web stats

Tuesday, 28 October 2014

SEJARAH KETAMADUNAN MANUSIA MENURUT ISLAM.



Sudah 1400 tahun lebih Baginda Nabi SAW wafat dan meninggalkan kita selaku umatnya di akhir zaman.Namun roh Baginda sebenarnya hidup di sisi Allah dan di sisi sekalian umatnya yang seringkali berselawat ke atasnya.

Sebagai kekasih Allah yang sangat taat setia kepada Tuhannya yang Maha Pencipta, jasad Baginda Nabi pun tidak hancur dan tidak musnah walaupun sudah bersemadi 1400 tahun yang lalu.Ini semua kerana Allah pelihara jasad dan roh para kekasihNya.

Mayat para syuhada', para Nabi dan para Rasul kekasih Allah tidak reput dan tidak hancur ditelan dek zaman serta tidak busuk, bahkan wangi sentiasa hingga ke alam akhirat.Roh mereka bebas dan merdeka bagaikan burung yang terlepas dari sangkarnya.Ibaratnya boleh terbang ke mana sahaja mereka hendak pergi.


Memang tidak terjangkau oleh akal kita yang cetek ini memikirkannya. Bagaimanakah jasad para syuhada' tidak busuk,tidak reput di dalam  perut bumi walaupun sudah beribu tahun, beratus tahun atau berpuluh-puluh tahun lamanya meninggalkan alam maya ini.

Inilah yang dikatakan Kuasa Allah yang Maha Hebat lagi Maha Berkuasa. Tidak mustahil bagi Allah atas sesuatu yang mustahil bagi manusia.

Allah yang Maha Perkasa boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki walaupun ianya di luar logik akal manusia.Mempercayai alam ghaib dan hal-hal yang ghaib ini tidak boleh diukur dengan logik akal,kerana ianya bersifat khawariqul aa'dah(luar logik).

Macamana kita hendak logikkan akan adanya alam kubur (alam barzakh),adanya kehidupan semula setelah mati kali pertama di dunia, adanya Al-Mizan (Timbangan yang akan menimbang amal dan kejahatan insan di dunia).


Apakah mampu kita memikirkannya dengan logik akal, bagaimana adanya syurga dan neraka nanti, adanya padang Mahsyar,adanya Titian Siratal Mustaqim yang licin,halus,tajam dan mengerikan itu?.
Barangsiapa yang berfikir dengan akal yang cetek ini maka akan tergeliatlah otaknya memikirkannya.

Akan jadi gilalah nanti mereka ini.Pengkaji-pengkaji yang mengkaji semua ini ada yang akhirnya surrender dengan keHebatan Allah ini akhirnya mereka memeluk agama Islam.
Ada yang tidak diberi hidayah, makin kaji keajaiban ciptaan Allah ini, mereka semakin sesat lagi menyesatkan.

Menurut logik akal  lagi, sememangnya seperti mustahil Allah ciptakan manusia dari tanah yakni Nabi Adam AS.Terciptanya manusia kedua pula iaitu pasangan  Nabi Adam yakni Ibunda Siti Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam yang bengkuk dan sebelah kiri pula.


Menurut hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud:-
"Maka sesungguhnya perempuan itu (Ibunda Siti Hawa), diciptakan dari tulang rusuk Adam".

Hujah lagi akan kebenaran kejadian Nabi Adam dari tanah marilah kita lihat Firman Allah dalam surah Al-Mukminuun :12-14 yang membawa maksud:-
"Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dari suatu saripati berasal dari tanah.Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani yang disimpan dalam tempat yang kukuh (rahim).Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging.
Kemudian Kami jadikan ia makhluk yang berbentuk lain.Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta yang Paling Baik".

Iblis laknatullah pun tidak mahu akur akan kewujudan Nabi Adam AS daripada tanah,kerana katanya dia (iblis) diciptakan daripada api yang lebih hebat daripada ciptaan Nabi Adam daripada tanah.

Dalam surah Al-Hijr ayat15 bermaksud:-
"Dan sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk".

Hadis Nabi bermaksud:-
"Sesungguhnya manusia itu berasal dari Adam dan Adam itu pula diciptakan dari tanah".
(HR Bukhari).

Seluruh manusia adalah dari keturunan Nabi Adam AS, Firman Allah bermaksud "Wahai sekalian manusia bertaqwalah kepada Tuhan kamu,yang telah menjadikan kamu bermula dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya Hawa dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai".
Surah An-Nisaa' ayat 4



Jadi jelaslah kita ini berasal dari tanah dan akan pulang ke tanah juga akhirnya.
Atas dasar itulah apabila kita mati,kita dikebumikan di dalam tanah
Disemadikan di dalam perut bumi tempat asal kita.
Hal ini jelas dikhabarkan dalam Al-Quran akan kisah ini.
Akan tetapi kenapakah ada manusia yang mengatakan manusia dijadikan daripada beruk, (Teori Darwin).

Ini semua hujah yang tidak boleh dipercayai sama sekali.Semuanya tipu helah musuh-musuh Tuhan yang cuba menafikan kemuliaan ciptaan Allah terhadap manusia pertama yang Allah ciptakan yakni Nabi Adam AS.

Teori Darwin atau teori evolusi (secara bertahap) Charles Darwin sangat menyesatkan.
Mereka mahu umat manusia mengakui datuk nenek moyang kita asal usulnya daripada "Beruk","Kera" atau "Monyet".
Buruknya bunyi keturunan tersebut, sedangkan Allah ciptakan manusia sebaik-baik kejadian..

Firman Allah dalam Surah At-Tin ayat 4 bermaksud "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya".

Mana ada dalam sejarah Islam manusia bermula dengan zaman "BATU".
Kononnya manusia zaman dahulu tidak tahu apa-apa.Malah tidak tahu bercakap.
Tidak ada bahasa..Akan tetapi berkembang sedikit demi sedikit mencapai kemajuan (Teori Evolusi),malah kononnya manusia zaman purba bertelanjang  atau bercawat kerana tidak pandai berpakaian, manusia yang kuno tidak bertamaddun,sedangkan Nabi Adam AS itu sangat tinggi tamadunnya,sangat bijaksana orangnya.
Itulah sejarah karut marut yang dipercayai oleh majoriti manusia hingga sekarang.
Ini cerita dongeng yang direka cipta oleh musuh-musuh Allah.

Kenapa sejarah Darwin ini digembar gemburkan?.
Hal ini berlaku kerana Bani Israel (Yahudi) ingin menutup sejarah keturunan datuk nenek moyang mereka yang di sumpah oleh Allah suatu ketika dahulu, kerana mereka degil dan melanggar larangan Allah.
Hari Sabtu adalah Hari Tipu Daya kerana pada hari tersebut terdapat 7 peristiwa helah dan tipu daya oleh 7 kaum.
Allah tidak izinkan mereka pergi menangkap ikan pada hari sabtu akan tetapi mereka engkar.
Kononnya pada hari sabtu ikan paling banyak diperairan laut.

