Friday, 30 January 2015

ALLAH BERADA DI MANA-MANA JUA

MUTIARA HATIKU UNTUKMU




Ingatlah Allah walau di mana jua kita berada.sesungguhnya Allah itu berada di mana-mana kita berada.Allah tidak pernah sesaat atau selahzah pun jauh dari kita.

Allah tidak pernah terlepas pandang apa yang kita lakukan, kerana Allah bukan melihat seperti makhluk ciptaanNya.



Allah Maha Melihat dengan DzatNya yang Maha hebat.Allah tidak melihat dengan mata seperti makhluk ciptaanNya, kerana penglihatan Allah bukan dengan mata.

Tidak mampu kita bayangkan bagaimana Allah Melihat.Selagi dapat kita bayangkan, itu adalah makhluk. Maha Suci Allah dari serupa dengan barang ciptaanNya.

Takutilah akan penglihatan Allah yang Maha Hebat itu.Tidak ada sesaat pun Allah terlepas pandang apa yang kita lakukan samada dalam gelap gelita atau terang benderang.Samada tempat yang sunyi sepi atau di khalayak orang ramai.


Penglihatan Allah menjangkau seluas jangkauan yang tidak terfikir oleh manusia. Maha Suci Allah dari lemah dalam penglihatanNya.

Oleh itu takutilah Allah walau di mana jua kita berada.Allah senantiasa Maha Melihat apa yang kita lakukan walaupun detikan halus dalam lautan hati nurani yang paling dalam.



Peliharalah diri dari melakukan maksiat kerana Allah Maha Melihat apa saja yang kita kerjakan.
Peliharalah hati daripada melakukan dosa hati kerana hati tempat jatuhnya pandangan Allah.

Nukilan hamba
Ummu Sayyidah Al-Muznibah
2015



    

Saturday, 17 January 2015

MUTIARA HATIKU UNTUKMU




IBARAT POKOK MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING.

Alangkah sedihnya ku lihat cara hidup manusia di akhir zaman ini.
Sabda Nabi tidak dipedulikan lagi.
Hidup nafsi-nafsi.......
Engkau adalah engkau....
aku adalah aku....

Masing-masing fikir diri sendiri,
tidak sempat fikir orang lain lagi.
Kasih sayang sedikit sekali,
Punah ranah sama sekali.

Berjiran pun tidak bertegur sapa,
Walau pun tidak berkelahi.
Tiada ukhwah dan kasih sayang dalam hati sanubari.
Masing-masing dengan haluan tersendiri.
Kalau mati pun tidak tahu sama sekali.

Sedar-sedar saja keranda diusung oleh kaum lelaki.
Menuju kubur kampung yang kekal abadi,
atau paling tidak pun terdengar orang baca Yassin.
Sebagai petanda orang sedang nazak atau sudah mati.
Mengapa begitu rapuhnya kasih sayang di hari ini?.

NUKILAN HAMBA
UMMU SAYYIDAH
JANUARY 2014 

MUTIARA HATIKU UNTUKMU

KU DILAHIRKAN PUNYAI HATI.

Hati anugerah Ilahi Rabbi.
Hatiku ini janganlah buta dari mengenal Ilahi.
Juga mengenal Nabi,kekasih Ilahi Rabbi.


Wahai hatiku....
Janganlah engkau bebal dan dungu dari fungsi.
Engkau wahai hatiku..diciptakan oleh Ilahi.
Untuk berbakti dan menyembah diri kepada Ilahi.


Wahai hatiku....
Tuhan tidak sia-sia menciptakan mu.
Berperananlah wahai hatiku,

menurut kehendak Tuhanmu.
Janganlah engkau wahai hatiku.
Degil dan keras bagaikan batu.
Dalam menyembah Allah yang menciptakanmu.
Dari setitis air mani yang hina dina hingga sempurna jasadmu.
Dilahirkan ke dunia ini oleh seorang ibu.





Wahai hatiku.....
Berperananlah hatiku....
Mengingati Allah setiap waktu.

Tunduklah nafsuku, dan celiklah hatiku...
Untuk menerima cahaya iman dari Tuhanmu.
Sebagai bekalan di akhirat tempat asal usulmu.
Akan dibangkitkan semula rohmu.

Engkau tidak akan mati-mati lagi selepas itu.
Insafilah wahai diriku,juga hatiku.
Sesungguhnya dunia ini hanyalah sementara waktu.
Akhirat jua tempat yang dituju.


Nukilan hamba
Ummu Sayyidah
  January 2015

BENARLAH AKU SEORANG HAMBA

(Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan yang lain melainkan Engkau Ya Allah.Aku juga bersaksi bahawa  Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruhMu Ya Allah).

Aku mengaku aku adalah hambaMu Ya Allah.Tiada daya dan upayaku untuk melawan taqdir dan qada' qadar dariMu.
Apa yang terjadi kini semuanya menginsafkan aku, bahawa Engkau boleh lakukan apa sahaja terhadap hamba-hamba ciptaanMu ini.




Engkau boleh saja gulung dan lipat bumiMu ini dalam sekelip mata atau satu lahzah, jika Engkau berkehendak.Engkau sangat mampu hancurkan segala-galanya sebagaimana mampunya Engkau ciptakan dan wujudkan segala-galanya.Semuanya dalam percaturanMu yang Maha Hebat lagi Maha segala Maha.Kami akur bahawa semuanya dalam genggamanMu Tuhan.  



Akhirnya aku bersujud sembah ke bawah Duli Kebesaran dan KeagunganMu Ya Allah.Imanku yang seringkali Yazid Wayankus (berkurang bertambah) ini,keampunan dariMu ku pohonkan Ya Allah.

