Tuesday, 28 October 2014

SEJARAH KETAMADUNAN MANUSIA MENURUT ISLAM.



Sudah 1400 tahun lebih Baginda Nabi SAW wafat dan meninggalkan kita selaku umatnya di akhir zaman.Namun roh Baginda sebenarnya hidup di sisi Allah dan di sisi sekalian umatnya yang seringkali berselawat ke atasnya.

Sebagai kekasih Allah yang sangat taat setia kepada Tuhannya yang Maha Pencipta, jasad Baginda Nabi pun tidak hancur dan tidak musnah walaupun sudah bersemadi 1400 tahun yang lalu.Ini semua kerana Allah pelihara jasad dan roh para kekasihNya.

Mayat para syuhada', para Nabi dan para Rasul kekasih Allah tidak reput dan tidak hancur ditelan dek zaman serta tidak busuk, bahkan wangi sentiasa hingga ke alam akhirat.Roh mereka bebas dan merdeka bagaikan burung yang terlepas dari sangkarnya.Ibaratnya boleh terbang ke mana sahaja mereka hendak pergi.


Memang tidak terjangkau oleh akal kita yang cetek ini memikirkannya. Bagaimanakah jasad para syuhada' tidak busuk,tidak reput di dalam  perut bumi walaupun sudah beribu tahun, beratus tahun atau berpuluh-puluh tahun lamanya meninggalkan alam maya ini.

Inilah yang dikatakan Kuasa Allah yang Maha Hebat lagi Maha Berkuasa. Tidak mustahil bagi Allah atas sesuatu yang mustahil bagi manusia.

Allah yang Maha Perkasa boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki walaupun ianya di luar logik akal manusia.Mempercayai alam ghaib dan hal-hal yang ghaib ini tidak boleh diukur dengan logik akal,kerana ianya bersifat khawariqul aa'dah(luar logik).

Macamana kita hendak logikkan akan adanya alam kubur (alam barzakh),adanya kehidupan semula setelah mati kali pertama di dunia, adanya Al-Mizan (Timbangan yang akan menimbang amal dan kejahatan insan di dunia).


Apakah mampu kita memikirkannya dengan logik akal, bagaimana adanya syurga dan neraka nanti, adanya padang Mahsyar,adanya Titian Siratal Mustaqim yang licin,halus,tajam dan mengerikan itu?.
Barangsiapa yang berfikir dengan akal yang cetek ini maka akan tergeliatlah otaknya memikirkannya.

Akan jadi gilalah nanti mereka ini.Pengkaji-pengkaji yang mengkaji semua ini ada yang akhirnya surrender dengan keHebatan Allah ini akhirnya mereka memeluk agama Islam.
Ada yang tidak diberi hidayah, makin kaji keajaiban ciptaan Allah ini, mereka semakin sesat lagi menyesatkan.

Menurut logik akal  lagi, sememangnya seperti mustahil Allah ciptakan manusia dari tanah yakni Nabi Adam AS.Terciptanya manusia kedua pula iaitu pasangan  Nabi Adam yakni Ibunda Siti Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam yang bengkuk dan sebelah kiri pula.


Menurut hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud:-
"Maka sesungguhnya perempuan itu (Ibunda Siti Hawa), diciptakan dari tulang rusuk Adam".

Hujah lagi akan kebenaran kejadian Nabi Adam dari tanah marilah kita lihat Firman Allah dalam surah Al-Mukminuun :12-14 yang membawa maksud:-
"Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dari suatu saripati berasal dari tanah.Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani yang disimpan dalam tempat yang kukuh (rahim).Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging.
Kemudian Kami jadikan ia makhluk yang berbentuk lain.Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta yang Paling Baik".

Iblis laknatullah pun tidak mahu akur akan kewujudan Nabi Adam AS daripada tanah,kerana katanya dia (iblis) diciptakan daripada api yang lebih hebat daripada ciptaan Nabi Adam daripada tanah.

Dalam surah Al-Hijr ayat15 bermaksud:-
"Dan sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk".

Hadis Nabi bermaksud:-
"Sesungguhnya manusia itu berasal dari Adam dan Adam itu pula diciptakan dari tanah".
(HR Bukhari).