Nabi Musa AS bertanya "kenapa sedikit Bani Israel yang datang beribadah pada hari ini ?(Sabtu),Salah seorang penduduk yang masih taat kepada Allah menjawab, Wahai Nabi kami....Bani Israel banyak yang melaut pada hari ini kerana ikan sangat banyak hari Sabtu sedangkan hari lain ikannya sangatlah sedikit".

Maka Nabi Musa AS berdoa "Ya Allah...kenapa mereka tidak mahu taat kepadaMu,berilah peringatan kepada mereka.". Maka Allah makbulkan doa munajat Nabi Musa AS seluruh Bani Israel yang tidak beribadah pada hari Sabtu dilaknat oleh Allah berubah menjadi monyet atau kera.

Sebagai bukti akan kebenaran kisah ini Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 65 yang bermaksud "Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui bagaimana buruknya akibat orang-orang diantara kamu yang melanggar larangan pada hari sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka "Jadilah kamu kera yang hina".

Allah murka dan Allah sumpah semua mereka menjadi beruk yang hina,
sedangkan asalnya mereka manusia yang sempurna sebagai manusia.
Untuk menutupi keaiban sejarah yang memang aib ini maka.....
Teori Darwin dicipta seolah-olah semua manusia asal usulnya daripada beruk.
MasyaAllah .......dahsyatnya pembohongan sejarah ini.

Siapakah  "DALANG" disebalik penipuan sejarah ini?.
Namanya ialah Charles Darwin bersama dengan para pendokong teori evolusi.Teori Evolusi ciptaan Charles Darwin yang berasal dari bukunya "The Origin Of Species" pada tahun 1859 sangat mempengaruhi pemikiran dunia tentang asal usul manusia.Zaman Batu atau Purba adalah satu pembohongan sejarah.
Ianya dogengan semata-mata.Hanyalah mitos yang direka-reka.

Sejarah sebenarnya tamadun manusia ialah melalui kebenaran yang termaktub dalam Al-Quranul Karim.
Al-Quran hanya menggunakan nama-nama para Nabi dan Rasul sebagai ukuran masa dalam sejarah kewujudan tamadun manusia dari dahulu hingga akhir zaman ini.

Inilah cara atau kaedah sebenar untuk mengkaji sejarah ketamadunan manusia .
Kajilah berdasarkan Nabi-Nabi yang telah diutuskan oleh Allah untuk setiap kaum dan zaman.
Ketamadunan di setiap zaman adalah sangat canggih dan cukup hebat, dari zaman Nabi Adam AS hinggalah ke zaman ini, bagaimana sejarah mengatakan tamadun manusia asal usulnya hidup dalam gua , zaman purba atau zaman batu, sedangkan Nabi Adam AS adalah manusia yang sempurna dan super genius. Nabi Adam AS bukanlah manusia purba dan tidak juga berevolusi.

Sejarah manusia zaman dahulu bukanlah "orang gua" yang hanya tahu makan dan tidur.Akan tetapi mereka telah membina satu ketamadunan yang begitu hebat dan mengkagumkan.
Ilmu pengetahuan mereka begitu tinggi dan hebat.Apa yang dilakukan di zaman ini adalah hasil daripada umat terdahulu.

Kita hanya menyambung dan mengambil ilmu daripada umat sebelumnya.
Contohnya zaman Nabi Nuh AS , Nabi Nuh mampu membuat kapal  atau bahtera yang sangat besar yang paling hebat sehinggakan dengan bahtera tersebut terselamatlah semua manusia dan pasangan binatang yang ada di dalamnya.Bahtera tersebut mampu mengatasi banjir yang sungguh besar sehinggakan mampu bertahan daripada dihanyutkan oleh bah atau banjir yang amat dahsyat itu.

"Begitu juga terbinanya Kaabah oleh Nabi Ibrahim AS dengan anaknya Nabi Ismail AS.Hingga ke hari ini manusia kagum dan berpusu-pusu menziarahi Kaabah atau Baitullah ini.
Hebat binaannya dan lagi hebat adanya Hajarul Aswad di penjuru Kaabah yang mana batu hitam atau asalnya batu putih dari syurga yang wangi dan penuh keistemewaan Allah kirimkan ke dunia untuk menyerikan dan melengkapkan lagi pembinaan Kaabah tersebut.

Malah sejarah Islam telah memaparkan kepada kita bahawa Nabi Allah Adam AS adalah manusia pertama yang sudah berpakaian, dan sudah hidup bertamadun yang sangat waras dan bijak, berilmu dan pandai berkata-kata dalam pelbagai bahasa dan nama-nama benda yang ada di dunia ini.

Ini sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud :-
"Allah telah mengajarkan kepada Nabi Adam AS "nama-nama keseluruhannya",
Setelah Nabi Adam AS mengetahui semua nama-nama tersebut, maka bersujudlah semua para malaikat tanda penghormatan kepada manusia ,kecuali iblis kerana dia sombong dan merasakan bahawa manusia tetap akan melakukan kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah walaupun sudah diajarkan mengenai "nama-nama" oleh Tuhannya kerana itu iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS".

Dari bukti-bukti di atas jelaslah menunjukkan bahawa nenek moyang kita adalah Nabi Adam AS.bukan dari beruk,kera atau monyet.Ini satu penghinaan yang amat besar pada datuk nenek moyang kita Nabi Adam AS.

Kepercayaan dan pembohongan ini tidak boleh dilupakan atau dibiarkan begitu sahaja kerana ianya satu penghinaan ke atas kejadian manusia, juga menafikan ciptaan Allah menjadikan manusia dari tanah liat kering yang termaktub dalam Kalamullah.Wallahua'alam......

ANJING DAN BABI NAJIS MUGHALLAZAH-HARAM DISENTUH.

Salam persaudaraan seIslam dariku buat seluruh umat Islam sedunia. 

Supaya diriku ada hujah di hadapan Allah di Hari Pembalasan kelak mengenai isu "Kempen Sentuh Anjing" yang telah berlaku baru-baru ini, maka Ummu Sayyidah mempersembahkan sebuah artikle mengenai isu ini.


Walaupun tulisanku ini amat dhaif ibarat seekor burung pipit yang berusaha memadamkan api yang membakar Nabi Allah Ibrahim AS, yang membawa air setitik demi setitik dengan paruhnya,namun pipit tersebut tetap melaksanakan tanggungjawabnya ketika itu.

Secara peribadi Ummu Sayyidah tampil ke hadapan dengan sebuah tulisan yang  berkaitan dengan ISU PANAS yang sangat mengejutkan kita semua rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam.

Semoga Allah dan Baginda Rasulullah SAW,redha kepadaku dan kepada kalian semua yang mengambil bahagian dalam membela hukum Allah di muka buminya ini.
Amin.





Program Kempen Sentuh Anjing adalah kempen yang tidak sepatutnya berlaku di negara kita .Ini adalah satu program yang tidak wajar terjadi.

