Tuesday, 6 May 2014

Syurga Merinduimu Wahai Ammar





Wahai Ammar bin Yasir... Tentu dirimu sekarang sedang berbahagia dan bergembira disamping Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat yang lainnya, yang juga syahid seperti dirimu juga yang dijamin syurga oleh Allah SWT.

Wahai Ammar bin Yasir, engkau adalah putera kepada Yasir bin Amir. Ibumu Sumayyah binti Khabbab yang merupakan srikandi yang sangat hebat mempertahankan iman dalam dada juga mempertahankan Islam. Keluargamu termasuk golongan yang awal masuk Islam (Assabiqunal Awwalun).

Dirimu berkulit sawo matang dan berperawakan tinggi, kedua mata hitam kebiru-biruan.Bahumu lebar dan bidang , rambut lebat dan tebal.

Engkau dilahirkan 4 tahun sebelum kelahiran Baginda Rasulullah SAW. Setelah dirimu dan keluargamu masuk Islam, Abu Jahal sangat marah. Abu Jahal mengepalai penyembah berhala di Kota Mekah waktu itu sangat tercabar dengan Islamnya keluargamu .
Abu Jahal telah bergegas ke rumahmu . 

Mereka menyeksa keluargamu. Rumahmu dibakar dan dirimu serta ibu ayahmu diheret ke tengah-tengah padang pasir di luar Mekah.
Ibu ayahmu dan dirimu di rantai, disebat hingga luka dan berhamburan darah.Aduh....sakitnya... YaAllah hebatnya kecintaanmu pada Allah dan Rasul.

Kemudian kafir Quraisy menyalakan api hendak membakar keluargamu dan dirimu juga. Ibu ayahmu dan dirimu ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang panas terik kering kontang itu. 

Panasnya padang pasir ketika itu boleh terbakar kulit. Aduh panasnya...aduh azabnya... Ya Allah ... Pilunya hati membayangkanmu dan ibu ayahmu dalam seksaan yang memuncak itu.

Setelah Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya balik ke Mekah, Nabi segera ke tempatmu dan keluargamu yang kena dera itu maka Nabi menangis dan berkata "Wahai keluarga Yasir!!...bersabarlah dan bertahanlah.Kamu semua akan di tempatkan di syurga".
MasyaAllah begitu sekali bayaran dari Allah Taala untuk keluargamu wahai Ammar bin Yasir.

Sumayyah ibumu berkata dengan penuh keyakinan "aku mengaku bahawa engkaulah pesuruh Allah dan engkau telah menjanjikan perkara yang benar".

Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya datang kembali membawa kayu yang panjang dan tajam, terus memukul-mukul dan mendera keluargamu semahu-mahunya.
Sambil berkata "sembahlah Tuhan kami (berhala) dan tinggalkanlah Muhammad"
Sumayyah ibumu terus meludah ke muka Abu Jahal sambil berkata "betapa buruknya engkau dan tuhan-tuhan engkau".
Abu Jahal bertambah bengis dan naik berang dan rasa tercabar dan dicabar .
Terus mengangkat kayu itu dan menikam perut ibumu (Sumaiyah). Abu Jahal tanpa perikemanusiaan sedikit pun telah menikam bertubi-tubi ke perut ibumu ( Sumayyah). 
Hinggalah ibumu (Sumaiyyah) meninggal dunia, demi mempertahankan aqidah dan demi cintakan Allah dan Rasulnya. Sumaiyyah nenjadi syahidah pertama dalam sejarah Islam.

Setelah itu Abu Jahal menyepak-yepak perut (Yasir) ayahmu hingga kembali kepangkuan Ilahi juga akhirnya.Maka syahidlah Yasir bin Amir setelah isterinya.

Al- Fatehah buat mu Wahai Sumaiyyah srikandi Islam dan Al-Fatehah juga buatmu Yasir bin Amir.

Bayangkanlah betapa terhirisnya, sayunya, pilunya dan sedihnya hatimu , wahai Ammar... menyaksikan kematian ibu ayahmu dengan penuh terseksa dan menyayat hati itu.