Jika imanku bertambah (Yazid) terasa betapa indah dan lazatnya menyembahMu, jika imanku berkurang (Yankus) terasa betapa lemah longlainya aku dari menyembahMu.Aduh...teruknya diriku ini...menyintaiMu bermusim dan tidak istiqaamah pula.

Ya Allah..berilah aku kekuatan agar imanku sentiasa bertambah walau di mana jua berada dan walau di dalam apa jua keadaan.Engkau memang Maha Mengetahui iman hamba-hambaMu yang sering naik turun ini, untuk mengekalkan rasa keTuhanan dan rasa kehambaan yang tinggi, maka Engkau ciptakan mehnah, musibah dan dugaan untuk hambaMu ini.

Maka Engkau lakukan Banjir Tsunami yang amat dahsyat sebagai peringatan untukku dan juga untuk seluruh hamba-hambaMu di dunia ini.Apa yang Engkau lakukan bukanlah untuk segelintir hambaMu, akan tetapi teguran, amaran untuk semuanya.




Janganlah ada yang menuding jari mengatakan hamba Allah di Pantai Timur yang berdosa dan teruk perangai mereka kerana banjir berlaku teruk di negeri mereka, sedangkan apa yang Engkau uji itu hanya layak pada hamba-hambaMu yang Engkau tahu kekuatan iman dan kemampuan hati mereka menghadapi mehnah yang amat dahsyat ini.

Tahniah dan syabas kepada saudara maraku juga saudara se Islamku di Pantai Timur, kerana kalian semua mempunyai hati yang mampu berhadapan dengan ujian yang amat berat ini.

Kalian telah korbankan segala-galanya untuk orang lain mendapat iman dan takutkan Allah setakut-takutnya.Ku doakan kalian semua diberkati dan diredhai  Allah dunia akhirat.Semoga semuanya dilayak-layakkan memperolehi syurga Firdaus di akhirat kelak.

Berbahagialah kalian semua, kerana kalian dipilih dan terpilih atas ujian besar ini.Ini buktinya kasih sayang Allah dan perhatian Allah terhadap kalian.Berbaik sangkalah dengan Allah.Janganlah
berburuk sangka kepadaNya di atas apa yang telah terjadi.Ini semua terkandung hikmah yang amat besar untuk hamba yang Allah kasih dan sayang.

Allah ingin memberikan kalian nikmat di akhirat yang lebih berganda-ganda hebatnya dari kenikmatan yang ada di dunia yang fana ini.Yakinlah bahawa Allah Maha Baik lagi Maha Adil terhadap hamba ciptaaanNya.Semoga kalian dirahmati Allah dunia dan akhirat dengan berkat sabar atas ujian ini.

Amin Ya Allah.  

TUHAN TOLONG JAGA MEREKA DEMI ISLAM..



Ku tujukan artikle ini khusus untuk para pejuang kebenaran di akhir zaman, tidak kira di mana sahaja mereka berada di muka bumiMu ini.Ku tujukan juga untuk seluruh saudara seagamaku sedunia.Akhirnya ku tujukan khas untuk seluruh kaum keluarga dan keturunanku.

Walau siapa pun mereka, asalkan mereka seagama dan semazhab juga satu iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah sama denganku, pintaku kepadaMu agar Engkau tolonglah jaga mereka demi agamaMu wahai Tuhanku.



Walaupun mereka bukan darah dagingku, bukan keturunanku, bukan sanak saudaraku, bukan ahli keluargaku yang terdekat, akan tetapi mereka adalah hambaMu yang mengucap dua kalimah syahadah, mereka adalah saudara seIslamku.
Tolonglah jaga mereka demi agamaMu Tuhanku.

Berilah mereka kekuantan lahir dan batin.Kuatkanlah hati mereka atas agamaMu.Cekalkanlah jiwa mereka dalam memperjuangkan sunnah NabiMu.Kukuhkanlah ikatan hati-hati mereka atas ikatan tali agamaMu (Islam)

Satu padukanlah ukhwah dan kasih sayang mereka, yang jauh didekatkan, yang dekat ditautkan lagi hati-hati mereka, mana yang renggang kasih sayang di kalangan mereka, Engkau temukanlah semula ikatan hati sesama mereka atas namaMu dan RasulMu.


Wahai Tuhan Nabiku....Nabi Muhammad SAW, dengan berkat kebesaran mukjizat kekasihMu Nabi Muhammad SAW, mohonku padaMu, menangkanlah Islam di tangan mereka yakni para pejuang agamaMu di akhir zaman.

Ku mohon padaMu wahai Tuhanku....
tabahkanlah hati-hati mereka atas jalan yang Engkau redhai.
Anugerahkanlah iman yang kental di hati-hati mereka.
Anugerahkanlah rasa keTuhanan dan rasa kehambaan yang tinggi dalam dada-dada mereka.

Amin Ya Allah.

Wahai Tuhanku...
tolonglah jaga jasad lahir dan batin mereka demi Islam yang mereka perjuangkan.Permudahkanlah, lancarkanlah segala usaha-usaha mereka dalam meningkatkan ketaqwaan ummah di akhir zaman ini, melalui dakwah mereka samada bentuk lisanul hal atau lisaanul maqal.

Wahai Tuhanku....
Tolonglah jaga hati mereka atas nama NabiMu.
Agar mereka ikhlas dan tiada kepentingan apa-apa dalam menegakkan kalimah Toyyibah di atas muka bumiMu ini.
Amin.

Anugerahkanlah rahmatMu kepada mereka para-para pejuang di akhir zaman, dengan nikmat syurga yang sungguh indah lagi hebat itu.
Ya Allah........


Tolonglah anugerahkan mereka kekuatan yang luar biasa dalam menghadapi liku-liku,onak,duri, dugaan, ujian, mehnah dalam harungi perjuanganMu ini.Tuhan...tolonglah pelihara negara-negara umat Islam walau di mana jua.Janganlah ianya jatuh ke tangan kaum kafir yang Engkau murkai.Amin.

Berilah mereka syahid yang sangat hebat setimpal dengan pengorbanan dan keikhlasan mereka, dalam memperjuangkan hukum hakamMu di mukabumiMu ini.

Ya Allah.... Tolonglah jaga mereka yakni pejuang-pejuang kebenaranMu itu daripada diperkotak-katikkan oleh musuh-musuhMu, yang cuba menghapuskan zuriat dan baka keturunan Islam di dunia ini.

Tuhan ....Tolonglah jaga mereka atas nama NabiMu dan atas nama para wali-waliMu, agar para pejuangMu tabah dan sabar dengan ancaman Yahudi Israel di mana-mana mereka berada.

Saban hari umat NabiMu ditekan, ditindas dengan zalimnya, bahkan ada yang di bunuh, dibakar, ditimbus tanah, disembelih hidup-hidup, dikelar, dibom, ditembak dengan begitu zalim sekali.
Namun mereka tetap bertahan atas agamaMu dan atas agama NabiMu, Nabi Muhammad SAW.Tidak sedikit pun mereka berganjak walaupun maut di hadapan mereka.

Tolonglah jaga iman mereka Ya Allah.Semoga para pejuangMu tetap teguh dan utuh atas agamaMu walaupun nyawa menjadi cagaran.


Peliharalah keturunanku, anak cucu cicitku dari fitnah Dajjal Laknatullah yang akan muncul tidak lama lagi.Kuncu-kuncu Dajjal sudah bertebaran di muka bumimu ini.Selamatkan juga kami darinya juga,Ya Allah.

Semoga diriku dan juga mereka tetap atas agamaMu walaupun fitnah Dajjal menggundang dengan begitu hebat sekali di akhir zaman ini.Tolonglah selamatkan aqidah kami Ya Allah.

Tolonglah jaga kaum keluargaku daripada berpecahbelah kerana dunia yang penipu ini.Tolonglah jaga mereka dari godaan nafsu syaitan yang jahat itu.Tolonglah jaga mereka untukku wahai Tuhanku.

Wahai Tuhanku....
Tolonglah jayakan apa sahaja usaha-usaha para pejuang kebenaran di akhir zaman ini, demi ingin melihat agamaMu berdaulat buat kali kedua tidak lama lagi.

Menangkanlah Islam wahai Tuhan atas tangan mereka yang tidak berdaya jika tanpa pimpinan, panduan dan pertolonganMu.
Wahai Tuhanku...Tolonglah...
Dengarilah rayuan dan rintihan hatiku ini.

Aku juga barangan ciptaanMu,Sesungguhnya aku amat lemah, amat kerdil, amat dhaif lagi amat kekurangan segalanya.
Aku sangat memerlukan bantuanMu....Wahai Tuhanku....

Tanpa pimpinan dan bantuanMu, mustahil untukku capai apa yang Engkau tuntut dariku sebagai hambaMu di dunia ini.
Sesungguhnya.....aku mengharapkan pertolonganMu Tuhan.
Menangkanlah agamaMu ini daripada cengkaman musuh-musuhMu.

Ya Allah....Musnahkanlah segala perangcangan jahat musuh-musuhMu untuk menghancurkan agamaMu di duniaMu ini.
Memang mustahil agamaMu kecundang, namun ianya tidak mustahil ramai umat Islam akhir zaman akan kecundang iman-iman mereka, jika Engkau tidak tolong pelihara dan tolong jaga iman-iman mereka ..Ya Allah...

Ya Allah.....Tolonglah jaga Tauhid kami di akhir zaman ini,
agar kami tetap mempertahankannya sampai kami mati bertemu denganMu di alam baqa nanti.

Amin Ya Allah.

Sunday, 11 January 2015

MARILAH KITA MENGENAL ALLAH


Allah adalah Dzat yang Maha Agung.Wujudnya Allah tiada permulaan, tiada pengakhirannya.Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan.Allah tidak dua, tidak tiga, tidak juga berbilang-bilang banyaknya.

Allah adalah Tuhan yang Maha Esa.Tidak ada anak, tidak ada emak dan tidaklah Dia bapa.Maha Suci Allah dari semuanya itu.Tiada siapa yang ciptakan Allah.Tiada siapa yang jadikan Allah, kerana Allah bukan kejadian atau bukan ciptaan.Allah yang Maha Pencipta dan Allah Tuhan yang menjadikan alam ini.



Kekuasaan Allah Maha Hebat tiada batasnya.KehendakNya terjadi apabila Allah berkata "Kun...Fayakun", Maka "Jadilah terus terjadi".Tiada siapa dapat menyekat dan menghalangNya.

Allah perintahkan "Wahai bumi...banjirlah dengan dahsyatnya..maka banjirlah bumi".Maka huru haralah manusia dibuatnya.Itukan sudah terbukti kini.

Allah perintahkan "Wahai tanah..runtuhlah..maka runtuhlah tanah di sana sini".Allah perintahkan lagi "Wahai gunung berapi...meletuplah, keluarkanlah Laharmu dengan ganasnya, maka gunung berapi pun meletuslah mengalirkan lahar panasnya membunuh apa saja yang ada di bumi ini".

Allah perintahkan "Wahai angin...tiuplah taufanmu hingga berterbanganlah apa yang ada sekitarmu, maka tentera angin pun taat dan patuh, terjadilah puting beliung dan sebagainya".Mudah saja bagi Allah lakukan semuanya itu.Inilah buktinya Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa.


Allah memberi tanpa mengambil manfaat kerana Dzat Allah tiada berhajat seperti makhluk ciptaanNya.Itu bukti Allah Maha Sempurna lagi Maha Kaya.Dzat Allah tidak dapat difikirkan atau dibayangkan.Selagi dapat difikirkan atau dibayangkan, itu adalah mahkluk.Maha Suci Allah dari serupa seperti makhluk ciptaanNya. 

Dia disembah atau tidak disembah oleh hamba-hambaNya, Dia tidak berkurang dan tidak bertambah.Kalau bertambah ertinya Dia kurang.Jika berkurang ertinya Dia sama seperti makhluk ciptaanNya.Allah tetap dengan kesempurnaanNya.Maha Suci Allah daripada kekurangan.

Dialah tempat hamba meminta, mohon pertolongan, mengadu, bermanja, berkongsi rasa suka duka, tempat memadu kasih, meluahkan segala kesusahan , penderitaan dan apa saja masalah jiwa.

Allah adalah sumber kekuatan lahir dan batin insan.Allah adalah sumber cahaya hati dan iman.Allah merupakan cahaya langit dan bumi.Allah sumber segala kebahagiaan.Allah sumber segala keselamatan .

Allah adalah sumber harapan insan.Allah adalah Rabbul A'alamin yang wajib disembah dan diagungkan.Allah adalah Dzat yang Maha Kekal selama-lamanya.Cintailah Allah untuk mendapat rahmat dan redhaNya.Redha Allah membawa keselamatan untuk kita dunia dan di akhirat.Kita tidak akan dikecewakan jika dapat cinta Allah 

Besarkan Allah walau di mana jua berada.Esakan Allah walau dalam apa keadaan sekalipun.Sembahlah Allah walaupun nyawa sebagai tebusan dan cagarannya.Tidak menyesal jika kita memburu kasih cinta Allah.Ianya kekal lagi abadi selama-lamanya.

Ya Allah...anugerahkanlah kami hati yang cinta Allah sepenuhnya dan selama-lamanya. 

Amin Ya Allah.

GEJALA SOSIAL SEMAKIN BERLELUASA.

Terkejut sekali bila ku lihat gambar-gambar dan tonton video yang tersebar di Media Sosial, gadis Melayu bertudung menutup aurat dengan kemasnya, tiba-tiba naik ke atas pentas bersalam, lalu dicium, dikucup dahi  dan dipeluk erat oleh artis lelaki Korea (KPOP).Dengan rela hati membenarkan diri mereka diaibkan di atas pentas cara terbuka.Malah gadis Melayu bertudung sendiri ghairah memeluk artis KPOP tanpa segan silunya.

Hancur luluh hatiku ini apabila melihat gadis Melayu bertudung begitu murah serta tergadai kesopanan gadis Melayu yang selama ini kaya dengan adab ketimurannya, hingga sanggup merelakan dirinya dicabul maruah dikhalayak ramai dengan bangganya.







Fanatik keterlaluan hinggakan sanggup menggadai maruah sebagai gadis Melayu Islam.Bagaikan histeria berjangkit-jangkit seorang demi seorang naik ke pentas semata-mata untuk dipeluk cium oleh artis pujaan KPOP, lupa diri mereka adalah gadis Melayu Islam yang bertudung lingkup. 



Para penonton yang hadir dalam program tersebut bersorak gemuruh menyokong perbuatan terkeji itu.Maka berpestalah syaitan-syaitan iblis menang di waktu tersebut.Islam dipermain-mainkan.Syariat Allah diperlecehkan.Kalimah Toyyibah yang dijunjung tinggi telah dipijak-pijak pada saat peristiwa tersebut.
Imej agama Islam di mata dunia terhina sekali.
Aduh!....sedihnya.

Buta dan beballah mata hati umat Islam melihatnya jika hati kecilnya tidak rasa tercabar dan dicabar dengan isu ini.Dajjal Laknatullah yang sedang berusaha untuk lepas dari rantai mengikat dirinya itu, lagi tidak sabar untuk zahir ke bumi ini untuk mengajak seluruh manusia mengaku dia adalah Tuhan dan menjadi pengikut dan kuncu-kuncunya yang setia. 

Nampak ketara sekali gadis Melayu Islam yang bertudung dipeluk dan dicium dengan rela hati,mereka dipeluk dari hadapan dan juga dari belakang. Mereka seronok secara terbuka diperlakukan sedemikian rupa. Astaghfirullahal'Azim...., seronok dengan dosa dan maksiat, hinggakan sanggup durhaka kepada Allah Taala, dengan melanggar hukum hakam Allah secara terang-terangan.
MasyaAllah...

Ya Allah...apa sudah jadi dengan sebahagian gadis-gadis Melayu Islam bertudung hari ini.Sudah tidak takut Allah lagi.Tidak malu lagi pada Nabi Muhammad SAW.Tidak fikir langsung nama baik ibu bapa mereka.Tidak fikir langsung maruah diri dan perasaan gadis-gadis Melayu Islam lain yang benar-benar ikhlas dalam menutup aurat dan bertudung.

Syaitan dan iblis gemok, kenyang, menari-nari keseronokan, sedangkan Nabi Roh Nabi Akhir Zaman Baginda Rasulullah SAW menangis semahu-mahunya di alam sana, melihat begini rapuh iman umatnya (gadis bertudung).

Negara Malaysia kini sedang berhadapan dengan bencana alam banjir tsunami yang terburuk dan teruk, sepatutnya program seperti ini tidak berlaku.Ini menambahkan lagi murkanya Allah kepada kita.Mehnah dan musibah yang berlaku ini pun tidak termampu kita menanggungnya, ditambah lagi dengan hal yang sekeji ini.Marilah kita semua bertaubat di atas apa yang sudah berlaku. Semoga Allah tidak hancurkan negara Malaysia tercinta kerana dosa-dosa dan kemungkaran yang dilakukan ini.
Ampun Ya  Allah.

Nampaknya berita menggemparkan umat Islam kini berlaku lagi setelah berita mengenai "I Want To Touch A Dog" menyepi sekian lama.
Kini muncul pula berita yang mencalar dan menghina umat Islam dan agama Islam khususnya.Menyirap panas darahku menyaksikannya.Terasa bahangnya dan amat tercabar, apabila gadis Melayu Islam bersikap begitu keji dan tidak tahu malu walaupun sedikit.Inilah yang dikatakan alam Jahiliah kedua sudah  dan sedang pun bermula.

Terasa pecah hati ini melihat syariat Islam tergadai begitu sekali.Ya Allah...ku tidak mampu bersuara dalam hal ini, hanya ku mampu bersuara melalui matapenaku "BICARA HATIKU UNTUKMU" sahaja, sebagai buktiku memprotes perbuatan terkutuk ini.Semoga aku tidak dipersoalkan di hadapanMu Ya Allah, di akhirat kelak dalam kes ini.Ampunkan aku hambaMu yang amat lemah ini.... Ya Allah. 

Selaku umat Islam di negara Malaysia,penyebaran berita terkutuk ini janganlah kita pandang sebelah mata sahaja.Difahamkan beberapa orang gadis bertudung diperlakukan begitu menghina Islam oleh beberapa anggota dari Kumpulan KPOP B1A4 yang membuat persembahan di KL Live Center Kuala lumpur baru-baru ini.Katanya program tersebut adalah anjuran oleh syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

Dalam hal sebegini, siapakah yang harus dipersalahkan?.Masing-masing menuding jari ke pihak sana dan ke pihak sini.Tidak payahlah kita menuduh antara satu sama lain.Perkara sudah pun terjadi.Elok kita semua bertaubat sesungguh-sungguhnya pada Allah, daripada semuanya menyalahkan pihak lawan atau pihak yang kita tidak senang dengan mereka,sedangkan apa yang berlaku ini ianya berpunca dari rumah (masalah didikan dari awal).Sekali gus ini adalah tanggung jawab semua pihak untuk membenteras ianya supaya tidak berulang lagi akan datang.Ambillah ia sebagai iktibar dan pengajaran.

Anak-anak sedari kandungan dan baby lagi sepatutnya diberatkan dengan ayat-ayat Allah dan ajaran Nabi Muhammad SAW.Bagi si ibu yang mengandung sepatutnya rajin membaca Al-Quran, berwirid zikir,supaya anak yang dilahirkan terpelihara dari hasutan nafsu dan syaitan iblis terkutuk.

Dari kecil didikan agama diberi secukupnya oleh ibu bapa supaya anak-anak dibesarkan dalam iman dan Islam.Melentur buluh biarlah dari rebungnya, bukan sudah menjadi buluh yang keras dan tua, baru hendak dilentur, akan patah dan pecah jadinya.

Anak-anak gadis Melayu Islam hendaklah dididik secukupnya supaya tahu malu,kerana malu itu separuh daripada iman.Dididik juga supaya tidak terlalu bebas ke hulu dan ke hilir, tanpa ada batasan yang membatasinya.Hendaklah ibu bapa sentiasa mengawal perjalanan anak-anak gadis mereka setiap saat dan minit, supaya anak-anak gadis dipantau 24 jam oleh ibu bapa.

Akan tetapi sekarang ini anak-anak pun sudah pandai melawan ibu bapa.Tidak mendengar kata, bahkan tidak makan saman lagi jika diberi nasehat oleh ibu bapa mereka.Anak-anak dewasa kini sudah pandai menjawab dan berhujah dengan orang tuanya.Ini pun satu faktor menyebabkan masalah gejala sosial berleluasa dengan galaknya.

Rasa takut pada Allah sedari awal sepatutnya diterapkan dalam hati anak-anak.Rasa rindu dan malu pada Baginda Rasulullah SAW, sepatutnya dilatih-tubi setiap masa supaya anak-anak rasa dia ada Nabi Akhir Zaman, untuk dijadikan idola dalam hidupnya.

Apa pun kita yakin ini semua adalah fitnah akhir zaman,sebagai bukti kezahiran dan kemunculan Dajjal Laknatullah sudah terlalu hampir.Iman umat Islam semakin hari semakin dicabar dan tercabar.Maruah agama Islam semakin digugat dan dipersendakan. Syariat semakin diringankan dan dilonggarkan.Iman dalam dada manusia semakin nipis dan gersang. Ini semua adalah petanda kehancuran dunia sudah terlalu hampir.Umur dunia sudah tua, ibarat nenek bongkok tiga yang sudah tersungkur jatuh ke bumi.

Tanda-tanda kiamat sudah terserlah apabila pendedahan aurat seluas-luasnya, perlakuan sumbang muhram berleluasa,pergaulan bebas lelaki perempuan yang diharamkan Allah semahu-mahunya tanpa sekatan, maka lahirlah anak-anak zina bersepah-sepah merata tempat, wanita Islam sudah hilang malunya, ibu melahirkan anaknya bagaikan "TUAN", semuanya ini adalah di antara petanda-petanda kecil alamat kiamat.Alamat Kiamat Kubra
akan berlaku setelah petanda kecil semuanya sudah lengkap terjadi.

Setelah dunia ini penuh dengan kezaliman, penghinaan, kekufuran maka muncullah Dajjal Laknatullah,Allah tidak akan membenarkan buminya ini hancur musnah dek kejahilan dan kejahatan yang memuncak, maka Allah akan zahirkan juga 2 orang pemimpin ummah yakni Imam Mahdi Al-Muntazar dan Nabi Isa Al-Maseh.Mereka akan muncul untuk membawa keadilan, kemakmuran dan keamanan sedunia.Allah ada caraNya untuk menyelamatkan agama Islam yang Allah iktiraf ini.

2 orang pemimpin besar ini akan membasmi kemungkaran, kedurjanaan serta memperjuangkan keadilan dan membawa kemakmuran dalam masa yang sama, 2 pemimpin besar ini akan bersatu hati dan bergabung tenaga memusnahkan perarakan Dajjal Laknatullah dan akhirnya Nabi Isa Al-Maseh berjaya membunuh Dajjal Laknatullah dengan tombaknya.Semuanya ini berlaku di atas kehendak dan dengan izin Allah jua.

Kita hanya mampu berdoa agar penyelamat Ummah segeralah zahir untuk menjadi penyelamat dunia hari ini dan menyemarakkan kembali Islam dalam hati setiap insan.Kuncu-kuncu Dajjal, Yahudi dan Talibarutnya sedang berleluasa menjahanamkan iman-iman yang ada dalam hati setiap peribadi Muslim di waktu ini, dengan apa cara sekali pun, sebelum Dajjal yang sebenarnya zahir sebagai Maharaja Sihir Akhir Zaman.

Hanya 2 pemimpin ummah sahaja yang mampu membenteras kejahatan dan kemungkaran yang sangat berleluasa kini.Kita selaku umat Islam hanya mampu menggenggam bara api Islam agar tidak padam.Untuk membarakan api Islam agar ianya marak menyala dan bercahaya menerangi alam maya ini, sama-samalah kita berdoa ke Hadrat Allah Taala agar segeralah munculnya pemimpin ummah yang ditunggu-tunggu.

Dunia sudah dikuasai oleh kemungkaran dan kemaksiatan yang bermaharaja lela.Tiada daya dan upaya kita melawan arus jahiliyah kedua ini berlaku.Hanya dengan meminta, merayu, berdoa kepada Allah sajalah jalan keluarnya agar kita dan zuriat kita dipelihara Allah daripada terpengaruh dengan budaya kuning (Barat), agenda Yahudi dan fitnah Dajjal Laknatullah. 

Ya Allah... berilah petunjuk dan taufiqMu kepada hamba-hambaMu yang masih dalam kegelapan iman dan taqwa.

Ya Allah... anugerahkanlah kami kekuatan untuk berhadapan dengan ujian dan dugaan dariMu Ya Allah.

Ya Allah.... tolonglah menangkan Islam dan tumpaskan musuh-musuh Islam yang berusaha keras untuk menghancurkan agamaMu di dunia ini.  

Ya Allah.... tolonglah pelihara iman-iman kami yang senipis kulit bawang ini, agar mampu kami pertahankan hingga kami bertemu denganMu Ya Allah.

Amin Ya Allah.  



Friday, 2 January 2015

MEMULIAKAN NABI DENGAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL.





(TEMA-PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA-12 RABIUL AWWAL 1436 H/3 JAN.2015M).

Memuliakan dan membesarkan Baginda Rasulullah SAW di bulan kelahirannya yakni hari Isnin , 12 Rabiul Awwal tahun Gajah, mengikut Ulamak Sejarah 50 hari selepas peristiwa tentera Gajah,adalah satu bukti bahawa kita sangat menyintai Baginda serta merindui Baginda Rasulullah SAW.

Program sambutan Maulidur Rasul disambut dengan begitu meriah di bumi Malaysia tercinta di segenap tempat dan negeri bersamaan 12 Rabiul Awwal 1436H. Hari kelahiran Baginda diraeikan dengan begitu meriah di sana sini.Kita cukup yakin, sesiapa yang menyintai Rasulullah akan dicintai Allah.Untuk mendapat redha Allah hendaklah kita merebut cinta Baginda Rasulullah SAW terlebih dahulu.

Semoga dengan berlakunya perhimpunan beramai-ramai secara berjamaah di merata tempat semata-mata ingin memuliakan dan membesarkan Baginda Rasulullah di hari kelahirannya,pada 12 Rabiul Awwal tahun Gajah, harap-haraplah Baginda respon, terhibur dan merestui kita serta mengaku kita sebagai  umatnya yang layak untuk dianugerahkan Syafaat Kubra daripada Baginda nanti di akhirat kelak.Amin.

Kita maklum bahawa doa setiap hamba itu akan ditolak tanpa mendahuluinya dengan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.Selawat ke atas Baginda bagaikan anak kunci untuk membuka pintu DOA dan MUNAJAT hamba agar dikabulkan Allah.

Firman Allah dalam  surah Al-Ahzab ayat 56 bermaksud, 
"Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta mohonkanlah kesejahteraan dengan sepenuh penghormatan".

Betapa Allah dan para Malaikat sekaliannya memuliakan Nabi dengan berselawat ke atasnya.Siapa kita?, yang tidak mahu berselawat ke atas Junjungan Nabi Akhir Zaman?.

Bahkan ada segelintir umat Islam hari ini mempertikaikan program Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan, ada yang tidak setuju dengan program-program besar yang dilaksanakan untuk memuliakan Nabi seperti program Malam Cinta Rasul atau Selawat Perdana.Hujah mereka zaman Nabi dan para sahabat tidak pernah anjurkan program seperti ini.

Saidina Omar Al-Khattab berkata"Aku mendengar bahawa DOA itu ditahan di antara langit dan bumi, tidak akan dapat naik, sehingga dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW".
Riwayat At-Tarmizi.











Selaku umat Islam yang cinta Allah dan Rasulnya, Sambutan Maulidur Rasul dan sebarang program yang menambahkan cinta Allah, Rindu Rasulullah SAW adalah satu jambatan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah dan Nabi Allah.Melalui program begini akan berlakunya tautan hati dan penyatuan ummah di kalangan umat Islam. Inilah yang Allah dan Rasul mahu.

Maulidur Rasul sebenarnya adalah majlis ilmu, majlis menceritakan siapa sebenarnya Nabi Muhammad SAW di sisi Allah.Program seperti ini bagaikan satu wasilah untuk umat Islam memperolehi rasa cinta dan rindu yang tinggi terhadap Nabi Akhir Zaman.

Para sahabat yang berada di zaman Nabi, mereka tidak adakan program Maulidur Rasul kerana Nabi sudah ada di hadapan mereka, batang tubuh Nabi yang mulia itu mereka boleh pegang, peluk, cium dan bersalam dengan Baginda.Jika mereka ada masalah boleh terus merujuk kepada Baginda SAW. 

Sedangkan di zaman kita ini Nabi sudah meninggalkan kita sejak 1,400 tahun yang lalu.Nabi sebagai IDOLA kita sudah tiada di zaman kita, sedangkan dalam masa yang sama kita mesti menyintai dan merinduinya, jika kita mahu diakui umatnya.Tanpa menyintai dan merinduinya mustahil kita akan dapat cinta Allah.

Untuk meraih rasa-rasa cinta dan rindu yang mendalam kepada baginda yang mulia ini sepertimana cinta dan rindunya para sahabat seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, seperti Saidina Umarul Faruq dan lain-lain para sahabat lagi, maka program dan majlis memuji-muji Nabi diadakan secara perhimpunan beramai-ramai (berjamaah),untuk memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul tersebut.Dengan cara ini, ianya merupakan salah satu cara atau satu alternatif untuk memupuk rasa-rasa cinta dan rindu yang hebat kepada kekasih Allah ini.

Allah uji umat Islam hari ini dengan pelbagai mehnah dan musibah,di bumi Malaysia khususnya di Pantai Timur, Allah lakukan Banjir Tsunami dari sungai bukan Tsunami dari laut, itupun sudah tidak terdaya kita membendung dan menanggungnya.


Allah uji dengan kelaparan, kehausan, penderitaan, kesusahan,kegelapan malam, kemusnahan semua harta benda, kehilangan rumah tempat tinggal, kemusnahan kebun-kebun dan ladang-ladang, semuanya ini kerana Allah ingin kembalikan kita semua kepada DIA yang Maha Pencipta dan kembali kasih kepada NabiNya dan juga sesama manusia khususnya sesama umat Islam.Itulah hikmahnya.

Apabila diuji dengan musibah, barulah hati kita berkata"Kami ini hanya milikMu Ya Allah". Kita juga akan berkata lagi  "Segala apa yang kami miliki semuanya pinjaman dariMu Ya Allah...
Engkau berhak mengambilnya kembali jika Engkau mahu".Itulah kata-kata orang yang sudah mendapat iman yang hakiki dalam hatinya.Semoga hidayah dan taufiq ini berkekalan hingga akhir hayat.Amin.


Apapun bersyukurlah kita masih mampu bersangka baik dengan Allah walaupun ujian amat hebat dan besar.Hasil daripada berlakunya musibah umat Islam sudah pandai untuk Takut, Gerun,Mengharap dengan Allah yang Maha Agung.Sudah pandai rindu mendalam pada Nabi Rasulullah SAW. Itu nikmat besar sebenarnya.

Semoga kita bertambah Takutkan Allah setakut-takutnya dan rindu Nabi serindu-rindunya.Berkat ujian besar ini penyatuan ummah secara automatiknya berlaku.Terima kasih Tuhan kami atas anugerah ini.

Amin Ya Allah. 

Thursday, 1 January 2015

ALLAH SEDANG MURKA KEPADA KITA..



Sedarlah wahai umat manusia sekaliannya. 
Tuhan (Allah) sedang murka kepada kita penghuni bumiNya ini.
Janganlah kita buat acuh tidak acuh akan kemurkaan Allah ini.

Janganlah kita tidak faham akan sindiran Allah ini.Allah mahu menunjukkan kuasa Mutlaqnya kepada kita, bahawa Allah sangat mampu lakukan apa saja jika Dia berkehendak.

Allah lakukan ini semua supaya kita takut padaNya dengan sebenar-benar takut dan kita menyembah kepadaNya dengan sebenar-benar sembah.Allah mahu kita rukuk, sujud kepadanya dengan sebenar-benar dan rukuk dan sujud.

Allah amanahkan kita duduk di atas bumiNya ini untuk beribadah dan menyembahNya, bukan membuat maksiat,kemungkaran dan kerosakan di atasnya.Bukan melakukan perkara ikut sesuka hati kita.Maha suci Allah dari berlaku zalim pada hamba ciptaanNya, bahkan kitalah yang telah menzalimi diri sendiri.




Allah sudah memperlihatkan kemurkaanNya dan kekuasaanNya yang Maha Hebat dengan memerintahkan segala bala tenteranya untuk bertindak ke atas kita.

Allah telah memerintahkan tentera air, tentera angin, tentera api, tentera udara, dan pelbagai bala tenteraNya memusnahkan segala apa yang ada.Jika kita tidak serik dan tidak insaf lagi,Allah mampu lakukan musibah yang lebih hebat berganda-ganda lagi dari yang sedia ada.

JANGAN MAIN-MAIN DENGAN ALLAH!......

Allah tidak pernah tersalah dalam bertindak dan menghukum.
Allah tidak pernah melakukan apa sahaja sia-sia.Semuanya ada maksud yang tersurat mahupun yang tersirat bagiNya. 
Maha suci Allah daripada tersilap dalam keputusanNya.