Sebagai umat Islam tentu kita rasa sangat tercabar dan sangat tersinggung apabila hukum Allah terhadap binatang yang hukumnya najis Mughallazah (najis berat) ini diringankan.


Seolah-olah kita mahu cipta hukum sendiri dan mahu menghalalkan hukum yang jelas haramnya dari segi hukum Fekahnya mengikut Mazhab Imam Syafie.

Anjing dan Babi adalah sejenis binatang yang hukumnya Najis Mughallazah.Jika tersentuhnya dengan tidak disengajakan pun hukumnya mesti SAMAK dengan air tanah dan air Mutlak, apatah lagi jika menyentuh anjing dan babi dengan sengaja,tidak cukup dengan SAMAK sahaja, ianya mesti SAMAK HATI atau ROH dengan TAUBATAN NASUHA, mesti taubat sungguh-sungguh dan minta keampunan dari Allah Taala semaksimumnya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu maka basuhlah sebanyak 7 kali.Salah satunya dengan tanah".
Riwayat Al-Bukhari.

Menghalalkan hukum yang Allah haramkan bukan satu dosa kecil bahkan ianya adalah dosa yang amat besar.Dosa seperti ini mesti ditaubatkan sungguh-sungguh.

Peringkat awalnya sentuh-sentuh dahulu,lama-kelamaan anjing akan menjadi binatang kesayangan seperti kucing Siam, kucing Persia, kucing Anggora dan lain-lain lagi,akan dibela,dibelai,dicium,dipeluk dan akhirnya akan menjadi 
teman di bilik tidur dan seumpamanya.
Ini semua tidak mustahi lakan dan boleh berlaku.

Jika sedari awal tidak dibenteras,agenda musuh yang halus dan licik ini akan menguasai diri,hati perasaan atau roh umat Islam.Akhirnya anjing akan menjadi binatang kesayangan Umat Islam dan akan berligar-ligar di rumah-rumah umat Islam.

Sabda Baginda Nabi SAW lagi yang bermaksud, "Sesiapa yang memelihara anjing kecuali untuk buruan ataupun untuk menjaga ternakan maka akan berkuranganlah pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)".
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Generasi dan keturunan yang masih kecil atau baru lahir ke dunia ini nanti akan keliru apakah hukum sebenarnya menyentuh dan memeluk anjing.Jangka masa panjang ianya akan menjadi tradisi kepada generasi kemudian.Ini adalah agenda yang sangat merbahaya terhadap agama Islam.

Lebih sedih dan rasa tercabar lagi apabila melihat kaum Hawa yang memakai tudung serta purdah turut terlibat dalam agenda kempen sentuh anjing ini.Hal ini sangat mengaibkan Islam.

Agenda "Kempen Sentuh Anjing" atau "I Want to Touch A Dog",
anjuran Syed Azmi Al-Habsyi ini mestilah diambil perhatian serius dan dia hendaklah diberi kesedaran  dan kefahaman yang mendalam oleh para Ulamak dan mana-mana pihak yang berwajib serta oleh masyarakat Islam amnya. Sebelum ianya menular dengan lebih dahsyat, kerana program ini lama-kelamaan akan merosakkan akidah umat Islam sejagat.

Umat Islam sepatutnya lebih berhati-hati dengan anjuran kempen seperti ini.Sebelum ini kempen arak besar-besaran, sekarang ini Kempen Sentuh Anjing pula selepas ini kempen apa pula?.....tidak mustahil nanti kempen yang lebih dahsyat dan mencabar lagi .....jika ianya dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Walaupun waktu berkempen itu hanya 2 jam sahaja,akan tetapi ianya sangat memberi kesan yang amat mendalam dan negatif kepada umat Islam.Waktunya walaupun sedikit cuma,tetapi jika ianya tidak dibenteras sikit-sikit akan jadi bukit(kata orang tua-tua), lama-lama akan jadi gunung, dan akhirnya akan merebak bagaikan virus merbahaya yang tidak boleh dibendung lagi.


Hukum Tuhan mesti diperjuangkan dan dipertahankan,
kalau bukan kita selaku umat Islam yang bangun dan bersuara membantah Kempen seperti ini hendak harapkan siapa lagi?....
Siapa lagi?....
Menyentuh anjing atau babi dengan sengaja adalah HARAM,menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Walau dengan apa alasan sekalipun.

Hukum Allah mana boleh kita hendak pinda atau hendak logik-logikkan dengan akal kita.Haram tetaplah haram, seperti haramnya minum arak, main judi, tikam loteri, berzina, bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan muhram, makan riba dan lain-lain lagi yang Allah haramkan.


Dunia sudah penuh dengan zulumat, kemuncak kezaliman dan kebatilan.Dunia ini Allah akan selamatkan di akhir zaman dengan mengutuskan penyelamat ummah untuk membawa kemuncak keadilan dan kemakmuran.

Allah akan turunkan Nabi Isa dari langit, dan memberi amanah kepada Nabi Isa untuk membunuh Dajjal Laknatullah yakni Maharaja Sihir Akhir Zaman, akan tetapi sebelum Dajjal dibunuh, Nabi Isa akan membunuh semua babi-babi yang ada di dunia ini,
sebagai bukti kepada kita bahawa binatang yang hukumnya najis Mughallazah ini jijik dan kotor. 
Atas dasar itulahTuhan amanahkan kepada Nabi Isa Al-Masih, memusnahkannya kelak.

Hukum binatang anjing sama hukumnya dengan binatang babi.
Najis Mughallazah tetaplah hukumnya Najis Mughallazah sampai mati.Ianya tidak akan berubah menjadi hukum najis mukhafafah atau najis Mutawassithah.

Haram tetaplah haram hukumnya.Najis Mughallazah tetaplah hukumnya Najis Mughallazah walau apa hujah sekali pun.Walaupun atas alasan hendak hilangkan rasa takut,ngeri terhadap anjing.Ini bukan satu kaedah yang tepat dalam ajaran agama Islam.

Berkasih sayanglah dengan kucing yang pelbagai nama dan jenis yang Allah ciptakan.Halal lagi cantik,comel,menakjubkan dari anjing.Hairannya.....kenapalah anjing juga yang menjadi pilihan untuk disentuh dan dibelai?.

Tidak menjadi kudis atau tidak mati jika tidak sentuh dan tidak belai anjing.Buatlah Kempen yang lebih wibawakan agama Islam,Kempen bantu anak-anak yatim ke....atau Kempen "I Want To Touch Anak Yatim",bantu fakir miskin ke.....Kempen baca Quran ke....Kempen hafal Quran ke...Kempen ziarah orang sakit di hospital ke.....dan macam-macam kempen yang berlandaskan agama Islam yang boleh kita buat besar-besaran.

