Tuesday, 6 May 2014

Bapa Agamaku-Nabi Ibrahim AS


 


Wahai bapa agamaku Nabi Ibrahim AS. Geranganmu sebagai bapa agama yang sungguh berjasa,keranamu, terbinanya Kaabah (Baitulahil Haram). 

Kaabah yang mulia Sebagai rumah Allah (baitulllahil Haram). Haram bagi orang-orang bukan Islam memasukinya. Haram juga bagi Dajjal Al-Masih Laknatullah berada di dalamnya. Kaabah pusat ibadah kaum muslimin sedunia, juga sebagai kiblat orang-orang mukmin

Engkau digelar Khalilullah (sahabat Allah) pengasas kaabah (Rumah Allah).Engkau juga Putera Azar bin Sam bin Nuh.
Engkau bapa agamaku juga bapa agama sekalian manusia di bumi ini. Engkau wahai bapa agama umat manusia, telah dilahirkan pada tahun 2295 sebelum Masihi di negeri Mausul .

Engkau dilahirkan di zaman pemerintahan Raja Namrud yang zalim.Negara Babylon diperintah oleh Raja Namrud bin Kan'an. Raja Namrud memerintahkan rakyatnya mengukir patung-patung berhala. Mereka anggap patung-patung itu sebagai tuhan-tuhan yang wajib disembah.

Suatu hari Raja Namrud dapat khabar dan mendapat alamat, akan lahirnya seorang bayi yang akan mengoncangkan dan merampas takhta kerajaannya.

Maka Raja Namrud telah memerintahkan setiap bayi yang lahir dibunuh dan telah mengarahkan kaum lelaki dengan kaum wanita dipisahkan , jangan bertemu antara satu sama lain supaya tidak ada kelahiran baru selepas itu.

Dalam suasana larangan bagi wanita mengandung, taqdir Allah telah mengatasi segala-galanya, maka telah mengandunglah ibu Nabi Ibrahim tanpa pengetahuan Raja Namrud, kerana mengandungnya ibu Nabi Ibrahim tanpa tanda-tanda sedikit pun sebagai seorang ibu yang sedang hamil.

Begitulah kuasa Allah Taala yang Maha Hebat.Walau satu dunia sekali pun ingin menghalang kelahiran seorang bayi (Nabi), namun Allah boleh lakukan Kun Fayakun pada hamba ciptaanNya.

Setelah genap kandungan ibu Nabi Ibrahim untuk bersalin maka ibumu telah pergi ke sebuah gua melahirkanmu. Takut dirimu dibunuh oleh Raja Namrud dan kuncu-kuncunya yang zalim itu.

Selepas dirimu dilahirkan maka ibumu memasukkan batu-batu kecil dalam mulut mu dan meninggalkanmu berada di dalam gua keseorangan. Hanya Allah sahaja sebagai penjagamu dan temanmu di waktu itu. 

Maka benarlah engkau wahai bapa agamaku, selayaknya digelar (Khalilullah). Seminggu selepas itu baru ibuayahmu datang semula menjengukmu. Alangkah terkejutnya kedua ibuayahmu kerana melihatkan keajaiban telah berlaku ke atas dirimu yang mulia itu.

Dirimu masih hidup dan telah menghisap jarimu sendiri, manakala di celah-celah jari jemarimu telah mengeluarkan susu yang dapat mengenyangkanmu sebagai ganti susu dari ibumu. Itulah rezeki seorang Nabi yang dijanjikan Allah.

Sewaktu umurmu 15 bulan tubuhmu membesar dengan cepatnya, bagaikan kanak-kanak yang berumur 2 tahun.Terus ibumu membawa dirimu balik ke rmhnya.

Sewaktu remaja dirimu disuruh ayahmu menjaja keliling kota, menjual patung-patung ukiran ayahmu. Disebabkan dirimu wahai bapa agama, Nabi Ibrahim tidak berminat dengan berhala, maka sambil mengejek-gejek patung berhala ayahmu itu sambil berkata" siapa yang nak beli patung-patung yang tidak berguna ini?".
Dizamanmu (Nabi Ibrahim), ramai manusia yang menyembah bulan, bintang, matahari sebagai Tuhan selain dari patung-patung berhala. 

Aazar ayahmu tukang ukir membuat patung berhala yang terkenal. Malangnya ayahmu tidak menerima ajakan dakwahmu supaya meninggalkan berhala patung-patung ukirannya dan sembah Allah. Maka ayahmu menghalaumu dari rumahmu. Maka pergilahmu wahai bapa agamaku, Nabi Ibrahim AS, meninggalkan rumahmu membawa diri untuk Tuhan. Yang Maha Agung itu.