Seorang sahaja yang melakukan dosa, habis orang lain menerima musibah.Apatah lagi jika ramai yang melakukan kedurhakaan dan dosa kepada Allah, lagi dahsyatlah bala bencana yang Allah akan putuskan.Allah adalah Penguasa Alam Semesta yang wajib kita tabik padaNya.

Tentera air, tentera angin, tentera api, tentera tanah,tentera guruh dan kilat menyambar memanah apa saja , tentera udara dan pelbagai tentera lagi, sangat patuh dan taat pada arahan Allah. Maka terjadilah apa yang kita saksikan di waktu ini.

Marilah kita muhasabah diri atas peristiwa yang amat besar ini.
Bersangka baiklah denganNya.Dahsyatnya kemurkaan Allah apabila Dia bertindak.Tidak ada siapa pun yang mampu menghalangnya.

Wahai umat manusia sekaliannya...
Tinggalkanlah keseronokanmu dengan dunia yang merugikan.
Dunia hiburan Ala Barat atau konsert-konsert yang sangat melalaikan tinggallkanlah, kerananya kita lupa Tuhan, lupa Nabi,lupa akhirat, lupa mati, lupa alam Barzakh, lupa Siratal Mustaqim, lupa Al-Mizan,lupa hari pembalasan, lupa seksaan api neraka , lupa diri kita akan dihidupkan semula kali kedua untuk selama-lamanya..



Ayuh...Wahai saudara-saudara se Islamku sedunia........
Kembalilah kepada dunia hiburan berteraskan Islam dan mentauhidkan Allah seperti Selawat Perdana,Malam Cinta Rasul,Konsert yang bertemakan Takut Allah, Rindu Nabi dan berkasih sayang sesama insan atau Ceramah Perdana, nasyid-nasyid, pentomen, lakunan yang Islamik,Malam Muzikal Islam, Teater Islam yang menanamkan iman di hati- hati manusia perjuangkanlah.Berhiburlah dengan hiburan yang mendekatkan hubungan hati kita pada Tuhan dan Nabi.

 
Kemurkaan Allah sangat hebat setiap saat kini.
Apakah kita tidak menyedarinya?.
Apakah masih kita ingin berpoya-poya?.
Adakah masih kita ingin durhaka kepada kedua ibu bapa?.


Apakah kita masih mahu mendedahkan aurat dan memaparkan kecantikan tubuh badan kita yang menggiurkan itu, kepada lelaki ajnabi yang bukan muhram kita?.

Apakah masih kita seronok dengan pergaulan bebas sehinggakan kerana itu lahirlah anak-anak luar nikah (anak zina) merata setiap saat dan minit jam berputar?.

Apakah masih kita bangga dengan perempuan-perempuan simpanan dan dayang-dayang yang tidak sah menurut hukum Islam?.

Apakah kita masih mahu mendabik dada merasakan kita tuan, kita boss, kita hebat, kita mampu, kita kuat,kita kaya dan segalanya?.



Allah sedang murka dengan perangai dan sikap kita.
Wang- wang di bank jutaan ringgit banyaknya, apakah kita sudah mengeluarkan zakat harta, zakat perniagaan, zakat penternakan, zakat barang kemas dan seumpamanya?.

Apakah kita masih seronok dengan judi, arak, tikam loteri (tikam ekor).Masih mahu berseronok dengan perempuan murahan di jalanan dan sebagainya yang Allah larang?.

Apakah kita masih mahu bertelagah , berhasad dengki, dendam kesumat, fitnah memfitnah, jatuh menjatuhkan, sindir menyindir, maki hamun,cemburu buta dan sebagainya yang tercela?.

Bersegeralah kita bertaubat dan berikrarlah di hadapan Allah kita mahu tinggalkan semuanya itu dan mahu kembali kepada Allah dengan taubatan nasuha, sebelum nyawa di halkum.Sebelum pintu langit tertutup buat kita, marilah kita bertaubat.
Semoga Allah ampunkan kita semua.Tubnailallah Ya Allah.





Semoga Allah tidak lagi murka kepada kita bahkan merahmati kita dan jadikan bumiNya ini dengan........
(Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur).
(Negara yang aman damai dalam pengampunan Allah).

Kemurkaan Allah di zaman dahulu, Allah lipat dan belah bumi ini. Allah sapu bersih umat yang durhaka dan degil di waktu itu.
Allah tenggelamkan dalam Banjir Besar zaman Nabi Nuh AS, Allah benam lemaskan dalam Laut Merah zaman Firaun, kerana engkar dengan perintah Allah dan menentang Nabi Musa AS.

Allah hancurkan Kaum A'ad, Kaum Thamud sehancur-hancurnya dan banyak lagi sejarah silam yang hitam boleh dijadikan iktibar dan pengajaran.Ngerinya jika Allah bertindak sedemikian rupa kepada generasi kita di akhir zaman ini.Dosa dan maksiatlah menyebabkan Allah lakukan ini semua.

Bumi dimusnahkan dengan bencana alam di sana sini.
Itu sebenarnya amaran dari Allah.

Apakah tidak kita gerun dan tidak mengambil iktibar?.


Seolah-olah Allah berkata.....,
"Wahai umat manusia, jika kamu enggan menyembahKu dan tidak mahu meninggalkan laranganKu, kamu carilah bumi lain dan langit lain untuk kamu pijak dan junjung".

Ya Allah bumi dan langit mana yang kita hendak cari, sedangkan semuanya Allah punya.Hanya Allah sajalah Tuhan yang layak untuk disembah dan diagung-agungkan.

Sekali lagi ku menyeru kepada diriku dan kepada sekalian umat manusia , mulai saat ini marilah kita mohon ampun ke Hadrat Allah Taala dan bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat.
Semoga Allah redha kepada kita.

Tubnailallah...Tubnailallah.
(Taubatkan kami Ya Allah).

Amin Ya Allah.