Seluruh manusia adalah dari keturunan Nabi Adam AS, Firman Allah bermaksud "Wahai sekalian manusia bertaqwalah kepada Tuhan kamu,yang telah menjadikan kamu bermula dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya Hawa dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai".
Surah An-Nisaa' ayat 4



Jadi jelaslah kita ini berasal dari tanah dan akan pulang ke tanah juga akhirnya.
Atas dasar itulah apabila kita mati,kita dikebumikan di dalam tanah
Disemadikan di dalam perut bumi tempat asal kita.
Hal ini jelas dikhabarkan dalam Al-Quran akan kisah ini.
Akan tetapi kenapakah ada manusia yang mengatakan manusia dijadikan daripada beruk, (Teori Darwin).

Ini semua hujah yang tidak boleh dipercayai sama sekali.Semuanya tipu helah musuh-musuh Tuhan yang cuba menafikan kemuliaan ciptaan Allah terhadap manusia pertama yang Allah ciptakan yakni Nabi Adam AS.

Teori Darwin atau teori evolusi (secara bertahap) Charles Darwin sangat menyesatkan.
Mereka mahu umat manusia mengakui datuk nenek moyang kita asal usulnya daripada "Beruk","Kera" atau "Monyet".
Buruknya bunyi keturunan tersebut, sedangkan Allah ciptakan manusia sebaik-baik kejadian..

Firman Allah dalam Surah At-Tin ayat 4 bermaksud "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya".

Mana ada dalam sejarah Islam manusia bermula dengan zaman "BATU".
Kononnya manusia zaman dahulu tidak tahu apa-apa.Malah tidak tahu bercakap.
Tidak ada bahasa..Akan tetapi berkembang sedikit demi sedikit mencapai kemajuan (Teori Evolusi),malah kononnya manusia zaman purba bertelanjang  atau bercawat kerana tidak pandai berpakaian, manusia yang kuno tidak bertamaddun,sedangkan Nabi Adam AS itu sangat tinggi tamadunnya,sangat bijaksana orangnya.
Itulah sejarah karut marut yang dipercayai oleh majoriti manusia hingga sekarang.
Ini cerita dongeng yang direka cipta oleh musuh-musuh Allah.

Kenapa sejarah Darwin ini digembar gemburkan?.
Hal ini berlaku kerana Bani Israel (Yahudi) ingin menutup sejarah keturunan datuk nenek moyang mereka yang di sumpah oleh Allah suatu ketika dahulu, kerana mereka degil dan melanggar larangan Allah.
Hari Sabtu adalah Hari Tipu Daya kerana pada hari tersebut terdapat 7 peristiwa helah dan tipu daya oleh 7 kaum.
Allah tidak izinkan mereka pergi menangkap ikan pada hari sabtu akan tetapi mereka engkar.
Kononnya pada hari sabtu ikan paling banyak diperairan laut.

Nabi Musa AS bertanya "kenapa sedikit Bani Israel yang datang beribadah pada hari ini ?(Sabtu),Salah seorang penduduk yang masih taat kepada Allah menjawab, Wahai Nabi kami....Bani Israel banyak yang melaut pada hari ini kerana ikan sangat banyak hari Sabtu sedangkan hari lain ikannya sangatlah sedikit".

Maka Nabi Musa AS berdoa "Ya Allah...kenapa mereka tidak mahu taat kepadaMu,berilah peringatan kepada mereka.". Maka Allah makbulkan doa munajat Nabi Musa AS seluruh Bani Israel yang tidak beribadah pada hari Sabtu dilaknat oleh Allah berubah menjadi monyet atau kera.

Sebagai bukti akan kebenaran kisah ini Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 65 yang bermaksud "Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui bagaimana buruknya akibat orang-orang diantara kamu yang melanggar larangan pada hari sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka "Jadilah kamu kera yang hina".

Allah murka dan Allah sumpah semua mereka menjadi beruk yang hina,
sedangkan asalnya mereka manusia yang sempurna sebagai manusia.
Untuk menutupi keaiban sejarah yang memang aib ini maka.....
Teori Darwin dicipta seolah-olah semua manusia asal usulnya daripada beruk.
MasyaAllah .......dahsyatnya pembohongan sejarah ini.

