web stats

Saturday, 21 February 2015

BILA SOMBONG MENGUASAI HATI

MUTIARA HATIKU UNTUKMU



Sombong penyakit hati yang parah.
Sukar dibentuk, susah ditegur.
Ada-ada sahaja jawapannya,
menegakkan benang yang basah.
Suka membela diri,
seringkali merasakan diri tidak bersalah.



Susahnya untuk tawaduk,
jika sifat ego menguasai diri dan hati.
Bahkan dengan ibu bapa pun susah mengalah.
Payah mendengar kata.


Apa lagi dengan sahabat handai,
jauh panggang dari api untuk merendah diri.
Bertambah sukar lagi untuk tunduk,
jika pandai, cantik,hemsem, kaya raya,berjawatan tinggi,
berpangkat "BOSS" di pejabat atau di mana-mana syarikat.


Aduh....
Betapa parahnya sikap rasa besar diri, rasa mampu, 
rasa hebat diri dan boleh buat apa saja.
Lagi parah tanpa sedar,
rasa bertuhan menguasai hati.
Perangai iblis menguasai diri
dan bertapak dalam hati sanubari.



Parahnya penyakit sombong ini,
kerana ia menafikan rasa kehambaan setiap peribadi.
Ahli neraka sudahlah pasti,
jika tidak bertaubat dan baiki diri.

Berwaspadalah dan berhati-hatilah wahai diri....
Jika mahu selamat dari api neraka Jahim,
hindarilah penyakit sombong menguasai hati.
Kelak akan membakar diri di akhirat nanti.

Wal'iyazubillahiminzaalik.




Thursday, 12 February 2015

KU DILAHIRKAN PUNYAI HATI.

MUTIARA HATIKU UNTUKMU



Hati anugerah Ilahi Rabbi.
Hatiku ini janganlah buta dari mengenal Ilahi.
Juga mengenal Nabi,kekasih Ilahi Rabbi.

Wahai hatiku....
Janganlah engkau bebal dan dungu dari berfungsi.


Engkau wahai hatiku .....
Engkau diciptakan khas oleh Ilahi Rabbi.
Untuk berbakti dan menyembah diri kepada Ilahi.

Wahai hatiku....
Tuhan tidak sia-sia menciptakanmu.
Berperananlah wahai hatiku,
menurut kehendak Tuhanmu.


Janganlah engkau wahai diri dan hatiku.....
Degil dan keras bagaikan batu.
Dalam menyembah Allah yang menciptakanmu.
Dari setitis air mani yang hina dina hingga sempurna jasadmu.

Engkau wahai diri...dilahirkan ke dunia ini oleh seorang ibu.
Engkau wahai diri diciptakan sekeping  hati....
Berperananlah wahai hatiku....
Mengingati Allah setiap waktu.



Tunduklah nafsuku, dan celiklah hatiku...
Untuk menerima cahaya iman dari Tuhanmu.
Sebagai bekalan di akhirat tempat asal usulmu.
Akan dibangkitkan semula rohmu.
Engkau tidak akan mati-mati lagi selepas itu.

Insafilah wahai diriku,juga hatiku.
Sesungguhnya dunia ini hanyalah sementara waktu.
Akhirat jua tempat yang dituju.

Nukilan hamba
Ummu Sayyidah Al-Muznibah.
2015

SYUKUR ATAS NIKMAT ALLAH SANGAT DITUNTUT..

Tidak ada Bani Adam yang tidak bersalah dan tidak berdosa di dunia ini.Janganlah kita mendabik dada mengatakan kita tidak pernah melakukan kesilapan walaupun sebesar janggut udang, senipis kulit bawang atau sebesar habuk debu.

Hanya Baginda Rasulullah SAW sahaja yang terpelihara daripada dosa dan noda.Ini adalah keputusan muktamad dari Allah.
Allah telah mengiktiraf Baginda Nabi adalah
"Maa'sum" ertinya terhindar dari segala dosa dan noda.

Walaupun Nabi Maa'sum namun Nabi tetap menyembah Allah hingga bengkak-bengkak lutut dan tumit kakinya, bila ditanya oleh Sayyidatina Aisyah "Bukankah Tuan sudah dijamin syurga buat apa susah-susahkan diri hingga begitu sekali?".

Nabi respon kepada persoalan Sayyidatina Aisyah, Nabi berkata "Bukankah aku adalah hamba kepada Tuhanku?.Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur".



Begitulah hebatnya rasa syukur yang ada pada seorang Nabi akhir zaman.Patut ianya dicontohi. Syukur itu akan datang dari lubuk hati yang sangat dalam bagi setiap diri yang rasa dia adalah hamba.Syukur tidak akan bertapak dalam hati yang megah dan rasa dirinya Tuan.

Syukur itu akan datang pada setiap hati yang merasai kebesaran Allah dan kekerdilan dirinya.

Syukur itu akan datang menerpa sanubari jika rasa kehambaan yang tinggi dan rasa keTuhanan yang menjunam dan terpasak dalam hati nurani.

Tanpa iman dan taqwa dalam dada, mustahil rasa syukur akan membaluti diri.