Anjurlah anjuran Kempen yang Allah dan Rasulullah redha dan terhibur.Kempen yang boleh menyemarakkan lagi syiar Islam dan mendaulatkan lagi Kalimah Toyyibah di muka bumi Allah ini.
Agar dengan itu natijah atau hasilnya ramai orang yang bukan agama Islam tertarik dengan Islam dan nampak betapa indahnya dan betapa cantiknya agama Allah ini.

Wahai saudara-saudaraku yang seagama denganku.
Ketahuilah kalian semuanya, hukum menyentuh anjing sama dengan hukum menyentuh babi, kerana ianya sama-sama hukum Najis Mughallazah.

Babi yang akan dibunuh oleh Nabi Isa Al-Masih akan datang.Janganlah kita turut menyokong agenda atau kempen yang Allah tidak redha dan Nabi tidak suka ini.Kelak kita yang akan binasa dunia akhirat.

Marilah semua kita bertaubat kepada Allah,Tuhan kita semua, supaya apa yang berlaku Allah tidak turunkan bala bencana ke atas negara Malaysia tercinta ini.
Allah boleh saja lipat dan gulung bumi ini dalam sekelip mata jika Allah mahu di atas dosa dan kemungkaran yang telah kita lakukan selama ini.

Semoga taubat kita diterima.Insaflah, bertaubatlah kita semua, semoga keberkatan hidup menyelamatkan kita di alam Akhirat nanti.Ambillah kesempatan sempena tahun baru Islam 1436H ini untuk berubah dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat. 

Ampunkan kami Ya Allah.Taubatkanlah kami Ya Allah di atas kecuaian dan kelalaian kami selama ini.TUBNA ILALLAH YA ALLAH.........

Amin Ya Allah

Friday, 24 October 2014

MUHARRAM BULAN KEMENANGAN ISLAM



Bulan Muharram bulan kemenangan Umat Islam sejagat.
Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah.
Ianya juga dikatakan Bulan Allah.Nabi SAW bersabda maksudnya,"
"Seutama-utama puasa selepas puasa Ramadhan,ialah puasa dalam Bulan Allah
Al-Muharram,dan seutama-utama shalat selepas shalat wajib ialah shalat malam".

Hijrah melakar sejarah agung
Hijrah melakar sejarah hebat
Ianya dikenang ummah sepanjang zaman
1 Muharram Khalifah Umar Al-Khattab telah menetapkan hari pertama bagi setiap
Tahun Baru Islam Kalendar Hijriah.

Pengorbanan seorang Nabi akhir zaman,
Yang padanya ada keagungan dan kemurnian akhlak
Ketinggian budi pekerti, kemuliaan peribadi.
Dalam bulan yang mulia ini terdapat satu hari yang bersejarah iaitu Hari "Asyura".

10 Muharram dinamakan juga hari "Asyura",
Pada hari tersebut banyak terjadinya peristiwa penting yang
 membawa kegemilangan dan kemenangan dalam perjuangan Islam,
 menegakkan keadilan dan kebenaran.

Baginda Rasul SAW sanggup mati demi cintakan Tuhan.
Sanggup bersembunyi di Gua Thur mengatur strategi  menumpaskan perangcangan daripada musuh Allah.



Sanggup bermalam di dalam Gua Thur yang sempit dikedinginan malam yang tanpa cahaya,
Melainkan bercahayakan iman dan taqwa di dalam dada.
Sanggup menjual dunia demi akhirat yang kekal lagi abadi.
Sanggup menempuh onak duri ranjau perjuangan dalam kepahitan.

Menyelamatkan diri di malam hari yang gelap gulita
daripada kaum Musyrikin Mekah yang durjana.
Hatinya pasrah ,tawakkal setingginya kepada Tuhan yang Maha ESA.
Mohon perlindungan dan pembelaan dari kekasih Agungnya.

Hanya Allah memenuhi ruang hatinya.
Bertemankan sahabat setianya,
Yang benar lagi membenarkan
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA.

Dalam gawat hatinya sungguh tenang,
terpancar di raut wajahnya,
dengan kata-katanya yang masih mampu menenangkan sahabatnya,
Sayyidina Abu Bakar dengan ungkapan hikmahnya,
 "Sesungguhnya Allah bersama kita.....wahai Abu Bakar!....."

Menangis hati ini mengenangkan sejarahmu itu.
Bergelora lautan hatiku,
Mengenangkan jasa dan pengorbananmu....
Ya Rasulallah Ya Nabiyallah.....
Pilu hati ini mengenangkan dirimu

Wahai kekasih Allah.....
Sanggup mati demi sebuah cinta.
Cinta kepada Tuhan yang Maha Pencipta.
Cinta kepada agama Islam yang suci murni dan haq ini.
Kerana pengorbanan mu ini Ya Nabiyullah....
Islam masih dijunjung dengan megahnya,
hingga ke hari ini.
Kami umatmu dapat merasainya buah kemanisan iman
hasil daripada perjuanganmu yang agung itu.......

Ya Rasulullah.... Ya Habibullah....
Aduh ........betapa agungnya perjuanganmu itu.

Membasmi alam jahiliah menegakkan keadilan dan kemanusiaan ,
menegakkan kasih sayang, menegakkan tali persaudaraan antara kaum muhajirin dan Ansar ,
sehinggakan pertalian di antara mereka  bagaikan adik beradik bahkan lebih dari itu.

Sanggup mengagihkan harta benda sesama mereka,
Bahkan lebih mengharukan ada yang sanggup menyerahkan isteri
yang cantik dan paling disayangi kepada saudaranya.
Hebat sungguh  kasih sayang yang Baginda Rasul perjuangkan.
Syaitan dan iblis laknatullah pun menggelupur kesakitan,
musnah hancur segala perancangannya menggoda insan,

Namun masih ramai juga yang tergoda,kerana rakus dengan tipuan dunia,
hati tidak takut Allah dan tidak cinta Baginda Rasulullah SAW.
Itulah natijahnya apabila nafsu diperajakan menjadi raja dalam diri.
Iman dikesampingkan menjadi penentang Allah dan Rasulullah SAW.

Akhirnya hidup rosak binasa.Rugi dunia, rugi di akhirat.
Dalam dunia menjadi musuh Tuhan yang dilaknati,
di alam Akhirat pula menjadi ahli neraka Jahim buat selama-lamanya.

Wal'iyazubillahiminzaalik.

AHLAN WASAHLAN MAAL HIJRAH 1436 H




SALAM MAAL HIJRAH 1436 H BUAT UMAT ISLAM SEDUNIA DARI UMMU SAYYIDAH..

Hari ini kita telah pun memasuki fasa tahun baru Islam .Selamat tahun baru Hijrah 1436 H
Marilah sama-sama kita menghayati erti hijrah itu supaya ada kekuatan pada roh kita untuk
dilonjakkan dari masa ke semasa.Agar kita lebih baik daripada sebelumnya
Amin.......

Maal hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam.
Mengapa ianya amat penting?,
kerana awal Muharam berlakunya
penghijrahan Baginda Rasul SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622M.

Dikesempatan bulan mulia ini kita diminta untuk membaca doa akhir tahun dan awal tahun Hijriah.
Doa akhir tahun dibaca 3x pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

InsyaAllah dengan berkat  membaca Doa Akhir Tahun ini, akan memperolehi perlindungan Allah Taala dari fitnah dan tipu daya syaitan serta akan mendapat keampunan dari Allah di atas dosa yang lalu.Mudah-mudahan.

Manakala Doa Awal Tahun pula dibaca 3x selepas Maghrib pada malamnya..
InsyaAllah dengan membaca Doa Awal Tahun , Allah akan melindunginya daripada fitnah dan godaan syaitan iblis..
Amin.

Doa akhir tahun dan awal tahun ini tidaklah wajib dibaca kerana ianya bukanlah ada Hadis atau Nas mengenainya, Cuma ianya boleh dibaca sebagai membesarkan bulan mulia tahun baru Maal Hijrah,Tidak menjadi kesalahan berdoa yang baik-baik pada tahun baru Islam untuk kebaikan,hendak baca boleh, tidak mahu bacapun tiada kesalahan. Ianya digalakkan untuk membesarkan bulan Muharram (bulan Allah).Tidak perlu khilaf amalan yang mendatangkan kebaikan seperti ini.

Maal Hijrah merupakan bukti keimanan dan kecintaan kita kepada Allah SWT,
juga kerinduan kepada Nabi Junjungan Besar Rasulullah SAW, dengan ertikata
Maal Hijrah menggamit kerinduan kita kepada Rasulullah..... Nabiku....dan Nabimu jua......

Peristiwa Hijrahnya Baginda Rasulullah SAW bersama Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq
dari Mekah menuju kota Madinah Al-Munawwarah adalah satu sejarah yang sangat agung dalam Islam.

Segala  keperitan,kedukaan,kepedihan,
kesengsaraan dan pelbagai kesusahan serta mara bahaya yang dilalui oleh Baginda Rasul juga sahabat setianya Sayyidina Abu Bakar AS,Peristiwa ini sangat mengharukan dan sangat memberi keinsafan.

Betapa hebatnya dugaan kekasih Allah berdua ini lalui di dalam gua Thur, dalam ketakutan, dalam kelaparan haus dahaga,kedinginan malam, apatah lagi sejarah memaparkan Sayyidina Abu Bakar disengat kala jengking,(akan tetapi ada juga sejarah mengatakan dipatuk ular).maka bisa sengatan atau patukan tersebut menyebabkan menangislah Sayyidina Abu Bakar AS , tangisannya disedari oleh Baginda Rasul lalu Baginda bertanya "mengapa engkau menangis wahai Abu Bakar?, Adakah engkau takut ?....

Maka Sayyidina Abu Bakar menjawab....saya takut sesuatu berlaku kepada Tuan, kerana saya amat rindukan Tuan".

Hebatnya kekasih menyintai kekasih ,di hadapan matapun "RINDU".
MasyaAllah .......hebatnya perasaan "RINDU" sahabat terhadap Nabi SAW.

Ya Allah.....
Ya Tuhan kami.....
Bagaimanakah caranya untuk mendapat hati yang "RINDU" kepada NabiMu seperti "RINDU"nya Sayyidina Abu Bakar AS tersebut?.
Ya Allah.....Anugerahkanlah rasa-rasa "RINDU" yang mendalam itu kepada kami, umat NabiMu di akhir zaman ini.

Dalam peristiwa Hijrah ini Baginda diuji dengan satu ugutan untuk dibunuh.
Namun kemenangan Hijrah ini,apabila Baginda sampai ke Madinah,
Baginda disambut dengan meriah sekali oleh kaum Muslimin.

Inilah kemenangan Islam yang sungguh agung yang dilakarkan oleh sejarah Islam,
hasil pengorbanan seorang Nabi akhir zaman bersama sahabat aqrab Baginda
yakni Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA.

Musuh-musuh Allah terbeliak biji mata apabila mendengar khabar Baginda Rasulullah SAW
selamat sampai ke Kota Madinah dan gagal mereka membunuh Baginda Nabi SAW
walaupun pelbagai cara pengepungan dan pencarian yang dilakukan.

Semaksimum usaha dilakukan untuk membunuh Nabi SAW, namun Allah pembela yang Maha Hebat telah membela para kekasihNya.Hebatnya dua orang kekasih Allah ini memperolehi pembelaan dari Tuhannya.

Semoga pengorbanan Baginda dan para sahabat ini yakni Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ini ,kita kenang dan hargai.Balasilah pengorbanan kekasih Allah ini dengan berusaha mendapatkan anugerah rasa "RINDU" kepada Nabi Muhammad SAW.

Sempena Maal Hijrah ini mohonlah kepada Allah yang Maha Baik supaya rasa-rasa "RINDU" dimasukkan ke dalam dasar lautan hati kita.Agar selepas ini kita pandai rasa "RINDU" kepada Nabi SAW.

Baginda Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah modalnya "RINDU" kepada Allah.Sayyidina Abu Bakar AS berhijrah ke Madinah modalnya "RINDU" kepada Nabi SAW, walaupun Nabi ada bersamanya akan tetapi sangat "RINDU".Hebatnya "RINDU" taraf ini.Ini adalah "RINDU" maqam tertinggi dan sangat hebat.

Sempena Maal Hijrah ini marilah kita hijrahkan hati kita dengan rasa-rasa "RINDU"."RINDU"lah kepada yang layak di"RINDU"......
"RINDU" ALLAH,Rindu Baginda Rasulullah,rindu para sahabat,para wali-wali Allah,para alim ulamak al-'amilin dan rindu kepada saudara mara kita yakni kaum mukminin dan mukminat seluruh dunia.

Semoga dengan "RINDU" ini kita berjaya memperolehi hati taqwa, hati mukmin sejati.
Hati yang qalbun Salim (hati yang sejahtera) daripada sifat-sifat hati yang keji dan tercela .

Amin Ya Allah.

Friday, 17 October 2014

KENIKMATAN DALAM SYURGA TIADA TANDINGAN DAN BANDINGAN.


Salam ceria kepada seluruh pembaca setia blog Ummu Sayyidah yang dirahmati Allah hendaknya.Amin.

Siapa yang tidak mahu menduduki syurga Allah?. Semua mahu bukan?.Bahkan berdoa sangat-sangat agar Allah limpahkan rahmatNya dan maghfirahNya agar kita semua layak dan dilayak-layakkan menjadi penghuni syurga, walaupun kita rasa tidak layak sebenarnya.Banyaknya kelemahan dan kekurangan kita di sisi Allah dan baginda Rasulullah.Namun kita sangat mengharap agar kita dilayak-layakkan dengan berkat Nabi kita memberi syafaatnya kepada kita umatnya ini. Amin.

