Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barangsiapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, insyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya. Jika ada apa-apa kemusykilan atau sebarang usulan hubungi 013-5107 313
Sunday, 21 December 2014
JANGAN BIARKAN NABI MENANGIS LAGI......
Apakah benar kita mengaku kita umat Nabi Muhammad SAW?.
Jika benar apa buktinya?.
Setiap pengakuan mesti ada pembuktiannya.
Jangan sampai kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, mengecewakan Nabi kita.Amat malang sekali jikalau kitalah orang yang mengecewakan Nabi Muhammad SAW di akhir zaman ini.
Baginda Rasulullah SAW beritahu.... kitalah umat yang Nabi paling sayang yakni umat di akhir zaman.
Tidak banggakah kita dengan pengakuan dan pengiktirafan Nabi ini kepada kita?.
Sabda Nabi SAW maksudnya "Umat yang datang kemudian adalah umat yang paling aku sayang kepada mereka".
Ya Allah!..... sebaknya hati ini dengan ungkapan dari seorang Nabi terhadap cinta kasihnya kepada kita.Buta mata dan buta hatilah jika hati kecil kita tidak tersentuh dengan pengakuan Nabi ini.
Jangan kita biarkan Nabi menangis lagi buat kali kedua,
jangan sampai Nabi kecewa kali kedua terhadap kita,cukuplah Nabi kita menangis di zaman Baginda SAW berada di Kota Mekah.
Nabi kita pernah menangis waktu di Kota Mekah, apa tidaknya kaum keluarga sendiri tolak apa yang Nabi perjuangkan.
Bapa saudara sendiri hina Baginda,bapa saudara sendiri kata "celakalah engkau wahai Muhammad".
Sehari-harian Nabi dimaki hamun oleh penduduk Mekah.
Muhammad...... kamu orang gila (majnun),tinggalkanlah ajaran kamu itu......
Kamu tukang sihir,bayangkanlah perasaan Nabi di waktu itu, kalaulah kita boleh filemkan kembali kisah Nabi di zaman itu,Ya Allah...... tersiat-siatnya hatiku ini mengenangkan penderitaanmu Ya Rasulallah....
Bayangkanlah.....betapa jahatnya Abu Lahab,Abu Jahal dan seluruh penduduk Mekah kata Muhammad sudah gila..... Muhammad tukang sihir, bahkan tidak cukup dengan kata-kata penghinaan yang melampau-lampau, mereka merancang hendak membunuh Nabi SAW.
Mereka pulau Nabi beberapa tahun lamanya, ada sejarah mengatakan selama 3 tahun tempuh masa pemulauan tersebut. Dipulau Nabi dan Kaum Muslimin sehingga ke tahap kaum kafir Quraisy tidak mahu berjual beli barangan dengan Baginda dan Kaum Muslimin.
Nabi hadapi tahun-tahun kemarau yang panjang ,Nabi lapar dan dahaga, hendak minum air, air orang tidak bagi, hendak makan, makanan tidak dijual, maknanya tiada sebarang urusan jual beli yang dibenarkan, dipulaukan hingga tidak boleh berhubung dengan sesiapa sama sekali.Tidak boleh menjamu makan kepada mereka yang dipulau.Tiada sebarang ikatan perkahwinan dan tidak dibenarkan mendapatkan apa jua bentuk bantuan dari luar Mekah.
Akhirnya habislah bekalan makanan dan mereka hanya memakan sebiji kurma sehari.Kemuncaknya hanya tinggal setengah biji kurma terpaksa dibahagi-bahagi.Baginda dan kaum Muslimin akhirnya terpaksa mengalas perut dengan memakan rumput-rumput kering.
Ada juga sejarah memaparkan kulit unta dicuci bersih dan diracik-racik kecil serta direndam dalam air dijadikan makanan.Begitu hebatnya ujian yang Baginda hadapi beserta Kaum Muslimin dalam menegakkan kalimah Allah di waktu itu.
Jikalau kita dapat tadahlah air mata Nabi di waktu itu, mungkin tidak mampu kita menadahnya, terlalu banyaknya air mata Nabi mengalir kerana Islam dihalang, ditekan dan ditentang habis-habisan.
