Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barangsiapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, insyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya. Jika ada apa-apa kemusykilan atau sebarang usulan hubungi 013-5107 313
Tuesday, 30 December 2014
HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH DARI ALLAH
Rupanya dengan peristiwa musibah banjir ini, Engkau lakukan untuk kembalikan iman dalam hati hamba-hambaMu.Kini seluruh dunia khususnya bumi Malaysia mula bersungguh-sungguh memuja dan memujiMu.Barulah masing-masing berkata "Kami amat memerlukanMu...Ya Allah".
Begini rupanya cara didikan Mu kepada kami yang lalai dan keras hati ini.Rupanya dengan musibah Banjir Ala Tsunami ini, Engkau telah kembalikan kepada kami sesuatu yang telah lama hilang dari kami, iaitu hilangnya rasa kasih sayang dan rasa persaudaraan antara satu sama lain.
Apabila mehnah ini terjadi...automatik Engkau telah kembalikan sifat-sifat perikemanusiaan dalam hati kami.Kini tercetuslah sikap saling doa mendoakan , saling tolong menolong, bantu membantu, saling selamat menyelamatkan walaupun terpaksa bersabung nyawa, saling hibur menghiburkan dengan menghulurkan pelbagai bantuan untuk sanak saudara seagama di mana sahaja mereka berada walaupun tiada pertalian darah daging .
Rupanya inilah antara hikmah terbesar yang Engkau mahu selama ini.Engkau mahu hamba-hambaMu hidup berkasih sayang, tidak mementingkan diri, tidak mementingkan kroni suku sakat dan sanggup berkorban dan terkorban atas nama Allah dan Rasulullah SAW.
Engkau juga ingin menguji sejauhmana pemurahnya sikaya dalam menghulurkan bantuan dan sumbangannya kepada saudara-saudara yang dalam kesusahan,dengan ertikata sanggup menjadi bank kepada orang susah dan miskin.Sikap Haji Bakhil dan tangkai jering selama ini sudah terungkai dengan izinMu Ya Allah.
Engkau mahu hambaMu hidup harmoni sesama sendiri, bukan ibarat pokok yang melepaskan pucuk masing-masing.Engkau mahu hambaMu menyayangi saudaranya bagaikan ia menyayangi dirinya sendiri.Tidak bergaduh, tidak bertelagah, tidak hasad dengki, tidak ada perasaan kutuk mengutuk, benci membenci, sindir menyindir,dan lain-lain sifat terkeji lagi.
Cantik sungguh ROTAN dariMu Ya Allah...
Tarbiah yang sungguh ajaib dan menakjubkan.Hasilnya hambaMu mula sedar bahawa betapa pentingnya berkasih sayang sesama mereka.Jika ada lagi saki baki hambaMu yang sombong, bongkak, tidak mahu berkasih sayang,ertinya mereka memang sudah dicop hatinya dalam kemurkaanMu sepanjang zaman.
Wal'iyazubillahiminzaalik.
Engkau juga mahu hamba-hambaMu rukuk, sujud, bertasbih, bertahmid, bertakbir membesarkanMu yang Maha Besar.Engkau mahu hambaMu tawaduk mengaku kalah dan lemah di hadapanMu.Sekali gus mengakui Engkau adalah Tuhan yang
Maha Agung dan Maha Segala Maha.
Tiada Tuhan yang lain selainMu dan Nabi Muhammad itu pesuruhMu.Rupanya hikmahnya Engkau mahu hambaMu takutkanMu dengan sebenar-benar takut dan rindu pada kekasihMu dengan sebenar-benar rindu.
Maha Hebat percaturanMu ini Ya Allah.Melalui percaturanMu ini,hambaMu sentiasa basahi bibir dan hatinya dengan zikrullah, juga sentiasa menadah tangan mohon doa dan kasihan belas dariMu.Program-program yang melalaikan pun terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan program-program memuja memujiMu dan NabiMu.Begitulah yang Engkau mahu sebenarnya Ya Allah.
Untuk mendapatkan anugerah nilaian iman dan taqwa yang begitu mahal dariMu,rupanya amat memerlukan sebuah pengorbanan yang amat besar.Ramai yang terkorban dan syahid demi mendapatkan iman di sisiMu.
Terima kasih padaMu Tuhan atas kasih sayangMu ini.Ya Allah kami semua insaf dan bertaubat kepadaMu,Terimalah taubat kami.Terimalah rintihan kami juga, Ya Allah tolonglah pulihkan bumi ini seperti sediakala.Izinkanlah kami hidup aman damai dalam rahmat dan keampunanMu Ya Allah.
Amin Ya Allah.
No comments:
Post a Comment