Dalam syurga ada semua yang tidak terfikir oleh akal dan tidak terbayang oleh matahati kita.Semuanya menggembirakan,
menghiburkan,semuanya hebat-hebat,indah-indah,nikmat-nikmat belaka bahkan tidak ada satu perkara pun yang tidak disukai oleh hati , semuanya menggembirakan bagi ahli syurga.

Nikmat yang paling lazat dan indah di dunia ini ialah mati syahid.
Berkali-kali rasa  hendak mati syahid,kalau boleh mati dan berjuta kali mati, begitulah indah dan seronoknya mati syahid.Akan tetapi apakan daya mati hanya sekali bagi setiap insan di dunia ini dan hidup buat selama-lamanya sekali lagi setelah mati di alam sana yang kekal lagi abadi.   

Di akhirat nikmat yang paling istemewa ialah dapat melihat wajah Allah yang paling hebat.Ibarat melihat bulan yang terang benderang, tiada hijab walaupun sedikit.Dalam syurga juga dapat berdua-duaan dengan kekasih Allah Nabi Junjungan Besar Rasulullah SAW.



Allah kata orang yang duduk dalam syurga sangat sibuk.Sibuk dengan nikmat syurga. Sibuk dengan pasangan masing-masing.
Sibuk yang tidak meletihkan bahkan sibuk yang berjuta-juta nikmat yang berganda-ganda.nikmatnya syurga adalah kenikmatan luar biasa yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terbayang dan terdetik di dalam hati manusia.

Allah bagi pasangan dalam syurga walaupun bujang di dunia.
Bagi kaum bapa akan memperolehi bidadari di syurga.Seramai-ramai bidadari yang cantik molek belaka.
Muda belia dan anggun semuanya.Tidak ada yang tua dan berumur.

Bagi kaum wanita pula akan memperolehi Wildan yakni pria atau pemuda yang segak, kacak, hemsem dan serba sempurna indah mata memandang,sejuk hati menatap wajah-wajah yang ada dalam syurga.Tidak ada sifat buruk dalam syurga.Sibuk dengan nikmat yang setiap saat indah dan nikmatnya berganda-ganda dan lebih menakjubkan.MasyaAllah.......hebatnya anugerah ciptaan Allah yang menciptakan hebatnya nikmat di syurga. 


Nikmat di dunia hanya sementara, sedangkan nikmat di akhirat yakni dalam syurga ianya kekal lagi abadi dan tiada penghujungnya.
Dalam syurga minumannya sangat lazat.Susunya lagi putih dari susu segar di dunia.Air sungai yang mengalir di dalam syurga sungguh nyaman, menyegarkan dan tiada bandingannya. Air sungai dalam syurga sejuknya tidak menggilukan tulang dan tidak rasa beku isi kulit.

Panasnya pula sangat nikmat dan lazat, nikmatnya tidak membakar tubuh badan dan tidak menyakitkan.Bagaimana keadaaannya dan suasananya?.Tidak mampu dijangkau oleh hati dan perasaan kita.Allah sahaja yang Maha Tahu.MasyaAllah........Hebatnya Allah......lakukan ini semua.

Nikmat apa sahaja di dunia lepas makan terasa hendak buang air kecil atau air besar,sedangkan di dalam syurga makan sebanyak mana sekali pun tidak akan buang air besar atau kecil.Tidak ada najis dalam syurga.Tidak ada yang kotor dan menjijikkan di dalam syurga.Semuanya wangi harum semerbak bagaikan haruman kasturi dan lain-lain haruman yang tiada bandingan dan tandingan.Hanya Allah sahaja yang Maha mengetahuinya. 


Buah di dalam syurga itu pun kulitnya Allah sudah kupas siap-siap, Allah  bagi isi saja.MasyaAllah cuba bayangkanlah betapa nikmatnya.Selagi makan selagi manis dan nikmat.Minum seteguk rasa menakjubkan,minum lagi seteguk allah tambah lagi rasa yang sangat puas dan enak, begitulah seterusnya, MasyaAllah tidak dapat dibayangkan oleh mata dan hati lagi.

Dalam syurga makan satu suap lagi sedap. Satu suap lagi semakin lazat.Arak dalam syurga tidak memabukkan. Makin teguk semakin lazat dan puas. Teguk lagi rasanya semakin hebat dan mengkagumkan.

Dalam syurga itu pi zilaalin (tempat berteduh) duduk dalam syurga naik kuda 100 tahun belum habis pusing sebatang pokok , pokok-pokok ada buaian, buaian bergerak sendiri tidak payah dihayunkan.
MasyaAllah hebatnya balasan Allah kepada  hamba-hambaNya yang taat kepadaNya di dunia.

Tidakkah tercicir air liur kita mengenangkan nikmat dalam syurga yang Allah sediakan itu?.
Tidak teringinkah kita menjadi penghuni syurga yang nikmatnya melimpah ruah dan berganda-ganda itu?.
Tidak rindukah kita kepada syurga yang sebegitu rupa nikmatnya?.

Apakah kita layak mendudukinya?.
Apakah kita orangnya yang layak menjadi penghuni di syurga Allah nanti?.
MasyaAllah tidak terbayang di matahati kita macamana ya nikmat Syurga tersebut.
Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahuinya.


Salamun qaulan min rrabbirrahim.
Salam sejahtera kepada kamu daripada Tuhanmu yang Maha Penyayang.
Dalam surah Al-Mukminun ayat 1 yang membawa maksudnya "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman".

Antara ayat-ayat dalam surah Al-Mukminun lagi :-
Ayat 3 "dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia".

Ayat 8-11 "Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah yang dipikulnya dan janjinya.
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, yakni akan mewarisi syurga Firdaus dan mereka kekal di dalamnya".

Firman Allah Taala lagi yang bermaksud "Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya ia telah beruntung".
Surah Ali-Imran :185

Dalam Surah At-Taubah ayat 72 bermaksud "Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan akan mendapatkan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,kekal mereka di dalamnya dan mendapat tempat yang bagus-bagus di dalam syurga.Dan keredhaan Allah adalah lebih besar, itu adalah keberuntungan yang besar".
                   
         
Tentulah setiap muslim amat merindukan syurga yang berbagai kenikmatan di dalamnya.

Semoga dengan paparan ini kita semakin bersemangat untuk beribadah kepada Allah juga berdoa sungguh-sungguh agar segala amal ibadah kita Allah terima.                     

Amin Ya Rabbal A'lamin.

Tuesday, 14 October 2014

BAIKNYA ENGKAU WAHAI TUHAN KAMI....



Baiknya Engkau wahai Tuhan kami.......
Anugerahkan kami seorang Nabi akhir zaman,yang bakal akan menyelamatkan kami dengan syafaat kubranya di  Yaumul Mahsyar kelak.

Baiknya Engkau wahai Tuhan kami, zahirkan kami seorang Nabi yang tidak pernah putus-putus mendoakan keselamatan kami sebagai umatnya dengan ummati... ummati... ummati.....

Baiknya Engkau wahai Tuhan kami......
Berikan kami seorang Nabi yang sangat sempurna akhlak dan peribadinya sebagai ikutan umat akhir zaman.