Suatu hari engkau (Nabi Ibrahim) telah bertindak, apabila kota sunyi kerana semua keluar pergi mengadakan pesta . Dengan membawa kapak ke rumah ibadat tempat berderetan patung-patung berhala , ditampar-tampar, disepak-sepaknya patung-patung dan dikapakkannya oleh mu, dihancurkan dipotong-potongkannya patung berhala tersebut manakala patung yang paling besar digantungkan kapak di lehernya (tengkuk) dan tidak dibinasakannya oleh mu.
Bila kembalinya penduduk dari kota , terkejut melihat patung-patung mereka berselerakan atas lantai. Bila ditanya oleh Raja Namrud, "Apakah engkau telah lakukan kepada tuhan-tuhan kami?"Dikau menjawab dengan berani dan tenang "patung besar yang berkalungkan kapak dilehernya itulah yang melakukannya".cuba tanya dia, siapa yang melakukannya?".

Raja Namrud berkata, "engkaukan tahu patung-patung itu tidak boleh berkata-kata, tidak boleh bercakap, mengapa minta kami bertanya padanya"?

Berkata bapa agamaku Nabi Ibrahim"jika begitu halnya, mengapa kamu sembah patung-patung itu? yang tidak dapat berkata-kata,tidak dapat melihat ,tidak boleh mendengar?bahkan tidak dapat membawa manfaat,tidak dapat menolak mudharat,bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri dari kehancuran?"

Alangkah bodohnya kamu mempercayainya dan menyembahnya.mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu?menciptakan alam ini? Tuhan yang menguasai alam dan seisinya?".

Namrud terus berang dan murka memuncak kepada Nabi Ibrahim. AS,dengan hujah-hujahnya itu, justeru itu terus Raja Namrud memerintahkan hukuman mahkamah dijatuhkan kepada Nabi Ibrahim AS.

Namrud memutuskan Nabi ibrahim dibakar hidup-hidup ,sebagai hukuman menghina Tuhan datuk nenek moyang mereka.
Tempat pembakaran di tanah yang lapang telah diputuskan.Disaksikan seluruh rakyat jelata.Maka Berpusu-pusulah para penduduk membawa kayu api sebagai sokongan mereka membakar Nabi Ibrahim.

Maka gunung kayu api telah tersedia dari 44 buah kampung,menimbun gunungan kayu-kayu api yang terbentuklah gunung api yang dahsyat dan mengerikan itu. 

Dalam keadaan dibelenggu Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam unggunan gunung api yang menyala-nyala itu.
Firman Allah, "Wahai api!!...sejuklah engkau dan keselamatan bagi Ibrahim" Surah Al-Anbiya' ayat 69.


Begitulah kuasa Allah yang Maha Hebat, api yang wataknya, sifatnya membakar dan panas telah menjadi sejuk, dingin bahkan tidak menghanguskan..MasyaAllah!!... hebatnya kekuasaan Allah .

Nabi Ibrahim dengan tenang berada dalam perut gunung api yang menjadi dingin dan sejuk. Api tersebut dengan izin Allah hanya membakar tali dan rantai-rantai yang mengikat Nabi Ibrahim AS sahaja yang hangus.

Pakaian dan tubuh badan bapa agamaku ( Nabi Ibrahim) tetap utuh dengan perlindungan Allah Taala. Tidak sedikit pun disentuh dan dijilat api. Ini antara mukjizatmu wahai bapa agamaku.

Setelah kayu-kayu itu telah menjadi bara,orang ramai terkejut dan tercenggang benggang kehairanan melihat keajaiban ini. Mereka melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api seperti sediakala.

Badannya baginda sedikit pun tidak hangus dan melecur.
Orang ramai yang menyaksikan keanehan peristiwa ini sudah mula menpersoalkan Raja Namrud. Malah puteri Raja Namrud sendiri yakni Puteri Razia telah beriman kepada Tuhan Nabi Ibrahim dikhalayak ramai. Hal ini telah mencabarnya dan menaikkan kemarahan Namrud dan diperintahkan puterinya dibunuh.

Sewaktu Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya , seekor burung kecil(burung pipit namanya) terbang berulang alik mengisi air dengan paruhnya, lalu menyiram ke atas api yang membakar Nabi Ibrahim,tindakan burung kecil itu diperhatikan oleh burung-burung besar yang lainnya maka bertanya kepada burung pipit itu ."Buat apa engkau berpenat lelah mengambil air dengan paruhmu itu? Bukannya dapat memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim itu?".

Burung pipit itu menjawab"memang aku tidak mampu memadamkan api tersebut dengan siramanku ini, namun Allah akan menyoal aku nanti ,apakah yang aku lakukan untuk agama Allah dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu atau tidak". Walaupun sedikit sahaja pertolongannya ia berpuas hati, sekurang-kurangnya ia (burung pipit) dapat membantu Nabi Ibrahim AS.

Berbeza dengan cicak yang terbang bertindak jahat dengan menghembuskan api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan agar api itu semakin marak menyala . Jahatnya binatang yang bernama cicak. Sewajarnya cicak dibunuh kerana jahatnya perangai terhadap seorang Nabi Allah

Bersambung kisah ini dalam siri 2 nanti InsyaAllah


No comments:

Post a Comment