Siapakah  "DALANG" disebalik penipuan sejarah ini?.
Namanya ialah Charles Darwin bersama dengan para pendokong teori evolusi.Teori Evolusi ciptaan Charles Darwin yang berasal dari bukunya "The Origin Of Species" pada tahun 1859 sangat mempengaruhi pemikiran dunia tentang asal usul manusia.Zaman Batu atau Purba adalah satu pembohongan sejarah.
Ianya dogengan semata-mata.Hanyalah mitos yang direka-reka.

Sejarah sebenarnya tamadun manusia ialah melalui kebenaran yang termaktub dalam Al-Quranul Karim.
Al-Quran hanya menggunakan nama-nama para Nabi dan Rasul sebagai ukuran masa dalam sejarah kewujudan tamadun manusia dari dahulu hingga akhir zaman ini.

Inilah cara atau kaedah sebenar untuk mengkaji sejarah ketamadunan manusia .
Kajilah berdasarkan Nabi-Nabi yang telah diutuskan oleh Allah untuk setiap kaum dan zaman.
Ketamadunan di setiap zaman adalah sangat canggih dan cukup hebat, dari zaman Nabi Adam AS hinggalah ke zaman ini, bagaimana sejarah mengatakan tamadun manusia asal usulnya hidup dalam gua , zaman purba atau zaman batu, sedangkan Nabi Adam AS adalah manusia yang sempurna dan super genius. Nabi Adam AS bukanlah manusia purba dan tidak juga berevolusi.

Sejarah manusia zaman dahulu bukanlah "orang gua" yang hanya tahu makan dan tidur.Akan tetapi mereka telah membina satu ketamadunan yang begitu hebat dan mengkagumkan.
Ilmu pengetahuan mereka begitu tinggi dan hebat.Apa yang dilakukan di zaman ini adalah hasil daripada umat terdahulu.

Kita hanya menyambung dan mengambil ilmu daripada umat sebelumnya.
Contohnya zaman Nabi Nuh AS , Nabi Nuh mampu membuat kapal  atau bahtera yang sangat besar yang paling hebat sehinggakan dengan bahtera tersebut terselamatlah semua manusia dan pasangan binatang yang ada di dalamnya.Bahtera tersebut mampu mengatasi banjir yang sungguh besar sehinggakan mampu bertahan daripada dihanyutkan oleh bah atau banjir yang amat dahsyat itu.

"Begitu juga terbinanya Kaabah oleh Nabi Ibrahim AS dengan anaknya Nabi Ismail AS.Hingga ke hari ini manusia kagum dan berpusu-pusu menziarahi Kaabah atau Baitullah ini.
Hebat binaannya dan lagi hebat adanya Hajarul Aswad di penjuru Kaabah yang mana batu hitam atau asalnya batu putih dari syurga yang wangi dan penuh keistemewaan Allah kirimkan ke dunia untuk menyerikan dan melengkapkan lagi pembinaan Kaabah tersebut.

Malah sejarah Islam telah memaparkan kepada kita bahawa Nabi Allah Adam AS adalah manusia pertama yang sudah berpakaian, dan sudah hidup bertamadun yang sangat waras dan bijak, berilmu dan pandai berkata-kata dalam pelbagai bahasa dan nama-nama benda yang ada di dunia ini.

Ini sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud :-
"Allah telah mengajarkan kepada Nabi Adam AS "nama-nama keseluruhannya",
Setelah Nabi Adam AS mengetahui semua nama-nama tersebut, maka bersujudlah semua para malaikat tanda penghormatan kepada manusia ,kecuali iblis kerana dia sombong dan merasakan bahawa manusia tetap akan melakukan kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah walaupun sudah diajarkan mengenai "nama-nama" oleh Tuhannya kerana itu iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS".

Dari bukti-bukti di atas jelaslah menunjukkan bahawa nenek moyang kita adalah Nabi Adam AS.bukan dari beruk,kera atau monyet.Ini satu penghinaan yang amat besar pada datuk nenek moyang kita Nabi Adam AS.

Kepercayaan dan pembohongan ini tidak boleh dilupakan atau dibiarkan begitu sahaja kerana ianya satu penghinaan ke atas kejadian manusia, juga menafikan ciptaan Allah menjadikan manusia dari tanah liat kering yang termaktub dalam Kalamullah.Wallahua'alam......

No comments:

Post a Comment