Salam Ramadhan dan ceria selalu kepada seluruh umat Islam pembaca blog Ummu Sayyidah.
Sempena bulan Ramadhan yang telah tiba sebagai tetamu yang dinanti-nantikan oleh seluruh pencinta Allah dan Rasulullah SAW, satu perkara yang mesti diingat-ingatkan di bulan yang penuh berkat ini supaya umat Islam seluruhnya elakkanlah berlakunya pembaziran.
Samada waktu berbuka puasa mahupun waktu bersahur. Sediakanlah makanan, minuman sekadar yang perlu dan mengikut bilangan penghuni di dalam rumah yang terlibat dalam hidangan berbuka puasa.
Janganlah berlebih-lebihan sehingga makanan dan minuman atau juadah berbuka puasa terpaksa dibuang kerana basi atau terlalu banyak , tidak habis dimakan.
Jika amalan ini sering berlaku setiap kali Ramadhan bukan pahala , ganjaran yang berlipat kali ganda kita perolehi akan tetapi sebaliknya.
Kemurkaan Allah akan berlaku ke atas kita walaupun kita penat lelah lapar dahaga berpuasa seharian.
Allah sangat benci kepada hamba-hambaNya yang membazir.
Pembaziran itu sifat syaitan laknatullah.
Firman Allah SWT maksudnya "........makan dan minumlah tetapi jangan berlebihan.Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.
(Surah Al-A'raf ayat 31).
Orang yang membazir Tuhan akan sukat rezekinya nanti.
Orang yang suka membazir ertinya orang ini tidak tahu bersyukur kepada Allah yang memberi rezeki kepadanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud ".....Demi sesungguhnya , jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu dan jika kamu kufur (engkar), sesungguhnya azab siksaKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim ayat 7).
Firman Allah lagi yang bermaksud "....dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau, sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan , sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya".
Daripada membazir , elok kita sedekahkan kepada jiran-jiran atau fakir miskin yang memerlukannya.
Daripada makanan, minuman terbuang setiap hari elok bawa ke masjid, ke surau untuk more lepas shalat terawih.
Ada juga rezeki orang kampung atau penduduk-penduduk di taman-taman perumahan.
Mana tahu dengan cara ini dapat menghiburkan orang ramai dan fakir miskin.Semoga Allah hiburkan kita pula.
Sedekah dan amal jariah di bulan yang mulia ini ,
jika ikhlas Allah akan lipat kali gandakan pembalasannya .
Ingatlah setiap kali kita hendak membazir,
bayangkanlah ramai umat manusia dan umat Islam di negara luar sana kebuluran, ada yang hanya dapat makan nasi seminggu beberapa kali sahaja.
Ada yang ketandusan minuman, air kering di negara mereka, tumbuh-tumbuhan kering dan mati kerana kemarau yang panjang.
Sedangkan kita, Allah melimpahkan rahmat dan nikmatnya yang melimpah ruah.Bersyukurlah dengan tidak melakukan pembaziran terutama di bulan Ramadhan, semoga Allah tambah lagi nikmat yang ada jika kita bersyukur.
Akhirkata marilah sama-sama kita sentiasa bersyukur dan meninggalkan tabiat buruk yakni sikap suka membazir , pastikan setiap wang ringgit yang dikeluarkan dengan membeli belah tidak melampau batas sehingga termasuk golongan membazir.Semoga tajuk ini membantu kita semua menjauhi pembaziran.
Semoga Allah redha kepada kita dunia dan akhirat .
Amin Ya Allah.
http://umusayyidah.blogspot.com/2015/06/biskut-raya-untuk-tempahan-0135107313.html
No comments:
Post a Comment