Baiknya Engkau wahai Tuhan kami...
Izinkan seorang Nabi lahir ke dunia ini yakni seorang Nabi penutup sekalian Nabi, seorang Nabi penghulu sekalian manusia.

Seorang Nabi pembawa berkat dan pembawa khabar busyra (gembira) untuk umat akhir zaman, yakni  dengan beriman kepada Allah dan RasulNya,Maka akan selamat yang hakiki di alam sana.


Engkaulah wahai NUR MUHAMMAD.
Engkaulah Nabi kami.....
Engkaulah ikutan kami.....
Juga ikutan seluruh umat Islam yang mencintaimu.
Engkaulah idola kami.....
Engkaulah pemimpin kami....
Engkaulah guru kami.....
Engkaulah ibu ayah roh kami.....
Engkaulah doktor kam....
Engkaulah pujaan kami.
Engkaulah kekasih hati kami dan seluruh para mukmin yang bertaqwa di sisi Tuhannya.
Engkaulah Nabi akhir zaman kami.


Engkaulah satu-satunya Nabi yang memberi syafaat kubra kepada sekalian manusia terutama terhadap umatmu.
Engkaulah Nabi pembawa rahmatan lil a'lamin (rahmat sekalian alam).

Engkaulah penajam hati, penyubur jiwa bagi mukmin sejati. 
Dengan menyintaimu..... umatmu akan memperolehi keredhaan maghfirah dari Allah.Barang siapa yang menyintaimu wahai Nabiyullah maka dirinya akan dicintai Allah.

Mendapat kasih sayangmu yang membawa jalan menuju syurga bahkan boleh membawa kepada menduduki syurga Tuhan dengan rahmatNya.
Tiada manusia yang mampu pisahkan hati ini dari menyintaimu wahai Nabi.
Hanya Allahlah sebagai saksinya, betapa cintanya kami kepadamu wahai Nabiyullah..

Tanpamu wahai Nabi.... kami kekosongan dan kehilangan pedoman hidup.Besarnya nikmat menjadi umatmu wahai Nabi kami. Engkaulah belahan jiwa kami dan penghibur duka lara kami.
Bersamamu wahai Nabi... Adalah ketenangan dan kebahagiaan.
Semoga kami diterima olehmu sebagai umatmu dunia akhirat.

Amin Ya Allah.

Thursday, 2 October 2014

DUNIA INI MILIK ALLAH.....


 Salam ceria kepada seluruh pembaca blog Ummu Sayyidah yang dirahmati Allah sekaliannya.

Kali ini marilah kita menghayati Kalamullah yang bermaksud,
"Katakanlah kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi?.Katakanlah, "Kepunyaan Allah".Dia telah menetapkan atas DiriNya kasih sayang.Dia sungguh akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya.Orang-orang yang meragukan dirinya, mereka itu tidak beriman".
(Surah Al- An'am ayat 12)

Firman Allah lagi dalam Surah Taaha ayat 6 bermaksud, "Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada diantara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi".

Fahamlah kita bahawa sesungguhnya dunia ini Allah yang punya bukan kita yang punya.
Jika begitu marilah kita akur bahawa kita juga adalah milik Allah dan kepunyaan Allah.Allah berhak lakukan apa sahaja kepada kita kerana kita ini haq Allah.

Apa yang kita miliki juga milik Allah.Tidak ada milik kita, semuanya Allah yang punya.Allah Maha Berhak ke atas diri kita dan sekalian makhlukNya yang ada di dunia ini.


Apa sahaja nikmat yang ada pada kita adalah milik Allah. Oleh itu tidak wajar kita angkuh dan sombong sekiranya kita kaya, jika kita berjawatan tinggi, berpangkat besar, tidak wajar kita mendabik dada jika kita cantik, hemsen, comel molek dan bergaya.

Semuanya Allah punya.
Sekelip mata sahaja Allah boleh miskin papa kedanakan kita.
Sesaat sahaja Allah boleh tarik semula semua pangkat darjat kebesaran kita.
Selahzah sahaja Allah boleh hodohkan wajah kita.
Allah boleh cacatkan wajah kita yang ayu jadi seburuk-buruk wajah.
Wal'iyazubillahi min zaalik.

Oleh itu gerunlah dengan kekuasaan Allah yang Maha Berkuasa itu.Takutilah Allah yang Maha Perkasa itu.
Janganlah merasa kita boleh hidup menongkat langit, kerana langit pun Allah punya.Bumi yang kita pijak pun Allah punya.Rumah tempat kita berteduh pun Allah punya.Matahari , bulan, bintang yang kita menumpang cahaya dari cakerawala ini pun Allah punya.



Semua yang ada dalam dunia ini Allah yang punya.Tidak ada sebesar zarrah dan sebesar habuk debu pun kita punya.

Kita lahir ke dunia ini tanpa ada seurat benang pun pakaian di badan. Lahir sahaja dari kandungan si ibu, tidak pun kita ada apa-apa yang di bawa bersama.

Sebiji nasi Allah punya, seteguk air pun Allah punya.Setitis air susu ibu pun Allah punya.Mana ada kita punya.Apa yang hendak kita banggakan memang kita tiada apa di dunia ini yang kita punya.
Jika tiada amalan maknanya kita miskin papa kedana bila mengadap Allah nanti. Ada duit 1 sen pun Allah punya,ada duit berbilion-billion pun Allah punya..

Ada kereta menjalar pun Allah punya, ada basikal tua pun Allah punya.Ada isteri cantik, suami kacak, ada cahayamata yang menghiburkan, semuanya Allah punya.

Ada rumah banglo tersergam indah pun Allah punya, ada pondok kecil pun Allah punya.Hakikatnya semua Allah punya.Kita pun kepunyaan Allah, darinya kita datang kepadaNya jualah kita kembali.
Semua yang ada di dunia ini, akan kita tinggalkan, kerana ia Allah punya. Yang kita bawa ialah amal kebaikan atau kejahatan untuk dipersembahkan ke Hadrat Ilahi di alam sana nanti.



Oleh itu buatlah persiapan menuju kampung abadi .Di kampung abadi itu adalah tempat kesudahan kita yang sebenarnya.Dunia ini hanya sementara sahaja.Jangan kita menyesal di hari kemudian nanti kerana tiada amalan yang dibawa.

Ya Allah...kami berserah diri kepadaMu yang Maha Agung.Sesungguhnya kami hambaMu yang kerdil lagi dhaif belaka.Hanya Engkaulah Tuhan kami yang Maha Hebat, Maha Besar, Maha Segala Maha.Ampunkan kami Ya Allah di atas segala ketelanjuran kami selaku hambaMu.Taubatkan kami Ya Allah di atas taubat.

Amin Ya Allah.

Bercakap lebih baik atau diam


Diam lebih banyak mengundang kebaikan daripada berkata-kata yang tidak berfaedah.
Berkata-kata yang sia-sia akan menempah neraka sudahnya.