Abu Jahal berkata kepada Ammar "jika engkau tidak mahu menyembah Tuhan kami, aku bunuh engkau pula".

Ammar tidak tahan lagi dengan kekejaman yang dilaluinya, amat dahsyat dan zalim sekali, maka dengan berat hati Ammar berkata "Hubal (patung sembahan) yang teragung".

Engkau lakukan ini untuk menyelamatkan dirimu dari terus diseksa dengan kejamnya. Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya gembira dengan pengakuanmu itu , lalu terus beliau membebaskanmu dan melepaskanmu pergi.


Bila lepas dari seksaan Ammar terus bertemu Baginda Rasulullah SAW, dirimu menangis yang bersangatan. Bukan menangis kerana kedua ibu ayahmu syahid dan bukan kerana dirimu kena seksa dengan kejamnya tetapi menangis kerana telah memuji sembahan patung berhala sembahan Abu Jahal dan kuncu-kuncunya.

Setelah engkau memberitahu baginda Rasulullah" wahai Nabi Allah, penyembah berhala itu tidak akan melepaskan aku dan memaksa aku untuk tunduk kepada tuhan-tuhan sembahan mereka"
Engkau wahai Ammar, terpaksa mengambil tindakan "Taqiyah"dalam menyelamatkan dirimu dan Nabi membenarkan taqiyah untuk keselamatan.

Begitulah perjuangan seorang muslim diawal Islam.Meski pun penuh cubaan dari kaum Musyrikin Mekah akan tetapi kepatuhannya Ammar dalam mempertahankan imannya wajar dicontohi.

Dengan nada yang lembut dan lunak Baginda Rasul bertanya " bagaimana dengan hati kamu?"
Ammar menjawab"hatiku penuh dengan keimanan kepada Tuhan".
Lalu Baginda Rasul bersabda"janganlah engkau bimbang wahai Ammar, Allah telah menurunkan ayat berkenaan keadaan kamu".
Firman Allah yang membawa maksud:- "Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah,kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman. Akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas meraka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar. Surah Nahl :106

Rasulullah bersabda "Diri Ammar dipenuhi keimanan sampai ke tulang punggungnya"
Sabda Nabi lagi tentang Ammar"contohi dan ikutilah setelah kewafatanku nanti,Abu Bakar dan Umar. 
Dan ambillah pula hidayah yang dipakai Ammar untuk jadi bimbingan".
Sewaktu membangunkan masjid Quba yakni masjid pertama, Ammar adalah salah seorang sahabat Baginda yang sangat berusaha semaksimumnya menyiapkan pembinaan masjid Quba. 

Sehinggakan dirimu sanggup memikul batu-batu yang berat .
Engkau juga bermati-matian berjuang bersama Baginda Rasul dalam beberapa peperangan antaranya perang Badar,Perang Uhud, perang Khaibar,perang Khandak, dan lain-lain peperangan lagi.

Engkau akhirnya wafat di bunuh oleh pihak pemberontak atau pendurhaka dalam peperangan Siffin.Menurut sejarah katanya engkau dibunuh hingga terpisah kepalamu dengan badanmu.
Jasadmu dipangku oleh Khalifah Ali bin Abi Talib KWJ. 

Dibawanya jasadmu ke tempat untuk dishalatkan bersama kaum muslimin. Lalu dimaqamkan dengan pakaianmu yang berlumuran darah suci sebagai (syahid)di jalan Allah.

Para sahabat berkata suatu hari di Madinah waktu duduk-duduk bersama Baginda Rasul, tiba-tiba wajah baginda berseri-seri terus baginda bersabda, "Syurga telah merindukan Ammar".

Maka syurga benar-benar melambai-lambai dirimu, syurga benar-benar merindukanmu, bila kembalinya dikau kepangkuan Ilahi maka tempat istirehatmu yang paling indah yakni syurga Allah. Dalam usia 94 tahun engkau kembali kepada Allah. 

Al-Fatehah buatmu wahai Ammar bin Yasir.Berbahagialah dirimu di alam sana yang kekal dan abadi buat selama-lamanya.
Amin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment