nama baik ibu bapa mereka.Tidak fikir langsung maruah diri dan perasaan gadis-gadis Melayu Islam lain yang benar-benar ikhlas dalam menutup aurat dan bertudung.

Syaitan dan iblis gemok, kenyang, menari-nari keseronokan, sedangkan Nabi Roh Nabi Akhir Zaman Baginda Rasulullah SAW menangis semahu-mahunya di alam sana, melihat begini rapuh iman umatnya (gadis bertudung).

Negara Malaysia kini sedang berhadapan dengan bencana alam banjir tsunami yang terburuk dan teruk, sepatutnya program seperti ini tidak berlaku.Ini menambahkan lagi murkanya Allah kepada kita.Mehnah dan musibah yang berlaku ini pun tidak termampu kita menanggungnya, ditambah lagi dengan hal yang sekeji ini.Marilah kita semua bertaubat di atas apa yang sudah berlaku. Semoga Allah tidak hancurkan negara Malaysia tercinta kerana dosa-dosa dan kemungkaran yang dilakukan ini.
Ampun Ya  Allah.

Nampaknya berita menggemparkan umat Islam kini berlaku lagi setelah berita mengenai "I Want To Touch A Dog" menyepi sekian lama.
Kini muncul pula berita yang mencalar dan menghina umat Islam dan agama Islam khususnya.Menyirap panas darahku menyaksikannya.Terasa bahangnya dan amat tercabar, apabila gadis Melayu Islam bersikap begitu keji dan tidak tahu malu walaupun sedikit.Inilah yang dikatakan alam Jahiliah kedua sudah  dan sedang pun bermula.

Terasa pecah hati ini melihat syariat Islam tergadai begitu sekali.Ya Allah...ku tidak mampu bersuara dalam hal ini, hanya ku mampu bersuara melalui matapenaku "BICARA HATIKU UNTUKMU" sahaja, sebagai buktiku memprotes perbuatan terkutuk ini.Semoga aku tidak dipersoalkan di hadapanMu Ya Allah, di akhirat kelak dalam kes ini.Ampunkan aku hambaMu yang amat lemah ini.... Ya Allah. 

Selaku umat Islam di negara Malaysia,penyebaran berita terkutuk ini janganlah kita pandang sebelah mata sahaja.Difahamkan beberapa orang gadis bertudung diperlakukan begitu menghina Islam oleh beberapa anggota dari Kumpulan KPOP B1A4 yang membuat persembahan di KL Live Center Kuala lumpur baru-baru ini.Katanya program tersebut adalah anjuran oleh syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

Dalam hal sebegini, siapakah yang harus dipersalahkan?.Masing-masing menuding jari ke pihak sana dan ke pihak sini.Tidak payahlah kita menuduh antara satu sama lain.Perkara sudah pun terjadi.Elok kita semua bertaubat sesungguh-sungguhnya pada Allah, daripada semuanya menyalahkan pihak lawan atau pihak yang kita tidak senang dengan mereka,sedangkan apa yang berlaku ini ianya berpunca dari rumah (masalah didikan dari awal).Sekali gus ini adalah tanggung jawab semua pihak untuk membenteras ianya supaya tidak berulang lagi akan datang.Ambillah ia sebagai iktibar dan pengajaran.

Anak-anak sedari kandungan dan baby lagi sepatutnya diberatkan dengan ayat-ayat Allah dan ajaran Nabi Muhammad SAW.Bagi si ibu yang mengandung sepatutnya rajin membaca Al-Quran, berwirid zikir,supaya anak yang dilahirkan terpelihara dari hasutan nafsu dan syaitan iblis terkutuk.

Dari kecil didikan agama diberi secukupnya oleh ibu bapa supaya anak-anak dibesarkan dalam iman dan Islam.Melentur buluh biarlah dari rebungnya, bukan sudah menjadi buluh yang keras dan tua, baru hendak dilentur, akan patah dan pecah jadinya.

Anak-anak gadis Melayu Islam hendaklah dididik secukupnya supaya tahu malu,kerana malu itu separuh daripada iman.Dididik juga supaya tidak terlalu bebas ke hulu dan ke hilir, tanpa ada batasan yang membatasinya.Hendaklah ibu bapa sentiasa mengawal perjalanan anak-anak gadis mereka setiap saat dan minit, supaya anak-anak gadis dipantau 24 jam oleh ibu bapa.

Akan tetapi sekarang ini anak-anak pun sudah pandai melawan ibu bapa.Tidak mendengar kata, bahkan tidak makan saman lagi jika diberi nasehat oleh ibu bapa mereka.Anak-anak dewasa kini sudah pandai menjawab dan berhujah dengan orang tuanya.Ini pun satu faktor menyebabkan masalah gejala sosial berleluasa dengan galaknya.

Rasa takut pada Allah sedari awal sepatutnya diterapkan dalam hati anak-anak.Rasa rindu dan malu pada Baginda Rasulullah SAW, sepatutnya dilatih-tubi setiap masa supaya anak-anak rasa dia ada Nabi Akhir Zaman, untuk dijadikan idola dalam hidupnya.

Apa pun kita yakin ini semua adalah fitnah akhir zaman,sebagai bukti kezahiran dan kemunculan Dajjal Laknatullah sudah terlalu hampir.Iman umat Islam semakin hari semakin dicabar dan tercabar.Maruah agama Islam semakin digugat dan dipersendakan. Syariat semakin diringankan dan dilonggarkan.Iman dalam dada manusia semakin nipis dan gersang. Ini semua adalah petanda kehancuran dunia sudah terlalu hampir.Umur dunia sudah tua, ibarat nenek bongkok tiga yang sudah tersungkur jatuh ke bumi.

Tanda-tanda kiamat sudah terserlah apabila pendedahan aurat seluas-luasnya, perlakuan sumbang muhram berleluasa,pergaulan bebas lelaki perempuan yang diharamkan Allah semahu-mahunya tanpa sekatan, maka lahirlah anak-anak zina bersepah-sepah merata tempat, wanita Islam sudah hilang malunya, ibu melahirkan anaknya bagaikan "TUAN", semuanya ini adalah di antara petanda-petanda kecil alamat kiamat.Alamat Kiamat Kubra
akan berlaku setelah petanda kecil semuanya sudah lengkap terjadi.

Setelah dunia ini penuh dengan kezaliman, penghinaan, kekufuran maka muncullah Dajjal Laknatullah,Allah tidak akan membenarkan buminya ini hancur musnah dek kejahilan dan kejahatan yang memuncak, maka Allah akan zahirkan juga 2 orang pemimpin ummah yakni Imam Mahdi Al-Muntazar dan Nabi Isa Al-Maseh.Mereka akan muncul untuk membawa keadilan, kemakmuran dan keamanan sedunia.Allah ada caraNya untuk menyelamatkan agama Islam yang Allah iktiraf ini.

2 orang pemimpin besar ini akan membasmi kemungkaran, kedurjanaan serta memperjuangkan keadilan dan membawa kemakmuran dalam masa yang sama, 2 pemimpin besar ini akan bersatu hati dan bergabung tenaga memusnahkan perarakan Dajjal Laknatullah dan akhirnya Nabi Isa Al-Maseh berjaya membunuh Dajjal Laknatullah dengan tombaknya.Semuanya ini berlaku di atas kehendak dan dengan izin Allah jua.

Kita hanya mampu berdoa agar penyelamat Ummah segeralah zahir untuk menjadi penyelamat dunia hari ini dan menyemarakkan kembali Islam dalam hati setiap insan.Kuncu-kuncu Dajjal, Yahudi dan Talibarutnya sedang berleluasa menjahanamkan iman-iman yang ada dalam hati setiap peribadi Muslim di waktu ini, dengan apa cara sekali pun, sebelum Dajjal yang sebenarnya zahir sebagai Maharaja Sihir Akhir Zaman.

Hanya 2 pemimpin ummah sahaja yang mampu membenteras kejahatan dan kemungkaran yang sangat berleluasa kini.Kita selaku umat Islam hanya mampu menggenggam bara api Islam agar tidak padam.Untuk membarakan api Islam agar ianya marak menyala dan bercahaya menerangi alam maya ini, sama-samalah kita berdoa ke Hadrat Allah Taala agar segeralah munculnya pemimpin ummah yang ditunggu-tunggu.

Dunia sudah dikuasai oleh kemungkaran dan kemaksiatan yang bermaharaja lela.Tiada daya dan upaya kita melawan arus jahiliyah kedua ini berlaku.Hanya dengan meminta, merayu, berdoa kepada Allah sajalah jalan keluarnya agar kita dan zuriat kita dipelihara Allah daripada terpengaruh dengan budaya kuning (Barat), agenda Yahudi dan fitnah Dajjal Laknatullah. 

Ya Allah... berilah petunjuk dan taufiqMu kepada hamba-hambaMu yang masih dalam kegelapan iman dan taqwa.

Ya Allah... anugerahkanlah kami kekuatan untuk berhadapan dengan ujian dan dugaan dariMu Ya Allah.

Ya Allah.... tolonglah menangkan Islam dan tumpaskan musuh-musuh Islam yang berusaha keras untuk menghancurkan agamaMu di dunia ini.  

Ya Allah.... tolonglah pelihara iman-iman kami yang senipis kulit bawang ini, agar mampu kami pertahankan hingga kami bertemu denganMu Ya Allah.

Amin Ya Allah.  



No comments:

Post a Comment