Syukur adalah satu perasaan yang amat tinggi antara hamba dan khaliqnya.Allah sangat suka kepada hamba-hambaNya yang tahu bersyukur dan selalu bersyukur kepadaNya.



Sesiapa yang bersyukur akan Tuhan tambah nikmat dalam hidupnya.Oleh itu marilah kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, supaya dengan kesyukuran itu Allah redha kepada kita selaku hamba-hambaNya.

Janganlah kita menjadi orang  yang tidak bersyukur kerana orang yang tidak bersyukur termasuk ke dalam golongan orang-orang yang kufur nikmat.Allah akan murka kepada hamba-hambaNya yang kufur nikmat.Tidak pernah puas dengan apa yang Allah beri.Tidak pernah rasa terima kasih atas nikmat yang diperolehi.

Orang yang tidak bersyukur seringkali mengeluh dan mengungkit-ungkit kekurangan dirinya serta kesusahan yang dialaminya.
Seolah-olah Allah tidak pernah  faham dia dan tidak pernah  memenuhi hasrat dan impiannya. Maha Suci Allah dari berlaku tidak adil dan zalim terhadap hamba ciptaanNya.

KERINDUAN TUKANG AZAN YANG MENAKJUBKAN HATI




Salam Ceria kawan-kawan yang dirahmati Allah  sekaliannya.
Mari kita berkongsi rasa dengan sedikit kisah yang berlaku kepada seorang sahabat yang bernama Bilal bin Rabah.Walaupun beliau sangat hitam warna kulitnya namun hatinya sangat putih seputih salji, sejernih dan sebersih  embon pagi.

Tukang azan di zaman Baginda Rasulullah SAW ini mempunyai suara yang sungguh merdu,lunak lagi menakjubkan. Melalui suaranya apabila dikumandangkan azan kaum Muslimin  dapat Allah dan Rasulullah SAW.

Apabila beliau azan maka umat Islam berdatangan berpusu-pusu untuk mendirikan Shalat. Suaranya bagaikan batu magnet mampu menarik hati sekalian yang mendengarnya.

Setelah kewafatan Baginda Rasulullah SAW, Saidina Bilal tidak lagi berdaya untuk menjadi seorang muazzin kerana terlalu rindukan Baginda Rasulullah SAW.Hebat sungguh kecintaan beliau kepada seorang Nabi pilihan atas pilihan itu.

Akan tetapi suatu hari setelah cucunda Rasulullah Saidina Hassan dan Hussein merayu agar Saidina Bilal melaungkan azan, dengan berat hati Saidina Bilal perkenankan permintaan tersebut.



Setelah azan dilaungkan maka kaum Muslimin terkejut kerana sudah lama suara merdu muazzin Baginda Rasul yakni Saidina Bilal tidak melaungkan azan.Setelah mendengar laungan azan tersebut Kaum Muslimin merasakan seolah-olah Baginda Rasul ada kembali bersama mereka seperti sebelum wafatnya Baginda.

Terharunya Saidina Bilal apabila ingin melaungkan kalimah "Sahaja aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah" terus Saidina Bilal tersangkut suara hibanya hingga menitiskan air mata yang sangat deras di wajahnya maka ianya disaksikan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umarul Faruq dan seluruh kaum Muslimin di waktu itu.

Laungan azan yang sungguh merdu, syahdu dan sayu itu telah menggamit kerinduan seluruh para sahabat dan kaum Muslimin kepada Baginda Rasulullah SAW.



Begitulah hebatnya kerinduan para sahabat, kaum Muslimin dan juga Saidina Bilal bin Rabah.Allah telah memberi ganjaran yang sebesar-besarnya kepada umat Nabi Muhammad SAW yang merindui Nabinya.

Semoga kita semua mendapat anugerah dari Ilahi mencintai dan merindui Nabi kita seperti rindunya Saidina Bilal bin Rabah dan sekalian para sahabat yang lainnya.

Aamiin Ya Allah.
Oleh Ummu Sayyidah 2015

Sunday, 1 February 2015

SAKIT ITU PENGHAPUSAN DOSA



Tidak ada sakit yang tidak ada ubat dan penawarnya, kecuali sakit tua dan mati.Tuhan perintahkan hambaNya berusaha dan berikhtiar berubat jika sakit, selepas itu barulah berserah diri (tawakkal) kepadaNya, samada sembuh atau tidak, itu haq Allah mengizinkannya.

Setiap insan pasti akan diuji dengan sakit, samada berat atau ringan.Sepertilah setiap insan pasti akan mati.Ujian sakit sangat penting bagi si hamba, supaya kita rasa lemah dan rasa hamba serta rasa Allah Maha berkuasa.

Alangkah beruntungnya jika kita diciptakan menjadi si hamba yang tahu bersabar dan redha jika diuji dengan ujian kesakitan.Dalam dunia mendapat rahmat Allah, manakala di akhirat pula memperolehi bighairil hisab.