Bila berkata-kata terlalu banyak sudah tentu kata-kata itu banyak salahnya, banyak salah itu satu dosa.
Ada orang wataknya suka bercakap, membebel tidak tentu pasal. Dari celik mata hingga tutup mata kerjanya bercakap... bercakap. Letih semua orang mendengar percakapannya.Ada ada saja yang hendak di ceritakan.

Yang lebih malang bercakap tentang orang. Mengumpat namanya.
Paling malang atas tikar sembahyang pun boleh mengumpat.Tasbih melekat dekat tangan pun boleh mengumpat.Orang mengumpat Allah akan lemparkan ke dalam api neraka yang menyala-yala dengan dahsyatnya.

Hati berpenyakit suka bercerita tentang aib orang sahaja, kebaikan orang ditutup-tutupnya.Inilah sifat ahli neraka jahanam yang kekal selama-lamanya di dalam neraka.
Wal'iyazubillahimin Zaalik.



Orang yang banyak bercakap wataknya suka jaga tepi kain orang sedangkan tepi kain sendiri koyak rabak tidak nampak.Hati perut kotor dan busuk, penuh dengan ulat-ulat mazmumah.Inilah yang dikatakan istilah "jahat mulut"atau "bisa lidah".

Orang yang suka bercakap tidak akan terlepas dari sifat ghibah (mengumpat). Lebih parah lagi dalam semua keadaan kerjanya mengumpat.kata orang tua-tua "buat ketupat". 

Tempat  kerja mengumpat. Di pejabat mengumpat, di kilang mengumpat, di sekolah mengumpat,bahkan yang lebih dahsyat lagi sedang dengar kuliah agama pun sempat mengumpat. Astaghfirullahal 'azim....
 
Bila kita mengumpat pada seseorang semua pahala kita akan pergi kepada orang yang kita umpat.

Maknanya kita akan muflis di akhirat nanti kerana kebaikan kita akan hangus semuanya.
Malangnya orang yang suka bercakap, Banyak berkata-kata yang tidak berfaedah ,di akhirat lidahnya akan digunting dengan gunting dari neraka Allah.Lidahnya akan Tuhan izinkan menjadi panjang berhasta-hasta, berjela-jela dan akan di bakar api neraka Jahim.

Aduh... Azabnya. Ya Allah jauhilah kami dari menjadi orang yang berkata-kata akan tetapi tidak dikotakan percakapannya .

Juga jauhilah kami dari menjadi orang yang banyak berkata-kata yang sia-sia belaka.
Bukankah diam itu lebih baik, lebih menyelamatkan keadaan. Lebih mengamankan suasana orang sekeliling?.Diam itu ibadah.Diam itu membawa rahmat dan berkat.Diam lebih baik dari berkata-kata yang membawa dosa dan padah kepada diri sendiri.

Boleh berkata-kata akan tetapi biarlah dalam hal yang benar lagi mendatangkan kebaikan kepada diri dan orang lain.Berkata-kata untuk Allah dan Rasul sangat dituntut .Berkata-kata menyampaikan mesej dakwah, ilmu Islam sangat membawa positif kepada umat manusia, dipersilakan dan di alu-alukan.


Jika dengan berkata-kata boleh meraih pahala apa salahnya. Berkata-kata kearah kebaikan dan membesarkan Allah, Rasul dan akhirat, sangat dituntut.Sekiranya dengan berkata-kata boleh mendatangkan iman dan taqwa ianya tidak salah di sisi agama.

Namun berhati-hati dalam berkata-kata itu yang terbaik.Semoga Allah pelihara lidah dan mulut kita dari dosa dan noda .

Amin Ya Allah

HIDUP INI ADA GARIS PENAMATNYA


Hidup ini ada garis penamatnya seumpama pelumba larian hendak menang mesti sampai kegaris penamat sebelum pelumba lain sampai.

Kita hendak menang dalam hidup ini mesti pecut untuk sampai ke garis penamat sebagai juara yakni menjadi juara dalam mengabdikan diri kepada Tuhan .

Ayuh!... Marilah kita semua terus berlari untuk berjaya menjadi juara di garisan penamat sebagai seorang pelari di bumi Allah ini. 

Semoga semuanya layak menjadi juara dalam menghancurkan mazmumah dalam diri.
Ingin berjaya menjadi juara dalam lumba lari sepanjang hidup ini, kita mesti ada target dan ada cita-cita bahawa kita mesti  menjadi pemenang atau juara sebagai seorang hamba Allah  yang benar-benar mendapat qalbun salim di hujung hidup ini.

Apa yang mesti kita kejar dalam perlarian ini?.
Tentulah sebuah kejayaan sebelum sampai kegarisan penamat.

Kejayaan apa?.
Untuk siapa?..

Kejayaan membersihkan hati yang penuh zulumat ini di gantikan dengan hati yang penuh cahaya( Nuril Anwar).

Untuk kita persembahkan kepada Allah, Tuhan cinta Agung.
Garisan Penamat yang dimaksudkan dalam kehidupan ini ialah sebuah kamatian.
Yakni terpisahnya jasad lahir dengan roh. 

Terpisahnya seseorang hamba dengan dunia fana ini dan menuju ke alam sana, alam roh, alam ghaib, alam kubur, alam barzakh, alam yang kekal yakni ke dunia lain yang tidak akan kembali lagi ke dunia fana' ini.
Alam sana adalah alam baqa yang kekal buat selama-lamanya.

Di alam sana tiada siapa yang dapat menolong kita walaupun ibu ayah dan kekasih hati kita.Di alam sana yang membantu kita amal ibadah dan amal jariah yang ikhlas kerana Allah.
Banyak amal ibadah, banyak kebajikan yang dibuat maka beratlah timbangan (Al-Mizan) kita yang sebelah kanan.

Jika lebat kejahatan kita maka beratlah timbangan kejahatan kita sebelah kirinya.Malanglah kita ketika itu. Menangis air mata darah sekalipun tiada erti lagi, penyesalan sudah berakhir, tiada peluang lagi untuk berpatah balik ke alam dunia seperti sebelum ini.Pintu taubat sudah tertutup ketika ini.
 
Menyesal dahulu ada manfaatnya , menyesal kemudian tiada kesudahan.Nasi sudah menjadi bubur.Semuanya musnah dan sia-sia belaka.Marilah kita memperbaiki diri sebelum terlambat.Sebelum rumah kata pergi...pergi... Kubur pula berkata mari...mari...


Setelah menjadi jenazah yang kaku, beku, segala amalan tertolak, pintu taubat ditutup.jadilah kita seorang pelari yang berjaya dalam pelarian kita yakni berjaya sampai ke garisan penamat sebagai juara di sisi Allah.

Juara yang menang dalam mujaahadatunnafsi melawan mazmumah menyuburkan mahmudah. Semoga kematian kita langit dan bumi terima, Allah redha dan Baginda Rasulullah restu.
Amin Ya Allah