Apabila Nabi ke Taif, Nabi dihalau oleh orang-orang Taif dengan begitu dahsyat sekali,Allah telah mengutuskan Malaikat Jibril dan Malaikat penjaga bukit-bukau gunung-ganang untuk membela Nabi, sehinggakan Malaikat Jibril pun tidak sanggup melihatnya bahkan Malaikat Jibril tawarkan dirinya, memerintahkan Malaikat tersebut untuk menghempap dan menelangkupkan Mekah di antara dua bukit dan mereka akan musnah.
Nabi tidak izinkan sambil berkata...."jangan lakukannya, biarlah aku bersabar terhadap kaumku..."
Wahai Malaikat Jibril.... biarlah aku berdoa kepada Tuhanku "Wahai Tuhanku.... berilah petunjuk kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui".
Baiknya hati seorang Nabi akhir zaman.
Kejahatan dibalas dengan kebaikan dan doa.Ini semua kerana Nabi sangat ingin menyelamatkan umatnya dunia dan akhirat.Hebatnya jiwa seorang Nabi.
Sedangkan penduduk Taif membaling Nabi dengan batu-batu yang besar dan kasar, dibaling juga dengan benda-benda yang tajam,dengan pelepah-pelepah tamar, juga dengan tulang-tulang binatang, dilontar dengan najis yang kotor seumpama tahi Unta dan sebagainya.
Nabi bersandar disebatang pokok anggur yang rendang sambil menadah tangan setinggi-tingginya ke Hadrat Ilahi, sambil berdoa dan mengadu kepada Allah " Wahai Tuhanku.... aku mengadu kepadaMu Ya Allah....aku mohon kekuatan kepadaMu, aku hina pada pandangan manusia, sedangkan Nabi sangatlah teramat mulia di sisi Allah..Allah angkat darjat Nabi yang agung itu".
Di akhir zaman ini umat Islam sudah kurang minat dan tidak ghairah lagi membaca, memahami dan menghayati buku atau Kitab Sirah Nabi, sebab itulah kita tidak rasa sedih dengan penderitaan dan pengorbanan Nabi dalam membawa kebenaran agama sehinggakan kerana itu kemanisan iman dan Islam kita kecapi hingga kini.
Ummu Sayyidah ingin menyeru diri sendiri, juga kepada seluruh pembaca blog Ummu Sayyidah,selain daripada Al-Quran (Kalamullah),marilah kita baca kitab atau buku Sirah Nabi , barulah kita kenal,cinta dan rindu Nabi.
Sedihnya masyarakat umat Islam hari ini lebih ghairah membaca majalah-majalah hiburan yang kurang sopan dan tidak menambahkan iman dalam hati,bahkan ada yang suka membaca dan menghayati komek-komek yang melalaikan.
Sedangkan kita semua maklum bahawa kebanyakkan majalah-majalah hiburan hari ini boleh meruntuhkan akhlak dan moral umat Islam .Apabila Al-Quran dan kitab-kitab Sirah Nabi kurang dibaca, maka kita tidak dapat menghayati Sirah Nabi yang indah itu.
Anak-anak pelajar di sekolah baca buku Sirah sekadar untuk lulus periksa bukan untuk dihayati Sirah Nabi tersebut.Masing-masing bila habis periksa tutup buku Sirah dan mulalah membaca buku atau majalah yang karut marut, itu punca besar juga menyebabkan para remaja kita rosak akhlak dan moralnya.
Jika kita selaku umat Nabi Muhammad SAW tidak serius dan tidak ghairah membaca dan menghayati Sirah Nabi kita, maka akhirnya kisah-kisah Nabi yang menyayat hati ini tertutup begitu sahaja ditelan dek zaman.
Yakinlah...kekuatan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, adalah kecintaan kita kepada Nabi akhir zaman.
Cinta yang benar-benar datangnya dari lubok hati yang sangat dalam sedalam dasar lautan yang paling dalam.
Ya Allah!.... anugerahkanlah cinta kami kepada Nabi Muhammad SAW yang sangat menyintai kami sebagai umatnya dengan ungkapannya "UMMATI..UMMATI..UMMATI".
Amin Ya Allah....
No comments:
Post a Comment