Allah uji kita dengan ujian sakit supaya kita perlukan Allah.
Apabila sakit kita akan dekat dengan Allah.Kita akan berdoa kepada Allah mohon kesembuhan dariNya yang Maha Penyembuh.Bila sakit kita banyak merintih dengan Allah, mohon belas ihsan dan simpati dari Allah yang Maha Belas Kasihan pada hamba-hambaNya.

Akan tetapi ada juga manusia yang lupa Allah apabila di uji dengan sakit, bahkan ada segelintir hamba yang sanggup mengata Allah zalim, Allah tidak sayangkan dia, Allah tidak faham dia, Allah tidak kasihan pada dia.Allah seksa dia.MasyaAllah..... betapa jauhnya tersasar si hamba ini.Maha Suci Allah dari sifat zalim dan sebagainya yang diperkatakan tadi.

Allah sangat sayang pada hamba-hamba ciptaanNya, diberinya sakit supaya hambaNya memohon kepadanya. Merintih dan merayu, bermanja-manja kepadanya.Allah boleh saja beri kesihatan kepada kita sampai kita mati.Akan tetapi jika kita tidak diuji dengan ujian kesakitan kita akan megah, rasa hebat, rasa mampu, rasa sempurna, rasa besar diri, rasa angkuh seperti Firaun hingga mengaku dirinya adalah Tuhan.(Ana Rabbukumul A'alaa).Apalah ertinya hidup jika hati tidak memiliki Allah.

Allah mahu diri kita tetap mengekalkan sifat kehambaan yang tinggi, atas dasar itulah Allah uji kita dengan ujian sakit.Ramai umat Islam tidak faham kerja Allah ini.Mereka persoalkan Allah. Kenapa bagi aku sakit?, sedangkan orang lain sehat?.Kenapa
tidak sembuhkan sakit aku sedangkan orang lain sembuh.?Sudah macam-macam, ubat aku makan, telan, minum tapi sakit makin kronik.Seolah-olah marah pada Allah.Siapa kita hendak marah Allah?.




Jika Allah mahu sembuhkan penyakit kita dengan seteguk air penawar pun boleh sembuh.Jika Allah tidak berkehendak kita sembuh, selori ubat makan pun tidak akan sembuh. Mudah saja bagi Allah untuk menyembuhkan hambaNya.Sekelip mata, sesaat jua pun boleh sembuh, jika itu yang Allah mahu.

Tidak perlu kita persoalkan kuasa dan kehebatan Allah hinggakan kita jatuh kufur kepadaNya kerana ujian sakit.Ubat bukan Tuhan,
doktor atau tabib pun bukan Tuhan.Ubat, doktor dan tabib hanyalah perantaraan saja, yang Maha Penyembuh adalah Allah.

Oleh itu disamping usaha ikhtiar makan ubat dan jumpa doktor atau perawat, mintalah kesembuhan dengan Allah.Kita hanya mampu berusaha,Allah yang menentukan sembuh atau tidak.Jika sembuh syukur Alhamdulillah, jika tidak sembuh hingga membawa maut ertinya Allah ingin tinggikan darjat kita dengan ujian sakit dan Allah mahu gugurkan dosa-dosa kita di dunia lagi, supaya bila kembali kepangkuanNya dalam membawa hati yang sejahtera.

Jangan ada dari kalangan kita mengeluh bila diuji dengan sakit.Seolah-olah kita tidak redha dengan ujian sakit pemberian dari Allah.Kita kepunyaan Allah jua. Allah berhak lakukan apa saja kepada kita selaku hambaNya.

Jangan mempersoalkan Allah itu dan ini.Jangan tanya Allah kenapa dan mengapa?.Jangan biadab dengan Allah.Jika selama ini kita telah terlanjur maka bertaubatlah.Istighfarlah banyak-banyak semoga Allah ampunkan kita.Semoga dengan pengampunan Allah itu maka matinya kita sebagai seorang mukmin yang sah imannya.


Siapa kita hendak persoalkan Allah.Tanya mengapa bagi aku sakit seperti ini.Mengapa tidak sembuhkan penyakit aku, kenapa orang lain sehat dan sebagainya.Sedarlah wahai si hamba, sesungguhnya kita ini adalah hamba pecacai ciptaan Allah.Allah selaku BOSS atau TUAN kita, Dia berhak lakukan apa sahaja kepada barang ciptaanNya.

Yang terbaik bila diuji dengan sakit, bawa bersabar di samping ikhtiar berubat dan cari penawarnya.Selepas itu bertawakkallah kepadaNya yang Maha Mengetahui segala-galanya.Orang Mukmin itu tidak pernah berputus asa di atas rahmat Allah.
Berusaha itu dituntut oleh agama Islam yang Allah iktiraf.

Sesungguhnya Allah Maha Baik terhadap hamba-hambaNya.Allah lakukan pada hamba-hambaNya untuk kebaikan hamba-hambaNya juga.Hendaklah kita bersangka baik dengan Allah.Maha Suci Allah dari melakukan perkara yang sia-sia.Semuanya ada hikmah di sebalik mehnah dan ujian kesakitan.Hanya hamba yang beriman dan bertaqwa saja yang faham akan maksud ujian Allah ke atasnya.