Sunday, 21 June 2015

Wahai Ramadhan engkau datang menyapa hati si hamba untuk rindukan Allah dan Rasulnya...






Wahai Ramadhan!...
Kemunculanmu adalah busyra bagi si hamba yang dahagakan kasih sayang Allah dan Rasulnya, kerana bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan dan bulan taubat diterima Allah.

Bulan Ramadhan juga adalah bulan doa makbul dan munajat si hamba diangkat ke langit oleh para malaikat untuk dipersembahkan ke Hadrat Allah Taala yang Maha Hebat lagi Maha Perkasa.

Ramadhan bulan yang membawa 1,000 rahmat kepada orang-orang yang bertaqwa.Ramadhan bulan kebahagiaan dan ketenangan bagi orang-orang mukmin, para muqarrabin arif billah.



Wahai Ramadhan!....
Kehadiranmu membawa sinar cahaya yang menerangi setiap hati insan yang ingin membaiki diri dan menyucikan hati nurani.Fitrah dikembalikan seperti asalnya di bulan yang berkat ini.

Semua insan berlumba-lumba membuat kebaikan di bulan ini.Bersedekah, beramal jariah, beramal ibadah, tadarus Al-Quran , shalat terawih, menghidupkan malam dengan amalan-amalan sunat serta banyakkan tafakkur, wirid zikir juga berselawat ke atas Nabi Junjungan mulia Rasulullah SAW.

Sungguh berkatnya bulanmu Ya Ramadhan. Terasa seluruh dunia akan kebesaran bulanmu. Merata penjuru seluruh umat Islam menyambut bulanmu Ya Ramadhan. Dunia meriah dengan hamba-hamba Allah yang sanggup haus dahaga lapar kerana Tuhannya yang Maha Pencipta.


Firman Allah Taala maksudnya,
 " Wahai orang-orang yang beriman,
telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu,
semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa".
(Surah Al-Baqarah ayat 183).

Ya Ramadhan.......
Bulanmu mendidik diri setiap insan amanah pada diri sendiri.Amanah tidak makan dan tidak minum walaupun manusia tidak nampak namun Allah Maha Melihat. 

Allah Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya, itu adalah sifat tauhid yang tinggi.Merasakan Allah Maha Mengetahui wujud dalam peribadi setiap umat Islam. 


Mereka mesti jujur dengan Allah, tidak curi-curi makan di dalam semak, di pondok-pondok buruk atau di mana sahaja tempat terpencil. Inilah kehebatan Ramadhan, boleh mendidik hati si hamba merasa sentiasa diawasi oleh Allah Taala setiap saat walau di mana berada.

Kejayaan bulanmu Ya Ramadhan dapat mendidik hati ke arah sifat-sifat terpuji.
Bulanmu bagaikan over haul bagi hati insan yang inginkan keselamatan dunia dan akhirat.

Semoga semuanya mendapat pimpinanMu Ya Allah .
Semoga Ramadhan kali ini benar-benar mampu meningkatkan roh si hamba ketahap yang Engkau kehendaki.

Amin Ya Allah.

http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html

No comments:

Post a Comment